Kali ini saya ingin berkongsi cara-cara kita untuk berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa termasuk bagi mereka yang sudah mempunyai keluarga mereka sendiri. Bukan apa, kadangkala kehidupan berkeluarga tanpa disedari menghambat peluang kita untuk berbuat baik pada kedua kedua ibu bapa kita.
Sebenarnya keadaan sebelum bernikah dan selepas bernikah memberi kesan pada kualiti dan kuantiti kita dalam berlaku ihsan.
Jika sebelum bernikah, kita mempunyai peluang untuk berbuat baik pada setiap hari dengan orang tua kita, kerana kita tinggal bersama mereka. Tetapi pada masa yang sama, potensi untuk kita melakukan sesuatu yang menimbulkan kemarahan orang tua juga turut besar.
Begitu juga mereka yang sudah berumahtangga, walaupun peluang berlaku ihsan tidak besar seperti dulu kerana sudah berkeluarga, lebih-lebih lagi yang sudah tidak tinggal bersama, namun pada masa yang sama, kekerapan kita dalam menderhakai ibu bapa juga sudah semakin kecil.
Jadi kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan dari sudut keihsanan kita pada ibu bapa.
Berlaku ihsan pada ibu bapa ini pula meliputi ketaatan kepada perintah kedua ibu bapa kita, menyantuni dan melayan keduanya dengan baik dan menggembirakan hati mereka. Malah menjaga dan memberi nafkah bagi menampung keperluan hidup mereka juga termasuk dalam erti kata berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa.
Saya sendiri pernah berdepan dengan kes-kes adik beradik yang saling tolak menolak dalam menjaga kedua ibu bapa mereka yang sudah tua dan memberi pelbagai alasan, seperti isteri tidak suka, suami tidak memberi izin dan sebagainya. Benarlah kata orang-orang lama, “Ibu dan bapa boleh menjaga 10 orang anak, namun 10 orang anak belum tentu mampu menjaga kedua ibu bapa mereka!”
Ingatlah, kegagalan berbakti kepada ibu bapa dalam senario ini boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga, sebagaimana yang disebutkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: “Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua, namun dia masih gagal memasuki syurga (Yakni kerana gagal berkhidmat kepada mereka).” (Riwayat Imam Muslim)
Di kesempatan ini suka saya berkongsi beberapa perkara untuk kita amalkan atau untuk kita bermuhasabah bersama, serta boleh juga kita manfaatkan sebagai pelan bertindak dalam kita berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa kita. Antara perkara tersebut ialah:
Pertama: Meluangkan masa berkualiti bersama ibu bapa
Seperti mana kita perlu meluangkan masa berkualiti bersama pasangan dan anak-anak kita, kita juga perlu melakukan perkara yang sama bersama dengan kedua ibu bapa kita.
Ziarahilah mereka sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan kedua ibu bapa. Bagi yang sudah berkeluarga pula, jika berjauhan dan berkemampuan, ambil lah kesempatan untuk menziarahi mereka ketika musim cuti persekolahan panjang anak-anak seperti pada bulan Jun atau Disember, dan tidak hanya pada ketika Aidilfitri atau Aidiladha sahaja.
Pastinya, dengan menatap kita dan cucu-cucu mereka, kedua ibu bapa akan merasa gembira, dan kegembiraan mereka itu bererti kita telah berlaku ihsan kepada mereka.
Malah jika boleh, ketika kita menziarahi mereka, ambillah kesempatan untuk berdua sahaja bersama mereka tanpa kelibat anak-anak atau pasangan kita, pastinya itu lebih bererti dan bermakna di sisi mereka, kerana dapat bermesra dengan anak-anak mereka sendiri, dan bagi kita dapat pula bermesra dengan kedua ibu bapa.
Kedua: Menjaga dan memenuhi keperluan harian ibu bapa
Menjadi suatu perkara yang terpuji juga untuk kita sebagai anak dalam memastikan kedua ibu bapa kita dalam keadaan terbaik dan sejahtera.
