Dalam pergaulan kita sehari-harian, pasti kadangkala antara kita pernah dihampiri oleh teman-teman bagi mendapatkan pandangan dan nasihat dalam hubungan kekeluargaan atau rumahtangga, lebih-lebih lagi jika seseorang itu tergolong dari kalangan yang dianggap sebagai seorang yang berpangkat ‘abang’ dan disegani kerana faktor usia atau kerana sudah lama berkeluarga. Namun, jika ia melibatkan pendampingan dari teman-teman yang berbeza jantina, ia juga mampu memberikan kesan yang negatif dari sudut keimanan kita, jika seseorang itu tidak berhati-hati dan menjaga batas adab dan etika tertentu dari sudut pergaulan sebagai seorang Muslim atau Muslimah.
Dengan itu, saya merasa bimbang apabila salah seorang teman yang sudah beristeri berkongsi bahawa beliau menjadi perhatian di kalangan teman-teman wanitanya, baik dari rakan kerja atau sebagainya dari sudut memberikan khidmat nasihat keluarga dan rumahtangga.
Kerja mendengar keluhan terutamanya dari teman yang bukan sejenis adalah satu kerja yang merbahaya sebenarnya, malah jika kita tidak berhati-hati ia boleh mendedahkan seseorang itu kepada godaan selain daripada berisiko jatuh hati.
Lebih bahaya lagi terutamanya jika yang dihampiri itu seperti teman saya ini, beliau mengakui mempunyai kebolehan semulajadi dalam mendengar keluhan seperti bersikap empati dan pandai mendengar, kerana ciri-ciri inilah boleh membuatkan wanita jadi teruja dan mudah jatuh hati.
Saya lebih berasa tidak selesa apabila beliau memberitahu kadangkala berjumpa dengan wanita-wanita tersebut di luar waktu pejabat di restoran, dan pertemuan ini pula ada antaranya dilakukan pada waktu malam, malah beliau juga pernah mengaku yang kadangkala tergoda dengan wanita-wanita ini.
Bertitik tolak dari situasi teman saya itu, di kesempatan ini suka saya ingin berkongsi beberapa panduan buat mereka yang ingin membantu seseorang, mahupun kepada mereka yang perlukan bantuan nasihat dan pandangan terutamanya yang melibatkan antara dua jantina yang berbeza. Antara perkara-perkara yang perlu diperhatikan ialah:
Pertama: Usah sewenangnya berkongsi isu rumahtangga
Rumahtangga memang tidak pernah sepi dari konflik dan perselisihan. Bak kata pepatah, ‘sedangkan lidah lagi tergigit, apa lagi suami isteri…’ Sebagai suami atau isteri, jika kita berselisih faham atau mempunyai krisis hubungan dengan pasangan kita, cubalah seberapa daya untuk tidak menghebah-hebahkannya kepada pihak ketiga, kecuali jika kita bertujuan untuk memulihkan hubungan, dan pihak ketiga itu pula merupakan seorang yang boleh dipercayai dan memang mempunyai kepakaran dalam membantu permasalahan rumahtangga.
Dengan itu, berkongsi dengan teman-teman yang tidak mempunyai kemahiran mendengar dan membantu, merupakan sesuatu yang perlu dielakkan sama sekali. Dikhuatiri nasihat dan pandangan yang diutarakan adalah tidak tepat atau mungkin boleh mengeruhkan lagi suasana.
Tidak kurang pula terdapat golongan suami yang suka berkongsi konflik rumahtangga mereka dengan teman-teman di kedai kopi. Pernah kes-kes yang dirujuk pada saya, antara nasihat yang diberikan oleh teman kedai kopi mereka ini ialah, seorang isteri itu perlu ditalakkan sahaja jika mereka mencabar suami untuk diceraikan, jika tidak dayus hukumnya. Inilah antara nasihat yang silap, salah pula dari sudut hukum dan tidak memberikan sebarang huraian bagi isu yang dikemukakan. Walaupun tidak dinafikan talak kadangkala merupakan satu huraian terakhir dalam sesetengah permasalahan rumahtangga.
Kedua: Elakkan dari meminta nasihat dari teman yang bukan sejenis
Selain dari tidak sembarangan dan sewenangnya berkongsi pandangan dengan seseorang, dan andai kata pula ingin diluahkan kepada teman kita yang dipercayai, elakkanlah seberapa mungkin dari berkongsi dengan teman yang bukan sejenis dengan kita. Ini walaupun pada asalnya seseorang itu mungkin tiada langsung niat untuk berlaku intim, dan yang menolong pula seawalnya jujur dan ikhlas untuk membantu.
Namun, inilah antara perkara yang sering berlaku. Niat murni yang asalnya untuk membantu, tidak kurang pula berakhir dengan keterlanjuran dan perselingkuhan kerana keduanya tidak menjaga adab dan etika susila pergaulan. Asalnya dari nasihat di pejabat, meningkat maju melalui pesanan mesej, perhubungan di telefon dan bertemu di luar, dan akhirnya berakhir dengan perlakuan maksiat, dan tidak kurang pula melibatkan perceraian dengan suami atau isteri masing-masing jika ia melibatkan seseorang yang sudah berumahtangga.
