Baru-baru ini saya dijemput untuk sampaikan sedikit tazkirah selepas Terawih di salah sebuah masjid di sini. Sebenarnya tajuk yang telah saya siapkan ialah ‘Menyelami Ramadan Melalui Al-Quran’, tetapi bila diumumkan kepada jemaah tajuknya jadi ‘Puasa Mengeratkan Hubungan Kekeluargaan’ pulak! Adduh, camna ni? Rupanya ada kesilapan teknikal dan juga silap komunikasi antara saya dan penganjur. Tak mengapalah…
Sebenarnya pening juga apa yang saya nak sampaikan pada jemaah yang hadir, tapi Alhamdulillah bila dah mula tu…Allah permudahkan juga urusan dan dapat saya sampaikan seberapa yang terdaya saya mampu.
Cakap tentang mengeratkan kekeluargaan di bulan Ramadan ni, ketika ceramah tersebut…saya cuba mengajak para hadirin merenung kembali sama ada ibadah kita selama 10 hari di bulan Ramadan ini hanya terhad untuk kita sahaja ke? Atau kenikmatan beribadah pada bulan ini juga turut sama dirasai oleh ahli keluarga kita yang lain? Bagaimana pula dengan anak isteri kita? Adakah mereka turut sama berterawih ke masjid? Jika tidak, dan mereka pula di rumah…adakah mereka turut sama berterawih juga seperti kita?
Kelihatan juga jemaah yang terangguk-angguk, mungkin mereka sempat refleksi atau ianya memang berlaku pada diri sesetengah hadirin yang hadir di masjid tersebut. Perkara ini kadangkala berlaku pada diri kita tanpa kita sedari. Dalam kita ingin mendekatkan diri pada Allah, kadangkala kita kurang sedar akan keperluan untuk turut sama melibatkan keluarga kita yang lain. Pada hal ketika inilah peluang untuk kita mengeratkan hubungan antara satu sama lain, selain saling memperingatkan keluarga kita bagi memanfaatkan kelebihan pada bulan Ramadan ini.
Banyak wadah yang boleh kita lakukan bagi mencapai usaha ini, antaranya yang sempat saya fikirkan di sini:
1. Sahur
Sebenarnya peringatan inipun untuk diri saya juga, sebab saya jenis yang bangun sahur minum air je. Tetapi memandangkan anak-anak pun dah besar dan sedang cuba berjinak-jinak dengan puasa, maka saya pun perlu bersahur bersama mereka. Bukan apa, rasanya bila kita bersahur bersama mereka sekurang-kurangnya mampu memberi motivasi untuk mereka bersahur, kan lebih ramai lebih meriah?
Sahur ni sebenarnya penuh dengan keberkatan, Nabi pernah bersabda: “Bersahurlah kamu, bahawasanya sahur itu berkata”. Para ulama menyatakan selain dari membezakan dari amalan puasa orang-orang bukan Islam, ia juga memberi peluang kepada kita untuk memperolehi rahmat dan kebaikan selain ganjaran pahala dari Allah, mentelah lagi waktu sahur juga merupakan peluang untuk kita turut sama beribadah kepada Allah. Pada masa yang sama juga, dengan bersahur ia mampu memberi tenaga tambahan bagi kita mengharungi ibadah puasa selepas itu.
2. Membaca Al-Quran
Di kesempatan Ramadan ini, adakah kita sering membaca Al-Quran, jika Ya…bagaimana pula dengan isteri dan anak-anak kita? Mengapa tidak kita membaca bersama atau bertadarus? Atau, paling tidak kita saling ingat mengingatkan antara satu sama lain. Malah, lebih bermakna lagi dapat kita renungkan maksud ayat yang dibaca dan dikongsi bersama keluarga. Alangkah, indahnya jika ini dapat menjadi realiti dan amalan kita sekeluarga?
3. Iftar
Iftar adalah satu peluang yang tidak patut dilepaskan untuk kita berbuka bersama-sama keluarga. Selain berbuka bersama anak isteri. Menjadi satu amalan yang baik juga untuk turut sama berbuka bersama orang tua kita sendiri, mahupun bersama mertua. Malah, inilah peluang untuk kita menggembirakan kedua ibu bapa kita serta melahirkan keihsanan pada diri mereka. Lebih-lebih lagi jika kita tidak lagi tinggal bersama kedua ibu bapa.
Saya kira, ini antara perkara yang paling mudah untuk kita lakukan bersama di bulan Ramadan yang mulia ini. Tidak begitu?
4. Solat terawih berjemaah
Solat terawih juga merupakan satu peluang besar untuk kita turut sama meraih ganjaran pahala bersama keluarga. Bagi yang berkesempatan ke masjid bersama keluarga. Alhamdulillah, teruskanlah. Bagi yang ke masjid seorang diri, usah dilupa keluarga di rumah. Rugi, kalau kita je sorang2 dapat pahala, tetapi yang di rumah tidak dididik sama.
Tiada salahnya solat di rumah bersama keluarga, jika itu mampu mendidik isteri dan anak-anak yang masih kecil. Malah, dengan kita sendiri yang menjadi imam, kita mampu mengawal kadar kelajuan solat yang bersesuaian untuk anak-anak kecil kita yang turut sama bersolat.
Begitu juga, mengapa tidak sekali-sekali kita berkumpul bersama ibu bapa, adik beradik serta ipar duai untuk iftar sambil berterawih bersama? Ini juga pastinya dapat juga mengeratkan hubungan kekeluargaan di samping mengukuhkan kerohanian kita bersama. Malah, ini menjadi lebih genting, jika usaha ini dapat menghidupkan amalan ibadah pada anggota keluarga yang mungkin jarang-jarang melakukan solat terawih.
5. Solat malam
Berkaitan ibadah solat malam, ingin saya kongsi bersama sepotong hadith yang meriwayatkan tentang amalan Rasulullah s.a.w. pada 10 malam terakhir. Hadith tersebut berbunyi: “Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadah).
Maka contohilah amalan mulia Baginda s.a.w. ini, jika kita bersolat malam, usah dilupa pada keluarga kita terutamanya isteri kita. Kejutlah mereka agar ganjaran ibadah solat malam terutama pada 10 malan terakhir ini dapat kita raih bersama.
6. Doa
Sebagai penutup, ingin saya kongsi bersama juga doa yang diajarkan Baginda buat isterinya Aishah r.a. Diriwayatkan dari Aishah r.a, dia berkata: “Wahai Rasulullah, beritahukan kepada saya, apabila saya mengetahui pada malam apa Lailatul Qadr itu, apakah yang harus saya ucapkankan di dalamnya?
Baginda bersabda: “Ucaplah “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’ fu’anni (Ya Allah, Engkau adalah Maha Pemaaf, suka memaafkan, maka maafkanlah aku).”
Lihat akhlak Rasulullah s.a.w., Baginda s.a.w. suka berkongsi perkara yang baik-baik pada keluarganya. Maka mengapa tidak kita? Marilah kita amalkan doa yang baik ini, setiap kali kita selesai solat bersama keluarga kita. Semoga Allah bukan sahaja mengampunkan dosa kita, tetai juga dosa ahli keluarga kita.
Semoga amal ibadah kita pada tahun ini bukan sahaja memberi kesan pada diri kita, tetapi juga pada seluruh keluarga kita. Agar dengannya ia mampu mempereratkan lagi tali silaturahim antara kita. Amin.
Syukran, barakallahufik,InsyakAllah bertemu akan datang.