Pengenalan

Rencana ini ditulis bukan sebagai satu generalisasi terhadap keseluruhan asatizah di Singapura secara umum. Perlu ditekankan telah berlaku pelbagai evolusi terutamanya terhadap asatizah generasi masakini, ini termasuklah terdapat lebih ramai asatizah yang telah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi, selain penglibatan lebih giat asatizah pada isu-isu kemasyarakatan berbanding dengan apa yang telah dilakukan oleh asatizah daripada generasi yang terdahulu.

Dalam membantu penulisan ini, penulis telah melakukan kaji selidik ringkas dengan mendapatkan maklumbalas masyarakat Melayu-Islam daripada pelbagai latar belakang berbeza termasuk daripada para asatizah sendiri.

Suka juga dijelaskan, tidak kesemua perkara yang disebutkan dalam rencana ini sesuai untuk diaplikasikan pada setiap asatizah, ianya bergantung kepada tahap mentaliti seseorang asatizah itu sendiri.

Pada masa yang sama, walaupun rencana ini ditujukan khusus untuk para asatizah dari kacamata dan pengamatan sebagai salah seorang dari asatizah, namun ia juga boleh dimanfaatkan oleh masyarakat Islam secara umum juga, termasuk bagi mereka daripada profesi dan kerjaya yang berlainan. Ini kerana penulis yakin isu yang dikemukakan di sini dihadapi juga oleh golongan profesi lain, dan tidak hanya eksklusif  untuk asatizah sahaja.

Hijrah Menuntut Transformasi Minda

Kalendar Masihi masih lagi berbaki beberapa hari sebelum kita  berganjak ke tahun 2014, tetapi pada masa yang sama juga tanpa kita sedari umat Islam sebenarnya telah terlebih dahulu melangkah ke tahun baru Hijrah.

Hijrah daripada konteks bahasa bermaksud perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Secara konsepsualnya adalah suatu usaha mengubah nasib atau keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik. Hijrah seseorang itu jika disertakan dengan usaha, kesungguhan dan penyerahan kepada Allah s.w.t, maka dia akan dijanjikan kejayaan dan ganjaran pahala.

Sebagai umat Islam pula, kita dituntut agar perlu sentiasa bersedia mengorak langkah bagi memperbaiki keadaan diri seiring dengan kemajuan mutakhir, dan pada masa yang sama bersedia dalam menghadapi cabaran semasa yang melanda dunia. Lebih-lebih lagi dalam keadaan negara kita Singapura yang begitu pesat membangun dan sentiasa berubah untuk selari dengan kemajuan dunia global.

Selain dari itu, kita juga dari semasa ke semasa akan berdepan dengan isu-isu yang menjejas negara Singapura secara umum seperti situasi ekonomi yang tidak menentu sebagai contoh, mahupun isu-isu sosial yang melanda masyarakat Melayu-Islam Singapura yang harus kita tangani dan cari huraian jalan keluar bagi mengatasinya.

Isu Sosial Masyarakat Melayu-Islam

Cabaran bagi masyarakat Melayu-Islam kini sudah semakin rencam. Jika dahulu, isu sosial yang sering disebut-sebut ialah isu perceraian dan kes kahwin semula. Isu ini masih tetap lagi wujud di kalangan masyarakat kita.

Antara isu sosial yang paling terkini pula sekarang ialah isu berkhemah di tepian pantai East Coast Park disebabkan kerana ketiadaan tempat tinggal. Malah ada antaranya sudah bertahun berkhemah secara tetap di situ. Melalui laporan terbaru yang disiarkan di akhbar ‘The New Paper’ bertarikh 20 November 2013 bertajuk ‘Beach Kampung’, dianggarkan lebih kurang 50 orang yang hampir keseluruhannya dari masyarakat Melayu-Islam; mendirikan khemah dengan sebab yang berbeza-beza seperti krisis keluarga, perceraian, masalah pembelian flat HDB ataupun kerana disebabkan ketiadaan kerja tetap yang seterusnya menjejaskan kemampuan untuk memohon flat.

Disebutkan juga dalam laporan tersebut, antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini ialah kerana sikap kurang bijak individu dalam membuat keputusan seperti menjual flat sebagai jalan pintas bagi membayar hutang.