Ini seterusya pula membawa saya kepada poin saya yang seterusnya.
Ketiga: Mengenal batasan dalam membantu lelaki/wanita yang bukan mahram
Membantu sesama saudara seislam yang memerlukan merupakan suatu perkara yang sangat terpuji, namun dalam kes yang melibatkan hubungan dengan wanita atau lelaki yang bukan mahram, ia mempunyai banyak pertimbangan yang perlu diperhatikan.
Pertama sekali dari sudut batasan hubungan antara lelaki dan wanita, lebih-lebih lagi jika seseorang itu mula merasakan timbul antara dirinya atau lelaki/wanita atau keduanya punyai perasaan kasih antara satu sama lain.
Dalam hal ini, seseorang itu perlu memikirkan sesuatu jika ingin terus memberikan bantuan kepada lelaki/wanita tersebut, antaranya ialah dengan mendapatkan seorang yang boleh dipercayai seperti ibu bapa atau adik beradik lelaki/wanita tersebut sebagai orang tengah dalam memberikan bantuan nasihat kepada lelaki/wanita tersebut. Ini bertepatan dengan anjuran Baginda s.a.w. yang bermaksud:
“Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama melainkan jika ditemani oleh mahramnya.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Dengan cara ini, ia dapat mengurangkan fitnah antara kedua lelaki dan wanita tersebut, dan lebih penting lagi dapat mengurangkan interaksi yang tidak perlu yang boleh membawa kepada hubungan yang lebih intim dan dilarang agama. Ini sesuai dengan ingatan Baginda s.a.w. yang bermaksud:
“Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama kerana syaitan akan hadir sebagai orang ketiga.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad
Keempat: Memberikan keutaman kepada keluarga dahulu
Bagi kalangan lelaki/wanita yang sudah berkeluarga tetapi suka membantu teman-teman mereka yang mempunyai krisis rumahtangga. Alangkah baiknya jika masa dan waktu selepas kerja dihabiskan di rumah bersama-sama dengan isteri dan anak-anak? Kan itu lebih baik dari dihabiskan masa bertemu dengan lelaki atau wanita yang bukan mahram kita yang seterusnya boleh meletakkan diri kita dalam keadaan berisiko tergoda dan digoda?
Jadi nasihat saya kepada mereka yang sudah berumahtangga, tumpukanlah pada keluarga dan jangan letakkan diri kita dalam bahaya dengan niat murni bagi membantu teman-teman dari wanita atau lelaki kita itu. Jika ingin membantupun atau dalam memberi pandangan dan nasihat, pastikanlah jangan sampai berdua-duaan walaupun di khalayak ramai.
Jikalau ingin membantu juga secara serius, terlebih dahulu penuhilah ilmu di dada, dan jadilah seorang kaunselor yang bertauliah. Ambil diploma, ijazah, kursus intensif dan sebagainya.
Adapun bagi mereka yang ingin mendapatkan bantuan, jika terlalu mendesak dan perlukan pandangan dan nasihat segera dalam rumahtangga, dampingilah pihak ketika dari kalangan teman-teman sejenis kita yang boleh dipercayai atau dengan pihak keluarga seperti ibu bapa, adik beradik atau saudara-mara terdekat kita sendiri atau dari pihak suami/isteri.
Sekurang-kurangnya ia mampu bertindak sebagai panduan awal sebelum kita merujukkan kepada khidmat bantuan lain yang lebih profesional.
Kelima: Merujuk Kepada Pihak Berwenang Bagi Khidmat Bantuan
Bagi mereka yang sudah berkeluarga, jika berdepan dengan krisis rumahtangga, berjumpalah dengan kaunselor yang berkelayakan seberapa segera di pusat yang telah dikhususkan untuk dapatkan bantuan kaunseling. Ini kerana seorang kaunselor atau pekerja sosial selain dilatih mendengar keluhan, mereka juga mempelajari adab dan etika dalam memberi bantuan dan khidmat kaunseling.
Dengan itu, seorang yang dilatih untuk membantu mereka yang berdepan dengan krisis rumahtangga sebagai contoh, tidak akan sama sekali memberi khidmat di luar lokasi pejabat mereka, menghubungi melalui telefot bimbit atau mengirim pesanan elektronik dalam memberikan khidmat konsultasi.
Oleh itu, jika kita dihampiri oleh seseorang yang berbeza jantina mengadu tentang tentang krisis hubungan suami-isteri, usahlah kita mengambil risiko melayani dan membantu teman-teman kita yang menghadapi konflik rumahtangga ini, kerana dikhuatiri berdepan dengan risiko yang saya sebutkan tadi, tetapi sebaliknya merujukkannya kepada pakar terapi keluarga atau seorang kaunselor yang terlatih bagi membantu mereka menyelesaikan isu rumahtangga mereka.
Semoga panduan yang dikongsi ini dapat menjadi peringatan buat kita bersama, dalam keghairahan kita mendapatkan atau menghulurkan bantuan, usah pula dilupa etika dan adab-adab Islami yang digariskan oleh agama kita, bagi memastikan segala fitnah dapat dielakkan, dan seterusnya memelihara keimanan dan niat murni kita.
Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 30, terbitan Telaga Biru, Malaysia.