Seperti mana yang dijanjikan kepada teman-teman di laman facebook saya, saya akan berkongsi kandungan ceramah interaktif berkaitan Fiqh Rumahtangga anjuran Darul Fiqh, Masjid Al-Iman.

Saya diberikan kesempatan untuk menyampaikan dua topik dalam sesi selama 3 jam termasuk sesi soal-jawab. Topik tersebut ialah Adam & Hawa, Pasangan Hidup Sejati & Sudahkah Aku Bersedia?

Untuk kali ini saya akan berkongsi dengan tajuk Sudahkah Aku Bersedia?, berikut adalah sedutan ceramah saya tempohari dengan sedikit penambahan.

1. Tujuan dan hikmah disyariatkan nikah

a. Untuk memenuhi penuhi fitrah manusia.

– Sebagai memenuhi fitrah manusia yang memerlukan perhubungan antara lelaki dan perempuan.

– Bayangkan dunia ini hanya didiami oleh lelaki atau wanita sahaja? Pasti lemau jadinya kehidupan kita kan? Bayangkan tengok kiri si Ali, tengok kanan Si Atan, tengok depan si Dol, belakang si Muthusamy. Hmmph…

– Pasti ada hikmahnya Allah ciptakan manusia dan dijadikan mereka ini berpasang-pasangan. Selepas Allah ciptakan nabi Adam, Allah ciptakan pula Hawa sebagai teman kepada nabi Adam.

b. Penuhi kehendak syahwat dan seks.

– Ini antara keperluan antara lelaki dan perempuan. Dengan disyariatkan pernikahan, maka hubungan seks yang dahulunya tidak dibolehkan kerana belum berkahwin telah menjadi harus.

– Ini kerana bila timbul rasa kasih dan sayang, maka timbul rasa ingin intim dengan pasangan kita. Bila terlalu intim, timbullah perkara-perkara yang tidak diingini.

– Tidak seperti agama lain yang kadangkala mengharamlkan perkahwinan terhadap golongan-golongan tertentu, Islam membenarkan perkahwinan kepada penganutnya tidak kira ustaz ke tok guru. Bayangkan ustaz tak boleh kahwin? Ooh, tidaak..

c. Lahirkan ketenteraman, kemesraan dan kasih sayang

– Antara tujuan perkahwinan adalah untuk ketenteraman jiwa dan menyemai kasih sayang antara suami dan isteri.

– Bila pulang ke rumah, pastinya kita ingin dilayan isteri, begitu juga isteri ingin dibelai dan dimanja suami.

– Sebagi teman dan pendengar bila di kita di kala kesunyian dan keresahan. Juga sebagai tempat untuk kita berkongsi cerita pahit dan manis lebih lagi seharian bekerja atau di rumah bagi suri rumah.

– Atas dasar itu suami diperintahkan dalam Quran supaya melayan isteri dengan baik termasuk dari tutur kata dan pergaulan sehari-harian.

– Ini kerana setiap akhlak dari suami menjadi contoh kepada isteri. Secara tidak langsung menyemai rasa hormat daripada pihak isteri, seterusnya mengeratkan rasa kasih sayang antara mereka.

d. Mendapatkan zuriat

– Ini antara tujuan utama pernikahan iaitu untuk mendapatkan zuriat yang halal dan baik.

– Jika ada orang kata, dia kahwin tak mahu anak bagaimana? Boleh ke tidak? Jawapannya, boleh juga. Cuma ia bertentangan dengan matlamat dan hikmah perkahwinan. Macam lah kalau ada orang cakap. Saya nak kahwin tapi tak mahu buat hubungan seks? Kalau pasangan dah lanjut usia tu saya tak tahulah..

* Sila rujuk juga, Surah Ar-Rum: 21, Al-A’raaf: 189, An-Nisaa: 1 & 34.

2. Apakah itu nikah?

– Ikatan yang mengandungi kebolehan melakukan hubungan suami isteri dengan lafaz nikah.

