Image

(Sambungan)

Langkah Mengawal Naluri Terhadap Teman Sejenis

Namun bagaimamanakah cara untuk kita terus mengawal perasaan dan nafsu yang terbuku dan bergejolak dalam hati ini?

Sebenarnya apa yang ingin dikongsi di sini sebenarnya juga boleh turut diaplikasikan sebahagiannya dalam mengawal hubungan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Langkah-langkah dan saranan di bawah ini ada antaranya pernah penulis kongsi bersama dengan pengamal homoseksual dalam sesi kaunseling yang pernah dikendalikan sebelum ini, dan ada antaranya sedikit sebanyak telah dapat memberi kesan pada diri mereka.

Perkara yang bakal disebutkan di bawah ini juga boleh dikongsikan dalam usaha kita membantu teman terdekat atau saudara kita yang ingin benar-benar berubah, atau apabila kita diminta oleh mereka untuk membantu golongan sebegini.

Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi mengatasi perkara ini sebagai satu ikhtiar:

1. Ubah Minda atau ‘mindset’

Langkah utama untuk keluar daripada lingkaran ini ialah dengan menukar mindset kita dari ‘tiada pilihan lain’ kepada ‘aku ada pilihan’ atau ‘aku boleh berubah’.

Jika tidak ditukar mindset ini, maka sukar untuk sesiapa pun membantu kita dalam hal ini.

Kita juga perlu menukar salah tanggapan bahawa ia adalah naluri semulajadi dan tidak dapat dielakkan sama sekali. Jika kita anggap ia sebagai naluri semulajadi sekalipun, kita tetap perlu melawan hawa nafsu kita.

Keadaan yang sama juga berlaku terhadap hubungan sesama lelaki dan perempuan, mujahadah atau peperangan melawan hawa nafsu tetap diperlukan.

Malah, andai kata diberi alasan bahawa senarionya tetap tidak sama kerana lelaki dan perempuan boleh berkahwin. Ia juga bukan satu alasan yang konkrit, kerana selepas perkahwinan kita tetap perlu melawan nafsu syahwat apabila berdepan dengan lelaki atau wanita yang bukan mahram.

2. Mengamalkan Ibadah Puasa

Antara ibadah yang baik dilakukan bagi mengawal nafsu syahwat ialah dengan berpuasa. Inilah anjuran Baginda kepada pemuda yang ingin bernikah tetapi belum mampu.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Wahai sekalian pemuda, sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana perkahwinan akan memelihara pandangan dan kemaluan kamu. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah ia kerana dengan berpuasa dapat memelihara daripada kejahatan. (Hadis riwayat Imam Nasaa’i dan Abu Daud).

Puasa merupakan satu langkah pencegahan yang efektif bagi mengekang hawa nafsu. Sebab berlapar dan mengosongkan perut itu meninggalkan kesan yang baik untuk menerangi hati nurani serta menimbulkan semangat pada anggota badan untuk beribadah selain dari mendidik jiwa dan mengurangkan nafsu syahwat.

3. Mengambil Pengajaran dari Kisah Kejayaan (Success story)

Terdapat banyak kisah-kisah kejayaan atau success story yang benar-benar berlaku pada mereka yang dahulunya seorang yang homoseksual tetapi berjaya berubah, berkahwin dan seterusnya memperolehi zuriat sendiri.

Pastinya ia tidak mudah, ia memerlukan kepada pengorbanan dan semangat untuk terus berubah dan percaya diri.

Namun yang paling penting, kita perlu bertanya pada diri kita, jika mereka mampu lakukan dan berubah, mengapa tidak kita?

4. Menerima Bantuan Pakar atau Kumpulan Sokongan (support group)

Memandang isu yang dihadapi adalah serius, maka mendapatkan bantuan pakar psikologi merupakan satu pilihan bagi mengatasi isu yang dihadapi. Sebaiknya dapatkanlah bantuan dari pakar psikologi atau kaunselor yang mampu memberikan panduan dan perspektif dari sudut pandangan agama Islam.

Selain dari itu, bantuan dan sokongan moral daripada keluarga dan teman rapat yang dipercayai serta mengamalkan gaya hidup sihat juga amat diperlukan.

