Soalan:
“Sejak isteri saya belajar ugama daripada seorang ustazah, isteri saya telah banyak pakai duit pinjam dari ramai orang hingga terkena TAILONG. Rumah saya tiga kali disimbah cat dan di rantai oleh tailong. Kini isteri sudah tidak kisah pada rumah tangga, tidak masak utk anak-anak lagi dan hendak minta cerai. Dia pergi rumah adik-beradiknya menceritakan keburukan saya hingga mereka mempercayai dia. Ramai telepon rumah cari dia minta hutang tapi dia buat tak tahu. Mohon pandangan dan nasihat ustaz.”
Jawapan:
Terdapat banyak sekali perkara yang disebut saudara dalam kemusykilan yang dikemukakan ini, tanpa disebutkan isu yang mana satu menjadi persoalan utama.
Jika saya dapat rumuskan isu yang saudara kemukakan, ia bermula dari seorang ustazah yang menjadi guru agama kepada isteri saudara. Rentetan dari pertemuan dengan guru agama tersebut itu pula, maka bermulalah isu-isu lain yang timbul. Antaranya bermulanya sikap suka meminjam duit dari orang ramai termasuk dari tailong. Isteri saudara juga dinyatakan selepas itu sudah mula tidak hiraukan keluarga dengan tidak lagi melaksanakan kerja-kerja rumah seperti memasak dan malah sampai ke peringkat ingin meminta cerai. Beliau juga dinyatakan telah mengadu kepada adik beradiknya tentang keburukan saudara sehingga mereka mempercayai segala aduan isteri saudara.
Saya ingin menyentuh satu persatu tentang isu yang dikemukakan saudara, sebelum cuba memberikan pandangan apa yang boleh dilakukan dalam menangani isteri saudara.
1. Isu ustazah
Memandangkan isu-isu yang disebutkan oleh saudara kesemuanya bermula dan berpunca selepas isteri saudara mula belajar dari seorang ustazah. Maka saya mempunyai keprihatinan terhadap perkara apakah yang dipelajari dari ustazah tersebut.
Sebagai langkah pertama, ada baiknya saudara menyelidiki latar belakang ustazah tersebut seperti namanya dan apakah yang dipelajari dari ustazah tersebut.
Saudara kemudian boleh merujuk nama tersebut ke pihak Sekretariat Skim Pentauliahan Asatizah (ARS) yang dikendalikan oleh Pergas bagi mengetahui sama ada ustazah tersebut berada dalam senarai asatizah yang mendapat pentauliahan untuk mengajar.
Jika beliau berada dalam senarai pentauliahan, bolehlah saudara membuat pengaduan rasmi agar pihak sekretariat ARS dapat mendapat maklumat lanjut tentang perkara ini bagi tindakan lanjut yang sesuai.
2. Perihal meminjam duit
Dalam hal ini adalah penting untuk saudara mencatat nama-nama senarai mereka yang dipinjam oleh isteri. Ini termasuk jumlah yang dipinjam isteri, dan mungkin juga saudara boleh mengambil kesempatan bertanyakan alasan yang digunakan isteri ketika hendak meminjam duit.
Dalam hal tailong itu pula tadi, adalah baik sekiranya saudara dapat melaporkan segera perkara itu ke balai polis agar dapat dilakukan sesuatu sebelum perkara ini menjadi lebih melarat.
3. Cerita keburukan suami pada adik beradik
Pandangan saya dalam hal ini adalah baik kiranya saudara menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya kepada adik beradik ipar saudara. Ini boleh dilakukan dengan berjumpa sendiri ipar-duainya. Saudara juga mungkin boleh fikirkan seseorang yang boleh dipercayai oleh ipar saudara sebagai pengantara antara saudara dan ipar-duainya.
Perkara ini sangat penting, kerana sokongan adik beradik ipar saudara boleh memainkan peranan penting dalam memulihkan hubungan antara saudara dan isteri.
Melihat dari isu yang dikemukakan nampaknya isteri saudara sangat perlukan bantuan, dan sebaiknya saudara dapat rujukkan perkara ini ke pusat khidmat keluarga atas masjid yang terdekat yang mampu memberikan khidmat kaunseling. Namun sebelum itu, saudara mungkin boleh melakukan beberapa perkara bagi membaik pulih hubungan antara saudara dan isteri. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah:
Pertama – Menilai semula peranan dan tanggungjawab sebagai seorang suami
Tanpa menafikan kesilapan yang dilakukan isteri, kadangkala perlu difikirkan juga apakah sebab-sebab yang membawa kepada perkara sedemikian.
Ingatkah setiap dari kita mempunyai tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Renungkanlah apa yang pernah disabdakan oleh Baginda s.a.w. yang bermaksud:
“Setiap dari kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya”. Hadis riwayat Imam Bukhari.
Seorang suami yang bertanggungjawab, seharusnya bertanya pada dirinya sendiri. Apakah punca bagi segala permasalahan ini tiba-tiba berlaku dalam rumahtangga kita. Apakah pula sebab yang membawa isterinya tiba-tiba timbul hasrat untuk belajar agama, dan langsung mudah terikut dengan segala apa yang diajarkan oleh guru agamanya, serta langsung berubah sikap dan sebagainya.
