Semasa sembang2 dengan Ustaz Nazirudin di Muis tempohari tentang kajian tesis saya yang berkaitan dengan kefahaman dan pengamalan solat berlandaskan sunnah yang berbentuk field research terhadap masyarakat Islam Singapura, saya turut berkongsi plan atau idea perancangan saya pada masa depan untuk membuat tahqiq atau suntingan bagi buku Mari Sembahyang karangan Ustaz Ahmad Sonhadji.

Mendengar hasrat saya, Naz menggalakkan agar segera mendapatkan izin dari Ustaz, memandangkan beliau sekarang ini sedang uzur dan berehat di rumahnya di Toa Payoh.

Alhamdulillah, pada petang kelmarin semasa cuti hari buruh, saya berkesempatan menziarahi ulama mapan Singapura yang juga ahli tafsir iaitu al-Fadhil Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamed. Beliau juga merupakan salah seorang guru saya semasa saya belajar di Madrasah Aljunied pada tahun 80 an.

Ustaz kelihatan begitu uzur dan perlu dipapah keluar dan dipimpin tangan untuk duduk, tangan Ustaz juga terketar-ketar ketika berbual dengan saya. Namun, saya dapat merasakan getaran semangat yang ada pada Ustaz yang begitu bersemangat sekali ingin berkongsi sejarah penulisan beliau berkaitan pengajaran solat dalam buku-buku tulisan beliau. Ustaz juga turut berkongsi, bahawa rumah beliau sering dilawat dari semasa ke semasa para sarjana, penyelidik dan juga pelajar Universiti bagi menemuduga dan ingin berkongsi pengalaman dengan beliau.

Saya berkongsi dengan Ustaz, berdasarkan kajian saya buku beliau Mari Sembahyang membentuk dan mempengaruhi pengamalan solat masyarakat Islam Singapura. Ini bermaksud segala lafaz dan amalan yang diajar dalam kitab beliau menjadi pengamalan majoriti masyarakat Islam Singapura. Bahkan, saya turut mendapati hasil ilustrasi dalam buku beliau diguna pakai dalam buku-buku panduan solat di Singapura, Malaysia dan juga Indonesia.

Ustaz menerangkan bahawa kebanyakan daripada buku-buku tersebut yang adakalanya menggunakan hampir 100% kandungan buku solat beliau, tidak mendapat izin rasmi atau dengan erti kata lain mencetak rompak hasil karya beliau. Sedih bila terbayangkan ada juga manusia yang tergamak berbuat demikian.

Walaupun sudah berusia hampir 86 tahun, tetapi ingatan Ustaz masih tetap segar, dari semasa ke semasa beliau akan membacakan hadith, ayat Quran dan kadangkala syair dalam bahasa Arab bagi menyampaikan maksud beliau. Sungguh saya kagum dengan kemampuan dan ketajaman fikiran Ustaz dalam usia yang sudah lanjut.

Seperti mana pertemuan saya dengan Dr Ariff dahulu, saya juga tersentuh dengan semangat inovasi dan inventif beliau yang telah mula memikirkan cara terbaik bagi mengajar masyarakat Islam Singapura mengamalkan solat sejak tahun 1965 lagi.

Semoga Allah memanjangkan usia dan memberikan kesihatan pada diri Ustaz Ahmad Sonhadji. Amin Ya Rabbal Alamin.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

One response »

  1. thinkthink says:

    MashaAllah… Semoga Allah memberkati usaha para ulama.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s