Kali ini saya ingin berkongsi cerita tentang program Youth ALIVE: ISLAMIC BELIEFS & PRACTICES (Revisit Series) yang akan dianjurkan oleh Masjid Al-Falah dan beberapa masjid lain bersempena dengan cuti sekolah pada bulan Jun ini. Ianya terbuka kepada para belia berusia di antara 17-24 tahun.
Modul Islamic Beliefs & Practices dibangunkan oleh Masjid Al-Falah untuk Muis, Alhamdulillah, dengan izin Allah selepas setahun lebih, kami berjaya akhirnya menyiapkan silabus program ini. Terima kasih kepada teman-teman yang turut serta dalam projek ini sama ada yang separuh jalan ataupun yang sepanjang jalan : )
Berbeza dengan siri Youth ALIVE yang lain seperti siri ‘Islamic Civilization’, Islamic Thinkers’, Quranic Sciences, Fiqh dan lain-lain, modul yang kami bangunkan ini lebih basic kerana ia berkisar kepada rukun Iman & rukun Islam. Maknanya para peserta akan mempelajari dan mengenal siapa itu Allah, Malaikat, Para Rasul, Kitab-kitab Allah, Hari Akhirat dan juga Qadha’ & Qadar. Selain dari itu, para peserta juga akan mempelajari beberapa rukun Islam seperti dua kalimah syahadah, Solat dan juga Puasa.
Berbeza dengan cara yang biasa dipelajari di madrasah-madrasah, kesemua perkara di atas dipelajari secara ‘hands on’ iaitu dengan kaedah interaktif, aktiviti, permainan dan juga diskusi. Sebagai contoh, apabila diajarkan tentang ciri-ciri dan sifat Malaikat, para peserta akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil dan akan diberikan surah-surah tertentu tentang malaikat dan mereka perlu mencari daripada terjemahan Al-Quran, bincang dan mempersembahkan kepada teman-teman yang lain termasuk kepada para pelatih atau ‘trainer’ tentang apa yang mereka baru dapati dan ketahui.
Apa yang ingin saya kongsi bersama di sini ialah pengalaman kami ketika melakukan sesi pilot run di Masjid Annadhah yang baru berakhir sebulan yang lalu. Alhamdulillah, selepas sesi tersebut berakhir kami mendapat maklum balas yang positif daripada para peserta yang memuji pendekatan ini dan menyatakan ianya berbeza daripada apa yang pernah mereka pelajari sebelum ini di tempat-tempat lain. Lanjutan komen mereka ini juga jelas kelihatan pada blog peribadi salah seorang peserta modul ini.
Bagi pilot run ini, kesemua anggota projek ni perlu menjadi tenaga pengajar pada setiap minggu, saya tidak terkecuali! Tidak seperti kelas atau bengkel lain yang pernah saya kendalikan. Kali ini saya nervous! Apa tidaknya kena berbahasa Inggeris dan berinteraksi dengan para belia yang rata-rata lebih selesa berbahasa Inggeris. Stress saya!
Para peserta seramai 12 pelajar ini yang keseluruhannya berbangsa Melayu kecuali seorang yang berbangsa India, terdiri daripada para pelajar Poly, JC, NS men dan pekerja. Mereka lebih selesa dengan program seumpama ini kerana dikendalikan dalam bahasa Inggeris dan tiada peperiksaan pula! Betul juga, saya dapat bayangkan betapa stress belajar agama separuh masa dan ditambah pula jika ada peperiksaan, maklumlah dahlah di sekolah Nasional ‘tough’ dengan pelbagai ‘assignment’ dan juga test, kelas mingguan pun ada test! Memang lepak punya..
Para peserta ini juga mengakui yang mereka kadang tertidur bila dengar khutbah yang rata-rata berbahasa Melayu di masjid-masjid. Kesian kan? Yang cakap ni belia yang berbangsa Melayu, bukan yang India tu..kalau yang bangsa India atau bangsa lain memang nampak gaya melopong lah! Kita kadang kurang sedar hakikat bahawa masyarakat Islam kita di Singapura bukan terdiri dari orang Melayu sahaja, ramai juga daripada bangsa Cina, India atau kacukan Melayu dengan bangsa-bangsa lain hasil daripada globalisasi, perkahwinan campur,kedatangan pekerja expats dan sebagainya.
Walaupun kandungan ni bagi saya sendiri rasanya sangat simple dan asas, tetapi bagi para peserta ia merupakan suatu perkara yang baru! Bayangkan, bagi nama-nama malaikat..yang mereka familiar hanyalah Malaikat Jibril!, begitu juga dengan nama-nama kitab. Hanya Quran dan Injil sahaja yang biasa mereka dengar. Itupun maklumat didapati dari sumber agama lain. Ish ish ish..
Apa yang menarik semasa sesi tersebut berlangsung ialah ketika satu aktiviti bagi topik ‘Judgement Day’ di mana para peserta ditanya ‘ If you were to die today, where would you be? Heaven or Hell? Hell will be on your left and heaven on your right. Para peserta perlu pilih untuk berdiri di tempat (konon-konon) syurga atau neraka. Yang geli hatinya kesemua peserta pilih di lokasi neraka! Kecuali seorang yang begitu confident pilih tempat di Syurga. Kalau soalan tersebut diaju pada kita, agak-agak mana yang kita pilih eh? : ), Para peserta sendiri memberi maklum aktiviti ini tersebut sebagai satu ‘wake up call’ dan perlu bermula dari sekarang bagi menjadi seorang Muslim yang baik dan bertakwa.
Malah, ketika soalan ini ditanya kepada para asatizah ketika ‘training of trainers’ yang kami kendalikan beberapa minggu lalu, mereka juga tersentak dan ragu-ragu untuk berdiri di mana : ) Selamatlah saya jadi trainer, kalau tak..saya pun pening!
Satu lagi aktiviti menarik bagi kursus ini ialah ketika topik ‘Prayer’ atau solat, di mana para peserta diberi tugasan mengejut untuk ke ‘Stadium Bishan’ yang terletak bersebelahan Masjid Annadhdah dan perlu melakukan solat di sana. Tiada kompas, sejadah, telekong, kopiah atau songkok diberikan. Tujuan aktiviti untuk melatih mereka bagi mendirikan solat di mana jua kita berada dan dalam apa jua keadaan sekalipun. Di mana para peserta hanya perlu mengambil gambar kumpulan masing-masing sebagai bukti mereka telah mendirikan solat.
Alhamdulillah, kesemua peserta berjaya melaksanakan misi yang diberikan, saya gembira dengan kesungguhan dan komitmen yang diberikan, di mana para peserta wanita menyatakan mereka sampai berkongsi stokin semata-mata untuk menyelesaikan misi ini.
Banyak lagi sebenarnya perkongsian menarik yang ingin saya tulis di sini, tapi nanti tak surprise pula bagi sesiapa yang nak masuk program ini. : ) Akhir kata, kalau rasanya menarik dan berfaedah untuk disertai, maka jangan tunggu lama-lama! Sila daftarkan diri anda, anak-anak atau boleh rekomenkan pada sahabat handai bagi mengikuti kursus ini. Butiran lanjut boleh didapati di lelaman Masjid Al-Falah.