Selamat menyambut tahun baru Islam saya ucapkan kepada seluruh umat Islam khususnya sesiapa yang melayari laman saya ini di mana sahaja mereka berada.

Seperti mana masjid-masjid lain, masjid tempat saya bertugas juga tidak terkecuali ada mengadakan majlis bacaan doa awal tahun dan akhir tahun sempena ketibaan tahun hijrah 1430. Alhamdulillah, walaupun majlis tahun ini jatuh pada hari Ahad, namun terdapat lebih kurang 500 lebih jemaah hadir pada malam ini dengan kebanyakannya terdiri daripada para pelancong serta pengunjung Muslim yang singgah ke sini selepas membeli belah di Orchard Road.  

Majlis pada malam ini juga diselang selikan dengan tazkirah ringkas bertajuk Hijrah Membentuk Perubahan Mentaliti Mukmin yang diadakan sejurus selepas bacaan doa akhir tahun sementara menantikan waktu Maghrib. Suka saya kongsikan di sini intipati yang disampaikan pada ceramah saya malam tadi. 

1. Pengertian Hijrah. 

– Hijrah secara kontekstualnya ialah satu usaha mengubah nasih atau keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik. 

– Dengan usaha, kesungguhan dan penyerahan kepada Allah, segala perubahan yang dilakukan bakal dijanjikan ganjaran oleh Allah. 

– Hijrah seperti mana pada zaman Nabi sudah tiada lagi, seperti mana sabda Rasulullah ‘Tiada hijrah selepas pembukaan kota Mekah kecuali niat dan jihad’ Dengan ini bermakna kita masih lagi mempunyai peluang untuk mendapatkan pahala dengan cara berniat melakukan perkara yang baik serta berjihad dalam menegakkan kalimah Allah. 

– Walaupun tiada pahala hijrah seperti mana pada zaman Rasulullah, namun jika kita berdepan dengan keadaan di mana umat Islam tidak dapat mengerjakan perintah Allah dan mengamalkan suruhan Tuhan dengan aman, maka kita diwajibkan berhijrah seperti mana yang berlaku pada masa zaman pemerintahan komunis di negara-negara Eropah Timur.  

2. Muhasabah Diri 

– Cuba kita renungkan kata-kata beikut daripada Sayyidina Umar R.A ‘Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitungkan’ 

‘ Sesungguhnya Allah itu menerima taubatnya seseorang hamba selama ruhnya belum sampai di kerongkongannya.’ Hadith

– Jadi maknanya hendaklah kita sentiada peringatkan diri kita kita sebelum kita dihisab oleh Allah di hari akhirat kelak. 

– Ingatlah Allah itu sentiasa Maha Pengampun, sebanyak mana dosa yang kita lakukan jika kita bertaubat sebelum kita mati, I.Allah dosa kita itu akan diampunkan. Dengan syarat kita bukan setakat bertaubat sahaja tetapi mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan segala perintah Allah seperti solat Fardu lima waktu dan meninggalkan segala tegahan dan larangannya.  

– Jadi sudahkah kita bermuhasabah diri kita sebelum kita mengharungi tahun baru nanti?

– Cuma kita renung sejenak selama 1 minit, berapakah scale amalan kita pada tahun lalu? Jika 1-10 dengan 10 markah tertinggi dan 1 pula terendah. Berapakah markah kita? Adakah lebih baik daripada tahun yang telah lalu?

– Sebagaima syarikat dan badan berkanun yang perlu audit status kewangan dan prestasi tahunan syarikat, kita juga perlu melakukan audit amalan tahun sudah seperti:

a. Solat Fardu

– Bagaimana dengan solat Fardu lima waktu kita? Atau asyik qada’ je? Ingat solat wajib dilakukan dalam apa jua keadaan, walau dalam keadaan sakit sekalipun kita tetap perlu solat pada waktunya. Jangan asyik qadha’ sahaja! Qadha memang wajib dilakukan bagi solat yang ditinggalkan, namun kita tetap berdosa jika tidak menunaikan solat pada waktunya walaupun dilakukan qadha’ solat lepas tu.

b. Puasa Qadha’ 

– Saya sentuh puasa qadha tidak puasa Ramadan, sebab lebih ramai yang puasa Ramadan berbanding dengan solat Fardu.

