Pernah saya ditanya, “Ustaz, antara tanggungjawab suami pada ibu dengan tanggungjawab pada keluarga yakni isteri dan anak-anak. Mana yang lebih utama?
Sebenarnya amat sukar untuk saya menjawab soalan ini, sebab lain orang lain jawapannya. Setiap individu perlu punyai keperluan dan isu yang berbeza. Lantaran itu tidak adil adil untuk memberi memberi pandangan atau saranan apatah lagi jawapan tanpa mengetaui latar belakang dan permasalahan orang yang bertanya.
Namun untuk faedah bersama, saya rumuskan kepada beberapa perkara utama bagi memudahkan kefahaman para pembaca:
Pertama: Berlaku Ihsan Pada Kedua Ibu Bapa Sebelum dan Selepas Berumahtangga
Keutamaan untuk berbuat baik pada ibu bapa adalah mutlak bagi seorang anak lelaki mahupun perempuan sebelum mereka berumahtangga, kecuali dalam keadaan di mana perintah kedua orang tua mempunyai unsur maksiat, maka ia wajib diingkari.
Namun apabila seorang Muslim itu bernikah, beliau mempunyai tanggungjawab baru yang tidak kurang pentingnya di sisi agama.
Beliau bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan kadar keperluan mengikut kemampuan suami. Atau sama-sama berkongsi pendapatan dalam menguruskan keperluan keluarga bagi keadaan di mana isteri turut sama bekerja bagi membantu meringankan bebanan suami.
Peranan seorang suami dan bapa di sini bukan hanya sekadar menyara keluarga, lebih dari itu berperanan penting melindungi isteri, memberi kebahagiaan kepada keluarga dan kedamaian rumah tangga, di samping keperluan memberikan pendidikan dan asas pendidikan Islam untuk anak-anaknya.
Kedua: Perbezaan Keutamaan Tanggungjawab Setelah Berumahtangga
Walau begitu, tanggungjawab seorang anak lelaki terhadap kedua ibu bapanya juga tidak akan berakhir walaupun dirinya telah berkahwin. Cuma berbeza dengan ketika sebelum bernikah, keutamaan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab barunya sebagai seorang suami dan bapa.
Kegagalan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa kerana lantaran terlalu sibuk dengan ibu atau bapa sendiri sehingga mengabaikan keluarga baru iaitu isteri dan anak-anak juga merupakan sesuatu yang dilarang agama.
Untuk menilai keutamaan antara ibu atau keluarga sendiri bagi mereka yang sudah berumahtangga juga merupakan satu perkara yang subjektif, dan sukar untuk diberikan jawapan yang konsisten kerana ia kembali kepada contoh dan senario yang tertentu, yakni lain keadaan dan masa, lain pula keutamaannya.
Dalam isu hubungan antara suami bersama isteri dan ibu atau bapa, banyak keadaan di mana si suami kadangkala terhimpit di tengah-tengah, iaitu antara mengikut kata ibu atau isteri. Atas sebab itu, penting bagi seorang suami mempunyai kepimpinan yang tinggi dan berani membuat keputusan yang tepat, walaupun kadangkala menyinggung hati isteri ataupun ibu, jika itulah yang terbaik di sini agama.
Ketiga: Mengenal Keutamaan antara Ibu Bapa/Mertua dan Keluarga Sendiri
Bagi menjelaskan dan mengenal perbezaan serta keutamaan antara ibu atau kedua ibu bapa dan isteri, tiada jawapan tepat yang standard atau serupa bagi setiap kes atau permasalahan yang diberikan. Setiap keadaan mempunyai jawapan yang berbeza-beza. Ada keadaan kita perlu berpihak dan memberi keutamaan kepada isteri, dan ada keadaan yang lain pula, ibu bapalah yang perlu kita utamakan.
Bagi memudahkan para pembaca memahami apa yang saya maksudkan, saya berikan contoh-contoh berikut:
Contoh Pertama:
Ibu mendesak agar anak lelaki membawa isteri tinggal bersama atau tidak mengizinkan anak lelaki berpindah rumah sendiri. Si isteri pula berkeras dan bermati-matian untuk tinggal di rumah sendiri atau berpindah rumah jika belum mempunyai rumah sendiri.
Akhirnya si suami mendengar kata si isteri disebabkan si suami memahami benar perangai isteri dan juga ibunya. Iaitu jika keduanya kekal tinggal bersama, keadaan mungkin lebih menjadi huru hara dan tidak terkawal, bahkan tidak mustahil ia boleh membawa kepada perceraian pula.