Inilah antara antara isu-isu yang melanda masyarakat Islam Singapura yang kita tidak boleh lari daripadanya. Ini tidak termasuk lagi cabaran-cabaran baru yang melanda masyarakat di sini seperti isu LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual & Transgender) yang semakin meningkat tren ini di kalangan warga muda dan tidak terkecuali melibatkan golongan Melayu-Islam.

Malah, terdapat rasa simpati yang mendalam terhadap golongan ini sehinggakan ke tahap merelakan dan meredhai amalan golongan ini dan menganggapnya sebagai naluri semulajadi. Trend ini dapat dilihat dengan bertambahnya sokongan dan kehadiran pada acara tahunan Pink Dot sg yang mencecah angka 21,000, berbanding dengan 15,000 kehadiran pada tahun lepas. Pertambahan angka ini juga tidak dapat ditolak kerana sokongan dari masyarakat Islam sendiri, walaupun mungkin kecil bilangannya berbanding agama lain, tetapi ianya tetap membimbangkan. Malah menurut maklumat penulis dari hasil perbualan dengan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi setempat, angka pengamal LGBT ini semakin meluas dan ini termasuklah dari pihak yang simpati (sympatiser) kepada golongan ini.

Dari kacamata sebagai seorang asatizah, penulis melihat isu-isu sebegini perlu ditangani dengan lebih giat lagi oleh para guru agama dan asatizah setempat. Usaha-usaha yang dilakukan masih lagi minimal berbanding dengan gejala-gejala sosial yang berlaku pada masyarakat Melayu-Islam Singapura. Gesaan agar golongan asatizah  memainkan peranan dengan lebih aktif lagi dapat dilihat dari suara-suara kritikal di dada-dada akhbar khususnya setiap kali pemergian asatizah veteran dan mapan.

Dapatan ini juga dipersetujui melalui kajian rambang yang dilakukan oleh penulis terhadap beberapa individu yang ditemui termasuk termasuk melalui wadah sosial media yang melibatkan golongan asatizah sendiri, pemimpin masyarakat, pekerja sosial, tokoh akademik, wartawan, pelajar dan lain-lain.

Menganjak Perubahan Sikap Dan Mentaliti Asatizah

Oleh itu penting bagi para asatizah melakukan sesuatu agar mereka terus kekal relevan dan dapat bertindak sebagai agen perubah masyarakat yang seterusnya dapat  mengurangkan jurang pemisah di antara masyarakat dengan para asatizah. Berikut dicadangkan beberapa perkara:

1. Keluar Dari Zon Selesa (Comfort Zone)

Walaupun diakui terdapat trend yang semakin meningkat di kalangan asatizah yang melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat sarjana dan juga kedoktoran berbanding dengan asatizah daripada generasi terdahulu. Di mana bidang yang dipelajari pula tidak terhad pada bidang tradisional seperti Syariah dan Usuluddin tetapi juga melewati bidang-bidang yang tiada kaitan dengan agama secara khusus seperti Perhubungan Antarabangsa, Kajian Strategik, Pendidikan, Perbankan Islam, Kaunseling dan sebagainya.

Namun sikap ini perlu dikembangkan kepada asatizah yang lain, tidak kiralah asatizah yang bertugas di organisasi setempat, masjid-masjid mahupun di madrasah separuh masa atau sepenuh masa, di mana kita seharusnya perlu mempunyai sikap untuk keluar dari kepompong zon selesa kepada keinginan untuk memperbaiki diri dan menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Ini dapat dilakukan dengan mempunyai sikap untuk menyambung pengajian ke peringkat yang tertinggi seberapa boleh dan cuba memperbaiki diri dalam kerjaya yang diceburi. Mentelah lagi dengan adanya Skim Pentauliahan Asatizah (ARS), pelbagai kursus dan latihan telah disediakan oleh Muis dan juga Pergas buat para asatizah bagi memenuhi syarat kredit masa 10 jam setahun. Namun, dari pengamatan penulis hanya peratusan kecil sahaja yang memenuhi jumlah minimum kredit masa tersebut. Masih lagi ramai asatizah di luar sana yang tidak memanfaatkan peluang bagi mempertingkatkan diri melalui kursus-kursus atau bengkel yang disediakan secara percuma kepada para asatizah melalui skim ARS ini.

