Di tengah-tengah kemelut dan tengkarah berkaitan dengan isu LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual & Transgender) yang bermula dengan isu ‘Soalan Yang Biasa Ditanyakan’ atau FAQ oleh Lembaga Penggalak Kesihatan’ (HPB), ianya terus berlanjutan dengan respon oleh beberapa pihak tertentu baik yang menyokong mahupun sebaliknya.
Sama ada kita suka atau tidak, inilah antara isu-isu yang melanda negara kita yang tidak boleh kita lari daripadanya. Trend ini tidak terkecuali turut melanda segolongan masyarakat Islam Singapura yang juga turut terkesan dengan trend ini termasuk kecenderungan pada hubungan sejenis.
Malah dewasa ini, terdapat rasa simpati yang mendalam dari sebahagian pihak terhadap golongan ini sehinggakan ke tahap merelakan dan merestui amalan golongan ini atas alasan ianya sebagai sebahagian dari naluri semulajadi.
Naluri vs Tabii (Nature vs Nurture)
Walaupun tidak kurang teori yang menyatakan bahawa kesan LGBT ini adalah berpunca dari pengalaman peribadi mangsa akibat serangan seksual atau pencabulan kehormatan dari kaum sejenis, namun tidak kurang juga kajian-kajian yang menyatakan ianya berpunca secara tabii atau semula jadi.
Bukanlah tujuan penulis di sini untuk membuktikan mana-mana teori ini adalah tepat ataupun tidak, kerana itu merupakan perbincangan yang memerlukan perbahasan yang tersendiri dan perlu dilakukan secara ilmiah. Apa yang penting dan yang perlu difahami ialah pelaku homoseksual dilarang dengan keras dalam agama Islam sama seperti Allah melarang perbuatan zina di antara lelaki dan wanita.
Larangan Allah ini secocok dengan tujuan dan objektif di sebalik syariat Islam (maqasid syariah), bahawa institusi kekeluargaan merupakan satu elemen penting bagi manusia. Bagi memastikan tujuan tersebut dapat direalisasikan, Islam mensyariatkan perkahwinan di antara lelaki dan wanita bagi menghalalkan hubungan antara keduanya. Melalui pernikahan yang sah pula, terbentuklah keluarga dan penghasilan zuriat yang melahirkan generasi baru dan seterusnya memelihara kewujudan manusia.
Intervensi Ibu Bapa Dalam Mengekang Penularan Budaya LGBT
Selain dari menitik beratkan penekanan aqidah dan perintah amali agama seperti solat, puasa dan sebagainya pada diri anak-anak. Ibu bapa juga perlu menyemai tentang kepentingan menjaga akhlak dan mempunyai budi pekerti yang baik selain sentiasa mengingatkan diri anak tentang bahaya pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, dan kini bahaya bagi hubungan antara sejenis.
Malah, anak-anak perlu disedarkan tentang sistem reproduksi organ untuk lelaki dan perempuan sejak dari usia kecil lagi. Ini penting agar mereka segera maklum jika terdapat pihak-pihak yang mengambil kesempatan terhadap diri mereka, dan ini termasuklah dari kaum sejenis, dan tidak terkecuali dari kalangan mereka yang rapat seperti kenalan di sekolah, jiran mahupun dari kaum kerabat terdekat. Malah pernah tersiar di media tempatan sedikit masa dulu tentang insiden seorang kanak-kanak lelaki pelajar sekolah rendah dicabuli oleh guru mereka sendiri di makmal sains hanya melalui pancingan iPad.
Menurut pengalaman peribadi penulis sebagai kaunselor, beberapa kes yang pernah dikendalikan terhadap pengamal homoseksual atau mereka yang mula cenderung terhadap cinta pada kaum sejenis hampir kesemuanya bermula dari pengalaman buruk diragut kehormatan dari mereka yang rapat dan dipercayai oleh keluarga sendiri.
Sikap Kita Terhadap Golongan LGBT
Adakah kita perlu menerima dan bersetuju dengan tindakan pelaku homoseksual walaupun salah?, atau perlu kita hindari mereka kerana beranggapan bahawa golongan yang melakukan dosa seperti ini perlu diijauhi?
Kedua-duanya merupakan satu tindakan yang ekstrem.
Menerima mereka seadanya sehinggakan kita merestui dengan pelakuannya, dan bersimpati dengan mereka dan tidak melakukan sesuatu untuk membawa mereka kembali kepada agama merupakan satu tindakan yang juga tidak tepat. Mentelah lagi, kita memang digesa dalam agama untuk mencegah sesuatu kemungkaran dengan segala terdaya kita mengikut kemampuan masing-masing. Ini sesuai dengan peringatan Rasulullah dalam sepotong hadis yang bermaksud:
“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya (kuasanya), sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan sekiranya dia tidak mampu (juga), maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah keimanan.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Hadis ini menunjukkan perintah untuk mengajak kepada perkara kebaikan dan mencegah perkara kemungkaran adalah mengikut tahap kemampuan masing-masing, dan selemah-lemah cara adalah melalui dengan hatinya, iaitu dengan melahirkan rasa benci terhadap kemungkaran yang dilakukan, setelah cara mencegah kemungkaran yang lain tidak dapat dilakukan.