Teman rapat yang boleh membantu mengingatkan kita untuk melawan tuntutan jiwa dan bisikan syaitan juga mampu membantu kita mengekang naluri yang tidak sihat, selain sebagai teman yang dapat membantu mengingatkan kita kepada Allah.

Penting untuk mereka yang dihampiri golongan ini atau sesiapa sahaja yang berdepan dengan golongan homoseksual ini agar tidak menghindari atau menyingkirkan mereka, tetapi tetap memberikan sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi.

Ini amat penting agar agar mereka mudah keluar daripada lingkaran buruk yang dihadapi sekarang.

5. Langkah Pencegahan (Intervention)

Bagi mengelakkan terjerumus daripada perbuatan yang dikeji ini, sebaiknya perlu dilakukan langkah-langkah pencegahan dan tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang membawa risiko bagi kita mengulangi perbuatan yang terlarang.

Antara perkara yang boleh dilakukan ialah:

– Pastikan tidak berdua-duaan dengan teman yang anda cenderung untuk melakukan perbuatan yang dilarang. Seperti tempat-tempat gelap, rumah yang tiada penghuninya atau di hotel.

– Pastikan sentiasa berteman (teman yang dipercayai dan ‘straight’) bila bersama dengan teman-teman yang berisiko.

–  Tidak berkongsi identiti kita sebagai pengamal atau bekas pengamal homoseksual dengan orang yang tidak dikenali, takut dikhuatiri ia akan mendedahkan kita pula kepada perkara yang tidak diingini, andai kata teman tersebut merupakan pelaku homoseksual yang aktif.

– Tidak melayan perasaan untuk berkenal-kenalan dengan teman sejenis yang diminati, ini kerana dari kenal mengenal akan membawa kepada hubungan melalui mesej peribadi, perbualan di telefon, pertemuan, sentuhan dan akhirnya tidak mustahil ia akan berakhir dengan hubungan seksual.

6. Doa & Solat

Sentiasa mengamalkan zikrullah sama ada dengan bertasbih, bertahmid atau dengan memperbanyakkan bacaan Al-Quran dan menyelami maksudnya.

Selepas apa yang kita lakukan dan usahakan, janganlah lupa untuk terus berdoa kepada Allah. Pintalah pada Allah agar diri kita dipermudahkan dari segala urusan dan beroleh kesejahteraan dan keselamatan.

Dekatkan perhubungan kita kepada Allah dengan melakukan solat Fardu lima waktu selain ibadah-ibadah lain agar diri menjadi tenang serta mendapat pertolongan Allah.

Pohonlah pada Allah dengan doa pada setiap penghujung solat kita seperti yang dianjurkan Nabi s.a.w.:

“Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah pertolongan bagi diriku untuk berzikir mengingati-Mu, memanjat syukur pada nikmat-Mu dan memperbaiki ibadahku kepada-Mu”. [Hadis riwayat Imam abu Daud]

7. Sentiasa Bersikap Positif dan Tidak Berputus Asa

Tidak berputus asa, dan terus berusaha merubah dan melawan bisikan hati dan syaitan. Jika ia masih berulang, cubalah untuk bertahan dan mengamalkan apa yang telah disebutkan sebelum ini.

Gagal sekali, bukan bermakna seterusnya juga gagal. Percaya bahawa usaha yang dilakukan memerlukan masa untuk pulih dan berjaya. Kejayaan tidak datang sekelip mata.

Berdoa dan terus berdoa, mudahan Allah memberikan kita jalan keluar dan petunjuk dalam berusaha menjadi seorang yang lebih baik dari sebelumnya.

Dan akhir sekali, ingatlah bahawa Allah itu Maha Pengampun, Pengasih lagi Maha Penyayang.

Nota: Artikel ini ditulis sebagai pandangan saya dalam isu ini dan telah dikirimkan kepada pihak Berita Harian pada 20 Februari 2014 yang lalu untuk disiarkan di BH. Sebagai rekod, sehingga kini pihak BH belum lagi terbitkan. Kita doakan ia akan diterbitkan kelak agar masyarakat Islam khususnya dapat mengambil faedah darinya.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite!

One response »

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s