Hari melangsungkan majlis pernikahan pastinya merupakan saat-saat yang paling indah dan bermakna bagi pasangan suami isteri. Tempias kegembiraan ini turut sama dirasai oleh saya selaku naib Kadi, tidak kiralah majlis pernikahan tersebut melibatkan pasangan mempelai seorang teruna atau dara, duda atau janda mahupun pasangan yang lewat usia. Maklumlah selain pasangan yang ingin bernikah, kehadiran jurunikah juga amat dinanti-nantikan, sebab kalau tiada Kadi macam mana nak bernikahkan?
Bagi pasangan yang bakal berumahtangga pula, semestinya hari yang bersejarah ini dinantikan dengan penuh debaran. Segala perancangan pada hari nikah pastinya disusun dengan rapi seumpana yang kita tonton dalam siri drama Dol & Minah betul tak?
Namun dalam kita sibuk menyusun perancangan untuk hari bahagia, jangan dilupa aspek keberkatan agar majlis pernikahan yang diharapkan hanya sekali dalam hidup ini – kecualilah bagi sesiapa yang ingin berumahtangga lebih dari sekali! – diredhai oleh Allah dan diberikan kerahmatan oleh-Nya. Jadi persoalannya bagaimana dapat kita perolehi keberkatan dalam perkahwinan serta mendapat keredhaan-Nya?
Untuk menjawab persoalan ini, bersama ini saya sertakan beberapa peringatan kepada bakal mempelai yang dapat kita renungkan hasil pemerhatian saya dalam majlis-majlis pernikahan yang pernah saya hadiri. Antaranya:
1. Foto Ala Suami-Isteri
Amalan menayangkan foto bersama yang diambil sebelum nikah sebegini semakin berleluasa di kalangan pengantin Melayu-Islam. Kadangkala pula kad jemputan walimah juga berlatar belakangkan gambar bersama lengkap dengan pakaian pengantin!
Suka diingatkan agar pasangan mempelai dapat bersabar sedikit sehinggalah selepas diijab kabulkan, bak kata pepatah ’Tak akan lari gunung dikejar!’ Lepas diijab kabulkan, bergambarlah sebanyak mana yang kita hendak…
2. Pakaian
Memilih pakaian untuk hari pernikahan pastinya merupakan saat yang paling ghairah bagi sebilangan besar mempelai khususnya pengantin wanita. Maklumlah cik Abang biasanya tidak cerewet, berbaju kurung dengan bersamping dan bertanjak atau bersongkok dah kelihatan kacak dan bergaya.
Tidak salah untuk ingin kelihatan anggun, tetapi janganlah sampai ke peringkat melampaui batas sehingga pakaian yang dipilih bukan sahaja sehingga menampakkan bentuk tubuh badan tertentu tetapi juga sehingga mendedahkan kepada susuk tubuh yang tidak patut didedahkan.
Dalam hal ini, mungkin para ibu bapa dapat memainkan peranan dalam memantau pakaian yang dipilih oleh anak perempuan kita.
3. Khutbah Nikah
Saat yang paling penting ketika majlis akad nikah ialah ketika khutbah nikah dibacakan oleh tok Kadi. Ini kerana ketika ini, jurunikah akan menerangkan peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh bakal suami isteri dalam mengharungi kehidupan berumahtangga.
Sering saat yang seharusnya hening dan sepi ini ditenggelami oleh helaian tawa riang hadirin, sembang di antara tetamu serta deringan telefon pengunjung majlis. Ini tidak dibantu pula dengan keadaan sesetengah pengantin wanita yang tidak mengambil kisah untuk mendengarkan khutbah tetapi berbual pula dengan teman di sebelah.
4. Lafaz Akad Nikah
Kerap apabila lafaz penerimaan nikah pengantin lelaki yang berjaya diungkapkan dengan sempurna akan disambut dengan tawa riang serta kadangkala diiringi dengan tepuk tangan dan sorakan tetamu khususnya daripada teman dan sahabat handai pengantin lelaki.