– Puasa Ramadan 30 hari no problem =  solat Fardu 5 x satu hari problem

– Cuma bagi sebahagian kaum wanita qadha’ puasa Ramadan = Tetap problem.

– Jadi ini sebagai peringatan sahaja, yang dah qadha tu Alhamdulillah.  

c. Ihsan ibu bapa

– Sudahkan kita melakukan ihsan pada kedua ibu bapa kita? 

– Buat baik, menggembirakan hati kedua ibu dikira sebagai ihsan. 

– Bagi yang tinggal berjauhan selepas berkahwin, ambil lah kesempatan untuk menggembirakan hati kedua ibu bapa setiap kali kita berjumpa mereka.

– Sekali-kali berikanlah hadiah sebagai satu tanda ingatan dari kita, ibu bapa happy = Ihsan.

– Namun bagi yang tinggal bersama kedua ibu bapa, kita punya peluang lebih besar untuk ihsan dengan mereka, tetapi pada masa lebih terdedah kepada menyakiti hati ibu bapa sama secara sedar atau tidak. 

– Ibu sedih, kecil hati marah dikira = tidak ihsan dengan ibu bapa. Berdosa besar kita. Ini termasuklah seperti perbuatan tinggi suara atau pulang lewat lebih2 lagi ada yang langsung terus tak telefon bila pulang lewat atau jumpa kawan.    

d. Hubungan antara suami isteri 

– Bagaimana hubungan kita suami isteri? Pernah tak kita sebagai suami menyakiti hati isteri kita dengan kata-kata nista yang mengguris hati dengan makian dan celaan? 

– Sang isteri pun sama juga! Pernah tak melakukan perkara yang tidak digemari dan dibenci oleh suami?

– Tapi apapun, suami perlu tunjukkan contoh yang baik bagi mendapat penghormatan isteri. Ini dapat dilakukan dengan menunjukkan akhlak yang terpuji melalui tutur kata dan juga melalui penjagaan amal ibadah kita pada Allah. Ini sebaik-baiknya dilakukan secara berjemaah suami isteri. Dapat sekurang-kurangnya satu kali sehari jadilah.

e. Hubungan antara keluarga dan masyarakat 

– Yakni hubungan kita dengan anak-anak bagaimana pula? Adakah mereka bersolat sebagaimana kita juga? Atau kita sahaja yang solat? 

– Dengan masyarakat, kawan dan kiran pula bagaimana? 

f. Ibadah-ibadah sunnah yang lain 

– Buat yang wajib dulu, lepas tu barulah buat yang sunat. 

– Jika dapat pastikan yang wajib dulu pun dah ok. Yang sunat tu dikira sebagai bonus. 

– Saya teringat satu hadith, Di mana dalam satu majlis, selepas membaca Quran dan Hadith, tiba-tiba Rasulullah bersabda: Tidak lama lagi akan datang ke majlis kita ini seorang ahli syurga. Tidak lama selepas itu terdengar suara orang memberi salam. Itulah suara ahli syurga yang dimaksudkan. Kemudia dia masuk, dia tidak tahu apa yang dikatakan oleh Rasulullah. 

Ada seorang sahabat yang sangat berminat dengan cerita itu, apabila bersurai, sahabat lain pun balik tetapi sahabat ini tidak. Dia mengikut sahabat yang dikatakan ahli syurga itu dari belakang tanpa pengetahuannya. Tujuan sahabat ini adalah untuk melihat apakah amalan ahli Syurga ini supaya dapat diikuti dan disontohi. Bila sudah sampai ke rumahahli syurga itu, dia memberi salam, ‘Boleh tak saya bermalam di rumah saudara?’ Silalah. Merekapun sama-sama bersolat Maghrib, Isya’, makan dan minum. Hinggalah tiba waktu malam. Oleh kerana tujuannya untuk menyelidiki amalan ahli syurga ini. Beliau tidak tidur sehinggalah waktu Subuh. Akhirnya dia pening memikirkan bagaiamana sahabat ini boleh masuk syurga sedangkan dia hanya mengerjakan ibadah yang wajib sahaja, solat Rawatib pun tidak dilakukan apatah lagi Tahajjud. 

