Hukum membatalkan puasa tanpa uzur:
Jika membatalkan puasa tanpa sebarang keuzuran, kita dikira berdosa kerana telah melanggar salah satu rukun Islam.
Kita perlu bertaubat dan berazam untuk tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Kita juga harus mengqadha’ puasa yang anda tinggalkan itu.
Walau bagaimanapun, anda telah kerugian kerana puasa yang ditinggalkan secara sengaja dan diganti pada hari lain, tidak akan sama dengan puasa di bulan Ramadan. Dari Abi Hurairah R.A berkata: “Rasulullah S.A.W bersabda: Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”
Apakah hukum puasa bagi perempuan yang mengandung?
Wanita yang hamil boleh berpuasa jika ia mampu berbuat demikian. Sekiranya ia tidak mampu, ia boleh berbuka.
Jika beliau tidak berpuasa kerana khuatir akan keadaan dirinya sahaja, maka beliau wajib qadha’ puasa sahaja.
Jika beliau bimbang tentang keadaan anak di dalam kandungannya sahaja, maka beliau wajib qadha’ dan juga membayar fidyah bagi hari tersebut.
Apakah hukum menggunakan inhaler (bagi pesakit semput) ketika berpuasa?
Antara perkara yang membatalkan puasa ialah kemasukan sesuatu ke dalam badan melalui rongga yang terbuka. Namun, kemasukan seuatu bahan seperti ubat inhaler di atas dasar darurat, yang berkaitan dengan kesukaran bernafas, dibolehkan syara’. Oleh yang demikian, penggunaan inhaler yang berpatutan tidak membatalkan puasa.
Adakah suntikan “insulin” membatalkan puasa?
Suntikan insulin bagi pesakit kencing manis tidak membatalkan puasa. Ini adalah kerana suntikan tersebut bukanlah melalui rongga yang terbuka dan tidak pula memberi sebarang kekenyangan atau kepuasan kepada si pesakit.
Adakah boleh saya menderma darah sewaktu berpuasa?
Menderma darah di dalam kuantiti yang sederhana dibolehkan dan tidak membatalkan puasa. Namun, pendermaan yang terlalu banyak sehingga menyebabkan kelemahan pada tubuh badan, sehingga tidak dapat menjalani ibadat puasa dengan baik, tidak digalakkan sama sekali.
Isteri saya hamil, dan setelah melahirkan, mungkin akan menyusukan anak kami. Bagaimana hukum puasanya?
Wanita yang hamil dan dikhuatiri anak di dalam kandungannya itu boleh meninggal dunia jika dia berpuasa, maka dibolehkan dia berbuka dan tidak berpuasa. Malahan, jika ia dikuatkan lagi dengan pengesahan jujur daripada doctor, dia diwajibkan berbuka. Firman Allah: “Jangan kamu bunuh anak-anak kamu.” (Al-An’am: 151) Firman Allah lagi: “Dan wajib bagi orang yang berat untuk menjalankannya (iaitu tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin…” [Al-Baqarah: 184]
Kebanyakan Ulama mengharuskan berbuka puasa bagi wanita yang hamil. Dan juga wanita yang menyusukan anakyna yang bimbangkan keadaan diri mereka sebab berpuasa itu. Selepas Ramadan, wajib ke atasnya untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan.
Adapun masalah bimbang memudaratkan bayi dalam kandungan, maka telah disepakati harus berbuka puasa. Cuma yang menjadi perselisihan ialah adakah wajib diganti puasanya, atau dibayar fidyah, atau kedua-duanya sekali. Ibn ‘Umar dan Ibn ‘Abbas mengharuskan bagi wanita sedemikian untuk membayar fidyah. Memandangkan kesukaran yang akan dialami oleh wanita sedemikian untuk menggantikan puasa selepas melahirkan, maka yang harus dilaksanakan adalah pembayaran fidyah sahaja.
Tidah Wajib Qadha’ Tetapi Wajib Fidyah
Orang sakit yang tidak berdaya untuk berpuasa dan harapan sembuh sangat tipis
Orang yang lemah kerana sudah tua dan tidak mampu lagi untuk berpuasa
Adakah niat puasa sunat enam hari bulan Syawal boleh disekalikan dengan puasa Qadha’?
Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qadha’. Imam As-Syafi’I (di dalam kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab “setiap amalan dengan niatnya” bahawa: hendaklah dibezakan ibarat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarat, puasa qadha’ dan puasa sunat. Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan, atau nazar atau puasa sunat.
Namun, seseorang yang berniat puasa qadha’ di dalam bulan Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat tersebut) mengikut pendapat sebahagian Ulama’.
Bolehkah saya mengumpulkan puasa qadha’ / puasa sunat Isnin, Khamis dan sunat puasa bulan Rejab. Apakah hukumnya?
Sebahagian Ulama tidak membenarkan mengumpulkan niat ibadat sunat dan wajib. Oleh itu, adalah baik sekiranya dipisahkan antara
Haruskah saya membayar hutang puasa walaupun saya telah membayar fidyah?
Pembayaran fidyah ini tidak mengangkat tanggungjawab anda untuk menunaikan qadha’ puasa. Anda masih lagi perlu mengqadha’ puasa.
Nota: Transkrip ini telah dirakamkan bagi siaran radio Warna FM94.2 pada 22 Julai 2013