Pagi ni ketika terbaca ruangan muka depan Berita Harian Singapura, di mana terdapat sedutan berita tentang semakin ramai anak Melayu-Islam menjadi penyelidik di Agency for Science, Technology and Research atau A*STAR, teringat pula gesaan saya kepada BH supaya lebih banyak menyiarkan berita-berita yang dapat menjadi perangsang kepada anak Melayu-Islam untuk lebih berjaya dalam bidang-bidang yang jarang diceburi. (Sila lihat posting saya pada link berikut: http://atomic-temporary-38651040.wpcomstaging.com/2009/05/respon-pada-artikel-bh-asatizah-bukan-sekadar-penceramah/)
Semoga tahun baru 2010 akan memperlihatkan kejayaan yang lebih pesat kepada masyarakat Islam Singapura dalam apa jua bidang yang diceburi selain dapat dikurangkan segala isu-isu atau gejala sosial yang melanda mereka.
Bagi diri saya pula secara peribadi, tahun baru ini menimbulkan beberapa cabaran baru dan kegerunan buat saya dalam mengharunginya. Pertama, anak perempuan tunggal saya Madihah akan melangkah ke darjah 1. Maklumlah, ini merupakan pengalaman pertama saya dan isteri. Maka kami mempunyai perasaan yang berbaur ghairah dan cemas pada masa yang sama. Ghairah dalam menyiapkan persiapan dan barangan keperluan persekolahan Madihah, cemas apabila memikirkan cabaran yang bakal kami tempuhi sebagai ibu bapa dalam mempersiapkan Madihah dalam mengharungi cabaran dalam pengajian persekolahannya.
Semoga Madihah mampu menjadi anak yang bukan sahaja pintar dan cerdik dalam pelajaran tetapi juga seorang muslimah yang mempunyai akhlak yang terpuji dan budi pekerti yang mulia. Besar juga harapan kami agar satu hari nanti, beliau juga mampu duduk sama tinggi dengan anak dari bangsa lain dan berjaya dalam kerjaya yang diceburi.
Memandangkan sekolah Madihah berdekatan dengan rumah dengan jarak hanya 15 minit jika berjalan kaki, maka saya merancang untuk menghantar beliau ke sekolah sebelum ke tempat kerja. Minta-minta mampulah saya. Bukan apa, tujuannya ialah supaya Madihah menjadi makin mesra dengan saya dan saya pula mampu menjadi teman beliau sampai ke besar. : )
Maklumlah, ikut kajian kalau anak rapat dengan bapa, maka potensi anak tersebut menjadi anak yang berguna dan berjaya akan menjadi lebih besar. Memang power peranan bapa ni, tak tahulah sama ada saya mampu atau tidak memikulnya.
Kedua, selepas hampir 1o tahun bertugas sebagai pegawai di masjid. Tahun 2010 akan melihat saya bertukar kerjaya. Ya, memang betul. Saya tidak bertugas di masjid lagi pada tahun ini. Walaupun berat untuk saya berhijrah, tapi saya berasakan selepas sedekad di masjid, saya memerlukan cabaran yang baru dalam kerjaya.
Bagi yang tertanya-tanya, suka saya mengumumkan di blog ini, secara rasmi bermula pada 5 Januari 2010, saya akan bertugas di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Doakan kerjaya yang baru ini juga dapat menjadi wadah yang lebih luas kepada saya dalam memberikan impak kepada masyarakat, walaupun mungkin tidak secara langsung seperti mana ketika di masjid, diharapkan sumbangan saya tetap dapat memberikan kesan yang mendalam kepada masyarakat.
Pastinya saya akan ‘miss’ dalam berinteraksi dengan jemaah masjid atau mengendalikan sesi kaunseling kepada remaja, ibu bapa, orang dewasa atau pasangan rumah tangga secara kerap seperti dahulu. Secara tidak langsung kandungan blog ini pun pasti ada kelainan dari masa lalu, semoga dengan pengalihan angin baru ini juga akan mampu memberikan perspektif yang lebih baru, segar dan matang dalam penulisan blog abahyasir.
Doakan saya agar mampu menangani cabaran baru ini dan pada masa yang sama sukses dalam kerjaya.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Selama menjadi imam eksekutif di masjid tempat Ustaz bertugas selama ini, saya telah banyak menimba banyak pengetahuan, tidak kira dari segi agama mahupun kehidupan.
Bukan senang untuk menyatukan masyarakat Islam secara amnya, dan saya amat berbangga dengan pencapaian Ustaz Yusri Yubhi di atas keberkesanan Ustaz dalam menangani apa juga perkara dalam setiap keadaan dan ketika.
Melalui pendekatan Ustaz di masjid lah saya mula rapat dengan Ustaz, dan lantas, banyak menimba ilmu dan pengetahuan biarpun sedikit. Namun, saya amat terhutang budi dan bersyukur dengan persahabatan yang dibina selama ini.
Menimba pengalaman yang baru yang lebih mencabar dalam bidang yang lain sememangnya telah menjadi impian Ustaz selama ini. Dan saya berdoa kepada ALLAH swt agar cabaran baru ini dapat dipikul Ustaz dengan jayanya serta amat berkesan kepada masyarakat Melayu/Islam kita di Singapura.
Kenangan akan tetap menjadi kenangan…namun sebuah persahabatan yang dibina antara kita sebelum ini akan tetap terpahat di dalam jiwa selagi hayat dikandung badan.
Syabas saya ucapkan kepada Ustaz Yusri Yubhi, dan harapan bangsa dan agama terletak di bahu anda. Saya pasti, Ustaz bisa melaksanakannya dengan jayanya.
InsyaALLAH. 🙂
Salam ikhlas,
MOHD NASER AHMAD