Terbaca satu ruangan di BH tentang usaha menyelamatkan Sufiah Yusof oleh Persatuan Melayu UK. Disebutkan mereka berjaya menjejak Sufiah dengan bantuan News of The World. Akhbar tabloid sensasi di England. Sufiah meletakkan syarat bersedia untuk dibantu dengan syarat tidak melibatkan keluarga beliau terutamanya bapa kandungnya.
Usaha mereka bagus tetapi saya ada sedikit prihatin bila terbaca usaha mereka ini dikaitkan dengan unsur rawatan perubatan Islam! Tak pastilah rawatan perubatan Islam ini yang bagaimana. Saya dapat mengagak mungkin jampi-jampi dengan diselangi ayat-ayat suci Quran.
Saya bukan seorang yang tidak mempercayai kaedah perubatan sebegini, tetapi untuk mengaitkannya dengan perubahan moral dan etika atau akhlak seseorang dengan berubat? Wah, saya tidak rasa ini adalah cara yang terbaik.
Kita lihat sahaja dakwah Rasulullah. Bagaimana reaksi Nabi apabila berdepan dengan seorang yang mengkhabarkan pada baginda bahawa beliau ingin masuk Islam tetapi ingin berzina! Adakah Nabi jampi2 beliau atau mendoakan beliau? Tidak. Apakah yang Nabi lakukan walaupun ketika itu sahabat2 lain sudah mula berang?
Baginda memulakan dialog atau beberapa soalan2 yang menguji minda atau kita namalan sebagai experiential question berbentuk close ended question. Baginda bertanya, adakah beliau suka jika ibunya berzina? Merestui jika adik atau ahli keluarga yang lain berzina? Kesemua soalan baginda dijawab dengan jawapan TIDAK!
Saya tak pasti apakah ini cara yang terbaik atau sekadar ingin mendapat publisiti murahan, saya juga tidak terkejut mengapa akhbar The News of The World ingin bekerjasama dengan mereka. Mungkin ingin mendapatkan berita sensasi! Berita bagaimana perubatan Islam dapat mengubah Sufiah dari seorang pelacur kepada seorang mukminah mungkin? Jika tidak berjaya..apa pula yang bakal diketengahkan? Ia juga satu berita sensasi! Kalaulah cara ini berkesan, ramailah pelacur Melayu/Islam di UK yang insaf. Timbul juga satu soalan, pernahkan mereka bantu pelajar Melayu Islam yang terjebak dengan perkara yang sama?
Pada saya yang terbaik ialah dapatkan seorang pakar psikologi atau kaunselor Islam atau gabungan keduanya bagi mendapatkan hasil terbaik. Kita perlu sedarkan Sufiah melalui perkara yang diyakini sekarang adalah satu kesilapan. Ia adalah satu kegembiraan yang sementara bukannya satu huraian jangka panjang. Akhir sekali terpulang kepada beliau untuk membuat pilihan.