Berikut saya kongsi bersama kolumn saya di majalah Manja bagi keluaran bulan April bagi kemanfaatan pembaca abahyasir.com Kali ini ia membicarakan isu seorang janda yang jatuh cinta dan dilamar oleh seorang lelaki lain yang sudah beristeri.

Soalan:

Apabila di rumah, saya rasa kosong dan bosan kerana antara saya dan suami seperti sudah hilang titik persamaan. Suami saya tidak akan bercakap dengan kalau saya tidak menyapanya atau ada sesuatu yang ingin dia mintanya dari saya. Kami akhirnya bercerai dan saya teruskan kehidupan sebagai ibu tunggal kepada tiga anak.

Pada masa yang sama, sejak 10 tahun lalu saya sudah pun berkawan dengan Z. Kami bekerja di sama tempat, jadi memanglah kerap kami habiskan masa rihat dengan berbual bersama. Memang sejak dulu lagi, kami seperti ada keserasian bersama – minat pada seni serupa, pemikiran tentang hal berkaitan masa depan juga serupa. Itu membuat hubungan kami mesra tapi tidak lebih dari itu. Z sudah beristeri dan mempunyai empat anak. Namun, setelah dua tahun saya hidup menjanda, Z secara tiba-tiba bersuara untuk mengambil saya sebagai isteri kedua. Percayalah saya tidak pernah langsung ada niat untuk jadi orang ketiga.

Namun, saya lihat dari tiga sudut. Pertama, keserasian antara kami. Kedua, saya perlukan kasih sayang dan perlindungan seorang suami. Ketiga, masa depan anak-anak lebih terjamin. Z mendukung jawatan yang lebih tinggi daripada saya di ofis, jadi saya tahu dia mampu untuk menanggung sebuah lagi keluarga. Biarpun bekas suami saya memberi nafkah anak, tapi, ia tidak cukup untuk menanggung kos hidup kami empat beranak. Bajet bulanan saya begitu ketat sekali. Ini membuat saya terima lamarannya. Keluarga saya memahami keputusan saya.

Tapi sebaik berita ini diketahui orang lain, saya menerima banyak kutukan bukan sahaja daripada isteri pertama Z dan famili Z, malah rakan-rakan kerja kami mula memulau saya. Pelbagai sindiran dan kutukan dilemparkan. Tidak cukup dengan itu, berita ini disebarkan luas, dengan pelbagai ramuan tambahan, kepada orang di luar pejabat. Hinggakan teman lama yang sudah lama tidak dengar berita mula hubungi saya dan bertanyakan hal ini.

Ini memberi cukup tekanan berat kepada saya dan memalukan saya sehingga menjejas kesihatan saya. Apakah salah untuk saya terima lamaran Z?

Jawapan:

Seperti yang pernah disebutkan pada keluaran yang lepas. Pernikahan yang diredhai dan diberkati Allah ialah perkahwinan yang mendapat restu daripada kedua ibu bapa, dan ini termasuklah dalam hal berpoligami.

Tiada salahnya hasrat anda untuk menerima lamaran Z bagi menjadi isteri kedua atas alasan-alasan yang disebutkan dalam ruangan ini. Akan tetapi, faktor keredhaan isteri pertama Z (antara faktor utama diterima permohonan poligami di sini), penerimaan bakal keluarga mertua dan tanggapan masyarakat sekeliling juga tidak kurang pentingnya.

Penting bagi anda untuk membayangkan cabaran kehidupan berpoligami sebelum membuat sebarang keputusan yang melulu. Biarlah saya berikan sedikit bayangan cabaran yang bakal anda harungi dari senario-senario berikut:

1. Isteri pertama dan anak-anak dari isteri pertama

Poligami tidak sesuatu yang indah belaka. Cabaran rumahtangga selaku satu-satunya isteri sudah tentu besar, apatah lagi jika anda berkongsi kasih? Andai kata isteri pertama setuju sekalipun, pada masa akan datang senarionya mungkin boleh berubah. Sikap cemburu dan iri hati tidak mustahil boleh menyelinap pada diri kita mahupun isteri pertama. Ini belum mengambil kira penerimaan anak bakal suami dari isteri pertama. Kesemua perkara ini harus diambil kira agar bila berlaku krisis sebegini, seorang isteri tersebut dapat bersabar serta terus tabah dalam mempertahankan rumahtangga.

2. Mertua

Seperkara lagi yang perlu diingatkan ialah hubungan dengan mertua. Dalam hal ini jelas bahawa bakal mertua tidak menyenangi hasrat Z untuk mengambil anda sebagai isteri kedua. Maka senario mertua menyebelahi isteri pertama atau bila mertua bersikap pilih kasih dari segi layanan antara kedua isteri yang bermadu tidak mustahil boleh berlaku.

Perlu diingat dalam keadaan perkahwinan biasa pun kadang-kadang hubungan dengan mertua juga menjadi satu duri dalam rumahtangga, apatah lagi kehadiran kita sebagai isteri kedua dan mertua pula memang sayang pada isteri pertama?

3. Tanggapan masyarakat luar

Tohmahan masyarakat kepada isteri kedua sebagai perampas suami orang, perosak rumahtangga dan sebagainya haruslah dijangkakan, malah ia sebenarnya sudahpun berlaku sebelum anda berumahtangga lagi dengan Z. Walaupun bagi saya cabaran yang terakhir ini tidak sekuat seperti cabaran-cabaran lain yang telah disebutkan sebelum ini, tetapi ia tetap perlu ditangani dan jika tidak berhati-hati ia juga boleh menjejaskan rumahtangga.

Kesemua cabaran yang saya sebutkan di sini tidak mengambil kira faktor sama ada bakal suami mampu berlaku adil dan menunjukkan kepimpinan yang tinggi dalam membimbing kedua-dua rumahtangganya. Keadaan pastinya akan bertambah lebih parah dan tidak terkawal, jika bakal suami tidak mempunyai kedua-dua ciri tersebut iaitu sikap adil dan kepimpinan yang tinggi, yang merupakan elemen penting dalam berpoligami.

Semoga senario dan cabaran-cabaran yang bakal diharungi dalam berpoligami yang saya sebutkan di sini, mampu membantu anda membuat pertimbangan yang teliti sebelum membuat keputusan untuk meneruskan hasrat bagi menjadi isteri kedua kelak.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s