al Ustaz

Gambar hiasan: Majalah al-Ustaz edisi ke 12

Bercerita tentang kisah komunikasi antara suami dan isteri pasti ada banyak ragamnya.  Ini tidak menjadi hairan kerana lelaki dan wanita memang mempunyai perwatakan dan personaliti yang jauh berbeza. Sebagai contoh, apabila si suami mengharapkan pertolongan dari isteri, biasanya seorang suami itu langsung akan meminta dari isterinya. Bagaimana pula dengan si isteri?

Sang isteri biasanya tidak berbuat demikian, tetapi mereka kebiasaannya mengharapkan sang suami faham sendiri untuk membantu mereka, dan dalam banyak keadaan, sang suami tidak akan faham.

Antara isu atau konflik yang biasa berlaku antara suami dan isteri ialah isu komunikasi. Pernah dalam satu peristiwa ketika dalam satu sesi kaunseling, si suami mengadu kepada saya bahawa isteri beliau merajuk kerana tidak dilayani olehnya. Beliau juga mengaku, bukan sahaja tidak dilayan isterinya itu, tetapi dibentaknya pula. Kasihan sang isteri. Al-Kisah, sang isteri (seorang suri rumahtangga) ingin berkongsi cerita kepada suaminya masalah antara beliau dengan adik beradiknya.

Saya beritahu suami tersebut, ‘Kadangkala kita perlu buat beberapa perkara yang mudah dalam komunikasi bersama isteri’.

Namun secara jujurnya, ia bukanlah sesuatu yang mudah sebenarnya. Ia memerlukan kepada praktis, agar ianya menjadi suatu habit atau kebiasaan. Bahkan seorang pakar psikologi pernah berkata: ‘Untuk menjadikannya satu tabiat, seseorang itu perlu mengulangi perkara yang sama sebanyak 16 kali!

Secara ringkasnya, antara perkara ‘mudah’ yang saya maksudkan pada si suami tadi ialah:

Pertama: Belajar mendengar luahan isteri

Dalam kes yang dikongsi tadi, sang isteri sebenarnya memerlukan seseorang untuk mendengar luahan hatinya. Maklumlah, dari pagi sampai ke malam, beliau perlu menjaga anak dan hanya pada waktu malam sahaja dapat bersua suami. Hakikatnya, sang isteri inginkan perhatian suami sahaja, cukuplah sekadar si suami menunjukkan bahawa beliau mendengar. Itu sebenarnya sudah mencukupi.  Mudah kan? Akan tetapi, yang mudah itulah susah untuk kita lakukan.

Dalam hal ini, terdapat beberapa perkara yang boleh si suami tunjukkan bahawa kita mendengar keluhan sang isteri, antaranya:

  • Melalui gerak badan (body language) – Hentikan dahulu segala perbuatan. Contoh, jika sedang membaca akhbar, berhenti sebentar dan tatapilah isteri serta mendengar keluhan sang isteri.
  • Respon pada isteri – Iaitu melalui mengiyakan sama ada dengan mengangguk-anggukkan tanda setuju, atau sekadar respon yang mudah seperti ‘ya’ atau ‘oh’. Atau soalan yang mudah seperti  ‘lepas tu’?
 Pasti sang isteri akan lebih bersemangat untuk lebih bercerita! Mengapa? Sebab mereka tahu bahawa kita sedang mendengar keluhan mereka.
  • Parafrasa (paraphrase) – Contoh, apabila isteri berbicara: ‘Saya pergi rumah mak, lepas tu jumpa Kak Ton, Kak Nab…’ Kita lakukanlah parafrasa dengan menjawab:  ‘Oh, tadi awak cakap nak pergi rumah mak, jumpa Kak Ton, Kak Nab? Betul tak?’
  • Postur tubuh badan – Mengadap isteri bila berbual.

