Saya kongsi di sini teks khutbah minggu ini karangan saya bagi pihak Majlis Ugama Islam Singapira (Muis) untuk bacaan masjid-masjid di Singapura.
Diharapkan teks khutbah ini bermanfaat bagi para ibu-ibu, isteri-isteri, kaum muslimat dan juga kaum Muslimin yang tidak berkesempatan mengerjakan solat Jumaat pada hari ini.
Selamat membaca!
Perancangan Kewangan Untuk Keluarga
Islam sebagai agama yang sempurna dan merangkumi segala aspek kehidupan manusia tidak lupa mengajarkan kita supaya merancang kewangan sebagai persediaan dalam mengharungi masa susah. Lihatlah pengajaran daripada peristiwa yang dikisahkan dalam al-Quran, tatkala seorang raja meminta Nabi Yusuf menafsirkan mimpinya.
Firman Allah:
Ertinya:
(Nabi) Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan (untuk masa susah) baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).” Surah Yusuf: 47-48
Tidakkah Allah mengajar kita di sini supaya membuat perancangan dan juga melakukan sesuatu bagi persediaan di hari muka?
Saudaraku yang dikasihi Allah,
Dalam kehidupan hari ini yang banyak urusan memerlukan wang, umat Islam perlu membuat perancangan jangka panjang demi kepentingan diri dan keluarga. Kita perlu bertanya pada diri soalan-soalan mudah seperti:
Apakah simpanan yang telah kita sediakakan untuk pelajaran anak-anak kita? Bagaimanakah kita dapat menyara diri semasa hari tua? Bagaimana jika kita sakit, cukupkah simpanan kita untuk menampungnya?
Berfikirlah saudaraku sekalian….
Namun berfikir tanpa melakukan sesuatu tidak akan membawa kita ke mana, kecuali apabila kita melakukan sesuatu bagi mengubah situasi dan meningkatkan nilai dan status kewangan kita.
Sebagai langkah permulaan, suka saya berkongsi melalui mimbar masjid ini beberapa panduan sebagai peringatan kita bersama. Antaranya:
Pertama: Menyusun semula dasar kewangan keluarga
Setiap keluarga sewajarnya merenung semula perbelanjaan dan gaya hidup yang telah ditetapkan. Kita perlu bertanya diri kita, adakah gaya hidup yang kita nikmati sekarang ini adalah bersesuaian dengan kemampuan kita sekeluarga?
Adakah selepas ditolak campur, kita mampu mengagihkan wang untuk simpanan? Bagaimana pula dengan perancangan tambahan bagi masa depan diri sendiri dan keluarga, samada di hari susah atau untuk persekolahan anak-anak jika berhasil ke universiti kelak?
Jika jawapannya adalah negatif, maka kita perlu merombak kembali dasar perbelanjaan keluarga. Catitlah segala apa yang biasa dibelanjakan pada tiap bulan. Fikirkan bersama dengan isteri supaya dapat dilakukan sesuatu untuk mengurangkan segala perbelanjaan agar agihan dapat diperuntukkan bagi simpanan wang dan perancangan masa depan.
Kedua: Hidupkan amalan menabung
Bagi memastikan kita dapat menabung, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memastikan perbelanjaan tidak melampaui wang pendapatan bulanan.
Oleh yang demikian, golongan yang berpendapatan tinggi tetapi mempunyai gaya hidup yang tinggi menyamai atau melebihi pendapatan, pastinya tidak dapat menabung.
Ini bermakna bagi menabung, bukan gaji besar atau kecilnya yang menjadi ukuran, tetapi komitmen dan disiplin dalam memastikan kita memperuntukkan peratusan tertentu gaji bulanan untuk simpanan, sebelum kita merancang lain-lain perbelanjaan.
Ketiga: Amalan berjimat cermat dan tidak membazir.
Bagi memastikan kita dapat memperuntukkan wang untuk simpanan, maka sewajarnya kita perlu menghidupkan amalan berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja atau membazir.
