Sambungan…

Menganjak Perubahan Sikap Dan Mentaliti Asatizah

Oleh itu penting bagi para asatizah melakukan sesuatu agar mereka terus kekal relevan dan dapat bertindak sebagai agen perubah masyarakat yang seterusnya dapat  mengurangkan jurang pemisah di antara masyarakat dengan para asatizah.

Berikut dicadangkan beberapa perkara:

1. Keluar Dari Zon Selesa (Comfort Zone)

Walaupun diakui terdapat tren yang semakin meningkat di kalangan asatizah yang melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat sarjana dan juga kedoktoran berbanding dengan asatizah daripada generasi terdahulu. Di mana bidang yang dipelajari pula tidak terhad pada bidang tradisional seperti Syariah dan Usuluddin tetapi juga melewati bidang-bidang yang tiada kaitan dengan agama secara khusus seperti Perhubungan Antarabangsa, Kajian Strategik, Pendidikan, Kaunseling dan sebagainya.

Namun sikap ini perlu dikembangkan kepada asatizah yang lain, tidak kiralah asatizah yang bertugas di masjid mahupun di madrasah separuh masa atau sepenuh masa, di mana mereka seharusnya perlu mempunyai sikap untuk keluar dari kepompong zon selesa diri mereka kepada keinginan untuk memperbaiki diri dan menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Ini dapat dilakukan dengan mempunyai sikap untuk menyambung pengajian ke peringkat yang tertinggi seberapa boleh dan cuba memperbaiki diri dalam kerjaya yang diceburi. Mentelah lagi dengan pelbagai peluang dan kursus yang telah disediakan oleh pihak Muis, Pergas, Romm dan juga Mahkamah Shariah yang ada di antaranya diberi secara percuma kepada para asatizah, maka peluang seumpama ini sewajarnya perlu dimanfaatkan. 

Sikap ‘Nanti dulu, bagi peluang kepada orang lain..’ perlulah dibasmi, setiap asatizah perlu menghidupkan budaya Learn, Unlearn and Relearn dalam diri mereka. Para asatizah perlu sedar dengan cara peningkatan diri dan ilmu sahajalah kita dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat.

Malah dalam usaha kita ingin mengubah masyarakat dan menangani isu-isu sosial, ilmu agama sahaja tidak mencukupi, setiap dari asatizah juga perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi dalam diri mereka seperti kemahiran mendengar dan berinteraksi agar mampu menyelami serta memahami perasaan sasaran yang ingin didekati dan dihampiri.

2. Mudah Dihampiri (accessible)

Kerap asatizah disalah anggap sebagai profil yang eksklusif dan terlalu disegani sehingga sukar untuk didekati walaupun hakikatnya mungkin tidak sedemikian. Salah tanggap sebegini secara tidak langsung mewujudkan perasaan kurang mesra antara asatizah dan masyarakat dan menghambat hubungan yang sewajarnya terjalin erat antara mereka.

Sebagai asatizah adalah penting bagi memastikan kita mudah dihampiri oleh masyarakat terutamanya bagi mereka yang bertugas di masjid atau aktif dalam mengajar di kelas-kelas agama setempat. Sikap gemar senyum dan menegur sapa para pelajar dan juga jemaah walaupun sesudah pengajian selesai adalah sikap positif yang perlu ada pada diri setiap para da’ie. Ini seterusnya akan melebarkan jurang keselesaan antara para asatizah dan para pelajar. Melalui interaksi sebegini para asatizah secara tidak langsung dapat memberi dakwah secara incident dan tanpa disedari melalui contoh akhlak dan sikap terpuji.     

Melalui ikatan hubungan yang mesra dengan para jemaah dan juga pelajar, asatizah tersebut dapat dijadikan sumber utama rujukan dan nasihat bagi segala isu dan persoalan yang menjadi kemusykilan masyarakat. Ini tidak akan dapat direalisasikan jika asatizah tidak mengambil sikap peduli dan kesah untuk berinteraksi dan bergaul dengan masyarakat sekeliling.

Sikap ramah dan tidak eksklusif ini dapat mengundang rasa mesra masyarakat terhadap para asatizah. Malah diketahui terdapat para asatizah yang turut sama menjadi Naib Kadi mengambil sikap pro aktif dengan menghantarkan kad ulangtahun perkahwinan pasangan yang dinikahkan bagi membentuk hubungan yang berterusan lagi berkekalan.

Sikap sebegini seharusnya dicontohi oleh asatizah agar tembok penghalang yang menjadi pemisah, seharusnya tidak wujud sama sekali malah asatizah sewajarnya lebih mudah didekati dan dihampiri.  

3. Bersikap Terbuka

Antara ciri penting bagi seorang asatizah yang berkesan ialah mempunyai sikap terbuka dan berlapang dada dalam menerima teguran dan juga kritikan. Sebagai manusia biasa pastinya asatizah juga mempunyai kesilapan dan kekurangan diri. Ini kerana tidak semua perkara pastinya diketahui oleh asatizah.  

