Hijapedia-Its-Your-Community-63

Dalam kehidupan rumahtangga, perselisihan faham kadangkala tidak dapat dielakkan dan seringkali juga ia akhirnya berakhir dengan perceraian.

Bercakap tentang isu perselisihan atau konflik suami isteri ini, suka saya berkongsi kali ini tentang satu isu permasalahan rumahtangga yang pernah dirujukkan kepada saya. Alkisah, yang datang berjumpa dengan saya merupakan seorang suami yang mengadu bahawa isterinya kini sudah tidak lagi kisah pada rumah tangga, tidak lagi hirau untuk memasak buat keluarga atau menjaga makan pakai anak-anak lagi, dan paling meresahkannya ialah isteri beliau ini ingin minta diceraikan.

Sebenarnya bagi suami isteri yang berdepan dengan isu-isu seperti ini, pasangan yang terlibat sebenarnya perlu mendapatkan bantuan secepat mungkin dan tidak membiarkan ia menjadi terlalu parah. Bagi saya, bukan sahaja isterinya sahaja, malah kedua suami isteri ini perlukan bantuan.

Sebaiknya isu seperti ini dapat dirujukkan ke pusat kaunseling setempat atau mana-mana pakar terapi keluarga terdekat yang mampu memberikan khidmat bantuan untuk mereka.

Namun pada masa yang sama, jika terdapat para pembaca yang mempunyai isu dan permasalahan yang sama, mungkin boleh diikhtiarkan beberapa usaha terlebih dahulu bagi membaik pulih hubungan antara kita dan isteri atau suami. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah:

Pertama: Menilai semula peranan dan tanggungjawab sebagai seorang suami/isteri

Tanpa menafikan kesilapan yang dilakukan isteri atau suami, kadangkala perlu difikirkan juga apakah sebab-sebab yang membawa kepada perkara sedemikian.

Ingatlah bahawa setiap dari kita mempunyai tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Renungkanlah apa yang pernah disabdakan oleh Baginda s.a.w. yang bermaksud:

“Setiap dari kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya”. Hadis riwayat Imam Bukhari.

Seorang suami dan isteri yang bertanggungjawab, seharusnya bertanya pada dirinya sendiri. Apakah punca bagi segala permasalahan ini tiba-tiba berlaku dalam rumahtangga kita.

Ada baiknya kita bermuhasabah, andai kata terdapat kekurangan dalam mahligai rumahtangga yang didirikan, sama ada kelemahan kepimpinan dari sudut agama, komunikasi antara suami isteri, mahupun segala tanggungjawab lain seperti pengabaian dalam menunaikan nafkah, perbelanjaan harian rumahtangga, mahupun dari sudut pekerti kita dalam bermuamalah bersama suami atau isteri, layanan dan masa yang dicurahkan untuk keluarga dan anak-anak sehinggalah kepada isu-isu yang sensitif seperti hubungan seksual antara suami isteri, adakah ia pada tahap yang sihat atau hanya berlaku sekali-sekala sehingga membawa kepada permasalahan yang lain pula?

Andai kata, terdapat kekurangan dalam hal-hal yang disebutkan tadi atau dalam perkara lain, cubalah diperbaiki dahulu kekurangan ini sebelum diikhtiarkan kepada usaha–usaha atau perkara-perkara yang lain pula.

Kedua: Mendengar segala keluhan isteri atau suami terlebih dahulu

Ada baiknya juga langkah seterusnya yang boleh kita lakukan ialah mendengarkan segala keluhan suami atau isteri. Berikanlah ruang bagi pasangan kita peluang untuk melepaskan rasa hatinya.

Untuk melakukan perkara ini, pastikan masanya adalah bersesuaian, iaitu ketika pasangan suami isteri dalam keadaan yang tenang. Ini bermakna tidak ketika pasangan baru pulang bekerja (jika isteri bekerja), atau ketika beliau masih dalam keletihan. Sebaiknya juga elakkan seberapa mampu daripada langsung memarahi atau melakukan sindiran kepada pasangan ketika berkomunikasi bagi membincangkan hal ini.

Mungkin terdapat isu-isu lain yang tidak pernah kita jangka, mampu diluahkan dari perbualan hati ke hati ini. Dengan kita memberi peluang untuk pasangan meluahkan segala perasaannya, sekurang-kurangnya kita dapat maklum apakah perkara yang selama ini terbuku di hatinya, mungkin dari sini dapat kita memperbaiki segala kekurangan dan kesilapan diri yang ada.

