Sebagai lanjutan daripada perkongsian tentang Ramadan pada keluaran lepas, suka saya berkongsi beberapa perkara yang perlu kita renungkan saat kita menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan, serta ketika kita meraikan Aidilfitri pada bulan Syawal.
Antara perkara yang perlu dititik beratkan ialah keperluan bersederhana. Ini penting agar nilai ketakwaan dan keihsanan yang kita latih dalam Ramadan dapat kita teruskan juga di bulan-bulan lain. Antara contoh kesederhanaan tersebut ialah:
Pertama – Bersederhana dalam berbuka puasa
Puasa di bulan Ramadan sewajarnya menjadi bulan melatih kita untuk mengekang nafsu dan syahwat, agar diri menjadi lebih kuat untuk taat dan bertakwa kepada Allah.
Namun, malangnya bagi sebahagian umat Islam, waktu iftar atau berbuka menjadi medan untuk dirinya menjamu selera sebanyak mungkin, iaitu peluang untuk berbuka dengan segala aneka juadah yang mungkin tidak pernah disentuh sebelum tibanya Ramadan.
Malah, apa yang diiftarkan menjadi lebih banyak dari apa yang biasa dijamu di luar Ramadan. Tidakkah itu bertentangan dengan semangat Ramadan?
Pastinya, kesemua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Ini kerana hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk mendidik nafsu dan melatih kemahuan serta keinginan yang wujud pada diri manusia dari melakukan perkara-perkara yang dilarang, atau segala perkara yang menarik manusia kepada pelbagai kejahatan.
Kemahuan dan keinginan ini pula tidak dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat. Ini dapat kita mulakan dengan mendidik diri kita dengan berbuka puasa secara sederhana, setidak-tidaknya dengan hidangan yang tidak melebihi dari apa yang biasa dijamu pada bulan-bulan selain Ramadan.
Kedua – Usah membazir dalam persiapan berhari raya
Menjadi kebiasaan kita untuk sibuk melakukan persiapan berhari raya bila semakin hampir dengan ketibaan Syawal. Segala persiapan yang kita lakukan pula, usahlah pula sampai kepada peringkat pembaziran.
Sebenarnya membazir ini adalah satu perkara yang subjektif, setiap kes adalah berbeza di antara satu dengan yang lain.
Seorang yang bergaji 4,000 – 5,000, mungkin berbelanja sekali sekala dengan membeli sepasang baju raya sehingga 100-200, tidak dikira sebagai pembaziran, tetapi bagi mereka yang bergaji tidak sampai 1,000 sahaja, sebaliknya dianggap sebagai satu pembaziran. Kesimpulannya apabila berbelanjan seseorang itu perlu mengukur baju di badan sendiri.
Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” [Al-Israa’: 27]
Maka berpada-padalah ketika berbelanja. Usahlah mengikut rasa hati, atau ingin berlumba-lumba dalam berbelanja menyambut Ramadan semata-mata orang lain melakukan perkara yang sama.
Jika kita mempunyai wang pun, kita perlu fikirkan, adakah barangan yang lama masih boleh digunakan atau tidak?
Tidak perlulah ditukar perkakas rumah seperti permaidani dan langsir sehingga tiap tahun, jika yang lama masih boleh digunakan. Begitu juga dengan lampu kelap kelip yang dipasang sepanjang waktu.
Usahlah habis hari raya, kita menjadi seorang yang papa, simpanan semakin susut, atau lebih buruk lagi sampai kepada peringkat berhutang.
Berbelanjalah ala kadar, mengikut keutamaan apa yang lebih wajar diutamakan. Bersederhanalah. Patuhilah anjuran Allah dalam surah Al-Furqan ayat 64 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang apabila mereka membelanjakan harta mereka tidak membazir, dan tidak pula kikir. Dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah yang demikian”.
Sebaiknya dalam berbelanja, usahlah pula kita sampai melupakan orang yang paling kita cintai, keluarga dan ibu bapa kita sendiri. Betapa malangnya, jika kita berbelanja sakan, tapi ketika Aidilfitri atau Aidiladha RM10 pun kita tidak mampu hadiahkan buat kedua ibu bapa kita.