Sikap ‘Nanti dulu, bagi peluang kepada orang lain…’ perlulah dibasmi, setiap asatizah perlu menghidupkan budaya Learn, Unlearn and Relearn dalam diri mereka. Para asatizah perlu sedar dengan cara peningkatan diri dan ilmu sahajalah kita dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat.

Malah dalam usaha kita ingin mengubah masyarakat dan menangani isu-isu sosial, ilmu agama sahaja tidak mencukupi, setiap dari asatizah juga perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi dalam diri mereka seperti kemahiran mendengar dan berinteraksi agar mampu menyelami serta memahami perasaan sasaran yang ingin didekati dan dihampiri.

Maka dengan ini, penulis menyokong usaha terbaru Muis melalui Akademi Muis yang telah membangunkan Skim Pembangunan Pegawai Masjid (MODS), yang merupakan antara inisiatif utama di bawah rangka kerja Konvensyen Masjid 2011. Dilaporkan pada bulan November lalu, seramai 26 Pegawai Keagamaan Masjid (MRO) telah selesai menjalani kursus pengurusan masjid yang dianjurkan buat julung-julung kalinya bagi meningkatkan tahap profesionalisme mereka mengurus masjid, ini termasuklah dalam beberapa perkara berkaitan rang peraturan pengurusan masjid, kemahiran hubungan sesama manusia dan komunikasi, kerja berpasukan serta melakar dan kemahiran pengurusan program.

Semoga diharapkan dengan itu juga, sedikit kajian bagi inisiatif mengenali demografi dan profail masyarakat Islam di sekitaran masjid dapat dilakukan bagi usaha pendampingan dan kerja dakwah yang lebih bersepadu, selain usaha-usaha mendekati belia, keluarga dan masyarakat juga akan menjadi semakin rancak dan mekar kembali dan tidak terhad pada kerja dakwah yang rutin sahaja, sesuai dengan inisiatif yang telah dipersetujui pada Konvensyen Masjid 2005 dalam membentuk masjid yang mesra belia, keluarga dan masyarakat.

2. Mudah Dihampiri (accessible)

Kerap asatizah disalah anggap sebagai profil yang eksklusif dan terlalu disegani sehingga sukar untuk didekati walaupun hakikatnya mungkin tidak sedemikian. Salah tanggap sebegini secara tidak langsung mewujudkan perasaan kurang mesra antara asatizah dan masyarakat dan menghambat hubungan yang sewajarnya terjalin erat antara mereka.

Sebagai asatizah adalah penting bagi memastikan kita mudah dihampiri oleh masyarakat terutamanya bagi mereka yang bertugas di masjid atau aktif dalam mengajar di kelas-kelas agama setempat. Sikap gemar senyum dan menegur sapa para pelajar dan juga jemaah walaupun sesudah pengajian selesai adalah sikap positif yang perlu ada pada diri setiap para da’ie. Ini seterusnya akan melebarkan jurang keselesaan antara para asatizah dan para pelajar. Melalui interaksi sebegini para asatizah secara tidak langsung dapat memberi dakwah secara ‘incident’ dan tanpa disedari melalui contoh akhlak dan sikap terpuji.

Melalui ikatan hubungan yang mesra dengan para jemaah dan juga pelajar, asatizah tersebut dapat dijadikan sumber utama rujukan dan nasihat bagi segala isu dan persoalan yang menjadi kemusykilan masyarakat. Ini tidak akan dapat direalisasikan jika asatizah tidak mengambil sikap peduli dan kesah untuk berinteraksi dan bergaul dengan masyarakat sekeliling.

