Sempena ketibaan hari Bapa tidak lama lagi, teringat saya semasa kelahiran anak saya yang pertama iaitu Madihah, bapa saya pernah beritahu saya..anak perempuan kalau wajah sama dengan bapa maka ianya ‘sejuk’. Sejuk? ‘Apa yang sejuknya Pa?’ Tanya saya. Bapa saya sambung lagi..’Sejuknya maknanya rapat’. Oohh..
Memang benar anak saya yang pertama memang wajahnya saling tidak tumpah saya. : ) Memang masin mulut ayah saya, Madihah walaupun anak sulung memang dia manja dengan saya lebih sikit dari Yasir.
Sebenarnya wajah yang sama dan rapat dengan bapa hanyalah satu kebetulan, apa yang penting usaha si ayah tu sendiri dalam mewujudkan hubungan yang erat bersama anak. Iyelah, berapa ramai anak dan bapa muka serupa tetapi hubungan mereka dingin, begitu juga sebaliknya iaitu ada yang muka tidak serupa tetapi hubungan si ayah dengan anak sungguh mesra.
Kalau kita baca-baca dari buku-buku keibubapaan, kesan dan impak ayah kepada anak sungguh besar, jika kita selaku ayah dapat memberikan kasih sayang yang secukupnya pada anak kita, maka potensi anak kita membesar menjadi seorang Muslim atau Muslimah yang baik adalah sangat tinggi. Ini pastinya diterapkan dengan disiplin yang tinggi dari si ayah terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan perintah agama.
Kata Nabi, anak-anak adalah fitrah (bersih) maka ibu bapalah yang mencorakkan anak…Memang benar dan tepat sekali pesanan baginda. Selaku bapa dan ketua dalam rumahtangga, anak-anak melihat segala perilaku kita, bagaimana kita berbicara dan bahasa apa yang kita guna. Cara layanan kita pada isteri juga ditonton anak..Tidak mustahil, anak perempuan kita akan mencari bakal suami seperti bapa mereka, jika bapa mereka seorang yang romantik, pengasih, penyayang, lembut dan penyabar.
Saya beruntung kerana semasa saya kecil, bapa saya dah ‘tone down’, dia lebih banyak menasihat dari berbincang dengan saya, malah ketika saya Darjah Empat di Madrasah Aljunied tiba-tiba keputusan saya amat teruk kerana banyak sangat main-main sehingga mencecah no 20 : (
Bila pulang bapa saya diam membisu, dia tak pukul atau marah tetapi saya tahu dia hampa..Mengikut kata ibu saya, kalau perkara tu berlaku masa zaman kakak saya, hmmph…memang habislah saya kena bedal hehe..Sejak peristiwa itu, saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan tahun berikutnya prestasi saya meningkat dengan banyak dan mendapat tempat bawah no 10. Pada masa tu Madrasah menjadi tempat dumping ground, malah saya antara yang paling kecil dengan usia 10 tahun, sebab ada yang umur 11, 121 tahun, malah ada yang umur 16 tahun pun ada!
Kadang-kadang saya terfikir, apakah yang akan jadi pada saya jika bapa bersikap kasar dan keras? Terus terang saya tidak pasti. Tapi apa yang saya pasti pendekatan bapa yang lembut dan banyak memberikan nasihat telah membentuk hubungan yang mesra dan istimewa seterusnya membuatkan saya lebih mudah mendengar kata beliau.
Dalam kes-kes kaunseling yang saya kendalikan, saya dapat melihat anak-anak remaja yang bermasaalah kebanyakkannya mempunyai hubungan yang kurang mesra dengan ayah mereka, sedangkan ada di antara mereka semasa kecil sangat rapat dengan ayah, tetapi bila besar lama kelamaan ia semakin renggang. Sayangkan? Ia bukan satu perkara yang kebetulan antara kaitan hubungan yang kurang mesra dengan ayah dengan perubahan sikap negatif anak.
Nasihat saya, bila anak semakin membesar, anak semakin memerlukan kasih sayang kita. Sapalah mereka, tanya khabar, sentuh dan peluk mereka. Tegur mereka dengan baik bila mereka buat kesilapan. Puji dan berikan perangsang bila mereka berjaya walaupun hanya kejayaan yang kecil. Bila mereka gagal, jangan sindir atau banding-bandingkan dengan anak yang lain. Jangan juga labelkan anak dengan kata-kata yang kurang seperti malas, bodoh, bebal dan sebagainya.
Semoga posting kali ini sebagai peringatan buat sekalian kaum bapa dan juga saya sendiri. Sebagai penutup posting ini, saya sertakan sekali di sini klip video Yusuf Islam yang bertajuk ‘Father and Son’ ditujukan khusus untuk sekalian kaum bapa yang melungsuri laman web saya ini. Semoga terhibur dan Selamat Hari Bapa!