Selepas solat Subuh, sahabat itupun memberitahu tujuan beliau bermalam di situ dan bertanya jikalau ada hal-hal lain yang dilakukan. Tuan rumah itupun menjawab, saudara dalam hidup saya, bukan sahaja saya tidak berhasad dengki dengan orang, terniat untuk berhasad dengki pun tidak. 

g. Akhlak terpuji 

– Akhlak terpuji sangat penting dan genting, tidakkah Nabi Muhammad pernah bersabda:     

‘ Tidaklah aku diutuskan kecuali untuk menyempurnakan kemualiaan akhlak’ 

– Jangan kita jadi jenis orang yang rajin ibadah tapi akhlak kureng..kita punya sifat hasad dengki, iri hati, takabbur atau bongkak, keras hati, bercakap kasar, bersikap buruk sangka dan bangga diri dengan ilmu yang dimiliki.

– Ilmu yang tinggi perlu diselangi dengan akhlak yang terpuji baru kita akan lebih dihormati. 

 h. Sudahkah kita berjihad? 

– Jihad pada masa kini yang lebih utama dan genting ialah menuntut ilmu bersungguh-sungguh. tidak kiralah ilmu agama ataupun tidak. 

– Bagi para pelajar hendaklah bersungguh-sungguh belajar hingga berjaya. 

– Bagi yang sudah bekerja, penting untuk kita mempertingkat diri kita lebih-lebih lagi dalam keadaan suh ekonomi yang tidak menentu. 

– Begitu juga dengan mereka yang berada di alam pekerjaan, perlu bekerja bersungguh-sungguh. Itu juga dinamakan sebagai jihad. 

3. Plan tahun baru 

– Selepas kita melakukan refleksi diri, tahu segala kelemahan dan kekurangan yang ada. Maka penting kita merancang agar tahun berikutnya menjanjikan sesuatu yang lebih baik dari tahun lalu. 

– Bagi melakukannya kita perlu lakukan 3 perkara:

ATTITUDE

SKILLS

KNOWLEDGE

– Kesimpulannya, kita perlu ada pengetahuan dan kemahiran untuk memastikan kita tahu kekurangan kita pada masa lalu dan apa yang patut kita lakukan untuk mengelakkan daripada melakukan kesilapan yang sama. 

– Kemahiran dan pengetahuan tentang sesuatu perkara juga tidak berguna jika kita tidak mengamalkan apa yang ketahui. 

– Untuk memastikan perubahan ini menjadi satu realiti, pastinya kita perlu kepada sikap yang positif agar segala apa yang dirancang bakal menjadi kenyataan. 

4. Doa 

– Sebagai penutup, kita perlu berdoa agar Allah berikan kita pertolongan dan kekuatan dalam mengubah mentaliti kita menjadi seorang mukmin yang berjaya. 

– Dalam sebuah hadith, baginda ada mengajar seorang sahabat yang bernama Mu’azh bin Jabal agar membaca doa berikut setiap kali apabila selesai solat.

Ya Allah Ya Tuhanku, Bantulah daku untuk mengingati-Mu, mensyukuri-Mu dan memperbaiki amal ibadah pada-Mu    

Semoga apa yang saya sampaikan kali ini menjadi iktibar untuk kita semua termasuk diri saya dalam menempuh tahun baru Hijrah 1430. 

 

Makluman: 

Slide powerpoint tazkirah saya ini boleh didapati dan di muat turun daripada link berikut: 

http://docs.google.com/Presentation?docid=dd6qmm3f_1055m9bczgp

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s