Bersama ini saya sertakan artikel bagi ruangan saya di majalah Manja pada keluaran bulan Mei bagi kemanfaatan pembaca abahyasir.com Kali ini ia membicarakan isu seorang ibu yang buntu kerana anaknya membawa pulang anak gadis orang tinggal bersama.

Soalan:

Bagai ditelan mati emak, diluah mati anak situasi saya ini. Malu untuk diceritakan tapi saya tiada pilihan kerana buntu mencari jalan keluar. Saya adalah ibu tunggal kepada dua anak. Yang sulung adalah perempuan dan sudah berkahwin dan tinggal di Malaysia. Saya kini menetap dengan anak lelaki saya di flat tiga bilik.

Baru-baru ini teman anak lelaki saya telah datang ke rumah saya. Masalahnya dia perempuan dan tidak mahu balik ke rumahnya semula atas alasan bergaduh dengan keluarganya sendiri.

Keluarga gadis ini pula seperti tidak mengendahkan bahawa anak perempuan mereka berada di rumah orang. “Biarkan lah dia. Kita nak tengok sampai bila dia nak hidup macam itu,’’ itulah jawapan ibunya kepada saya apabila saya hubungi keluarga gadis itu.

Anak lelaki saya berusia 22 tahun dan belum bekerja tetap. Temannya itu berusia 21 tahun, juga tidak bekerja tetap. Saya telah tanyakan kepada anak saya sama ada gadis itu teman wanitanya. Jawapannya ialah yang dia kawan rapatnya dan anak saya sebolehnya mahu ‘membantu’ kawannya itu dengan membenarkan si gadis tinggal di rumah kami.

Saya sudah nasihati gadis itu untuk pulang tapi dia seperti tidak mendengarnya. Malah anak saya yang membelanya dan berkeras membenarkan kawannya itu tinggal di rumah kami sehingga dia bersedia untuk pulang. Saya tidak tahu apa lagi yang perlu saya buat.

Jawapan:

Benar seperti apa yang dikatakan puan, hendak ditelan mati mak, diluah pula mati anak. Isu ini memang rumit dan tidak mudah diatasi memandangkan ia membabitkan beberapa pihak, iaitu anak puan, teman wanitanya dan juga kedua ibu bapa wanita tersebut. Secara idealnya, bagi mengatasi perkara ini ialah setiap pihak yang terbabit perlu bersikap rasional dan matang dengan melihat duduk perkara dari kaca mata yang lebih luas.

Saya kira puan pasti bersetuju, yang menjadikan isu ini menjadi lebih genting kerana ianya melibatkan kawalan bagi hubungan antara anak lelaki puan dan teman wanitanya dalam satu rumah. Keadaan menjadi lebih meruncing, memandangkan tiada siapa di rumah yang dapat memantau mereka, andai kata puan terpaksa keluar rumah kerana urusan lain. Ini ditambah pula dengan hakikat yang anak puan sekarang ini tidak bekerja.

Sebagai langkah ke hadapan, saya kira puan perlu bertemu dan berbincang dengan kedua ibu bapa wanita tersebut, tidak kiralah sama ada dengan menjemput mereka datang ke rumah atau puan sendiri pergi ke rumah mereka, saya kira ini sesuatu yang tidak sukar dilakukan kerana puan sendiri sudah pun pernah berkomunikasi dengan ibu wanita tersebut.

Dalam hal ini, puan perlu bersikap objektif dan jelas apabila berbicara dengan kedua ibu bapa wanita tersebut. Isu utama yang perlu difahami bersama ialah kesan negatif yang mungkin timbul dari tindakan keduanya untuk membenarkan anak perempuan mereka tinggal di rumah puan, atau lebih tepat lagi tindakan ini mampu membawa kepada hubungan yang terlarang antara kedua-duanya, walaupun pada masa ini anak lelaki puan mendakwa mereka masih lagi bukan merupakan teman istimewa, tetapi implikasi keterlanjuran dalam hal ini merupakan sesuatu yang tidak dapat ditolak.

Kedua, ia merupakan satu bebanan bagi puan untuk memastikan hubungan kedua-duanya dikawal sepanjang masa. Ini tidak termasuk yang puan sendiri perlu bekerja atau keluar rumah bagi urusan penting lain. Ini belum mengambil kira kos bagi menyara seorang lagi ahli di rumah puan, sedangkan dia sebenarnya mempunyai ibu bapa yang masih lagi mampu menyaranya. Pastinya hal ini merupakan satu perkara yang keterlaluan jika ibu bapanya masih bersikap tidak endah. Mesej ini perlu disampaikan dengan jelas pada kedua ibu bapa wanita ini, agar mereka sedar bahawa tindakan tidak kisah keduanya merupakan satu sikap yang amat tidak bertimbang rasa dan langsung tidak bertanggungjawab.

Pada masa yang sama di kesempatan lain, puan juga perlu menjelaskan pada anak lelaki puan bahawa jika beliau bersungguh-sungguh untuk membantu teman wanitanya, maka tindakan yang sewajarnya ialah untuk mendamaikan hubungan keduanya, dengan langkah pertamanya ialah dengan memujuk wanita tersebut untuk pulang ke rumah kedua ibu bapanya. Beliau juga perlu difahamkan bahawa plihan untuk tinggal dan lari dari rumah bukan merupakan jalan keluar bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

Puan juga boleh menimbangkan melibatkan seseorang yang dapat dipercayai, katakan saudara lelaki atau perempuan puan sendiri; bagi membantu puan dalam berbincang dengan kedua ibu bapa wanita ini mahupun dengan anak lelaki puan. Selain dari itu, saya juga menggesa agar puan dapat memperbanyakkan juga solat malam dan berdoa agar dilembutkan hati anak lelaki puan, teman wanitanya dan juga kedua ibu bapa wanita tersebut.

Sebagai ikhtiar tambahan, puan juga boleh mengamalkan doa dari ayat 25-28 daripada surah Taha dan juga ayat-ayat dari surah Al-Insyirah bagi membantu puan dalam memujuk mereka dan melembutkan hati-hati mereka. Semoga usaha puan ini membuahkan hasil dan dipermudahkan oleh Allah serta berjaya hendaknya.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s