Ini dapat dilakukan sama ada dengan menjaga kedua ibu bapa kita sendiri, mahupun dengan menyediakan amah atau pembantu rumah bagi menyelia keadaan kedua ibu bapa kita khususnya jika kedua ibu bapa kita sudah uzur, sementara kita dan pasangan pula bekerja. Bahkan menjadi suatu perkara yang terpuji juga kita memastikan kedua ibu bapa kita menjalani pemeriksaan perubatan tahunan bagi memastikan kesihatan ibu bapa kita dalam keadaan yang terbaik, dan jika tidakpun, kita dapat mengetahui langkah-langkah bagi memperbaiki kesihatan mereka.
Perkara-perkara yang disebutkan ini mungkin nampak sedikit membebankan, tetapi jika setiap anak-anak saling bantu membantu dan berkongsi kos mengikut kemampuan masing-masing pastinya ia menjadi ringan. Bak kata pepatah, “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.”
Ketiga: Memberikan wang bulanan kepada kedua ibu bapa
Pada kolumn saya sebelum ini, saya pernah berkongsi bahawa bagi praktis perancangan kewangan yang terbaik, kita sekurang-kurangnya perlu memperuntukkan kadar 20% bagi simpanan dari gaji bulanan kita.
Akan tetapi, saya suka menambah untuk lebih keberkatan dalam kehidupan, kita perlu peruntukkan pula sekurang-kurangnya 10% untuk saguhati bulanan buat kedua ibu bapa kita selama mereka masih hidup. Malah, bagi yang kurang tanggungan seperti mereka yang masing bujang atau belum mempunyai cahaya mata, kadar 10% tersebut boleh ditambah lagi.
InsyaAllah, apabila ibu bapa gembira, maknanya kita telah berlaku ihsan pada diri mereka. Mereka doakan kita, rezeki kita semakin bertambah dan tidak berkurangan. Dan yang paling penting kita beroleh keberkatan darinya.
Dengan itu, kita perlu bermuhabah dan melakukan refleksi diri. Andai kata kita mempunyai pendapatan yang stabil serta mampu pula mempunyai kenderaan sebagai contoh, tetapi gagal untuk memberikan sedikit wang saku bulanan untuk kedua ibu bapa kita. Saya kira kita telah gagal dalam menyusun prioriti dalam kehidupan kita, dan sewajarnya kita perlu merenung kembali keutamaan dalam menyusun perbelanjaan kewangan kita.
Keempat: Memberikan hadiah buat kedua ibu bapa
Menjadi amalan sesetengah pihak yang memberikan hadiah kepada kedua ibu bapa mereka sempena hari kelahiran atau hari ibu atau hari bapa. Tiadalah salahnya amalan ini, kerana setiap yang kita lakukan bagi menggembirakan kedua ibu bapa merupakan satu amalan yang terpuji dan seharusnya digalakkan.
Cuma bagi saya, ia sepatutnya diluaskan juga pada hari-hari lain dan tidak semestinya kita perlu menunggu hari-hari yang istimewa baru kita ingin menghadiahkan sesuatu untuk kedua ibu bapa kita.
Sebagai contoh, jika kita dapati cermin mata ibu atau ayah kita sudah lusuh dan perlu digantikan dengan yang baru, mengapa tidak kita membelikan kacamata yang baru dan mengambil kesempatan tersebut untuk turut sama menemani kedua ibu bapa kita dan menghabiskan masa berkualiti bersama mereka.
Tidakkah itu pasti sangat menggembirakan mereka?
Kelima: Mendoakan kedua ibu bapa
Sebagai perkongsian terakhir, ingatan buat diri saya dan juga para pembaca untuk sama-sama kita sentiasa mendoakan kedua ibu bapa kita sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggalkan kita. Ingatlah bagi mereka yang tidak mempunyai ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali, walau jasad mereka sudah lama bersemadi, namun doa kita akan tetap dihargai oleh kedua ibu bapa kita itu, kerana ia mampu menjadi bekalan selama-lamanya buat mereka di sana.
Renung-renungkanlah sabda Rasulullah s.a.w.:
“Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.” [Bukhari]
Sebagai tambahan bagi menambahkan ganjaran kedua ibu bapa, selain dari doa, segala suruhan baik yang kita amalkan hasil dari didikan kedua ibu bapa juga berperanan menambahkan ganjaran ‘ilmu yang dimanfaatkan’ seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w.:
“Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka baginya pahala seperti pahala orang yang melakukannya.” (Muslim)
Maka perbanyakkanlah doa dan amal kebajikan, sebagai bukti cinta dan kasih sayang kita terhadap kedua ibu bapa kita yang masih hidup mahupun yang sudah tiada lagi bersama kita.