Pada sesi ini juga, merupakan satu peluang untuk kita saling menegur segala kesilapan antara satu sama lain. Sebagai satu ingatan, mengimbas semula kesilapan masing-masing bukanlah untuk mengungkit atau mencari kesilapan pasangan. Akan tetapi, ia sebagai satu ingatan bersama bahawa untuk maju ke hadapan dan memperbaiki rumahtangga, setiap pasangan perlu saling mengingatkan antara satu sama lain agar segala kesilapan yang lalu dapat dielakkan dan tidak berulang.

Ketiga – Berbincang dengan pasangan dan mendapatkan bantuan dari pihak ketiga

Selepas kedua-dua suami dan isteri sudah saling meluahkan perasaan dan harapan masing-masing, bolehlah pula difikirkan langkah selanjutnya, sama ada kedua suami isteri sendiri memikirkan jalan keluar dan huraian bagi menyelesaikan segala isu rumahtangga yang ada, atau kita boleh mendapatkan orang ketiga bagi membantu membaik pulih rumahtangga yang sedang berkocak ini.

Jika kita memilih mendapatkan bantuan orang ketiga, ia boleh dilakukan sama ada dengan mendapatkan bantuan dari saudara atau kenalan yang dipercayai oleh kedua-dua suami isteri ataupun dari seorang kaunselor yang berkelayakan dari pusat kaunseling terdekat.

Ini penting agar pasangan yang mempunyai krisis rumahtangga dapat mencari jalan keluar bagi menyelesaikan segala isu dan permasalahan yang ada, baik dari kesilapan sendiri hinggalah kepada isu-isu lain yang berkenaan.

Keempat: Memperbaiki hubungan kerohanian dengan Allah

Perkara terakhir yang tidak kurang pentingnya juga ialah untuk kita memperbaiki tahap hubungan kerohanian kita dengan Allah s.w.t. Walaupun kesan hubungan ini terhadap rumahtangga kita ini tidak berlaku secara langsung, namun ia sebenarnya sedikit sebanyak mempunyai kesan yang tidak kurang hebat juga terhadap perjalanan rumahtangga kita. Ini kerana betapa kukuh atau longgarnya hubungan kita dengan Allah memberi kesan dari sudut keberkatan dan rahmat dari Allah, dan seterusnya memberi kesan dari sudut bantuan dan petunjuk dari Allah dalam mengukuhkan mahligai yang dibina.

Kita perlu menilai gaya hidup kita selama ini, sejauh mana hubungan kita dengan Allah? Bersolatkah kita? Adakah kita seorang yang menjaga solat kita? Jika Ya, berapa kerapkah kita bersolat bersama isteri dan anak-anak kita?

Jika kita tidak menjaga hubungan kita dengan Allah dan sentiasa mengingati Allah yang Maha Esa, bagaimana pula kita ingin harapkan agar Allah menjaga dan membantu diri kita?

Ingatlah pesanan Baginda s.a.w.: “Jagalah Allah, maka pasti Allah menjagamu, jagalah Allah pasti kamu akan menjumpai-Nya di hadapanmu. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah dan jika kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan kepada Allah.” Hadis riwayat Imam Tirmidzi.

Maka cubalah perbaiki hubungan kita dengan Allah dengan bukan sahaja bersolat, tetapi bersolat pada awal waktu. Cubalah sedaya upaya untuk bersolat berjemaah dengan keluarga. Insha Allah, sedikit sebanyak kita akan lihat kesannya dalam keharmonian keluarga kita dan pertolongan dari Allah akan tiba jua.

Kelima: Berserah pada Allah

Setelah segalanya telah diusaha dan diikhtiarkan, maka pintalah dan berdoalah pada Allah agar dibuka ruang di hati isteri atau suami untuk bersama kembali. Berserah dan bertawakkal lah pada Allah, kerana mungkin sahaja usaha kita tidak berhasil, kerana isteri atau suami sudah putus harap kerana kesilapan kita yang terdahulu.

Kadangkala perpisahan walaupun pahit dan dibenci Allah, ia sebenarnya merupakan satu jalan keluar dan huraian kita yang terakhir, jika segala usaha sebelum ini menghadapi kegagalan. Ia juga satu peluang bagi kedua suami dan isteri memulakan hidup baru, dan jika keduanya menjadikan kegagalan lalu sebagai pembuka mata dan pengajaran untuk perbaiki kesilapan, tidak mustahil perkahwinan mereka yang kedua kalinya ini akan lebih berjaya dan harmoni.

Semoga panduan yang dikongsi kali ini bermanfaat dan dapat dipraktiskan terutamanya ketika berlaku konflik pada peringkat awal dalam rumahtangga, agar ia segera dapat diperbaiki semasa keadaan masih tenang dan belum sampai ke peringkat yang lebih parah.

Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 29, terbitan Telaga Biru, Malaysia.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s