Bersikap lapang dada dalam menerima teguran ini termasuklah apabila menerima teguran dan kritikan daripada para jemaah bagi mereka yang bertugas di masjid, ibu-bapa bagi asatizah madrasah dan pengetuanya atau mana-mana teguran daripada pihak-pihak tertentu.

Penting bagi kita untuk tidak bersikap terlalu emosi dan defensif tetapi menganalisa bentuk teguran yang diperolehi dan mempelajari daripada kesilapan tersebut demi untuk memperbaiki diri sendiri, institusi masjid atau juga madrasah. Teguran pahit bak hempedu untuk ditelan inilah kadangkala dapat membawa kita ke hadapan.

Sikap terbuka dan berlapang dada juga seharusnya wujud dalam diri ketika keadaan di mana pendapat serta idea kita tidak diterima. Daripada berusaha mencari kesilapan pihak lain, kita seharusnya bersikap positif dengan melakukan refleksi diri dan menjadikan ianya sebagai satu cabaran bagi mempertingkatkan diri dan membuktikan kredibiliti. Ini seterusnya dapat mengelakkan complacency yang boleh menjejaskan mutu kerja dan prestasi seseorang asatizah baik mereka yang terlibat dalam tugasan pejabat, pendidikan atau pentarbiyahan masyarakat.

4. Peka Dengan Isu Semasa

Sebagai asatizah kita seharusnya perlu peka kepada segala apa yang berlaku di sekeliling kita terutamanya dalam isu-isu yang melibatkan negara kita Singapura khususnya masyarakat Islam Singapura.

Ini termasuklah mengetahui dasar-dasar atau polisi terbaru pemerintah, selain dari fatwa-fatwa terkini khususnya yang melibatkan respon terhadap isu-isu yang dibincangkan pemerintah seperti isu Hota, penggunaan ubateuthanasia dalam menamatkan nyawa pesakit yang kronik lagi serius dan sebagainya.

Para asatizah juga perlu peka dengan isu-isu sosial yang melibatkan masyarakat Islam Singapura dalam isu-isu seperti keluarga pincang, golongan berpendapatan rendah, isu remaja bermasaalah dan sebagainya. Dengan berusaha memahami isu yang dihadapi masyarakat, secara tidak langsung para asatizah akan dapat bersikap empati dan berusaha meningkatkan aspirasi masyarakat melalui platform dakwah secara penulisan mahupun ceramah dan sebagainya.  

Selain dari itu, menjadi satu kelebihan juga jika asatizah dapat meluaskan pembacaan melalui media cetak atau elektronik bukan sahaja pada isu-isu sosial tetapi juga bidang-bidang lain seperti politik, sukan mahupun hiburan. Ia penting agar para asatizah lebih mudah berinteraksi dalam apa jua hal dan perkara. Ini secara tidak langsung dapat mendekatkan jurang dengan masyarakat dan menjadikan asatizah lebih mudah untuk didekati dan seterusnya dapat memberikan teguran jika perlu dalam perkara-perkara yang diperbincangkan.   

Ini dapat dilakukan dengan bersembang akan tren-tren semasa yang melibatkan negara dan masyarakat Islam Singapura dengan para pelajar tidak kira golongan belia atau dewasa, juga dengan para jemaah selepas ceramah, waktu belajar atau kursus.

5. Memanfaatkan Penggunaan Medium Baru

Dalam era teknologi yang semakin maju, masyarakat Islam mudah mendapatkan nasihat agama di mana-mana. Malah terdapat banyak laman-laman blog yang menawarkan khidmat sebegini di alam maya. Laman-laman ini kebanyakannya pula dikendalikan bukan dari mereka yang mahir dalam bidang agama yang kadang kala pula boleh menimbulkan salah faham kepada masyarakat.

Tanpa dinafikan sebahagian besar asatizah dewasa ini celik IT namun jika dibandingkan dengan mereka yang menggunakan alam maya sebagai wadah dakwah, bilangan tersebut masih lagi kecil.

Menurut pengamatan penulis, terdapat ramai masyarakat Islam yang dahagakan ilmu pengetahuan agama tetapi tidak pasti ke mana harus dituju untuk disalurkan soalan-soalan atau kemusykilan agama yang berada di fikiran. Lebih-lebih lagi bagi golongan yang tidak biasa ke masjid atau mereka yang baru berjinak-jinak dengan agama atau mereka yang lebih selesa berurusan melalui telefon atau emel daripada bersemuka.

Dalam hal ini, para asatizah sewajarnya mengambil faedah daripada ‘media baru’ untuk mendekatkan diri pada masyarakat. Medium rangkaian sosial di internet seperti Facebook, Multiply atau Myspace selain daripada laman blog amat berguna jika kita bijak menggunakannya sebagai satu wadah untuk berdakwah dan tidak hanya sebagai satu laman bersuka-suka atau bersantai sahaja.

