Semenjak beberapa hari yang lalu, istilah ‘bobrok’ semakin popular di dada-dada akhbar berita berbahasa Melayu di negara kita ini. Sebelum ini tidak pernah pulak saya mendengar perkataan ini. Ia sebenarnya dikaitkan dengan keluarga pincang yang biasanya berlaku ke atas keluarga yang berpendapatan rendah.
Pada masa yang sama, isu kebobrokan masyarakat Melayu ini juga bukanlah satu perkara yang hanya berlaku di negara Singapura sahaja, ia juga satu tren biasa bagi kaum minoriti negara-negara lain di serata dunia. Ini jelas dilihat semasa mengunjungi Britain dan juga Amerika Syarikat bagi mempelajari ‘Muslim Chaplaincy’, saya dimaklumkan golongan yang paling banyak tercicir selain menjadi penghuni teramai penjara ialah golongan kaum minoriti. Jika di Britain ialah golongan bangsa Asia seperti India, Bangladesh dan Pakistan yang kebanyakannya ada beragama Islam, sementara di Amerika pula ialah golongan hispanik (latino), Asia serta Afrika-Amerika (termasuk penganut Islam).
Pada masa yang sama ia bukanlah satu alasan untuk kita berpeluk tubuh sahaja, pastinya kita perlu melakukan sesuatu. Namun sebelum saya mengutarakan beberapa pandangan berkaitan isu ini, izinkan saya berkongsi pemerhatian saya bagi golongan yang disebut sebagai keluarga pincang ini.
Dari pengamatan saya hasil dari pendampingan bersama golongan ini di masjid, rata-rata mereka ini mempunyai beberapa ciri yang hampir sama iaitu:
1. Mempunyai anak yang ramai. Termasuk kadang kala anak luar nikah dan dari bapa yang berlainan pula. Pernah saya ketemu dengan ibu berusia kurang dari 25 tahun tetapi mempunyai anak 5! Si bapa pula sekarang dalam penjara. Bayangkan?
2. Tidak bertanggungjawab dan sambil lewa. Ini dapat dilihat dari sikap semberono dan tidak merancang keluarga dengan baik sehingga mempunyai anak yang ramai walaupun sedar tidak mempunyai wang yang cukup bagi menampung keluarga dari makan minum mahupun pendidikan.
3. Mempunyai kefahaman agama yang cukup rendah sekali berbanding dengan masyarakat Melayu lain dari golongan pertengahan atau atasan. Ini dapat difahami kerana ibu bapa yang jahil dalam agama dan tidak mengambil kisah dalam memberikan pendidikan agama yang sempurna pada anak-anak.
Pada masa yang sama, terdapat juga sebahagian dari golongan ini mempunyai keinginan bergaya dan gaya hidup sebagaimana manusia lain. Ini dapat dilihat dari sikap merokok, mempunyai gaya rambut yang berwarna atau pakaian yang bergaya walaupun mempunyai pendapatan yang tidak seberapa.
Sikap tidak bijak dalam memberikan prioriti ini pula pastinya memberikan mendedahkan mereka kepada gejala berhutang, di mana sewajarnya wang tersebut dibelanjakan kepada perkara yang lebih penting dan utama seperti pendidikan anak-anak.
Walaupun begitu, saya dapati golongan ini juga mempunyai potensi yang besar dan boleh diasuh menjadi keluarga yang berjaya dan berdikari, asal sahaja jika kita kreatif dalam memikat kehadiran mereka dengan menghasilkan program yang baik serta memberikan keuntungan kepada kedua belah pihak. Ini dapat membantu jika kita dapat menawarkan khidmat penjagaan anak kecil (bagi memudahkan ibu bapa hadir) dan menawarkan daya tarikan bagi memikat kehadiran seperti pemberian hamper dan sebagainya.
Hasilnya ia dapat menarik penyertaan aktif golongan ini dalam beberapa program yang disusun. Sebagai contoh program unit pembangunan keluarga masjid tempat saya bertugas yang disusun khusus untuk penerima fidyah seperti program bengkel kewangan bijak belanja, hari keluarga, kursus peningkatan diri dan lain-lain program mendapat kehadiran hampir 100%! Malah, mereka sangat berpartisipasi dalam program dan memberi kerjasama dalam kerja rumah serta mendapat pujian daripada pelatih yang mengendalikan kursus-kursus ini.