Ketiga: Berpada-pada dalam berjalan raya
Di antara amalan masyarakat kita yang baik ketika Syawal ialah melakukan kunjungan antara satu sama lain di Aidilfiti. Amalan menziarahi di antara sanak keluarga, serta sahabat handai merupakan satu perkara yang sangat terpuji kerana ia merupakan amalan yang mengeratkan silaturrahim. Malah, melakukan perkara sebaliknya iaitu memutuskan silaturrahim; juga merupakan perkara yang sangat dibenci Allah, malah menjadi penyebab seseorang itu tidak dapat masuk syurga.
“Tidak akan masuk syurga orang yang memutus silaturahmi.” [Bukhari]
Namun seperti perkara lain, amalan berkunjung raya perlu juga dilakukan secara berpada dan tidak melampau. Maksud melampau di sini ialah dalam kita menziarahi dari satu rumah ke satu rumah, usah pula dilupakan pula amalan menziarahi kaum kerabat dan juga keluarga terdekat seperti ibu bapa dan adik beradik yang lain.
Itu juga dikira ihsan pada ibu bapa kerana gembirakan hati mereka, juga menjadi penyebab mendapat pahala tambahan juga! Malah andai kata berjauhan, dengan kecanggihan teknologi kini, panggilan ringkas juga mampu menggantikan kunjungan dan dapat menyambung talian silaturrahim.
Apa gunanya jika kita giat menjalin silarurrahim sesama sahabat, rakan dan taulah, jika hubungan kita bersama keluarga sendiri tidak erat kerana perselisihan faham, ego antara satu sama lain dalam memohon kemaafan.
Perlukah kita menunggu salah seorang dari kita dahulu yang melakukan inisiatif bagi merapatkan semula silaturrahim. Mengapa tidak kita yang mulakan? Mengapa tidak kita sendiri yang menjadi penyambung talian silaturrahim? Walaupun mungkin kesilapan bukan berpunca dari kita, tiada salahnya jika kita yang memulakan, jika itulah yang mampu memyambung ikatan persaudaraan antara kita.
Begitu juga dalam kita saling berziarah, usah pula dilupakan pula ibadah solat kita. Ziarah-ziarah juga, solat jangan sekali dilupakan. Dalam kita melaksanakan kebajikan, jangan kita lupa yang lebih utama.
Mudahan dengan terjalinnya silaturrahim, yang disusuli pula dengan keberkatan, lantaran kunjungan kita yang dituruti dengan pengesaan-Nya walau di mana sahaja kita berada. Ia bertambah lebih manis lagi jika kunjungan tersebut beroleh kesempatan untuk kita turut sama bersolat jemaah bersama tuan rumah.
Keempat – Bersederhana dalam menganjurkan rumah terbuka
Satu lagi tren di kalangan masyarakat kita ialah apabila masuknya bulan Syawal, ialah amalan menganjurkan rumah terbuka buat sahabat handai dan juga bagi saudara mara. Rumah terbuka zahirnya merupakan satu jemputan yang dikhususkan dalam satu hari, padat dengan juadah yang pelbagai, dan biasanya memerlukan perbelanjaan yang besar.
Sama ada perlu, atau tidak. Ia bergantung kepada kemampuan seseorang dan bajet yang diperuntukkan bagi perkara ini.
Cuma pastinya, usah sampai kepada peringkat yang melampau, atau lebih buruk lagi hingga sampai kepada meminjam dan berhutang. Atau berbelanja rumah terbuka, sedangkan simpanan pun tidak mampu dilakukan pada tiap-tiap bulan.
Kesimpulannya, setiap apa yang dilakukan perlu melihat tahap keupayaan diri dan tidak sampai kepada pelampauan atau membazir. Jika ianya sampai kepada peringkat pembaziran, serta melebihi kemampuan kita, sedangkan terdapat banyak lagi prioriti lain dan keperluan yang lebih mendesak, maka pastinya ia suatu perkara yang perlu kita jauhi dan elakkan.
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 40, terbitan Telaga Biru, Malaysia.