Alangkah baiknya, jika kegembiraan tersebut diiringi dengan ucapan kesyukuran dan pujian kepada yang Maha Esa selain kita mendoakan keberkatan dan keselamatan kepada kedua mempelai.
Ingatlah, disebalik kejayaan lafaz penerimaan nikah, tersimpul tanggungjawab baru yang amat berat dipikul oleh sang suami yang diambil alih daripada wali pengantin wanita.
5. Solat
Suka diingatkan dalam keadaan kita sibuk bergambar dan bertukar-tukar pakaian selaku raja sehari. Tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim usah dilupakan.
Janganlah sekali-sekali kita meninggalkan atau mengqadha’kan solat lantaran kerana alasan kesibukan majlis atau kesulitan membersihkan mekap. Malahan, jadikanlah hari pernikahan kita sebagai satu permulaan untuk lebih mendekatkan diri kepada Tuhan agar kita sentiasa perolehi rahmat Allah.
Justeru itu, setiap bakal pasangan suami isteri perlu merancang dengan teliti majlis pernikahan mereka, agar perjalanan majlis tidak mengganggu kita dalam menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Esa.
Diharapkan segala peringatan di atas dapat dijadikan antara checklist penting sebagai tambahan daripada persediaan sedia ada dalam melangsungkan majlis pernikahan. Semoga majlis pernikahan yang dijalankan nanti bukan sahaja meriah tetapi juga diberkati Allah hendaknya.
Amin Ya Rabbal ’Alamin.
* Artikel ini telah ditulis untuk disiarkan bagi majalah hiburan Manja pada keluaran bulan Februari 2009 yang lalu.
I.Allah, bagi keluaran bulan Mac 2009 (mungkin berada di pasaran pada minggu ini) juga akan disiarkan artikel saya bertajuk “10 Tips Merapatkan Hubungan Antara Ibu Bapa Dan Anak Remaja dalam ruangan ‘Lepas Cakap’.”
Salam Ustaz, I can’t agree with you more on the importance of solat on one’s wedding day. Unfortunately, many mak andams charge extra fees (about $200-300) for reapplying of makeup. So brides yang nak save duit will forgo their Zuhur, and sometimes Asar as well, on hari bersanding.
Maybe you boleh ‘sound’ mak andams to charge a higher overall package fee which includes the additional cost of reapplying makeup. So those brides who refuse to pray will sia-sia bayar extra.
Although this will automatically penalise brides yang sedang haid, at least it will more or less ensure the majority won’t feel rugi kerana mahu solat.
Salam Diana,
Terima kasih atas komentar. Memang saya dapat jangkakan ramai pasangan yang tuang solat bila bersanding.
Itu sebab, perlu planning timing untuk bertandang etc, ini agar kita dapat lepaskan waktu solat. Mak andam juga tidak salah jika kenakan extra charges untuk re apply make up sebab double up kerja dia.
Yang penting pengantin tu sendiri. Pada saya, apalah sangat $200-$300 jika nak dibandingkan dengan kemurkaan Allah? Atau mungkin pengantin boleh fikirkan untuk sanding masa sedang uzur? : )
mekasih ustaz… sbb dlm kesibukan byk2 bende.. bab ni yg di keutarakan… sy stuju dgn ustaz… harap2.. sy nk kawen nnti, xtertinggal solat n blh planning elok2… sbb kita dh di remindkan..=) btul apa yg ustaz ckp.. ramai tp myb xsemua… yg tinggalkan solat semata2 tuk xnk mjlis tertanggu or xnk byr extra… seeloknya ini menjadi peringatan penting buat kita semua (bakal2 pengantin)!!!!
Terima kasih Aminatul Aiman,
Semoga pernikahan anda nanti menjadi satu majlis yang diberkati dan diredhai Allah hendaknya. Amin.