Atas alasan jangka masa panjang, maka si anak membuat keputusan untuk berpindah dari rumah ibu dan membeli rumah lain. Dalam keadaan ini, si ibu mungkin kecil hati.
Namun suka diingatkan di sini, menyediakan tempat tinggal untuk keluarga juga merupakan satu kewajipan suami dan juga hak seorang isteri, yang mana jika tidak dipenuhi, bermakna kegagalan kita menjalankan salah satu tanggungjawab sebagai suami dan memenuhi hak isteri.
Walaupun berkemungkinan besar pada mulanya si ibu mungkin merajuk dan berkecil hati dengan tindakan kita, namun sebagai anak perlu untuk kita memujuk dan memahamkan ibu, serta menjelaskan secara objektif di sebalik keputusan yang dibuat.
Insha Allah lama-kelamaan ibu akan dapat menerima hakikat.
Keputusan yang jelas matlamatnya, pastinya akan membawa kebaikan kepada kedua-dua belah pihak dari segi jangka panjang.
Pada masa yang sama, keputusan untuk berpindah rumah atau tidak juga perlu melihat keadaan dan latar belakang ibu atau bapa.
Andai kata, ibu atau bapa atau keduanya masih lagi sihat dan kuat serta mampu bekerja; atau ibu atau bapa sudah tua, tetapi terdapat adik beradik lain yang sudi menjaga, maka tidak mengapa dalam keadaan ini suami memberi keutamaan kepada isteri dan anak-anak dengan berpindah rumah dan memenuhi hak isteri.
Contoh Kedua:
Situasi yang hampir serupa dengan senario yang pertama, tetapi ibu bapa kita sudah tua dan uzur atau ibu dan bapa kita kematian suami atau isteri dan tinggal keseorangan, dan sudah lanjut usia serta uzur pula.
Situasi ini juga melibatkan anak lelaki yang merupakan anak tunggal, atau dalam keadaan adik beradik yang lain langsung tidak mengendahkan keadaan ibu atau bapa mereka.
Maka dalam keadaan ini, wajib si anak memberi keutamaan kepada orang tua dan tinggal bersama mereka atau membawa mereka tinggal bersama isteri dan anak-anak, walaupun keputusannya ini mendapat bangkangan keras dari si isteri.
Ini kerana menurut hak isteri dalam situasi ini adalah amat tidak wajar, malah isteri perlu menunjukkan keihsanan terhadap mertuanya kerana keadaan yang sudah disebutkan tadi.
Ingatlah, kegagalan berbakti kepada ibu bapa dalam senario ini boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga, sebagaimana yang disebutkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: “Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua, namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).” (Riwayat Imam Muslim)
Sedangkan jika si suami mengikut alasan isteri, maka dalam jangka panjang hubungan isteri dan anak lelaki bersama si ibu boleh menjadi keruh, dan tidak mustahil ini boleh menjejaskan perkahwinan mereka berdua kelak dalam jangka masa panjang.
Keempat: Keperluan Bersikap Objektif Dalam Membuat Keputusan
Ingatlah, bagi setiap keadaan dan situasi mempunyai keutamaan yang berbeza-beza. Setiap keputusan pula perlulah objektif dan berlandaskan perintah agama secara menyeluruh. Jika ini dapat dilakukan, Inshaallah selaku anak dan suami, mereka bakal mendapatkan penghormatan dari ibu dan isteri.
Ibu dan isteri pastinya tidak selalu setuju dengan keputusan anak lelaki atau suami, tetapi jika keputusan kita adalah jelas dan melihat kepada kesan jangka panjang bagi keluarga dan menurut ruh ajaran Islam, maka lambat laun sesudah keadaan menjadi tenang, keduanya akan dapat memahami rasional di sebalik keutamaan dan keputusan yang dilakukan.
Semoga penerangan saya ini mampu memberikan sedikit pencerahan bagi kita apabila berdepan dengan dilema yang serupa.
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 37, terbitan Telaga Biru, Malaysia.
Salam Ustad.
Adakah dalam Islam seorang anak lelaki wajib membawa ibu bapa nya tinggal bersama dgn isteri dan anak2 sedangkan mereka berdua masih ada rumah sendiri dan masih boleh berjalan(sihat).
Mereka menjual rumah lalu tinggal bersama suami dan menantu perempuan. Tetapi si isteri tidak merasa selesa kerana keselesaan isteri di rumah jugak harus diambil kira. Kerana jika hati isteri tidak gembira, seluruh rumah akan nampak muram.
Di sini, saya ingin tau adakah isteri mempunyai hak untuk merasa keselesaan di dalam rumah sendiri e.g. privacy and space.
Apa yang harus suami lakukan?