Ada baiknya saudara bermuhasabah, andai kata terdapat kekurangan dalam mahligai rumahtangga yang didirikan, sama ada kelemahan kepimpinan dari sudut agama, komunikasi antara suami isteri, mahupun segala tanggungjawab lain seperti pengabaian dalam menunaikan nafkah, perbelanjaan harian rumahtangga dan sebagainya.
Andai kata, terdapat kekurangan dalam hal-hal yang disebutkan tadi atau dalam perkara lain, cubalah diperbaiki dahulu kekurangan ini sebelum diikhtiarkan perkara-perkara yang lain pula.
Kedua – Mendengar segala keluhan isteri terlebih dahulu
Ada baiknya juga langkah seterusnya yang boleh saudara lakukan ialah mendengarkan keluhan isteri. Berikan isteri peluang untuk melepaskan rasa hatinya.
Untuk melakukan perkara ini, pastikan masanya adalah bersesuaian, iaitu ketika pasangan suami isteri keadaan yang tenang. Ini bermakna tidak ketika isteri baru pulang bekerja (jika beliau bekerja), atau ketika beliau masih dalam keletihan. Sebaiknya juga elakkan seberapa mampu daripada langsung memarahi atau melakukan sindiran kepada isteri ketika berkomunikasi bagi membincangkan hal ini.
Mungkin terdapat isu-isu lain yang tidak pernah saudara jangka, mampu diluahkan dari perbualan hati ke hati ini. Dengan saudara memberi peluang untuk si isteri meluahkan segala perasaannya, sekurang-kurangnya saudara dapat maklum apakah perkara yang selama ini terbuku di hatinya, mungkin dari sini saudara dapat memperbaiki segala kekurangan dan kesilapan diri yang ada.
Pada sesi ini juga, merupakan satu peluang untuk saudara juga menegur segala kesilapan isteri. Bahawa segala apa yang dilakukan walaupun baik sekali tujuannya, mempunyai kesan-kesan sampingan lain, lebih-lebih lagi dari contoh perbuatan isteri yang meminjam wang dari tailong. Ia tidaklah menyelesaikan segala masalah yang ada, tetapi membawa masalah yang baru pula.
Ketiga – Berbincang dengan isteri mendapat bantuan bersa,a oramh tengan
Selepas kedua-dua suami dan isteri sudah saling meluahkan, bolehlah pula difikirkan langkah selanjutnya, sama ada saudara dan isteri sendiri memikirkan jalan keluar dan huraian bagi menyelesaikan segala isu rumahtangga yang ada, atau saudara dan isteri boleh mendapatkan orang ketiga bagi membantu membaik pulih rumahtangga yang sedang berkocak ini.
Jika saudara dan isteri memilih mendapatkan bantuan orang ketiga, ia boleh dilakukan sama ada dengan mendapatkan bantuan dari saudara atau kenalan yang dipercayai oleh kedua-dua suami isteri ataupun dari seorang kaunselor yang berkelayakan dari Pusat Khidmat Keluarga (FSC) terdekat, ini boleh dilakukan dengan melungsuri lelaman http://www.msf.gov.sg
Ini penting agar saudara dan isteri dapat mencari jalan keluar bagi menyelesaikan segala isu dan permasalahan yang ada, baik dari kesilapan saudara sendiri hinggalah kepada isu-isu yang disebutkan saudara dalam emel tadi.
Nota: Artikel kemusykilan agama ini telah diterbitkan dalam ruangan Hidayah, Berita Minggu Singapura pada 15 Disember 2013.
Assalamualaikum w.b.t,
Saya berbesar hati andai pihak ustaz/tuan dapat membantu berkenaan persoalan/masalah saya ini. Saya sudah bekerja dan tinggal bersama ibu saya, persoalannya berkenaan dengan situasi dimana saya ingin berkahwin dengan gadis pilihan hati saya.
Masalahnya, apabila dia kurang selesa/menerima keadaan dimana selepas berkahwin, perlu tinggal bersama dengan ibu saya di johor dan perlu meninggalkan umie nya yang berada di kl bersama adik bradiknya yg lain. Saya membuat keputusan ini disebabkan, saya mempunyai 3orang adik bradik (saya bongsu), dua orang kakak sudah berkahwin dan ikut tinggal dengan suami mereka. Sekarang, hanya saya dan ibu sahaja tinggal dirumah ini, arwah ayah sudah tiada lagi. Saya sangat menyayangi ibu saya dan berasa bertanggungjawab sebagai anak lelakai untuk menjaga ibu saya selepas k’tiadaan arwah ayah dan ingin membalas jasa ibu saya.
Apakah nasihat/pandangan dan tindakan yang wajar saya lakukan? Tambahan, adakah dalil/penjelasan daripada al-quran/hadis yang dapat membantu saya menerangkan atau membantu situasi saya ini, supaya dapat membantu saya memperjelaskan kepada dia.
Terima Kasih