Krista Bremer and her daughter

Sebenarnya idea menulis isu ini timbul apabila melihat ramai ibu-ibu muda khususnya yang bertudung tetapi membiarkan anak-anak kecil mereka yang berusia 8-9 tahun atau lebih besar tidak memakai tudung. Sayang rasanya..

Mengapa ‘sayang’ atau rugi? Kerana pertama, ibu merupakan contoh terbaik dan dilihat oleh anak-anak pada setiap masa. Kedua, usia kecil merupakan waktu yang paling mudah untuk kita mentarbiyah atau membiasakan mereka dengan bertudung dan mematuhi perintah agama. Ini berbeza dengan isu di mana si ‘ibu’ hanya bertudung lewat dan anak pada masa itu sudahpun berusia belasan tahun, maka pastinya, ianya lebih sukar dan sulit, kerana si anak sudah terbiasa dan terbudaya tidak bertudung dari kecil.

Pada masa yang sama, timbul persoalan jika anak-anak dididik dari kecil bertudung (atau dipaksa), maka apabila besar nanti mereka akan memberontak dan buka tudung..sila lihat beberapa komen pembaca apabila diajukan isu ini di ruang FB page abahyasir:

“…memang bgs di didik dr kecil tp kalau da besar anak tu terasa selama ni dia terpaksa then she start to rebel pun susah..”

“Ust, ramai juga (dr pengalaman saya) yg dari kecil dididik pkai hejab. tetapi meningkat usia remaja, mrk buka tudung sebab merasa terpaksa. Mcmana nak tanamkan minat anak pakai tudung itu dari kecil & untuk selama2nya ye ust?”

“apa hukumnya jika diberi anak yg kecil pakai tudung juga walaupun suami tak izinkan? ……apa yg sebaiknya saya beritahu anak saya. mungkin di pihak suami, dia tak suka nanti besar anak saya akan ON/Off tudung seperti setengah-setengah org.”

Bagi saya seperti mana solat, memakai tudung juga perlu dibudayakan dan dibiasakan sejak dari kecil lagi bagi persediaan apabila tiba usia baligh kelak. Tidakkah peluang mereka untuk kekal bertudung adalah lebih besar jika mereka dibudayakan sejak dari kecil berbanding dengan sebaliknya?

Pada masa yang sama, bukankah tanggungjawab kita untuk mendidik mereka dan membesarkan mereka dengan tuntutan agama? Selebihnya sama ada mereka kekal bertudung atau tidak, ianya sudah menjadi tanggungjawab antara anak-anak tersebut dengan Allah s.w.t. Kegagalan mendidik anak-anak dalam mematuhi perintah Allah, membuatkan para ibu bapa akan dipertanggungjawabkan juga pada hari akhirat nanti.

Timbul pula satu isu, kekhuatiran ini adalah akibat kerana anak-anak ‘dipaksa bertudung’. Mengapa pula perlu dipaksa? Mungkin isu ini perlu dilihat tentang bagaimana implementasi pemakaian tudung tersebut dilakukan.

Sebelum saya tuliskan pandangan saya ini, mungkin timbul pula kenyataan…bagaimana dengan anak saya pula? Adakah dengan saya mendidiknya bertudung sejak kecil, akan menjamin beliau akan terus kekal bertudung sehingga dewasa? Terus terang, tiada siapa yang dapat meramalnya. Kita hanya mampu mendidik dan berikan persekitaran yang sihat, namun keputusan sama ada ia kekal atau tidak bertudung kembali pada yang empunya diri. Sekurang-kurangnya beliau tidak boleh mendakwa di akhirat kelak, saya dan isteri tidak mengajarnya. : )

Kembali kepada soal implementasi tudung, sebenarnya terdapat beberapa perkara yang perlu kita tanamkan pada diri anak-anak sejak dari kecil, bukan setakat hanya suruh anak pakai tudung. Antaranya ialah:

1. Sikap malu.

Ini perkara yang paling penting. Anak-anak tidak kira lelaki ataupun perempuan perlu diterapkan sifat malu pada diri sejak dari usia kecil lagi. Pastinya perkara ini bermula dari sikap ibu bapa juga. Kalau mak bapak tak tahu malu, macam mana nak suruh anak malu kan?

Perkara ini termasuklah penerapan sikap malu ketika mandi, keluar dari bilik air dan sebagainya. Pastikan anak-anak tidak berlengging tanpa tuala pada setiap masa. Ibu bapa perlu bersikap tegas dalam hal ini bagi mendidik sikap malu pada diri anak.

Di rumah saya, dalam hal ini kredit patut saya berikan pada isteri. Beliau memang pantang kalau nampak anak saya dalam keadaan sedemikian, beliau memang jaga disiplin dalam hal ni. Ini termasuklah bila duduk menonton tv sehingga terselak nampak paha dan sebagainya.  Sikap sebegini pada anak memang perlu, agar anak-anak mendapat mesej yang jelas bahawa perbuatan tersebut memang tidak dapat diterima dan menjadi kebiasaan pada diri mereka.

