Petang tadi dalam sesi pelajari solat dengan anak-anak saya, saya sempat berkongsi tentang kelebihan orang yang membaca doa iftitah. Memang saya punya kelas agama bersama mereka sejak dulu pada setiap Ahad yang saya branding kan sebagai
‘deen at home’. Mentelah lagi, mereka tak mahu pergi kelas-kelas agama di masjid, nak abah dia atau mama dia sendiri yang ajar. Hmmph. Alasan lah tu…
Cuma sejak kebelakangan ini, kerana kesibukan dah beberapa minggu tidak berkesempatan mengajar mereka sendiri. Timbul pula rasa bersalah. Jadi, saya perlu hidupkan kembali kelas ini. Sabtu, kelas solat. Ahad pula, deen at home.
Sebagai permulaan, kelas solat ni lebih khusus pada praktikal dan bacaan sahaja. Adapun falsafah solat, hikmah dan sebagainya memang sudah saya sering ingatkan dan kongsi bersama dengan mereka masa sesi kelas deen at home. Jadi minggu ni, saya kongsi tentang
pelajaran niat. Saya tak bincang tentang ‘Usolli’, tapi langsung pada ‘niat’ itu sendiri. Boleh rujuk tulisan saya pada topik yang sama pada sedikit masa dulu di blog ini.
Keduanya, saya kongsi tentang lafaz takbiratul ihram dan doa iftitah. Saya sempat ajar dua jenis bacaan doa iftitah. ‘Allahu Akbar Kabira…’ & ‘Alhamdulillahi Hamdan Kathiran…’ beserta dengan kelebihan dan fadhilat doa ini. Biar dorang excited sikit dan semangat. Saya lakonkan lah, konon2 apa yang berlaku pada zaman tu. hehe. Dorang pun semangat nak jadi macam sahabat.
Untuk perkongsian bersama, saya sertakan di sini dua riwayat bagi hadith-hadith tersebut:
Pertama: Lafaz Allahu Akbar Kabira, Wal Hamdulillahi Kathira, wa Subhanallahi Bukratan Wa Ashila’.
Dari Ibnu ‘Umar r.a. dia berkata: “Ketika kami menunaikan ibadah solat bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w., tiba-tiba ada seorang lelaki di antara kaum membaca: ‘Allahu Akbar Kabira, Wal Hamdulillahi Kathira, wa Subhanallahi Bukratan Wa Ashila’. [Ertinya] ‘Allah Maha Besar dengan ungkapan takbir yang agung. Segala puji bagi Allah dengan pujian yang melimpah. Maka Suci Allah pada pagi dan petang’. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Siapa yang mengucapkan kalimat ini dan itu?” Seorang laki-laki di antara kaum menjawab, “Saya wahai Rasulullah.’ Rasulullah bersabda, ‘Aku terkejut dengan [keutamaan] kalimat tersebut. Pintu-pintu langit telah dibuka kerananya.’ Ibnu ‘Umar berkata, ‘Maka aku tidak pernah meninggalkan bacaan kalimat itu semenjak aku mendengar Rasulullah bersabda seperti itu.’” [Sahih Muslim]
Kedua: Lafaz ‘Alhamdulillahi Hamdan Kathiran Thoyyiban Mubaraan Fiih’
Dari Anas R.A, “Sesungguhnya ada seorang lelaki datang. Lantas dia masuk di barisan saf solat. Nafasnya [terdengar] termengah-mengah. Lantas dia mengucapkan [zikir]: ‘Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, baik serta diberkahi’. Ketika Rasulullah selesai menunaikan solatnya, beliau bersabda, ‘Siapa di antara kalian yang membaca lafaz tadi’? Sesungguhnya tidak mengapa dia mengucapkan doa seperti itu. Orang-orang pun terdiam. Maka ada seorang lelaki berkata, ‘Aku tadi telah datang dengan nafas termengah-mengah dan setelah itu mengucapkan lafaz tersebut.’ Rasulullah bersabda: ‘Sesungguhnya aku melihat ada dua belas malaikat yang berlumba-lumba [untuk mendapatkan] lafaz tersebut. Mereka berlumba untuk mencatatnya [sebagai amal soleh].’ ” [Muslim]
Jelas, bacaan doa dalam iftitah ada banyak dan pelbagai. Kesemuanya diamalkan oleh Rasulullah dan ianya sahih. Semoga dengan kita mengetahui keberkatan dan kelebihan serta fadhilat doa yang amat ringkas ini, kita tidak pernah lupa untuk membacanya dalam setiap solat kita.