Selain dari itu, medium seperti clip video juga boleh digunakan dan dimanfaatkan dalam menyebarkan mesej dakwah melalui penyebaran video atau ketika mengadakan bengkel dan kuliah. Ianya lebih berkesan kerana audien bukan setakat mendengar tetapi dapat melihat visual dan seterusnya melakukan refleksi terhadap apa yang dilihat.

Tidak dinafikan cara ini juga telah diguna pakai dengan meluasnya oleh sebahagian asatizah di sini terutama asatizah generasi baru dan sewajarnya lebih giat lagi diterokai oleh asatizah lain. Malah, penulis pernah menonton persembahan lakonan oleh para asatizah muda yang bertugas di masjid-masjid yang mempersembahkan lakonan teater mereka sendiri ketika bulan Ramadan lalu bagi program Cabaran Ramadan kepada ratusan belia dalam menyebarkan mesej dan nilai-nilai positif dan ianya memberikan impak yang cukup besar dan tidak terhingga sehinggakan ada di kalangan belia yang menangis kerana tersentuh dengan penghayatan lakonan para asatizah tersebut.

6. Bersatu Dalam Menggerakkan Agenda

Dalam memastikan dakwah yang dilakukan memberikan impak yang besar kepada masyarakat Islam, maka para asatizah perlu bersatu dalam apa jua kerja dakwah yang dilakukan dan ianya perlulah menjurus ke arah menggerakkan agenda untuk membentuk masyarakat Islam Singapura yang cemerlang.

Ini dapat dilakukan dengan mengikut agenda dakwah yang dapat membentuk masyarakat Islam ke hadapan menjadi masyarakat yang progresif serta inklusif, berpegang teguh pada prinsip Islam di samping dapat menyesuaikan diri dengan konteks semasa yang berubah-ubah dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Bagi memastikan perkara ini berlaku, para asatizah selaku pendakwah hendaklah berpaling daripada membincangkan perkara khilafiyah dalam isu-isu lapok seperti masalah membaca tahlil, amalan membaca Yasin ketika malam Jumaat atau Nisfu Sya’ban mahupun sambutan Maulidur Rasul. Tidak kiralah ianya dilakukan melalui penulisan mahupun ceramah.  

Sebaliknya sebagai pendakwah kita perlu mempunyai kesedaran terhadap isu-isu semasa selain daripada cuba memahami isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Islam setempat seperti ancaman kemelesetan ekonomi sebagai contoh dan mengaitkannya dalam ceramah dan berikan huraian agar ia dapat memperkasakan masyarakat Islam dan seterusnya memberikan daya tahan dalam menangani cabaran semasa.

 Kesimpulan

Sebagaimana yang disebutkan pada permulaan rencana ini, walaupun terdapat banyak kemajuan yang telah dicapai oleh asatizah pada masa kini dalam membaik pulih dan mengubati penyakit sosial masyarakat, itu tidak bermakna ianya tidak boleh diperbaiki lagi. Dengan itu untuk memastikan asatizah tetap relevan pada masa kini dan akan datang, seharusnya perlu dilakukan beberapa perubahan untuk memastikan kemajuan asatizah tidak statik dan berada di takuk lama. 

Namun suka diingatkan bahawasanya tanggungjawab berdakwah kepada  masyarakat Islam Singapura bukanlah terletak di pundak asatizah sahaja. Ianya perlu dimainkan oleh setiap pihak yang terbabit. Para pemimpin masyarakat, ibu bapa, usahawan, pekerja sosial, guru-guru, jurutera, wartawan, golongan profesional seperti peguam dan juga doktor dan lain-lain juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengislahkan keluarga sendiri dan juga masyarakat Islam setempat.

Sewajarnya juga usaha mengislahkan masyarakat ini diterajui dan dipimpin oleh para asatizah selaku barisan hadapan bagi penerusan perjuangan para anbiya dan ulama terdahulu. Tiada yang lebih baik selain dari melihat contoh keperibadian Rasulullah s.a.w selaku seorang Rasul dan pemimpin negara yang dihormati, namun itu tidak menghalangnya daripada mudah untuk didekati oleh masyarakat dari setiap lapisan tidak kira lelaki atau wanita, miskin ataupun kaya, golongan biasa mahupun bangsawan, rakan taulan mahupun musuh. 

Benarlah firman Allah yang bermaksud:

“Maka disebabkan rahmat dari Allah kamu (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap kasar lagi berhati keras, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.” Surah Ali ‘Imran: 159

 

* Terima kasih kepada teman-teman dan kenalan yang telah membantu memberikan pandangan serta input dan sudi ditemuduga melalui telefon, sms dan juga secara chatting iaitu Dr Syed Khairudin, Dr Albakri, Ustaz Mohd Khair, Ustaz Syed Mustafa, Suryani Omar, Nur Diana Suhaimi, Mohd Khair Mohd Noor , Nauruz dan lain-lama nama yang tidak disebutkan di sini.  

Tanpa pandangan dan juga komentar anda, artikel ini tidak akan menjadi realiti. 

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s