Adakah cegah kemungkaran di sini termasuk melahirkan rasa benci pada individu yang melakukan dosa atau maksiat? Adakah ini termasuk bermakna kita perlu menyingkirkan atau menghindari dari bergaul dengan mereka? Bagaimana pula jika mereka merupakan saudara atau anak kita sendiri? Adalah kita perlu memutuskan jalinan silaturrahim hanya kerana mereka seorang pengamal homoseksual? Adakah itu merupakan ajaran Islam? Ajaran Nabi s.a.w.?
Pelajaran dari Sirah Nabawiyah
Untuk membantu kita memahami perkara ini, baik untuk kita merenung perjalanan sirah Nabi s.a.w.
Nabi s.a.w. tidak sesekali menyingkirkan atau menyisihkan sesiapa yang mengingkari seruan yang dibawa oleh Baginda. Malah berkat tidak putus asa Baginda s.a.w., mereka yang dahulunya memusuhi Rasulullah seperti bekas pemimpin Musyrikin Quraisy iaitu Abu Sufyan dan isterinya Hindun yang dahulunya sangat membenci Nabi s.a.w. akhirnya menganut agama Islam.
Begitu juga layanan Nabi terhadap penduduk Taif yang tegar menentang Rasulullah sehinggakan bukan sahaja seruan Nabi tidak didengari mereka, tetapi Baginda juga diludahi, dicerca dan dilontari dengan batu pula sehingga pecah-pecah kaki Nabi s.a.w.
Namun Rasulullah s.a.w. tidak sama sekali murka. Nabi tetap kasih dan cinta pada mereka, sehingga Rasulullah menolak menolak pelawaan malaikat penjaga gunung untuk dihempapkan banjaran gunung-ganang ke atas mereka. Bukan sahaja pelawaan Malaikat tersebut ditolak, tetapi didoakan pula agar Allah memberikan mereka hidayah!
Inilah dia contoh ajaran Islam yang sebenar. Ajaran yang padat dengan nilai kasih sayang dan belas keihsanan. Andai dengan mereka yang bukan Islam iaitu golongan Musyrikin dilayan sebegitu rupa, maka apakah hak kita yang mengaku umat Baginda untuk menyisihkan saudara kita sesama islam, hanya kerana mereka itu pelaku dosa?
Ya, langkah yang sewajarya ialah untuk kita menegur mereka dengan kuasa yang ada pada kita jika kita mampu. Jika tidak, maka dengan cara menasihati mereka. Dan andai kata itu juga tidak dimampui. Maka cara yang terakhir ialah dengan hati kita. Hati yang membenci perbuatan dosa yang dilakukan, tetapi tidak si pelakunya. Andai kata kita membenci si pelakunya, maka pudarlah harapan untuk kita mengembalikan mereka ke pangkal jalan.
Kasih Sayang Allah Tidak Pernah Terbatas
Rahmah Allah itu adalah amat luas. Kasih sayang Allah adalah tidak terbatas termasuklah kepada mereka yang masih bergelumang dengan dosa. Atas dasar itu, sesuai dengan sifat Allah sebagai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, pintu taubat Allah sentiasa terbuka bagi mereka yang ingin kembali pada Allah, walau sebanyak manapun dosa mereka terdahulu.
Namun jangan dilupa, bahawa Allah itu juga Maha Adil dan Maha Pembalas terhadap golongan yang melewati batas. Sesiapa yang masih berterusan melakukan dosa dan noda akan tetap dihukum oleh Allah s.w.t. dan diberikan balasan yang setimpal pada hari akhirat sesuai dengan keburukan yang dilakukan semasa hayatnya.
Rahmat Allah juga turut bersama terhadap golongan di luar sana yang mempunyai naluri rasa ghairah terhadap kaum sejenis, tetapi masih mampu bertahan kerana wujud hubungan yang erat bersama Allah melalui solat dan zikrullah yang berterusan. Marilah kita menganggap ianya sebagai satu ujian yang hebat dari Allah terhadap diri mereka.
Situasi ini sebenarnya hampir serupa dengan sebahagian golongan yang belum berumahtangga atau golongan duda dan janda yang belum berkesempatan bertemu jodoh buat kali kedua. Naluri keghairahan tetap perlu dikawal dan dijaga. Hatta, yang sudah berumahtangga juga turut berkewajipan menjaga hawa nafsunya terhadap mereka yang bukan isteri atau suaminya.
Dalam agama Islam, berniat untuk melakukan perkara keburukan atau maksiat belum dikira sebagai satu dosa sehinggalah seseorang itu melakukan perkara tersebut.
Oleh itu bagi mereka yang menyimpan perasaan terhadap kaum sejenis tetapi tidak melakukan apa-apa kecuali menyimpan hasratnya sahaja belum dikira melakukan sebarang dosa.
Dalam sepotong hadith Qudsi ada disebutkan perkara ini:
“Barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan kemudian tidak jadi melakukannya maka dicatat oleh Allah sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya dan barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan itu kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah Taala sebagai satu keburukan sahaja di sisi-Nya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Nota: Artikel ini ditulis sebagai pandangan saya dalam isu ini dan telah dikirimkan kepada pihak Berita Harian pada 20 Februari 2014 yang lalu untuk disiarkan di BH. Sebagai rekod, sehingga kini pihak BH belum lagi terbitkan. Kita doakan ia akan diterbitkan kelak agar masyarakat Islam khususnya dapat mengambil faedah darinya.