Ini dapat dilakukan seperti dengan mengawal penggunaan air dan elektrik di rumah. Amalan yang kurang sihat seperti tabiat merokok juga seharusnya dikurangkan dan seterusnya dibuang.
Bayangkan jika kita dapat mengurangkan tabiat merokok daripada sekotak kepada separuh kotak sahaja dalam sehari. Kita telah dapat menjimatkan wang perbelanjaan merokok sebanyak lebih kurang $5 sehari atau hampir $ 2,000 setahun! Bayangkan saudara-saudara sekalian, jumlah $2000 boleh digunakan untuk pelbagai manfaat diri dan keluarga. Tidakkah kita mahu merebutnya?
Tabiat-tabiat lain yang boleh dikurangkan ialah seperti amalan makan luar atau perbelanjaan yang diperuntukkan untuk hiburan seperti menonton wayang dan sebagainya. Ingatlah firman Allah:
Ertinya:
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila berbelanja, dia tidak melampaui batas dan tidak bakhil. (Sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah benar-benar sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (al-Furqaan: 67)
Keempat: Elakkan berhutang.
Elakkan seberapa daya daripada memulakan hutang yang baru kecuali dalam perkara yang betul-betul memerlukan. Kita juga perlu bijak menilai dan mengutamakan ‘keperluan’ atau ‘needs’ berbanding dengan ‘kemahuan’ atau ‘wants’.
Ingatlah, perancangan kewangan yang bijak dalam berhutang ialah hanya memperuntukkan tidak lebih dari ¼ sahaja pendapatan bulanan kita untuk hutang atau bayaran ansuran.
Fikirlah berulang kali sebelum memulakan ansuran baru dan patuh pada perancangan yang telah dilakukan dengan mencatit segala perbelanjaan keluar dan masuk. Ingatlah pesanan baginda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Ya Tuhanku! Aku berlindung diri dengan-Mu dari belenggu hutang dan dalam kekuasaan orang lain.” (Riwayat Abu Daud)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah sekalian,
Semoga panduan yang dikongsi bersama di sini dapat memberi kita kemahiran perancangan kewangan yang berkesan, seterusnya kita akan lebih mampu berjimat dan mengelakkan daripada melakukan pembaziran yang berterusan dan berhasil memperuntukan sebahagian pendapatan kita bagi simpanan di hari muka.
Nota:
Bagi edisi penuh dan teks dalam bahasa Inggeris boleh dimuat turun dari lelaman http://www.muis.gov.sg/cms/downloads/khutbahs.aspx?LangType=1086
oohhh.. padahnlah.. dgr eh lain je.. macam jimat cermat.. rupanya ustaz tulis.. power2.. terima kasih ustaz, anyway ade video baru doa iftitah.. dah email dah 🙂
Tak sangka sudah tertera di Al Quran bahawa adanya pesanan pasal the economic life cycle dalam Kisah Nabi Yusof.
perlu mendalami isu-isu begini..
Thanks Shahib.
Fadzuli, Al-Quran kitab panduan sepanjang zaman. Banyak rahsia di dalamnya. Tinggal kita yang perlu merenung dan mengamalkannya.
Salam Ustaz,
Amat berguna sekali khutbah ini.
AbangAbu sendiri sedang dalam melancarkan kempen menyimpan “SIMPAN Challenge”
Boleh tak ustaz tolong saya . Saya nak hadis hadis dan surah yang menekankan tentang ini.
Saya ingin juga memberikan buku panduan kecil yang ada doa doa dan juga ayat ayat mengenai kewangan serta tip tip amalan dari abangabu sendiri.
Sama Abang Abu,
Sulit juga tu nak cari ayat-ayat Quran atau hadith tentang simpan duit ni. Mungkin boleh dapatkan dari segi Islam menggalakkan kita berjimat cermat dan tidak membazir.
Sebagai langkah permulaan, mungkin Abang Abu google dulu, sesudah itu saya boleh bantu dari segi pandangan dan sebagainya.