Semoga keihsanan kita pada mereka, menjadikan hidup kita lebih diberkati di dunia mahupun di akhirat.
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 31, terbitan Telaga Biru, Malaysia.
Saya nak tnya…
Ada 5 beradik.. 2L 3P…semua sudah berkahwin.
jika diikutkan.. adakah seorang perempuan wajib bertanggungjawab sekali dlm urusan ibubapa sedangkan anak lelaki masih ada? Kerana si perempuan tidak bekerja dn tidak mampu untuk membantu ibubapa.
Adakah adil jika segala urusan ibubapa dibahagai sama rata maksudnya segala perbelanjaan ibu bapa dibahagi 5.. sedangkan bila sampai ke hak tuntutan harta.. si lelaki tetap mendapat hak lebih dr perempuan tidak pula dibahagi 5? Adakah adil si abg berbuat begitu pada adik2 perempuan nya? Kerana bila sampai hak faraid dikira pula bahagian masing2 tp bila perbelanjaan bulanan dibahagi 5…bukankah sepatutmya si lelaki kene lebih tanggungjawab dr si perempuan yg mengikut kata suami?.
Tidak semestinya samaa rata, ia bergantung kepada kemampuan masing2 dan dalam kes anak perempuan yg sudh beristeri ia bergantung kepada keizinan suami.
Jika tidak bekerja atau tidak punyai pendapatan bolehlah sumbangkan mana yang termampu atau berlaku ihsan dr sudut penjagaan ibu bapa.
Poin saya ialah adik beradik perlu bersama2 dan tidak mengira. Jika semua mengira siapa susah? Ibu bapa kita. Jika tiada yg membantu, kitalah yg perlu membantu. Walaupun kita yg paling kurang berkemampuan atau adik bongsu atau anak perempuan.
Di hari akhirat jualah Allah menilai mana satu anak yg soleh dan ihsan pd ibu bapa, mana pula yg derhaka dan tidak membalas jasa keduanya.
Salam Ustaz
Saya nak tanya tetapi tak jumpa email. Jadi sy tuliskan di ruangan komen.
Saya masih mempunyai ibu dan bapa, dan juga 4 orang kakak. Saya bongsu dan satu-satunya anak lelaki. Jadi saya memang tahu tanggungjawab menjaga ibu bapa memang tanggungjawab saya. Jadi Soalan saya begini.
== Saya tinggal bersama kedua ibu bapa di Kuantan, dan isteri dan juga anak. Isteri kurang rasa selesa semenjak saya berpindah tinggal bersama keluarga kerana perangai ibu saya yang suka ‘cakap lepas. Saya faham ibu saya, namun agak sukar untuk isteri saya untuk memahaminya. Saya dan isteri masih bekerja, dan pendapatan biasa. Saya berkeinginan untuk bekerja di Singapura (mempunyai pengalaman kerja di SG selama 4 tahun sebelum ini) kerana dengan pendapatan yang agak lebih, saya mampu untuk menyediakan tempat tinggal dan kehidupan yang lebih selesa untuk isteri dan anak,dan jugak mampu melunaskan hutang-hutang yang ada. Namun sy mendapat tentangan daripada ibu dan ibu sering menggunakan alasan bahawa tugas menjaga ibu adalah tugas anak lelaki. Dalam keadaan sekarang, kakak saya yang tinggal berdekatan juga boleh menjaganya dan menjenguknya di rumah, dan ibu bapa saya walaupun kurang sihat sedikit, namun masih boleh melakukan kerja seharian walaupun sudah tua.
Oleh itu saya agak keliru dan berbelah bagi, samaada untuk mencari rezeki di SIngapura bagi meningkatkan taraf hidup keluarga, ataupun tinggal bersama ibu bapa dan berpendapatan seperti sedia kala.
Saya mohon jasa baik dan pencerahan dari Ustaz.
Terima Kasih
Muhammad