Dalam bulan Sya’ban yang mulia ini, dua kali saya didatangi oleh dua orang warga asing, seorang warga Filipina dan seorang lagi Indonesia. Kedua-duanya berjumpa saya dengan hajat untuk mengenal dengan lebih lanjut tentang Islam dan seterusnya menganut agama Islam. Kedua mereka ini ditemani oleh teman mereka yang beragama Islam. Ironinya kedua teman mereka ini pula daripada warga Indonesia. Kesemuanya tiba di Singapura atas urusan perniagaan.
Biar saya ceritakan pengalaman saya bersama dengan warga Filipina ini dahulu. Beliau berasal daripada Mindanao yang merupakan kepulauan kedua terbesar di Filipina yang mana kebanyakan warga Muslim Filipina menetap di sini.
Temannya daripada Indonesia memberitahu bahawa beliau ingin menganut Islam dan ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang Islam. Dari situ saya mendapat tahu bahawa beliau sudahpun memilih nama Islamnya sendiri iaitu Abdul Rahman!
Beliau telahpun mendalami Islam dengan mempelajari cara-cara bersolat dan sebagainya, bagusnya…bangga betul saya. Cuma saya ada bagi tahu dia juga, baik kalau dia dapat pelajari sirah Nabi untuk mengetahui akhlak dan muamalah baginda dalam berhadapan dengan teman, keluarga, masyarakat dan musuh selain mendalami aqidah Islam yang sebenarnya. Inilah cara pendekatan dakwah Rasulullah pada awal Islam, baginda tekankan tentang aqidah, akhlak barulah dituruti dengan amal. Pesan saya lagi pada beliau, apabila sudah yakin sepenuhnya, peluklah Islam. Ucaplah syahadah.
Sebelum berpisah sempat saya menghadiahkan kepada beliau sebuah buku sirah karangan Tarik Ramadan bertajuk ‘The Messenger’. Sebenarnya buku ini untuk diletakkan di pusat sumber masjid (Resource Centre), tetapi takpelah, ni kira dakwah juga. Saya pilih untuk hadiahkan buku ini untuk beliau memandangkan ianya sebuah buku yang baik, kontemporari, berbahasa Inggeris dan ringkas.
Sebagai satu langkah berjaga-jaga, selepas tu saya ada beli lagi 3 salinan bagi buku yang sama, 1 untuk masjid dan 2 untuk pengunjung yang nak mendalami Islam, tak kiralah Islam atau bukan Islam. Manalah tahu kalau2 ada yang jumpa dengan saya lagi..
Selang 2 minggu selepas itu, pada pagi Jumaat yang mulia, saya menerima satu lagi kunjungan daripada seorang lagi pemuda bernama Pancha yang ingin memeluk agama Islam, kali ini daripada Indonesia. Beliau seorang ‘free thinker’ tetapi ibu bapanya beragama buddha. Temannya yang beragama Islam memberitahu yang beliau ingin mengucapkan syahadah. Saya sebenarnya bimbang jika mereka ini tergesa-gesa menganut Islam tanpa asas agama yang kukuh. Beliau juga mengaku pernah mendalami agama Kristian sebelum memilih Islam sebagai agama untuk dianutinya.
Apabila ditanya tentang sumber maklumat beliau mengenai Islam, beliau memberitahu bahawa sumber rujukan utamanya ialah tafsiran Al-Quran, Masyaallah! Beliau juga mengaku hatinya sekarang ini lebih tenang sejak belajar tentang Islam. Saya jelaskan padanya dalam kehidupan, kadang-kadang kita akan diberikan ujian. Maksudnya, bukan bermakna bila dah menganut Islam, hidup kita akan otomatik senang dan tenang sepanjang masa. Islam mengajar kita tentang takdir (rukun Iman tu!), di mana kita perlu berusaha, kadang2 kita berjaya kadang tidak. Yang penting kita perlu redha dengan segala ketentuan Allah. Bila tak berjaya, bukan bermakna Allah tak sayang.
Lihat Nabi Muhammad, beliau makhluk yang paling dicintai. Tetapi adakah kehidupan beliau sentiasa mudah dan tenang sepanjang masa? Baginda pernah dicaci maki, dihina, diludah dan dilembar batu oleh kaumnya (rujuk peristiwa dakwah Nabi di Taif). Adakah bila baginda berdakwah kesemua umatnya masuk Islam serentak dan beramai-ramai? Tetapi adakah bermakna Allah tidak sayang Nabi? Pastinya Allah sangat menyayangi baginda tetapi tidak bermakna Nabi bebas daripada ujian Allah. Saya jelaskan perkara ini, sebab pernah berlaku seorang yang baru masuk Islam, ingin murtad disebabkan doanya tidak dimakbulkan Allah! Itulah yang saya bimbang.
Saya juga kongsi bersama tentang isi kandungan ceramah Bro Idris Taufiq (bekas paderi Vatican) di Al-Falah sedikit masa dulu, beliau menjelaskan bahawa Islam itu benar dan betul, yang tak betulnya Muslim! : ) Lepas tu kita bincang isu terrorism, wanita dalam Islam dan sebagainya. Nampak beliau jelas dengan maksud saya supaya perlu mendalami Islam dengan sebenar2 nya terutama tentang aqidah dan keimanan.
