Pada sesi ‘Pelajari Solat’ bersama anak-anak saya tadi, saya berkesempatan untuk berkongsi satu lagi zikir yang boleh dibaca semasa slot doa iftitah. Zikir ini jarang dibaca oleh masyarakat Islam kita, tapi ia merupakan doa yang sangat besar fadhilatnya sehingga para malaikat pun berebut-berebut mencatitnya.
Doa yang ringkas, tapi amat luar biasa kelebihannya ialah zikir dengan lafaz: “Alhamdulillahi Hamdan Kathiran Thoyyiban Mubarakan Fiihi”. Ini jelas dikhabarkan seperti yang diriwayatkan dari Anas Bin Malik r.a.: “Sesungguhnya ada seorang lelaki datang. Lantas dia masuk di barisan saf solat. Nafasnya [terdengar] termengah-mengah. Lantas dia mengucapkan [zikir]: [‘Alhamdulillahi Hamdan Kathiran Thoyyiban Mubarakan Fiihi] Yang bemaksud: ‘Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, baik serta diberkahi’.
Ketika Rasulullah selesai menunaikan solatnya, beliau bersabda, ‘Siapa di antara kalian yang membaca lafaz tadi’? Sesungguhnya tidak mengapa dia mengucapkan doa seperti itu. Orang-orang pun terdiam. Maka ada seorang lelaki berkata, ‘Aku tadi telah datang dengan nafas termengah-mengah dan setelah itu mengucapkan lafaz tersebut.’
Rasulullah bersabda: ‘Sesungguhnya aku melihat ada dua belas malaikat yang berlumba-lumba [untuk mendapatkan] lafaz tersebut. Mereka berlumba untuk mencatatnya [sebagai amal soleh].’ ” [Muslim] Semoga dapat kita amalkan dalam solat semasa bacaan doa iftitah kita nanti.