Sikap ramah dan tidak eksklusif ini dapat mengundang rasa mesra masyarakat terhadap para asatizah. Penulis maklum, terdapat juga di kalangan asatizah generasi baru yang mengambil pendekatan membentuk jaringan mereka sendiri. Antara inisiatif yang pernah penulis amati ialah terdapat asatizah tertentu yang mengumpulkan para peserta dan pelajar yang pernah menyertai kursus atau siri ceramah anjuran mereka. Para peserta dan pelajar ini kemudiannya dijemput untuk turut sama terlibat dalam kerja-kerja amal dan kebajikan untuk membersihkan surau-surau di sekeliling Singapura.

Sikap proaktif sebegini seharusnya dicontohi oleh asatizah lain agar tembok penghalang yang menjadi pemisah, seharusnya tidak wujud sama sekali, malah asatizah sewajarnya lebih mudah didekati dan dihampiri.

3. Memanfaatkan Penggunaan Media Sosial

Dalam era teknologi yang semakin maju, masyarakat Islam mudah mendapatkan nasihat agama di mana-mana. Malah terdapat banyak laman-laman internet yang menawarkan khidmat sebegini di alam maya. Laman-laman ini pula ada antaranya dikendalikan dari mereka yang bukan mahir dalam bidang agama yang kadang kala pula boleh menimbulkan salah faham kepada masyarakat.

Terdapat juga laman-laman yang memang dikendalikan oleh para agamawan yang boleh dipercayai, namun adakalanya pendapat tersebut tidak sesuai untuk dipraktiskan di sini dan perlukan bimbingan asatizah tempatan dalam memandu masyarakat dalam perkara ini.

Menurut pengamatan penulis, terdapat ramai masyarakat Islam yang dahagakan ilmu pengetahuan agama tetapi tidak pasti ke mana harus dituju untuk disalurkan soalan-soalan atau kemusykilan agama yang berada di fikiran. Lebih-lebih lagi bagi golongan yang tidak biasa ke masjid atau mereka yang baru berjinak-jinak dengan agama atau mereka yang lebih selesa berurusan melalui telefon atau emel daripada bersemuka.

Dalam hal ini, para asatizah sewajarnya mengambil faedah daripada ‘media sosial’ yang pelbagai untuk mendekatkan diri pada masyarakat. Medium rangkaian sosial di internet seperti Facebook, Twitter, Youtube selain daripada laman blog amat berguna jika kita bijak menggunakannya sebagai satu wadah untuk berdakwah dan tidak hanya sebagai satu laman bersuka-suka atau bersantai sahaja.

Selain dari itu, medium seperti klip video juga boleh digunakan dan dimanfaatkan dalam menyebarkan mesej dakwah melalui penyebaran video atau ketika mengadakan bengkel dan kuliah. Ianya lebih berkesan kerana audien bukan setakat mendengar tetapi dapat melihat visual dan seterusnya melakukan refleksi terhadap apa yang dilihat.

Pada masa yang sama, penulis juga mengakui trend memanfaatkan media sosial ini juga sudah semakin berkembang di kalangan asatizah generasi muda, terdapat lebih ramai individu, kumpulan dan beberapa masjid yang merakam kandungan ceramah atau sesi tazkirah khas dan dimuat naik di youtube, malah wadah ini juga turut diteroka sama oleh Pejabat Mufti pada Ramadan yang lalu melalui siri tazkirah khas Sahibus Samahah Mufti Negara kita sendiri, Dr Mohd Fatris Bakaram.

Usaha sebegini harus lebih giat diteruskan. Mungkin kita perlu mengambil contoh usaha-usaha para asatizah di seberang tambak yang banyak sekali didapati kompilasi siri ceramah mereka di youtube. Jika alasannya ia dilakukan oleh para jemaah asatizah ini, maka kita perlu memikirkan cara lain bagi usaha tersebut, umpamanya pihak masjid atau organisasi tertentu perlu memperuntukkan sejumlah bajet tertentu bagi pihak ketiga merakamkan dan seterusnya melakukan suntingan dengan cara yang lebih professional sebelum memuat naik ke youtube. Mendapatkan khidmat ‘intern’ atau para sukarelawan/aktivis yang mahir dalam bidang audio-visual juga merupakan satu pilihan dalam perkara ini.

Satu lagi usaha yang perlu lebih giat dilakukan oleh para asatizah ialah menulis. Ceramah para asatizah mungkin hanya tinggal ceramah dan hanya dapat didengari oleh mereka yang hadir ke ceramah kita, kecuali jika para asatizah atau orang lain merakamkannya ke youtube dan disebarkan melalui facebook dan sebagainya.

