Pengenalan
Rencana ini ditulis bukan sebagai satu generalisasi terhadap keseluruhan asatizah di Singapura secara umum. Perlu ditekankan telah berlaku pelbagai evolusi terhadap asatizah terutamanya generasi masakini, ini termasuklah terdapat lebih ramai asatizah yang telah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi selain penglibatan lebih giat asatizah pada isu-isu kemasyarakatan berbanding dengan apa yang telah dilakukan oleh asatizah daripada generasi yang terdahulu.
Dalam membantu penulisan ini, penulis telah melakukan kaji selidik ringkas dengan mendapatkan maklumbalas masyarakat Melayu-Islam daripada pelbagai latar belakang berbeza termasuk daripada para asatizah sendiri.
Suka juga dijelaskan, tidak kesemua perkara yang disebutkan dalam rencana ini sesuai untuk diaplikasikan pada setiap asatizah, ianya bergantung kepada tahap seseorang asatizah itu sendiri.
Pada masa yang sama, walaupun rencana ini ditujukan khusus untuk para asatizah dari kacamata dan pengamatan seorang asatizah, namun ia juga boleh dimanfaatkan oleh masyarakat Islam secara umum juga bagi mereka daripada profesi dan kerjaya yang berlainan. Ini kerana penulis yakin isu yang dikemukakan di sini juga dihadapi oleh golongan selain dari asatizah.
Hijrah Menuntut Transformasi Minda
KALENDAR Masihi telah berganjak ke tahun 2009 dan pada masa yang sama juga tanpa kita sedari umat Islam sebenarnya telah terlebih dahulu melangkah ke tahun baru Hijrah.
Hijrah daripada konteks bahasa bermaksud perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Secara konsepsualnya adalah suatu usaha mengubah nasib atau keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik. Hijrah seseorang itu jika disertakan dengan usaha, kesungguhan dan penyerahan kepada Allah s.w.t, maka dia akan dijanjikan kejayaan dan ganjaran pahala.
Sebagai umat Islam pula, kita dituntut agar perlu sentiasa bersedia mengorak langkah bagi memperbaiki keadaan diri seiring dengan kemajuan mutakhir dan pada masa yang sama bersedia dalam menghadapi cabaran semasa yang melanda dunia. Lebih-lebih lagi dalam keadaan negara kita Singapura yang begitu pesat membangun dan sentiasa berubah untuk selari dengan kemajuan dunia global.
Selain dari itu, kita juga dari semasa ke semasa akan berdepan dengan isu-isu yang menjejas negara Singapura secara umum seperti kemelesetan ekonomi akibat krisis kewangan serantau dan isu-isu sosial yang melanda masyarakat Melayu-Islam Singapura yang harus kita tangani dan cari huraian jalan keluar bagi mengatasinya.
Kelembapan Ekonomi Dunia Dan Negara Singapura
Pada masa ini dunia dikejutkan dengan isu krisis kredit yang melanda institusi kewangan Amerika, kesan krisis ini turut melanda negara-negara dunia yang lain. Singapura juga tidak terkecuali daripada krisis ini. Ini dapat dilihat dari pembuangan tenaga kerja bank terbesar di Singapura iaitu bank DBS dan juga syarikat perkapalan milik subsidiari negara iaitu Neptune Orient Line (NOL).
Paling ditimpa dan terkesan pastinya golongan yang berpendapatan dan berpendidikan rendah yang menghadapi risiko tinggi dibuang kerja akibat kurang kemahiran dan tidak relevan dengan tuntutan semasa. Malah, golongan yang berpendapatan tinggi juga turut sama terjejas apabila syarikat-syarikat besar terpaksa mengecilkan kos perkhidmatan mereka yang menuntut kepada pembuangan kerja.
Malah menurut laporan akhbar setempat, mereka yang biasa mengamalkan gaya hidup mewah dengan cara berhutang secara kredit adalah golongan yang paling terjejas kerana pendapatan susut secara mendadak akibat pembuangan kerja atau komisen yang turun dengan banyak kerana kekurangan pelanggan.
Ini merupakan satu petanda bahawa kita perlu sentiasa bersedia menghadapi hari-hari yang mendung begini dan sebagai satu pengajaran tentang pentingnya keperluan untuk berjimat cermat dan sentiasa meningkatkan diri bagi bersedia menghadapi cabaran yang berubah-ubah selain pentingnya amalan menabung untuk persediaan hari susah dan keperluan masa depan.
