Berikut adalah pandangan saya yang telah dikemukakan dalam ruangan Spektra di majalah Manja bagi keluaran Oktober 2011. Semoga pembaca mendapat manfaat darinya.
Soalan pembaca:
Saya kini amat tertekan memikirkan situasi yang menghimpit diri saya. Saya tidak tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini.
Sekarang ini saya berada di tengah-tengah – antara ibu bapa saya dan suami saya. Ibu bapa saya, terutama ibu saya mahu saya bercerai daripada suami saya. Manakala suami saya masih mahu kami bersama.
Saya dan suami berusia dalam pertengahan 20-an tahun dan kami sudah mendirikan rumah tangga hampir lima tahun tapi masih belum mempunyai anak. Kami masih tinggal dengan ibu bapa saya kerana masih belum dapat rumah.
Masalahnya timbul apabila suami saya berhenti kerja lewat tahun lalu kerana bergaduh dengan majikannya. Mulanya saya tidak tahu akan perkara ini kerana dia merahsiakan daripada saya.
Waktu pagi, beliau sama-sama keluar pergi bekerja bersama saya. Lama-kelamaan beliau mula balik awal dan pada ibu saya yang berada di rumah, beliau akan memberi alasan seperti bosnya kata hari itu tiada kerja dan sebagainya.
Di bilik kami, suami saya akan menghabiskan masa bermain di komputer. Masalahnya semakin besar apabila bil datang menunjukkan beliau telah membeli beberapa barang kegunaannya di leleman on-line dan saya yang perlu melangsaikan hutang-hutang ini.
Setelah didesak, baru suami saya berterus terang mengenai statusnya. Tapi beliau masih enggan mencari kerja biar sudah puas saya nasihatkan. Beliau menganggur hingga ke saat ini.
Saya kira ibu saya tidak dapat menahan sabarnya. Dua bulan lalu apabila suami saya tiada di bilik, dan tanpa pengetahuan saya, ibu saya telah mengemas pakaiannya dan meletakkan di luar rumah.
Apabila suami pulang, ibu saya menghalaunya keluar. Tentunya ini menimbulkan perang besar. Menurut ibu dan bapa saya, mereka tidak mahu melihat saya yang terus-menerus menanggung suami. Mereka mahu saya akhiri perkahwinan saya.
Suami saya telah merayu bahawa beliau akan berubah. Kini beliau sedang berusaha mencari kerja. Tapi ibu saya mendesak saya bahawa beliau yakin suami saya tidak akan berubah. Kata ibu, beliau tidak mahu melihat saya menderita.
Tolonglah saya. Di satu pihak memang saya marah dan kecewa pada suami tapi pada masa yang sama saya rasa berat hati untuk bercerai.
Jawapan saya:
Tugasan seorang suami ialah memberikan nafkah kepada isteri dan keluarga dari segi menyediakan rumah, mengeluarkan perbelanjaan harian, wang pasar, perubatan dan sebagainya. Kecuali jika ia merupakan persetujuan bersama antara suami isteri untuk isteri juga turut sama bekerja, jika gaya hidup yang dipilih melebihi pendapatan suami dan isteri pula bersetuju untuk turut sama membantu.
Dalam situasi anda, melalui soalan yang dikirimkan dapat saya membuat kesimpulan bahawa anda juga turut bekerja bagi membantu perbelanjaan keluarga, sebelum akhirnya terpaksa bersendirian menguruskan segala keperluan keluarga berikutan pemberhentian kerja suami puan.
Jelas puan terperangkap antara mengikut kemahuan ibu bapa yang jelas kecewa dengan tindakan suami dan inginkan anda berpisah dengan suami, serta kemahuan puan sendiri yang masih sayangkan suami dan berasa berat hati untuk berpisah walaupun pada masa yang sama anda kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab suami.
Namun untuk berlaku adil kepada anda dan juga suami, anda boleh mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada suami mencari pekerjaan, sebelum anda melakukan sebarang keputusan selanjutnya. Sebagai contoh, katakan 3 bulan.
Bagi pihak suami anda pula, beliau perlu bersungguh-sungguh untuk mengubah tabiat dan sikap untuk tidak berbelanja sesuka hati, dan perlu mencari kerja secepat mungkin bagi membuktikan keseriusan beliau untuk berubah dan membantu keluarga. Beliau perlu jelas, bahawa segala masa depan rumahtangga adalah bergantung kepada sejauh mana serius beliau ingin berubah.
Selepas itu, segalanya terpulang kepada anda untuk membuat keputusan sama ada ingin terus bersama suami ataupun tidak. Jika suami tetap enggan bekerja atau masih cerewet dengan jenis pekerjaan yang diperolehi. Tiada paksaan untuk anda membuat keputusan berpisah dengan suami, anda masih boleh tetap terus bersama dan menanggung segala tugasan suami dan tetap terus bersabar dengan karenah suami. Namun persoalannya ialah adakah mampu untuk terus bersabar dan menanggung suami yang tidak bekerja? Dan jika Ya, sampai bila?