Image

Pernahkah kita terfikir mengapa sebahagian anak remaja lebih senang bersama teman dan rakan sebaya mereka daripada bersama keluarga di rumah?

Terdapat banyak kemungkinan yang mengakibatkan situasi ini berlaku. Antaranya anak remaja mendapat sesuatu di luar daripada teman yang tidak mereka dapati di rumah, atau mungkin juga mereka lebih rasa difahami dan dihormati kerana dilayan oleh rakan sebaya sebagai seorang dewasa, tidak dibentak jika mereka melakukan kesilapan, malah mereka bebas menyuarakan ketidakpuasan pada sebarang perkara.

Timbul persoalan di sini, bagaimana dapat para ibu bapa cuba memahami anak-anak remaja mereka? Juga bagaimana para ibu bapa dapat menyesuaikan diri mereka apabila anak-anak semakin meningkat usia remaja?

Beberapa pendekatan boleh cuba dilakukan oleh para ibu bapa apabila berinteraksi dengan anak-anak apabila mereka sudah meningkat usia remaja. Berikut dikongsi bersama beberapa panduan. Antaranya:

1. Luangkan Masa.

Dengan keadaan bapa atau kedua ibu bapa yang bekerja, masa bersama dengan anak-anak pastinya amat terhad. Maka terpulang kepada kebijaksanaan ibu atau bapa dalam memanfaatkan masa bersama dengan anak-anak.

Mungkin kita hanya mempunyai satu jam sahaja dalam sehari bersama dengan keluarga kerana kesibukan kerja atau tuntutan mencari nafkah, namun jika dimanfaatkan masa tersebut dengan sebaik-baiknya, maka itu adalah lebih baik daripada mempunyai masa berejam-jam di rumah tetapi tidak dimanfaatkan bersama.

Banyak aktiviti sebenarnya yang boleh dilakukan bersama keluarga seperti menonton TV dan DVD yang diminati. Ingatlah, yang penting bukan berapa lama masa kita berada di rumah, tetapi berapa banyak masa yang berkualiti dihabiskan bersama dengan keluarga.

2. Sentuhan.

Rata-rata kita akan dapati anak-anak ketika masih kecil biasanya akan kerap dibelai dan dicium. Namun keadaan ini kadangkala tidak berterusan apabila anak meningkat usia remaja.

Tidakkah pernah kita terfikir bagaimana sentuhan tersebut mampu memberikan kesan mendalam yang tidak terhingga, sehingga boleh membuatkan diri mereka rasa dihargai dan disayangi oleh ibu bapa?

Jika amalan ini sudah lama terhenti, maka mulakanlah dengan sentuhan mudah atau tepukan mesra di bahu anak setiap kali bersua atau berjumpa. Bagi para ibu bapa yang sudah biasa mengamalkan sentuhan atau ciuman mesra pada diri anak. Teruskanlah tabiat baik ini sehingga mereka dewasa,  pasti ianya bakal mengeratkan hubungan mesra yang sudah terjalin.

3. Pujian

Katakan jika suatu hari anda ingin berkongsi kegembiraan bersama isteri tercinta tentang kejayaan anda, tetapi si isteri mengambil sikap acuh tidak acuh sahaja. Apakah perasaan anda? Pastinya sedikit sebanyak kita akan merasa sedih dan hampa.

Begitulah juga dengan anak-anak, mereka perlu dipuji apabila berjaya melakukan sesuatu, sebagaimana mereka juga perlu ditegur atau dimarahi apabila melakukan satu kesilapan.

Secara semulajadinya pujian tersebut akan membuatkan anak-anak merasa gembira dan rasa diri dihargai, selain mengeratkan perhubungan dan menambahkan perasaan kasih sayang antara anak dan ibu bapa.

4. Teguran

Dalam memberi nasihat atau peringatan pada anak, pastikan masanya adalah bersesuaian. Ini bermakna tidak ketika anak baru pulang, sedang lapar atau anak masih dalam keletihan.

Sebaiknya juga elakkan seberapa mampu daripada meleter atau melakukan sindiran kepada anak-anak, elakkan juga daripada mengungkit kesilapan lama. Bayangkan, jika kita sendiri disindir dan dileteri oleh majikan atau isteri/suami. Pastinya kita akan merasa bingit, walaupun apa yang dikatakan adalah benar dan ia berpunca daripada kesilapan diri kita.

Kita juga perlu bertanya pada diri kita, adakah leteran dan bebelan kita memberikan kesan dan perubahan positif pada diri anak? Jika jawapannya tidak, maka ini bermakna ia perlu dihentikan. Apa yang penting ialah teguran kita walaupun singkat, tetapi mesejnya sampai kepada pemikiran anak.

5. Hadiah.

Pernahkah kita memberikan sebarang hadiah kepada anak-anak bersempena hari ulang tahun mereka atau hari-hari yang mempunyai ’significant’ pada diri mereka?

Hadiah walau sekecil dan semurah manapun mempunyai kesan yang cukup mendalam pada diri individu. Ia akan membuat diri rasa diingati dan dihargai dan menambahkan jalinan kasih sayang antara kita dan anak. Malah, jika disampaikan dalam bentuk kejutan (surprise), maka ia akan menjadi lebih bermakna.

Sebenarnya bukan nilai hadiah tersebut yang menjadi ukuran, tetapi ingatan mendalam dari hati yang suci itulah yang memberikan kesan kepada si penerima, yang seterusnya menimbulkan perasaan kasih sayang kepada si pemberi yang mana akhirnya keduanya semakin saling menyayangi antara satu sama lain. Tidakkah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: ”Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan berkasih sayang.” [Adab Al-Mufrad]

Bersambung (Artikel bahagian kedua akan disiarkan pada 20 Mei 2013)

Nota: Artikel ini merupakan versi penuh tanpa suntingan yang disiarkan di majalah al Ustaz bagi edisi ke 13 pada bulan April yang lalu. Ia diolah dari artikel asal yang pernah saya kirimkan ke majalah Manja (Singapura) dan juga yang pernah saya siarkan di blog saya.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s