Isu Sosial Keluarga Melayu-Islam
Pada penghujung tahun lalu, kita juga dikejutkan dengan tajuk berita utama sebuah akhbar harian Melayu yang melaporkan PM kita menyuarakan rasa keprihatinan dengan perkara ‘Ramai Suami Punca Masalah Sosial Keluarga Melayu Islam’. Antara punca utama sebab yang diberikan ialah suami berkahwin lagi, keluar masuk atau meringkuk di pusat tahanan dan penjara.
Kes kahwin semula yang melibatkan golongan Melayu-Islam adalah antara faktor yang paling meruncing di kalangan masyarakat kita. Setiap perceraian biasanya membabitkan tuntutan nafkah iddah dan mut’ah (pampasan) yang perlu dibayar oleh pihak suami kepada bekas isteri. Sebagai rekod, ramai di kalangan kaum lelaki yang tidak melunaskan kewajipan memberikan nafkah iddah dan mut’ah bekas isteri mereka, ini belum termasuk lagi ‘maintenance’ yang perlu dilunaskan bagi menanggung anak-anak di bawah penyeliaan bekas isteri.
Antara sebabnya sebilangan besar daripada mereka ini berpendapatan rendah, lebih buruk lagi kebanyakan daripada mereka pula belum lagi selesai tunggakan kewajipan dengan isteri lama dan anak-anak daripada perkahwinan terdahulu, kemudian berkahwin pula dengan isteri baru dan dapat pula cahaya mata daripada isteri yang kedua.
Inilah antara antara isu-isu yang melanda masyarakat Islam Singapura yang kita tidak boleh lari daripadanya. Ini tidak termasuk cabaran-cabaran baru yang akan kita tempuhi pada masa akan datang selepas terbinanya Projek Resort Bersepadu (IR) dan lain-lain lagi.
Dari kacamata sebagai seorang asatizah, penulis melihat isu-isu sebegini perlu ditangani dengan lebih giat lagi oleh para guru agama dan ulama setempat. Usaha-usaha yang dilakukan masih lagi minimal berbanding dengan gejala-gejala sosial yang berlaku pada masyarakat Melayu-Islam Singapura. Gesaan agar golongan asatizah memainkan peranan dengan lebih aktif lagi dapat dilihat dari suara-suara kritikal di dada-dada akhbar khususnya setiap kali pemergian asatizah veteran dan mapan.
Dapatan ini juga dipersetujui melalui kajian rambang yang dilakukan oleh penulis terhadap beberapa individu yang ditemui termasuk golongan asatizah sendiri, pemimpin masyarakat, pekerja sosial, tokoh akademik, pemberita, pelajar dan lain-lain.
Pengajaran Dari Kemenangan Obama Sebagai Presiden Amerika Syarikat
Sebagai asatizah, kita mungkin dapat mengambil contoh dari kejayaan Barack Obama sebagai warga dari kalangan minoriti berketurunan Afrika-Amerika yang berjaya meraih sokongan majoriti rakyat Amerika. Walaupun tidak dapat dinafikan faktor pertambahan peratusan golongan minoriti berketurunan Hispanik, Asia selain golongan Afrika-Amerika turut menyumbang kepada faktor terbesar terhadap kemenangan Obama.
Obama meraih kemenangan dengan mendekati hati rakyat Amerika dan cuba menjangkau seberapa banyak mungkin masyarakat termasuk warga biasa, tidak kira dari apa jua golongan rendah atau pertengahan. Ini dilakukan dengan cuba menyelami isu dan masalah yang melanda rakyat dan cuba memahami hati dan aspirasi masyarakat.
Malah apa yang lebih penting di sini yang dapat kita pelajari daripada fenomena Obama mania ini ialah selain sifat karismatik yang ada pada dirinya, beliau tidak menunjukkan sikap lebih besar dari yang lain dan mudah didekati.
Seperti mana Obama, asatizah juga daripada golongan minoriti berbanding golongan masyarakat Melayu-Islam lain yang mempunyai latar belakang pendidikan sekular. Golongan asatizah perlu memenangi hati masyarakat dengan cuba memahami isu-isu genting yang melanda diri masyarakat Islam Singapura seperti isu golongan keluarga pincang dan juga kelemahan golongan lelaki memimpin tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa.
Ini tidak akan dapat dilakukan, selagi mana masyarakat masih lagi kurang selesa dan beranggapan asatizah sebagai golongan yang eksklusif dan tidak mudah didekati walaupun ianya mungkin tidak sedemikian.
Bersambung…
* Artikel ini telah disiarkan di Risalah (edisi Jan-Mac 2009) terbitan Persatuan Guru Agama Dan Ulama Singapura (Pergas).