Memandangkan sekarang ini merupakan musim cuti persekolahan, musim di mana kita sering menerima undangan meraikan hari-hari majlis pernikahan kenalan mahupun saudara mara kita. Tidak lupa juga ia merupakan hari yang penuh bersejarah bagi setiap pasangan mempelai yang akan bernikah.
Hari melangsungkan majlis pernikahan pastinya merupakan saat-saat yang paling indah dan bermakna bagi setiap pasangan suami isteri, tidak kiralah majlis pernikahan tersebut melibatkan pasangan mempelai seorang teruna atau dara, duda atau janda mahupun pasangan yang sudah lewat usia.
Bagi pasangan yang bakal berumahtangga pula, semestinya hari yang bersejarah ini dinantikan dengan penuh debaran. Segala perancangan pada hari tersebut pastinya disusun dengan rapi. Malah, sudah menjadi satu tren pula di ketika ini bakal pasangan mempelai mendapatkan ‘perancang perkahwinan’, agar hari yang penuh bersejarah berjalan dengan lancar dan menjadi satu hari yang dikenang sampai ke bila-bila.
Namun dalam kita sibuk menyusun perancangan untuk hari bahagia ini, usah pula dilupa aspek keberkatan, agar majlis pernikahan yang diharapkan hanya sekali dalam hidup ini diredhai oleh Allah dan diberikan kerahmatan oleh-Nya. Oleh itu, berhati-hatilah agar anjuran Islam yang mudah ini, tidak diberatkan dengan perkara-perkara yang kurang perlu, yang seterusnya menjejaskan keberkatan majlis nikah kita ini. Ingatlah akan pesan Baginda s.a.w. yang bermaksud:
“Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh kerana itu, kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Jadi persoalannya bagaimana dapat kita perolehi keberkatan dalam perkahwinan serta mendapat keredhaan-Nya?
Untuk menjawab persoalan ini, bersama ini saya sertakan beberapa peringatan kepada bakal mempelai untuk dapat kita renungkan bersama, yang mana ada antaranya perlu kita elakkan, dan ada pula yang kita perlu memberikan tumpuan padanya. Perkara-perkara tersebut ialah:
1. Foto Ala Suami-Isteri
Amalan mempamerkan foto bersama yang diambil sebelum nikah sebegini semakin berleluasa di kalangan pengantin Melayu-Islam. Praktis berfoto di tempat-tempat menarik yang diambil sebelum bernikah bagi dijadikan album untuk tatapan para hadirin pada majlis persandingan, merupakan tren yang saban hari semakin popular di kalangan masyaakat Islam kita khususnya bagi golongan kelas pertengahan atau atasan.
Kadangkala pula, kita dapati kad jemputan walimah juga berlatar belakangkan gambar mempelai bersama lengkap dengan pakaian pengantin!
Maka suka diingatkan agar pasangan mempelai dapat bersabar sedikit sehinggalah selepas diijabkabulkan, bak kata pepatah ‘Tak akan lari gunung dikejar!’ Lepas diijab kabulkan, bergambarlah sebanyak mana yang kita hendak.
Sebagai alternatif, bolehlah situasi foto bersama tersebut dirancangkan sejurus selepas bernikah, dengan majlis walimah diadakan beberapa minggu atau hari selepas itu.
2. Pakaian
Memilih pakaian untuk hari pernikahan pastinya merupakan saat yang paling ghairah bagi sebilangan besar mempelai khususnya pengantin wanita. Maklumlah cik Abang biasanya tidak cerewet, berbaju kurung dengan bersamping serta bertanjak atau bersongkok sudah kelihatan kacak dan bergaya.
Tidak salah untuk ingin kelihatan anggun, tetapi janganlah sampai ke peringkat melampaui batas sehingga pakaian yang dipilih bukan sahaja sehingga menampakkan bentuk tubuh badan tertentu, tetapi juga sehingga mendedahkan kepada susuk tubuh yang tidak patut didedahkan.
Dalam hal ini, mungkin para ibu bapa dapat memainkan peranan dalam memantau pakaian yang dipilih oleh anak perempuan kita.
Yang lebih menyedihkan kadangkala ia berlaku pada pasangan yang biasanya cukup sopan pada hari biasa, tetapi tidak pada hari pernikahan.
Usahlah kita menggadaikan prinsip yang selama ini kita pegang kerana semata-mata ia merupakan satu-satunya hari, di mana kita merupakan raja atau permaisuri sehari.
(Bersambung)
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 20, terbitan Telaga Biru, Malaysia.