Selepas berbual panjang lebar, teman beliau yang Muslim tanya boleh tak kalau dia mengucap di sini, saya kata di mana-mana pun boleh, kalau sudah yakin tanpa ada yang saksikan pun boleh. Allah Maha Mengetahui akan keimanan kita. Oleh kerana beliau bersungguh-sungguh dan sudah nekad sangat, saya pun tanya tahu tak syahadah. Dia pun terus mengucap dengan sedikit pelat, ‘Asyhadu An Laa Ilaha Illa Allah…’ Saya tanya faham tak maksudnya? Dia jawab, tidak. Saya suruh dia ulang lagi, cuma kali ini ikut saya baca. ‘Asyhadu An Laa Ilaha Illa Allah…’ Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah’ , ‘Wa Asyahu Anna Muhammadan Rasulullah’. Ketika lafaz ini, beliau terhenti…rasa sebak dan kesat air mata..sebelum beliau sambung lagi dan ikut saya baca ‘Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah’ selepas ulang lafaz ini, beliau terhenti lagi dan semakin sebak. Kawan beliau yang Islam pun, turut sebak. Kedua-duanya kemudian sama-sama nangis. Saya pun cukup terharu, sebak ada gembira pun ada. Tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan saya.
Sebelum berpisah, saya sempat nasihatkan dia untuk tetap berlaku ihsan pada kedua orang tua beliau walaupun berlainan agama kerana itulan ajaran agama Islam, sebagai cenderahati saya juga menghadiahkan buku sirah ‘The Messenger’ untuk beliau baca dan kenal dengan lebih lanjut nabi Muhammad dan ajaran Islam yang sebenarnya. Kami juga sempat berfoto bersama. Saya juga ada minta teman beliau untuk ajar solat dan pelawa beliau untuk turut hadir solat Jumaat pada hari itu dan berkenalan dengan ramai lagi muallaf yang bakal beliau jumpa di sini.
Semoga beliau menjadi seorang Muslim yang baik dan bertakwa hendaknya. Bagi kita yang dilahirkan dan dibesarkan sebagai Islam seharusnya bersyukur dengan nikmat Iman dan Islam. Sewajarnya kita mengambil iktibar daripada peristiwa ini dan menilai semula dan memperbaharui keimanan kita pada Allah. Adakah selama ini kita telah menjadi seorang Muslim yang baik? Sudahkan kita merenung dan bertadabbur dengan ayat-ayat Quran? Sudahkah kita meneladani perjalanan sirah baginda?
Semoga Ramadan yang bakal menjelang akan memberi kita kesempatan untuk melakukan perkara-perkara yang disebutkan tadi.
Saya cukup terharu membaca entry Ustaz kali ini.
Saya amat bersyukur dengan kehadiran saudara baru Islam kita, Encik Abdul Rahman (warga Filipina), dan juga seorang lagi yang berasal dari Indonesia. Moga2 Allah s.w.t. memberi rahmat dan hidayah ke atas mereka berdua!
Sesungguhnya, saya amat teruja dengan kesungguhan Ustaz untuk memberi matlumat yang terperinci kepada mereka berdua sebelum mereka memeluk agama suci Islam kita ini.
Dengan menghadiahkan buku karangan Tarik Ramadan yg bertajuk “The Messenger”, menggambarkan betapa Ustaz Yusri amat prihatin agar mereka mendalami karektor dan sejarah Baginda Rasulullah s.a.w. agar Islam lebih dekat di hati mereka. Syabas saya ucapkan kepada Ustaz Yusri!
Saya berdoa kehadrat Illahi agar lebih ramai lagi yang dibukakan pintu hati untuk menuju ke jalan Allah s.w.t. Dan saya juga berdoa agar usaha Ustaz Yusri ini dapat dicontohi oleh orang lain agar sama2 kita bekerjasama demi untuk mengukuhkan perpaduan ummah.
Alhamdulillah. 🙂
Terima kasih, Nas.
Usaha saya kecil sahaja, semoga Allah memelihara iman mereka dan diberikan kekuatan dalam menjalankan kehidupan sebagai seorang Muslim.
Sebagai seorang Muslim yang bernama Muslim….saya cukup terharu…isk2……
Assalamualaikum ustaz, sy turut sebak baca artikel ni. Mudah2an saudara baru kita ni sentiasa diberkati ALLAH. Utk makluman ustaz, saya ada sorg sahabat perempuan berbangsa Cina yg saya sayang ustaz, tahu juga serba sikit mengenai Islam, even bulan islam pun dia tahu. Sy cuba tarik perhatian dia utk mendekati Islam agar 1 hari nanti dia akan diberi hidayah oleh ALLAH utk menjd seorg Muslim tp nampaknya belum nmpak tanda2 terbuka hatinya utk memeluk agama Islam. Mungkin kalau ustaz free, boleh bg tips2 yg boleh membantu sy. Terimakasih ustaz.