– Perjanjian antara sepasang suami isteri dengan ijab qabul.

– Mendapatkan maslahat bersangkutan dengan nikah.

3. Dalil Pensyariatan Nikah

– “Maka berkahwinlah kamu dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain) dua, tiga atau empat. Kemudia jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja.” Surah An-Nisaa’: 3

– “Wahai sekalian pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mampu untuk berkahwin, maka hendaklah ia berkahwin, kerana dengan berkahwin itu akan lebih menjaga pandangan dan akan lebih memelihara kemampuan” Riwayat Imam Bukhari

4. Hukum Nikah

a. Harus

– Tiada dorongan untuk bernikah dan tidak mempunyai sebab untuk bernikah.

– Mempunyai kemampuan tetapi belum ada keinginan untuk bernikah.

b. Sunnah

– Mempunyai kemampuan dari segi nafkah zahir dan batin.

– Mempunyai keinginan untuk berkahwin bagi menjaga kehormatan diri dan kesempurnaan agama. – Masih dapat memelihara diri dan kesempurnaan agama.

c. Wajib

– Mempunyai kemampuan nafkah lahir dan batin

– Takut terjerumus ke lembah zina sekiranya tidak berkahwin

d. Makruh

– Tidak berkemampuan dan berkeinginan kepada pernikahan tetapi diteruskan juga perkahwinan.

e. Haram

– Tidak mempunyai kemampuan dari segi nafkah lahir dan batin atau

– Bernikah dengan tujuan untuk menzalimi wanita yang menjadi isterinya.

5. Sudahkah anda bersedia?

Untuk menjawab soalan ini, kita perlu tanya diri kita sendiri soalan-soalan di bawah:

– Adakah anda di tahap yang kritikal untuk bernikah? Dah wajib ke? Kalau rasa dah tak tahan lagi tapi belum mampu sebab takde duit. Tu belum wajib lagi namanya! Kena puasalah jawabnya!

– Berapakah skala kesediaan anda untuk bernikah? 1 hingga 10. Kalau 10 tu dah kritikal dan sampai tahap wajib. Anda bagaimana?

– Bilakah usia yang terbaik untuk bernikah? 21, 25 atau 27 tahun? For the record, saya nikah umur 27 tahun!. Sebenarnya ini bergantunglah kepada kematangan masing-masing dan kecukupan atau kemampuan seseorang.

– Bilakah keadaan yang paling terbaik untuk bernikah? Bila yer? Sila lihat jawapan di bawah:

6. Anda sudah bersedia untuk bernikah, jika anda mampu…

a. Berdikari dan membuat keputusan sendiri .

– Kaum lelaki memainkan peranan penting selaku bakal suami dan pemimpin rumahtangga. Ia bukan setakat berdikari dan dan berani buat keputusan sendiri. Tetapi keputusan juga perlu menunjukka kematangan khususnya kepada lelaki yang bakal menjadi pemimpin rumahtangga.

– Dalam ceramah tersebut, saya hanya menyentuh keputusan yang dibuat sebelum kahwin agar ia lebih relevan kepada sasaran peserta.

Sebagai suami kita perlu menunjukkan keputusan yang kita lakukan adalah bijak dan yang terbaik untuk rumahtangga di sisi isteri dan juga ibu (khususnya) dan bapa.

Perkara ini perlulah ditonjokan lagi dan dilatih sebelum kita bernikah. Ini penting agar kita tidak dilihat bias kepada bakal isteri atau ibu.

Saya berikan satu contoh mudah yang berlaku pada diri saya sendiri. Konon2 dulu nak nikah umur 25 tahun. Sekali lepas abis belajar, tak lulus plan saya tu : ( sebab mak suruh kerja dulu.

