Sambungan…
Kali ini saya akan cerita tentang kriteria suami-isteri pilihan yang perlu ada pada setiap lelaki atau perempuan yang perlu kita jadikan sebagai prioriti apabila memilih bakal suami dan isteri berdasarkan anjuran sunnah baginda Rasululullah.
Saya ringkaskan kepada 7 ciri-ciri sahaja bagi setiap suami-isteri pilihan seperti mana berikut:
1. Beragama
Sabda Rasulullah: ‘Bila datang seorang lelaki yang kamu redhai agama dan akhlaknya, hendaklah kamu nikahkan dia kerana kalau engkau tidak menikahkan dia, nescaya akan terjadi fitnah di muka bumi dan dan kerosakan yang besar.’ (Tirmidzi dan Ahmad)
Walau bagaimana sekalipun, ciri agama perlulah dijadikan sebagai pilihan utama kita dalam mencari suami. Bagaimana nak kenal? Carilah mereka yang tak tinggal solat 5 waktu. Nak cari bakal suami yang solat 5 waktu pulak, mestilah kita pun jenis orang yang tak tinggal solat juga, kalau tak macam mana lah mamat tu nak suka dan pilih kita? Betul tak?
Hadith di atas, juga sebagai satu peringatan kepada bapa-bapa (wali) agar memilih anak menantu yang kuat agamanya dan punyai pemahaman agama yang betul agar rumah tangga bahagian dan diberkati Allah.
2. Taat Kepada Orang Tua
Sabda Rasulullah: ‘Berbaktilah kepada orang tua kalian dan peliharalah kehormatan isteri-isteri, nescaya kehormatan isteri kalian akan terpelihara.’ (Tabarani)
Carilah bakal suami yang hormat dan taat kepada orang tua. Yakni yang tidak derhaka dan berlaku kasar atau kurang ajar kepada orang tua. Jika mereka hormat kepada orang tua sendiri, I.Allah mereka juga akan hormati orang tua kita.
3. Menjauhi Maksiat
Sabda Rasulullah: ‘Tiga golongan yang Allah haramkan masuk syurga ialah peminum minuman keras, orang yang derhaka terhadap ibu bapanya, orang yang berbuat dayus yang menanamkan perbuatan dosa kepada keluarganya.’ (Nasaa’i)
Kalau dah tak solat satu hal, jangan pulak ditambah beban dengan lelaki yang seperti Nabi sebutkan di atas!
4. Berdikari
Sabda Rasulullah: ‘Wahai golongan pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin, hendaklah dia berkahwin. Kerana kahwin itu akan lebih menjaga pandangan dan memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu berkahwin, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu perisai.’ (Bukhari & Muslim)
Hadith di atas, kalau dilihat dengan teliti, walau Nabi galakkan nikah tetapi pada masa yang sama..Nabi juga sebut kalau tak mampu kena puasa..maknanya jangan nikah dulu..cari duit. Kalau nikah juga, timbul pula perkara lain seperti pengabaian nafkah dan sebagainya. Dosa tu!
Jadi, bakal suami perlu mantap kewangan…masa belum kahwin semua adik boleh tanggung, dah nikah nanti bengang juga lama2 dapat laki lagu ni.
5. Dapat Memimpin
Firman Allah: ‘Lelaki itu adalah pemimpin kaum wanita kerana Allah telah melebihkan mereka atas sebahagian lainnya dan kerana mereka telah membelanjakan sebahagian harta mereka..’ (An-Nisaa: 34)
Penting mencari seorang suami yang mempunyai kepimpinan yang tinggi dan pandai membuat keputusan sendiri. Tapi jangan salah sangka pula kalau bakal suami kita tu asyik dengar kata ibu sebagai anak mak! Bukan apa, sebelum kahwin memang kita sebagai anak lelaki perlu lebihkan ibu kita sendiri, tapi bila dah dah nikah ia dah jadi cerita lain dan keadaan juga berbeza. Kita dah jadi suami dan perlu mendengar juga luahan hati isteri kita tu.
Sila lihat posting saya terdahulu yang ada membincangkan isu ini dengan lebih lanjut => https://abahyasir.wordpress.com/2008/10/ibu-mertua-vs-anak-menantu-perempuan/
6. Bertanggungjawab
Firman Allah: ‘Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: Wahai bapaku, ambillah dia sebagai seorang yang bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dipercayai.’ (Al-Qashas: 26)
Rajin bekerja, pandai cari duit dan pandai merancang untuk keluarga..Cubalah selidik bagaimana pasangan kita habiskan duit gaji mereka? : ) Ada tak simpanan untuk masa depan selain dari simpanan untuk kahwin?
7. Melayan Wanita (isteri) Dengan Baik
Sabda Rasulullah: ‘Orang mukmin yang paling baik imannya ialah yang paling paling akhlaknya. Dan orang yang paling baik di antara kamu ialah orang berbuat baik dengan isterinya.’ (Bukhari)
Ni lah yang paling banyak terjadi, bila dah kahwin..isteri dimaki dan dicela dengan sebutan yang kurang enak seperti b*@& , perempuan sun$#@ dan lain-lain lagi perkataan yang tidak sesuai dilafazkan kepada seorang isteri yang pada malamnya kita menikmati tubuh badan mereka dan merupakan ibu kepada anak-anak kita.
Sebenarnya, jangan terkejut…Sifat atau sikap memaki hamun wanita atau isteri ini tidak datang dengan tiba-tiba. Biasanya ia sudahpun bermula sejak bercinta lagi. Tapi kerana kasih atau cair bila kena pujuk, wanita biasanya akan mudah lupa dan berharap sikap buruk ini akan berubah selepas berkahwin nanti. Tapi kadang yang pompuan pun lebih kurang 2×5 dol juga, dia sendiri pun kuat maki, lelaki maki dia maki balik. Camna tu? Memang sesuai lah jadi suami isteri. Sehati sejiwa orang kata.
Nasihat saya, jika nak pasangan kita berubah. Maka pastikan dia berubah dari sekarang dan jangan mengambil risiko dengan harapan mereka akan berubah selepas bernikah kelak. Sila lihat posting saya di multiply abah yasir bagi isu yang sama.
Bersambung…