Kesemua penerima fidyah dari golongan berpendapatan rendah ini pula, kami gelarkan sebagai ‘Keluarga Harmoni’, agar bunyinya lebih positif dan mudah-mudahan menjadi satu doa buat mereka menjadi keluarga yang berjaya dan harmoni. Jika dahulu kami merujuk mereka sebagai keluarga miskin, low income families dan sebagainya, sekarang mereka digelar sebagai keluarga harmoni. Sedap kan? : )
Bukan apa, ni semua saya mendapat idea semasa lawatan ke Amerika dahulu. Di sana, golongan Youth at risk digelar sebagai Youth at the brink of Success. Cool kan? Dengan nama yang positif akan memberikan nafas baru serta keyakinan untuk berubah. Samalah, kalau kita gelar pelajar yang kurang semangat belajar sebagai pemalas..ia seumpama satu ‘label’ dan pastinya melekat pada sanubari mereka dan terus bermalasan selalu. : )
Bercakap tentang huraian isu ini, di ruangan forum Berita Harian saban minggu terdapat pelbagai pandangan orang ramai bagi mengatasi isu ini. Sekadar memberikan pandangan dan menuding jari memang mudah, tetapi untuk mengatasinya bukanlah suatu perkara enteng. Ia memerlukan kerjasama dari segenap pihak dan masyarakat Melayu termasuk juga dari kerajaan.
Berikut pandangan saya yang ditujukan untuk diri sendiri serta pihak-pihak tertentu bagi membuka minda kita bagi menghuraikan isu-isu yang melanda kebobrokan masyarakat kita:
Pertama: Pemimpin masyarakat, akar umbi dan masjid.
Sebagai pemimpin aktiviti masyarakat Melayu bagi kelab masyarakat ataupun pengerusi masjid, perlu bagi kita keluar dari lingkaran biasa dan membuat evaluasi program sedia ada. Penting bagi setiap program hendaklah disusun berdasarkan keperluan demografi masyarakat sekitaran dan tidak hanya yang bercorak syok sendiri sahaja.
Sebagai contoh, perlukah kita sebagai peneraju program masyarakat Melayu di kelab-kelab masyarakat (CC) masih lagi sibuk menyusun aktiviti karaoke, dangdut (termasuk berdansa), adu bakat dan sebagainya sedangkan masyarakat menghadapi pelbagai masaalah dan ketinggalan dalam segenap sudut?
Tidakkah kita maklum bahawa aktiviti karaoke dan dangdut di kelab masyarakat juga antara punca kebobrokan masyarakat Melayu-Islam kita? Ini bukan sekadar satu telahan, tetapi memang benar terjadi malah saya mempunyai kes kaunseling melibatkan keterlanjuran golongan pertengahan usia akibat pergaulan bebas di kelab-kelab karaoke bukan di pub tetapi di kelab-kelab masyarakat.
Sewajarnya perubahan minda perlu disasarkan kepada kualiti program yang berfaedah dan bernilai tambah kepada masyarakat dan bukan kuantiti masyarakat Melayu yang aktif dengan program kelab masyarakat.
Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin masjid tertentu, khususnya masjid yang berada dalam lingkaran penempatan keluarga berpendapatan rendah, program-program seharusnya menjangkau sasaran demografi masjid dari golongan ini. Apakah keperluan utama masyarakat sekeliling mereka?
Masjid-masjid perlu melihat lebih dari sekadar kehadiran jemaah yang berduyun-duyun ke program syarahan mereka tetapi juga lebih dari itu, program-program outreach perlu dilakukan bagi menghampiri dan membantu keluarga-keluarga yang berada di luar jangkauan masjid.
Sebagai permulaan beberapa ‘check list’ seperti khidmat kaunseling, lawatan-lawatan ke kediaman-kediaman golongan pendapatan rendah, kerjasama dengan pusat khidmat keluarga terdekat dan sebagainya perlulah menjadi antara perkara ‘yang wajib ada’ pada setiap masjid. Persoalannya, sudahkah perkara ini dilakukan?
Kedua: Bagi para guru sekolah dan asatizah madrasah
Selain ibu bapa, para pendidik (guru mahupun asatizah) merupakan golongan yang paling banyak berinteraksi dengan anak-anak. Walaupun tidak adil jika kita mengharapkan mereka mengambil alih tanggungjawab ibu bapa, tetapi usaha pro aktif mereka sedikit sebanyak dapat membantu menghasilkan para pelajar yang bertanggungjawab serta beretika, tidak kiralah sama ada mereka berjaya atau tidak dalam pelajaran.
Bagi guru dan asatizah yang mendidik anak bangsa (termasuk bangsa lain bagi sekolah nasional), hendaklah tugasan kita tidak terhad sekadar sebagai satu profesi sahaja. Maksudnya janganlah sekadar masuk kelas mengajar dan kemudian selesai begitu sahaja. Sebaiknya dikenal pasti pelajar-pelajar yang mungkin memerlukan pertolongan dan bantuan, pelajar ini pula mungkin dari jenis yang suka buat kacau dalam kelas, lemah dalam pelajaran dan melawan guru.
