images

Berikut adalah pandangan saya yang telah dikemukakan dalam ruangan Spektra di majalah Manja bagi keluaran Mac 2012. Semoga pembaca mendapat manfaat darinya.

Setelah single selama 30 tahun, akhirnya saya temui jejaka pilihan hati. Kami berkenalan di Internet selama tujuh  bulan sebelum dia melamar saya. Teman lelaki saya, duda anak satu, seorang penganut agama lain dan dia telah bersetuju untuk memeluk Islam. Dia seorang warga di salah sebuah negara di Eropah dan telah dua kali datang ke Singapura untuk temui saya dan keluarga.

Masalah timbul apabila keluarga saya kurang puas hati dengan hantaran yang akan diberikan oleh teman lelaki saya atau lebih tepat lagi – tiada wang hantaran yang akan diberi. Diri saya sendiri tidak kisah mengenai wang hantaran. Asal mas kahwin dibayar. Tapi, keluarga saya, terutama ibu dan kakak, tidak setuju. Bagi ibu, “mana nak letak muka? Nak kahwin dengan orang asing tapi tak ada hantaran.’’ Kakak saya pula tidak berpuas hati dengan kedudukan kewangan teman lelaki saya yang dianggapnya ‘tidak stabil’. Saya telah beritahu keluarga bahawa teman lelaki saya ada pekerjaan tetap cuma tiada simpanan wang sahaja.

Lagi pula saya akan tetap bekerja biarpun sudah berkahwin. Jadi tiada timbul soal tak cukup wang kerana kombinasi gaji kami berdua akan meletakkan kehidupan kami di tempat yang sederhana tapi selesa. Ibu dan kakak saya enggan berganjak daripada pendirian mereka. Bapa dan adik beradik lain pula tidak menghalang.

Teman lelaki saya pula berkata dia sudah banyak berkorban – hakikat bahawa dia bersedia menukar agamanya dan berhabis wang untuk datang ke Singapura sebanyak dua kali. Jadi dia juga enggan berganjak daripada pendiriannya. Di sinilah masalah saya. Saya amat rapat dengan ibu dan kakak dan tidak mahu mengecilkan apatah lagi mengecewakan mereka. Tapi saya juga sayangkan teman lelaki saya dan sudah bersedia untuk hidup bersamanya.

Apakah lagi usaha yang boleh saya lakukan?

Jawapan:

Perkahwinan merupakan satu ikatan murni di antara kedua pasangan. Ia bukan sekadar satu hubungan yang terhenti di antara pasangan suami isteri, tetapi juga merupakan jalinan hubungan yang melewati dengan keluarga pasangan tersebut.

Malah dalam Islam, pernikahan yang diredhai dan diberkati Allah ialah perkahwinan yang mendapat restu daripada kedua ibu bapa. Perkahwinan di mana kedua-dua keluarga pasangan ceria dan gembira apabila melihat anak-anak mereka disatukan. Kegembiraan ini pula disertai dengan doa dan restu agar rumahtangga anak-anak sentiasa di kekal abadi sehingga ke akhir hayat serta sentiasa di bawah pemeliharaan Allah. Ini pastinya tidak dapat dicapai  apabila terdapat beberapa hasrat orang tua anda tidak dapat dipenuhi.

Dalam hal ini, kebimbangan keluarga anda ada benarnya. Ini ditambah pula dengan hakikat yang anda bakal berkahwin dengan seorang muallaf yang bermastautin jauh di Eropah serta baru dikenali beberapa bulan sahaja.

Selain dari merasa malu berhadapan dengan persoalan saudara-mara atas ketidakmampuan bakal suami gagal menyediakan wang hantaran, ia juga juga pada masa yang sama menjadi penunjuk kestabilan ekonomi bakal suami dalam menguruskan keperluan harian rumahtangga. Sekurang-kurangnya itulah yang saya dapat fahami apa yang berada di benak keluarga anda di ketika ini.

Ini ditambah pula dengan sikap bakal suami yang berkeras tidak mahu menyediakan wang hantaran atas alasan sudah berkorban meninggalkan agama lamanya demi untuk memeluk agama Islam. Ini juga sedikit sebanyak pastinya menimbulkan kebimbangan dan persoalan pada diri keluarga anda atas komitmennya pada Islam dan juga pada diri anda.

Sebenarnya isu dan kemelut permasalahan dan dilema anda mampu diselesaikan, seandainya satu jalan tengah dapat dipersetujui bersama, dan kedua-dua pihak pula dapat bertolak ansur. Antaranya ialah bakal suami bersedia menarik balik keengganannya membayar wang hantaran, manakala pihak keluarga anda pula bersedia menimbangkan jumlah wang hantaran yang berada pada tahap kemampuan bakal suami.

Mungkin anda perlu menimbangkan juga untuk mendapatkan seorang ahli keluarga terdekat yang dipercayai keluarga anda sebagai orang tengah bagi menimbangtarakan isu di antara bakal suami dan keluarga anda, iaitu dengan mengambil kira cadangan saya di atas.

Apa yang ideal nya ialah, jika anda dapat memujuk bakal suami agar dapat berlebih kurang dan seterusnya dapat membuktikan kepada keluarga anda bahawa beliau seorang yang benar-benar jujur, bertanggungjawab dan mampu menjaga anda dengan sebaik-baiknya.

Ini seterusnya secara tidak langsung pastinya akan menambahkan kepercayaan dan keyakinan kepada keluarga anda, bahawa beliau seorang yang mampu beralah dan tidak mementingkan diri sendiri, dan yang paling penting mengambil kira juga pandangan bakal mertua selain benar-benar jujur dengan hasratnya untuk menikahi anda.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s