Pada masa yang sama, mungkin ada baiknya para asatizah juga turut sama berkongsi isi ceramah mereka melalui blog atau paling tidakpun melalui ‘notes’ di facebook. Ini pastinya akan lebih kekal, malah ia dapat lebih disebar luaskan kepada setiap lapisan masyarakat termasuk mereka yang tidak mempunyai kelapangan ke majlis ilmu kerana urusan kerja atau bagi mereka yang lebih selesa menggunakan wadah media sosial.

4. Peka Dengan Isu Semasa

Sebagai asatizah kita seharusnya perlu peka kepada segala apa yang berlaku di sekeliling kita terutamanya dalam isu-isu yang melibatkan negara kita Singapura khususnya masyarakat Islam Singapura. Ini termasuklah mengetahui dasar-dasar atau polisi terbaru pemerintah, selain dari fatwa-fatwa terkini khususnya yang melibatkan perkara yang menyentuh masyarakat secara langsung seperti fatwa bersangkutan ‘joint tenancy’, nominasi insuran mahupun yang bersangkutan dengan nominasi CPF dan sebagainya. Kepekaan dengan fatwa terkini ini, kadangkala mampu memberikan kita huraian dalam membantu menjawab persoalan yang dikemukakan masyarakat.

Para asatizah juga perlu peka dengan isu-isu sosial yang melibatkan masyarakat Islam Singapura dalam isu-isu seperti golongan berpendapatan rendah, isu remaja bermasaalah, seks luar nikah, LGBT dan sebagainya. Dengan berusaha memahami isu yang dihadapi masyarakat, secara tidak langsung para asatizah akan dapat bersikap empati dan berusaha meningkatkan aspirasi masyarakat melalui platform dakwah secara penulisan mahupun ceramah dan sebagainya.

Selain dari itu, menjadi satu kelebihan juga jika asatizah dapat meluaskan pembacaan melalui media cetak atau elektronik bukan sahaja pada isu-isu sosial tetapi juga bidang-bidang lain seperti politik, sukan mahupun hiburan. Ia penting agar para asatizah lebih mudah berinteraksi dalam apa jua hal dan perkara. Ini secara tidak langsung dapat mendekatkan jurang dengan masyarakat dan menjadikan asatizah lebih mudah untuk didekati dan seterusnya dapat memberikan teguran jika perlu dalam perkara-perkara yang diperbincangkan.

Ini dapat dilakukan dengan bersembang akan trend-trend semasa yang melibatkan negara dan masyarakat Islam Singapura dengan para pelajar tidak kira golongan belia atau dewasa, juga dengan para jemaah selepas ceramah, waktu belajar atau kursus mahupun dalam wadah media sosial seperti facebook, twitter dan sebagainya.

5. Bersikap Terbuka

Antara ciri penting bagi seorang asatizah yang berkesan ialah mempunyai sikap terbuka dan berlapang dada dalam menerima teguran dan juga kritikan. Sebagai manusia biasa pastinya asatizah juga mempunyai kesilapan dan kekurangan diri, Ini kerana tidak semua perkara pastinya diketahui oleh asatizah.

Bersikap lapang dada dalam menerima teguran ini termasuklah apabila menerima teguran dan kritikan daripada para jemaah bagi mereka yang bertugas di masjid, ibu-bapa bagi asatizah madrasah dan pengetuanya, pemimpin-pemimpin organisasi  atau mana-mana teguran daripada pihak-pihak tertentu.

Penting bagi kita untuk tidak bersikap terlalu emosi dan defensif, tetapi menganalisa sebarang bentuk teguran yang diperolehi dan mempelajari daripada kesilapan tersebut demi untuk memperbaiki diri sendiri, institusi masjid, organisasi atau juga madrasah. Teguran pahit bak hempedu untuk ditelan inilah kadangkala dapat membawa kita maju ke hadapan.