2. Bertahap-tahap.

Segala perkara perlulah dimulakan secara bertahap-tahap, tidak boleh sekaligus : ) Lihat sahaja perintah solat, wajibnya ketika baligh, tetapi dari usia 7 tahun sudah perlu dilatih, 10 tahun sudah boleh dipukul jika tidak bersolat.

Timbul pula persoalan, usia berapa tahun perlu dimulakan anak memakai tudung? Bagi anak saya Madihah, dari usia 3-4 tahun sudah mula bertudung. Tapi bukanlah bertudung terus sepanjang masa. Seingat saya keluar sahaja bertudung, lepas seketika tudungnya tak tahu ke mana! hehe…on off lah maknanya.

Pada masa yang sama, ingin saya berkongsi di sini…walaupun Madihah semasa kecilnya pada kebanyakan masa tidak bertudung, malah kadangkala berskirt dan gemar  baju ‘princess’ lengkap dengan skarf ‘cindrella hehe. Tetapi, ketika usia kecilnya, isteri saya akan pastikan Dihah berseluar panjang atau berstokin panjang di sebalik skirt dan gaun. Itu ‘WAJIB’ bagi kami untuk Madihah.

Perkara yang sama juga pada Yasir, masuk usia 2-3 tahun beliau dibiasakan pakai seluar yang tidak terlalu pendek dan biasanya paling kurang labuh sehingga dekat paras lutut, dan apabila masuk 4-5 tahun, Yasir hanya berseluar panjang walaupun di dalam rumah. Malah, Yasir malu dan tak suka kalau dapat hadiah seluar pendek, hmmph, ‘mudah-mudahan sampai ke besar lah malu kau tu Sir!’ hehe..

Dihah pula, seingat saya bila usianye meningkat 6 tahun, beliau semakin kerap bertudung dan semakin selesa dengan pakaian yang menutup aurat. Tibalah satu ketika saya lihat dan baru perasan, setiap kali keluar beliau pasti bertudung. Saya tanya ibunya untuk kepastian. Beliau jawab, Dihah bagitahu pada cuti hujung tahun lepas di KL, yang dia berazam akan pakai tudung apabila keluar rumah.

Alhamdulillah, sekarang ni kalau ke kedai mama di bawah blok pun, Dihah akan capai tudung dan pakai sendiri. Mudah-mudahan perkara ini berkekalan hingga beliau dewasa. Ameen.

3. Pembudayaan.

Pastinya menutup aurat perlu kepada pembudayaan di dalam keluarga. Walaupun Islam, mengajar solat pelu dilatih ketika usia 7 tahun, tetapi penerapan dan pembudayakan bermula sejak dari kecil lagi oleh ibu bapa. Maka terapkanlah pembudayaan dari kecil dengan pakaian yang bersesuaian dan bukan galakkan dengan pakaian yang bukan sahaja tidak menutup aurat tapi yang menjolok mata!

Saya pernah ke pantai East Coast, lihat budak Melayu berusia 3-4 tahun berbikini, macam mana tu? Padahal ibunya bertudung! Apakah mesej dan nilai yang ingin diterapkan pada diri anak? Tidakkah itu menyemai sikap ‘selesa dan yakin’ pada tubuh badan dan bukan sikap malu?

4. Galakan dan Perangsang

Yang terakhir sekali ingin saya kongsi di sini ialah kepentingan motivasi dalam menggalakkan anak-anak untuk bertudung.  Belikanlah tudung yang cantik2 dan mudah pula dipakai oleh si anak. Pujilah mereka bola setiap kali mereka bertudung. Usahlah dimarahi atau dipaksa jika si kecil tidak mahu bertudung, lakukanlah secara bertahap. Timbulkan minat dan rasa cinta dahulu, I.Allah, kesannya akan lebih lama dan berkesan.

Apa pun suka saya nyatakan juga di sini, bukan bermakna cadangan di atas adalah sempurna dan yang terbaik, bukan bermakna juga, tidak disemai dari kecil menjadi satu kepastian bahawa mereka bila besar nanti tidak bertudung, atau apabila mereka disemai dari kecil, apabila besar nanti mereka akan kekal bertudung.

Kesemuanya adalah hidayah daripada Allah jua, yang penting adalah usaha dan pembudayaan yang kita terapkan sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak kita. Semoga perkongsian saya ini memberi faedah jua kepada semua.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

2 responses »

  1. thinkthink says:

    Ya Ustaz, terima kasih atas penulisan yang cukup baik dan bermanfaat. Kalau ana boleh tambah dari experience yang tak seberapa…

    Dahulu sewaktu kecil, ada seorang kawan yang merungut sebaik sebelum dia berusia 12 tahun. Katanya, “Mak aku cakap bila aku da 12 tahun, aku dah besar. Jadi kene tolong cuci pinggan kat rumah.”

    Walaupun dia merungut, tapi nampak gaya dia mentally prepared. Agaknya approach yang sama boleh digunakan untuk bertudung/tutup aurat/solat/etc. Masa anak itu 4 tahun, cakap dgn dia, bila 5 tahun nanti dah kene solat Magrib, 6 tahun dah kena pakai tudung, etc.

    Ana yakin masa kecil lebih mudah utk dibudayakan dan dididik. Nak menuai buluh, biar dari rebungnya.

    Sekadar berkongsi. 🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s