Jika segala perkara ini dapat dilakukan, pasti sang isteri akan merasa puas dan gembira, dan merasakan yang suami mereka mendengar segala luahan yang dicurahkan. Itulah sebenarnya yang mereka inginkan.

2. Empati.

Walaupun merasa letih dan penat, ditambah pula jika terdapat isu dan masalah di pejabat, suami perlulah juga mengambil kira  perasaan isteri. Ini sedikit sebanyak membantu kita untuk lebih bersabar dan tidak membentak isteri akibat isu-isu yang berserabut di kepala kita.

Maksud empati di sini ialah meletakkan diri kita dalam keadaan orang tersebut. Cubalah bayangkan perasaan sang isteri yang kesunyian, keletihan dengan urusan kerja rumah seperti membasuh, menggosok dan melipat baju, memasak serta menjaga urusan hal ehwal anak-anak dan sebagainya.

Mereka menunggu dengan penuh harapan kepulangan suami, bayangkan betapa hampanya jika kita tidak menghargai perasaan mereka, tidak melayan dan bahkan membentak mereka pula?

Kembali kepada kisah sang suami tadi. Beliau juga turut berkongsi, yang kadangkala keadaan cukup tegang sehinggakan isterinya pernah meminta cerai. Maka di ketika itu, beliau memberitahu isterinya: ‘Awaklah satu-satunya wanita dalam hidup saya, tanpa awak hidup saya tak bermakna’

Terus, sejak hari itu isteri beliau mula berubah, dan tidak lagi mengugut dengan permintaan cerai dan sebagainya. Lihat tak betapa impaknya kata-kata si suami tadi?

Saya beritahu beliau, itulah yang sebenarnya isteri ingin dengar. Tidak cukup mengaku diri ini sayang, jika ianya tidak kita luahkan. Saya bagi contoh pada si suami tadi, apabila isteri memasak jamuan yang enak, tidak mencukupi kita makan bertambah-tambah nasi atau lauk, walaupun maknanya sedaplah sehingga sampai bertambah-tambah. Tetapi bagi isteri sebenarnya ia masih belum mencukupi, mereka akan hampa apabila sang suami tidak memberi sebarang komen (inginkan pujianlah maknanya!). Dengan itu, suami perlulah memuji dan meluahkan rasa enak masakan sang isteri.

Seperkara lagi yang saya cadangkan pada beliau, ialah supaya dapat mempertimbangkan cadangan agar dapat keluar berdua dengan isteri (mereka tidak pernah lakukan sejak kelahiran anak-anak mereka rupanya). Beliau menjawab: ‘Alah, nanti isteri saya tak mahulah!’ Saya menjawab: ‘Tidak mengapa, cubalah.  Ini Kerana kadangkala kita perlu masa untuk berdua tanpa gangguan anak-anak, Insha Allah, kesannya akan kelihatan nanti.’

Al-maklumlah, kalau keluar dengan anak, yang satu menangis, yang satu lagi mengamuk disebabkan lapar atau ingin tidur. Apabila makan bersama, tumpah airlah, lauklah. Pasti ada sesuatu yang berlaku. Kadangkala, boleh rosak ‘mood’ dan kecoh jadinya. (Ini pengalaman saya yang baru anak tiga) Bayangkan bagi mereka yang punyai anak lebih dari tiga?

Di akhir sesi, beliau memberitahu saya: ‘Ustaz, masih banyak lagi yang saya belum kenal isteri saya ni.’ Saya hanya mampu tersenyum. Namun dalam hati saya berkata: ‘Memang betul, kadangkala memang sukar untuk kita hendak kenal hati budi seorang yang bernama wanita ni’. Hehe.

Nota:

Artikel ini merupakan sumbangan saya buat majalah al-Ustaz keluaran yang ke 12 pada bulan Mac yang lepas. Memandangkan sudahpun terbit keluaran yang baru, saya kongsi bersama buat tatapan eksklusif pembaca abahyasir.com

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

One response »

  1. okje says:

    Terima kasih perkongsian ini

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s