Daripada berusaha mencari kesilapan pihak lain, kita seharusnya bersikap positif dengan melakukan refleksi diri dan menjadikan ianya sebagai satu cabaran bagi mempertingkatkan diri dan membuktikan kredibiliti. Ini seterusnya dapat mengelakkan sikap sambil lewa atau ‘complacency’ yang boleh menjejaskan mutu kerja dan prestasi seseorang asatizah, baik mereka yang terlibat dalam tugasan pejabat, pendidikan atau pentarbiyahan masyarakat.

Sikap terbuka dan berlapang dada juga seharusnya wujud dalam diri ketika keadaan di mana pendapat serta idea kita tidak diterima. Ini termasuk juga dalam kita berinteraksi di facebook sebagai contoh. Setiap status dan komentar kita pastinya mempunyai reaksi yang pelbagai dari teman-teman maya kita. Para asatizah perlu bersedia menerima teguran atau kritikan dari mereka yang tidak sependapat dengan kita. Sebarang sikap agresif seperti mengherdik atau memperlekehkan pendapat orang lain dan menganggap kita tahu segalanya, pastinya mempunyai kesan sampingan terhadap tanggapan masyarakat pada kita, yang dianggap sebagai contoh pada yang lain.

6. Bersatu Dalam Menggerakkan Agenda

Dalam memastikan dakwah yang dilakukan memberikan impak yang besar kepada masyarakat Islam, maka para asatizah perlu bersatu dalam apa jua kerja dakwah yang dilakukan dan ianya perlulah menjurus ke arah menggerakkan agenda untuk membentuk masyarakat Islam Singapura yang berjaya di dunia mahupun akhirat.

Ini dapat dilakukan dengan mengikut agenda dakwah yang dapat membentuk masyarakat Islam ke hadapan menjadi masyarakat yang progresif serta inklusif, berpegang teguh pada prinsip Islam di samping dapat menyesuaikan diri dengan konteks semasa yang berubah-ubah dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Bagi memastikan perkara ini berlaku, para asatizah selaku pendakwah hendaklah berpaling daripada membincangkan perkara khilafiyah dalam isu-isu lapok seperti masalah membaca tahlil, amalan membaca Yasin ketika malam Jumaat atau Nisfu Sya’ban mahupun amalan membaca doa Awal Muharram dan sambutan Maulidur Rasul. Begitu juga dalam perkara-perkara yang jarang diamalkan masyarakat seperti amalan bertawassul dan sebagainya, tidak kiralah ianya dilakukan melalui penulisan mahupun ceramah, sama ada bagi para asatizah yang tidak bersetuju dalam perkara ini mahupun kepada asatizah yang cenderung dalam mempertahankan amalan ini.

Para asatizah juga perlu berhati-hati dalam membincangkan perkara ini, ataupun dalam melontarkan dakwaan kepada pihak yang tidak sealiran dengan kita sebagai sesat atau terkeluar dari agama Islam. Ia merupakan satu tuduhan yang amat berat, bukan itu sahaja ia juga boleh mempengaruhi sentimen masyarakat dan pada masa yang sama boleh memecah belahkan masyarakat. Ingatlah apa yang dilakukan oleh para asatizah diperhatikan oleh masyarakat, dan mungkin dianggap sebagai satu tindakan betul dan tepat serta perlu dicontohi.

Sebagai langkah ke hadapan, mengapa tidak diambil titik persamaan antara kita? Agama kita yang satu. Tuhan kita yang satu dan Nabi kita yang satu? Tidakkah kesemua dari kita adalah bersaudara?

Mengapa tidak juga kita sebagai pendakwah melakukan sesuatu yang mampu menjadi agen perubah kepada masyarakat. Sesuatu yang setiap dari kita setuju padanya dan tidak khilaf. Mengapa tidak kita memperjuangkan sesuatu ke arah memperkukuhkan pengetahuan agama masyarakat Islam kita. Tidak kurang penting juga, kita perlu mempunyai kesedaran terhadap isu-isu semasa selain daripada cuba memahami isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Islam setempat seperti memperkukuhkan institusi keluarga masyarakat Islam, membantu memberikan huraian dalam menangani cabaran-cabaran semasa dalam segala ruang dan wadah yang ada dalam berdakwah. Ini pastinya mampu memperkasakan masyarakat Islam dan seterusnya memberikan daya tahan dalam menangani cabaran semasa.