Apa nak buat, demi keberkatan ibu bapa dan untuk semua pihak gembira, maka terpaksa saya ikuti. Walaupun keputusan saya untuk tangguh pertunangan dan pernikahan pada masa itu tidak disenangi oleh isteri saya dan keluarganya pada masa tu dan dianggap terlalu ikutkan keluarga.

Maklumlah, saya ni pulak anak lelaki sorang. Tetapi saya terpaksa bertegas, sebab bagi saya pernikahan perlukan keberkatan dan restu orang tua. Saya nak pernikahan saya semua pihak gembira. Untuk jangka panjang, saya inginkan hubungan kita dengan ibu bapa baik, isteri dengan mertua pun baik.

Bayangkan kalau kita tergesa2? Hubungan kita dengan ibu bapa mungkin terjejas, ibu bapa pun mungkin beranggapan isteri kita jadi penyebabnya..dengan isteri pun jadi kurang baik. Bila dah kurang baik kan timbul masalah-masalah lain?

Selain dari itu, berkat mendengar kata orang tua, ekonomi saya mantap kerana menangguhkan pernikahan, tinggal di rumah sendiri sejuruh sahaja saya lepas bernikah. Kawan2 yg tak sabar nak kahwin awal, menumpang lama rumah ibu bapa atau mertua. Saya nikah terus dapat kunci rumah. : ) Alhamdulillah.

b. Menjadi pemimpin keluarga dan bersedia untuk dipimpin.

– Sebagai suami perlu menjadi pemimpin keluarga. Untuk pemimpin yang dihormati perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada bakal isteri. Ianya perlu dilatih dari sekarang, tak boleh tunggu masa dah kahwin nanti.

– Janganlah sesuka hati memaki dan mencela pasangan. Belajar dari sekarang untuk menjaga solat kita dan berlatih jadi imam kepada solat berjemaah.

– Kepada bakal isteri pula, perlu bersedia untuk dipimpin. Perlu mendengar kata suami. Tapi suami perlu kena betul lah! Kalau tak betul, macam mana isteri nak ikut ikut kata suami? Sedangkan perintah suami wajib diikuti (dalam hal2 bukan maksiat).

– Oleh kerana suami ni powerful dan perintah dia wajib diikuti, maka bakal isteri perlulah pilih bakal suami dengan baik. Jangan pilih sembarang. (saya akan sentuh dalam topik kedua dengan lebih terperinci)

c. Memberi nafkah kepada keluarga. (bagi suami)

– Mampukah anda berikan nafkah kepada isteri dan bakal anak-anak?

– Sudahkah anda menbuat kira-kira perbelanjaan melepasi urusan kerja kahwin? Perbelanjaan bulanan seperti duit pasar, bil rumah dll. Tidak termasuk belanja pampers, susu budak2 selepas dapat anak kelak?

– Adakah bakal isteri anda masih bekerja selepas berkahwin atau menjadi suri rumahtangga? Jika kedua suami isteri bekerja, bagaimana pula dengan perbelanjaan harian. Adakah ia dikongsi bersama atau bagaimana?

Hmmph..semua tu kena fikirkan. Malah, inilah yang lebih penting tidak boleh kita lupakan dalam asyik kumpul duit nak kahwin, dan tidak kumpul duit lepas kahwin.

d. Memberi komitmen kepada keluarga baru.

– Adakah anda sudah mampu memberikan komitmen kepada keluarga baru? Bagi yang suka lepak-lepak jauh malam dengan teman-teman saban malam, perlulah tinggal kekal menjadi sejarah sahaja lepas bernikah kelak.

– Jangan tunggu lepas kahwin baru nak berubah! Ia perlulah diubah dari sekarang. Kalau tak susah kelak.

Itu sahajalah, I.Allah akan saya kongsi pada bahagian kedua nanti bagi topik Adam & Hawa, Pasangan Hidup Sejati yang akan membicarakan tentang isu mengemal personaliti lelaki dan perempuan, kriteria suami-isteri pilihan mengikut agama Islam dan lain-lain lagi.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s