Alhamdulillah, bulan Februari ni genaplah setahun usia blog saya. Setakat ni pengunjung laman abahyasir Sudahpun mencapai lebih 16,000 hit dengan akhir-akhir ini purata sekitar 1,500-2000 kunjungan setiap bulan.

Walaupun saya dah menceburi hampir 5 tahun arena penulisan blog ini, namun hanya setahun yang lalu baru saya terfikir untuk menggunakannya sebagai satu platform dakwah.

Sebab Blog Ini Diwujudkan

Matlamat saya menghasilkan blog ini ialah untuk berkongsi pengalaman dalam kerja seharian saya selain berkongsi tips-tips berguna sebagai panduan seharian dalam menangani isu-isu yang berkaitan berdasarkan kes-kes sebenar yang saya kendalikan semasa di masjid, mahkamah Shariah atau perkongsian semasa bertemu dengan individu-individu tertentu selain wadah untuk saya luahkan pandangan dalam satu-satu isu semasa.

Saya juga lebih gemar menulis secara santai dan relaks walaupun topik yang saya kemukakan kadangkala bercorak serius dan genting sambil diselitkan unsur humor agar pembaca tidak stress bila lungsuri laman blog saya.

Teman-teman sering komen, wah! banyak time kau? Sebenarnya, masa ni memang tidak pernah ada kecuali kita yang cari masa tersebut. Saya sendiri, masa terbaik untuk saya tulis ialah selepas semua ahli keluarga dah tidur, saya juga suka tulis sedikit demi sedikit. Lama-lama kan jadi bukit? Lagipun, dah menjadi prinsip saya. Bila nak buat sesuatu perkara, penting kita punya minat dan lakukan dengan bersungguh-sungguh serta serius. Barulah berjaya.

Cemuhan

Namun seperti mana yang dialami oleh blogger-blogger lain, arena ini juga tidak sepi dari kutukan dan cemuhan yang merupakan asam garam dalam dunia blogging. Ada yang marah-marah jika pandangan saya tidak sehaluan dengan pandangan pihak tertentu sehingga saya pernah di cop sebagai ‘hamba kerajaan’, ‘media darling Muis’ serta ‘takut periuk nasi terjejas’.

Dasyatkan? Ada juga yang sindir-sindir dengan kata-kata yang menyakitkan hati, apa nak buat? Mereka ni hanya berani bila tak berhadapan. Layankan sahajalah. Kita perlu bersikap dewasa dan rasional bila berdepan dengan golongan macam ini. Tidak boleh terlalu emosi. Nak buat macam mana. Setiap manusia ada pandangan tersendiri. Kita tak boleh paksa orang setuju dengan kita.

Saya tak pasti bagaimana label-label tersebut muncul. Mungkin juga kerana wajah saya terpampang di van Muis agaknya? Atau mungkin sebab saya sering kali juga diminta berikan pandangan oleh media setempat baik di akhbar Melayu dan Inggeris mahupun di kaca TV. Jika itulah sebabnya, bagi saya ianya lebih kepada pihak media mengiktiraf kerja saya dan bukan bersandar kepada mana-mana agensi kerajaan semata.

Begitu juga dengan tuduhan menjaga periuk nasi. Saya tak pasti sejauh mana dakwaan tersebut benar. Bagaimana orang-orang sebegini tahu isi hati saya di sebalik perenggan-perenggan di blog ini? Tidakkah itu satu buruk sangka terhadap sesama Muslim? Jika tidak benar sangkaan tersebut, tidakkah ianya satu fitnah dan dusta? Apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah golongan ini sebenarnya tidak kenal saya dengan sebenar-benarnya.

Kadang kala dengan ukhuwwah yang terjalin, kita lebih mengenal hati budi masing-masing dan tidak cepat melatah dalam membuat sebarang tuduhan. Atas dasar itu walaupun saya mempunyai teman-teman asatizah daripada pelbagai latar belakang dan fahaman yang berbeza. Biasanya perbezaan pandangan dapat dihuraikan dengan baik lagi penuh hikmah atas dasar sikap hormat-menghormati antara satu sama lain hasil dari persahabatan yang terjalin.

Faedah Media Baru

Saya juga tidak dapat menafikan betapa besar sekali impak yang dapat diberikan oleh media baru. Sepanjang saya kerja di masjid, selain dari panggilan telefon bagi kemusykilan agama atau kaunseling. Saya tidak pernah terima emel yang sebegitu kerap seperti sekarang, baik berkaitan dengan soalan kemusykilan agama mahupun isu-isu peribadi (kaunseling).

Seminggu paling sikit 2 emal dan kadangkala mencecah hingga 5 emel seminggu. Memang nampak sikit, tapi jika ianya berkaitan isu rumahtangga seperti kecurangan, perbalahan, isu anak-anak, ibu bapa, isu tempat kerja dan juga isu seks. Pasti pening dibuatnya. Walaupun pening, namun saya tetap gembira kerana dapat membantu mereka yang memerlukan. Dapat pahala tu!

Ia sesuatu yang sukar kerana saya perlu kenal pasti isunya yang sebenar di sebalik emel yang panjang lebar, fikirkan huraian dan juga draf jawapan bagi isu-isu yang dikemukakan. Biasanya saya akan catit dulu poin-poin nya sikit-sikit pada setiap malam sebelum saya emel kembali kepada si penanya. Soalan-soalan di emel ini pula tidaklah termasuk soalan yang diterima di ruangan multiply atau facebook saya. Sebab tulah kadang kala blog itu sepi tanpa sebarang posting cerita baru walaupun sebenarnya ada beberapa isu yang ingin saya ketengahkan.

Oleh itu, ia satu nikmat bagi kita semua dengan adanya wadah media baru ini sekurang-kurangnya masyarakat yang tidak berkesempatan ke masjid serta mereka yang segan untuk bersemuka dapat juga bertanya dan mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Terima Kasih

Akhir sekali saya ucapkan ribuan terima kasih kepada teman-teman dan juga orang ramai ramai yang mengunjungi dan menyokong lelaman ini baik mereka yang berada di Singapura mahupun luar dari Singapura.

Juga kepada tuan punya blog yang sudi menyertakan laman saya dalam senarai link blog-blog mereka. Tidak ketinggalan juga kepada saudara Nas Ahmad ‘Aura Mustika’ yang mempublisitikan blog ini di Berita Harian sehinggalah dikenali ramai (sehingga beliau digelar fanatik pada saya – sedangkan beliau peminat fanatik Siti). Saya tidak dapat melupakan ketika tu, lebih 400 hit dalam masa beberapa jam sahaja! Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa anda.

Semoga Allah berikan saya kekuatan dan keafiatan agar saya dapat meneruskan usaha dakwah setakat mana yang termampu melalui alam maya. Amin!

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Comments are closed.