7. Memaparkan Etika dan Akhlak Terpuji 

Perkara terakhir ini sebenarnya merupakan satu ingatan buat penulis juga dan tidak ditujukan secara spesifik untuk mana-mana asatizah, tetapi lebih sebagai peringatan kita bersama.

Tidak kurang pentingnya bagi asatizah ialah untuk menonjolkan akhlak terpuji dan menjaga etika kelakuan kita pada sepanjang masa, ini tidak kiralah sama ada semasa berdamping dengan masyarakat ataupun tidak, mahupun ketika berinteraksi di laman media sosial. Ingatlah, tanpa kita sedari atau tidak, penampilan kita sebenarnya membawa bersama nama baik institusi asatizah dan guru-guru agama Singapura. Setiap kelakukan kita menjadi perhatian masyarakat. Sesuatu yang mungkin harus atau makruh dilakukan oleh masyarakat, tetapi mungkin berubah seumpama perkara yang haram jika ianya dilakukan oleh mana-mana asatizah, apatah lagi jika apa yang dilakukan merupakan perkara yang dilarang agama.

Kesimpulan

Sebagaimana yang disebutkan pada permulaan rencana ini, walaupun terdapat banyak kemajuan yang telah dicapai oleh asatizah pada masa kini dalam membaik pulih dan mengubati penyakit sosial masyarakat, itu tidak bermakna ianya tidak boleh diperbaiki lagi. Dengan itu untuk memastikan asatizah tetap relevan pada masa kini dan akan datang, seharusnya perlu dilakukan beberapa perubahan untuk memastikan kemajuan asatizah tidak statik dan berada di takuk lama.

Namun suka diingatkan bahawasanya tanggungjawab berdakwah kepada  masyarakat Islam Singapura bukanlah terletak di pundak asatizah sahaja. Ianya perlu dimainkan oleh setiap pihak yang terbabit. Para pemimpin masyarakat, ibu bapa, usahawan, pekerja sosial, guru-guru, jurutera, wartawan, golongan profesional seperti peguam dan juga doktor dan lain-lain juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengislahkan keluarga sendiri dan juga masyarakat Islam setempat.

Sewajarnya juga usaha mengislahkan masyarakat ini diterajui dan dipimpin oleh para asatizah selaku barisan hadapan bagi penerusan perjuangan para anbiya dan ulama terdahulu. Tiada yang lebih baik selain dari melihat contoh keperibadian Rasulullah s.a.w selaku seorang Rasul dan pemimpin negara yang dihormati, namun itu tidak menghalangnya daripada mudah untuk didekati oleh masyarakat dari setiap lapisan tidak kira lelaki atau wanita, miskin ataupun kaya, golongan biasa mahupun bangsawan, rakan taulan mahupun musuh.

Benarlah firman Allah yang bermaksud:

“Maka disebabkan rahmat dari Allah kamu (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap kasar lagi berhati keras, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” Surah Ali ‘Imran: 159.

* Artikel ini merupakan edisi suntingan yang cuba disesuaikan dengan konteks pada masakini dari artikel asal yang telah disiarkan buat pertama kali di Risalah (edisi Jan-Mac 2009) terbitan Persatuan Guru Agama Dan Ulama Singapura (Pergas).

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

One response »

  1. Nanditha Das says:

    Dear Mr Mohammad,
    You are invited to participate in a research study. The Institute of Policy Studies is conducting a baseline analysis of the Malay blogosphere.
    While much has been discussed about English blogs, very little attention has been given to non-English blogs. As part of our study, we are conducting a survey to find out more about Malay bloggers’ blogging practices, topics of interest and motivations for blogging.
    If you are interested to find out more about the survey, please contact me at nanditha.das@nus.edu.sg and I will send you a link to the study.
    The survey will last 15-20 minutes. Your participation will be an invaluable contribution to the first study on the Malay blogosphere.
    We look forward to hearing from you soon.
    Thank you.
    Nanditha Das
    Research Associate
    Institute of Policy Studies
    National University of Singapore

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s