Jangan terkejut jika kita memberikan perhatian pada mereka, berinteraksi dengan mereka seolah kita memahami diri mereka, prihatin dan sentiasa berikan dorongan serta motivasi, tidak mustahil pelajar ini akan berkongsi masaalah peribadi mereka dan membalas kepercayaan dan keyakinan yang kita tonjolkan.
Pada masa yang sama kita juga boleh merujukkan mereka kepada kaunselor sekolah atau membuat rujukan kepada pusat khidmat keluarga terdekat dan sebagainya bagi bantuan lanjutan seperti kewangan dan sebagainya kepada keluarga mereka. Pada masa yang sama, asatizah dan guru sekolah juga perlu memperlihatkan diri mereka sebagai seorang yang boleh dihampiri dan berkongsi sebarang isu yang bersangkutan dengan pelajar.
Setiap pelajar yang dibimbing perlulah dianggap sebagai mempunyai harapan untuk berubah dan tidak dipinggirkan hanya kerana mereka nakal atau kurang bijak. Jika mereka gagal dalam pelajaran sekalipun, sekurang-kurangnya kita berusaha membentuk mereka menjadi pelajar yang berguna dan berakhlak.
Akhir sekali, para pendidik juga perlu menjadi rolemodel kepada para pelajar termasuk di luar bilik darjah baik dari segi ketrampilan guru seperti gaya berpakaian, rambut (tidak berwarna) ataupun gaya hidup yang bersih (tiada hubungan bebas baik dengan sejenis mahupun berlainan jenis).
Pada masa yang sama, suka saya tekankan bahawa tidak nafikan terdapat sebahagian guru yang sangat tekun dan melakukan lebih dari yang sepatutnya bagi kerjaya mereka dan melahirkan para pelajar yang bukan sahaja berpelajaran tetapi juga berakhlak mulia.
Ketiga: Orang perseorangan
Dalam hal berdakwah dan membantu masyarakat bukanlah satu tugas eksklusif untuk pihak-pihak tertentu sahaja, sering kali bila berlaku sesuatu hal, Muis, Mendaki atau asatizah dipersalahkan. Bagaimana pula dengan kita sendiri? Apa yang telah kita lakukan bagi membantu anak bangsa?
Bagi yang belum bertindak, mengapa tidak kita secara sukarela memberi khidmat sebagai tutor di Mendaki atau mana-mana badan tertentu atau mendaftarkan diri sebagai ‘befrienders’ di masjid-masjid, badan-badan bantu diri Islam dan lain-lain?
Dengan mendaftarkan diri sebagai ‘befriender’ sebagai contoh, kita berpeluang mendapatkan latihan secara percuma dalam mendampingi pihak-pihak yang memerlukan di samping secara langsung mendekati mereka dan memahami kesulitan yang dialami dan membantu merujukkan kepada pihak-pihak tertentu.
Begitu juga sebagai sukarelawan, banyak aktiviti yang boleh kita sumbangkan pada masyarakat. Menawarkan diri dalam projek membacakan buku kepada anak-anak golongan susah di rumah mereka atau perpustakaan, menjaga anak-anak kecil bagi program yang melibatkan ibu bapa dan lain-lain.
Bagi yang tidak berkesempatan memberikan sumbangan tenaga boleh juga memberikan sumbangan kewangan seperti menafkahkan wang bagi sagu hati guru-guru agama atau tutor akademik untuk disalurkan kepada keluarga-keluarga yang berpendapatan rendah. Sebenarnya banyak yang kita boleh lakukan bagi membantu mengurangkan tahap kebobrokan masyarakat kita, segalanya kembali kepada kita.
Pandangan di atas hanyalah sekadar satu renungan bagi kita semua dan diharapkan dapat diterima dengan hati yang terbuka. Pada masa yang sama, pihak yang berkenaan juga harus menyedari bahawa sebanyak manapun bantuan dan pertolongan yang dicurahkan. Jika yang empunya diri tidak mahu mengubah sikap dan minda dan hanya berpeluk tubuh sahaja, maka tiada apa yang dapat dilakukan dan tiada siapa yang dapat dipersalahkan selain diri sendiri.
Salam . Tentang Melayu sbg minority
di S’pura, apa pula masalah masyarakat India?
Kalau di bandingkan masalah sosial yg di hadapi Dan pencampaian mereka, saya rasa mereka lebih berjaya. Mungkin kita boleh ambil ‘tips’ Dari mereka. Wasallam.