Adalah penting untuk kita mengetahui latar belakang peristiwa di sebalik apa yang berlaku di Gaza dan mengenali pihak-pihak yang terlibat dan yang bersengketa selain mengetahui asal-usul sejarah yang berkaitan dengannya agar ia dapat memberi sedikit maklumat di sebalik tengkarah yang berlaku di Gaza baru-baru ini.
1. Kronologi Peristiwa Gaza
- Januari 2006, Hamas berjaya memenangi pilihanraya parlimen Palestine dengan memenangi 76 daripada 132 kerusi, sementara Fatah pula memenangi 43 kerusi.
- Jun 2007, para pegawai pemerintah Hamas telah disingkirkan daripada Palestinian National Authority (PNA) di Tebing Barat dan digantikan dengan pegawai Fatah.
- Jun 2007, Presiden negara Palestine iaitu Mahmoud Abbas mengeluarkan dekri mengharamkan Hamas, pemerintah Israel pula mengisytiharkan sekatan ekonomi ke atas Gaza. Hamas kemudiannya memulakan pengeboman tanpa henti ke atas kawasan negara Israel yang bersempadan dengan Gaza berikutan sekatan ekonomi ini.
- Disember 2008, tentera Israel mencerobohi Gaza mengakibatkan 1,100 rakyat Palestine terkorban dengan lebih separuh daripada mereka merupakan orang awam berbanding dengan hanya 13 rakyat Israel sahaja yang terkorban.
- Januari 2009, Israel mengisytiharkan gencatan senjata secara sepihak (unilateral ceasefire).
2. Jaluran Gaza
Terletak di genting berpantai di sepanjang laut Mediterranean. Ia bersempadankan Mesir di sebelah tenggara dan Israel di sebelah timur dan utara. Panjangnya kira-kira 41 kilometer dengan keluasan berjumlah 360 km persegi.
Wilayah ini mengambil nama bersempena bandaraya utamanya iaitu Gaza. Menurut statistik pada tahun 2007, ia mempunyai kira-kira 1.4 juta penduduk berketurunan Arab-Palestin. Dengan majoriti daripada penduduknya merupakan golongan Sunni Muslim dengan baki penduduknya di antara 2,000-3000 orang beragama Kristian.
Kebanyakan daripada penduduk ini pula merupakan peninggalan keturunan Arab-Palestin yang dihalau dari tanah air mereka ketika peperangan Arab-Israel pada tahun 1948.
3. Kerajaan Zionis Israel
Selepas peperangan Dunia Pertama, negara Palestine diperintah oleh kerajaan British dari tahun 1920 hingga 1948 di bawah nama The Palestine Mandate atau British Mandate For Palestine.
Pihak British kemudiannya menyuarakan keinginan bagi menamatkan mandat tersebut pada 1 Ogos 1948, walau bagaimanapun kepimpinan bangsa Yahudi yang diketuai oleh bakal Perdana Menterinya pada itu iaitu David Ben-Gurion telah mengisytiharkan kemerdekaan Israel pada 14 Mei 1948 dan ini diiktiraf segera oleh Amerika dan juga bekas negara Soviet Union serta negara-negara sekutunya. Perisytiharan ini walau bagaimanapun dibangkang keras oleh beberapa negara lain terutamanya negara-negara Arab sekitarnya.
Selepas peperangan Arab-Israel 1948, Israel semakin meluaskan tanah negaranya termasuk kawasan yang sebenarnya telah diperuntukkan bagi negara Palestine.
Gaza pula pada itu ditadbir oleh negara Mesir dari tahun 1948-1967 sebelum Israel mengambil alih pada 1967 akibat daripada Peperangan 6 Hari yang juga dikenali sebagai Perang Arab-Israel 1967. Ia kekal di bawah pemerintahan Israel sehinggalah diambil alih oleh PNA pada tahun 1994.
4. Hamas
Hamas merupakan singkatan nama Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah yang bermaksud Gerakan Perlawanan Islam. Ia merupakan satu gerakan Palestin yang merangkumi organisasi sosial, politik dan juga para militari. Sejak Jun 2007, Hamas telah menguasai sebahagian kecil Gaza.
Hamas ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Sheikh Ahmed Yassin, Abdul Aziz al-Rantissi dan Mohammed Taha. Ia berasal daripada cabang gerakan Ikhwan Muslimin Mesir. Hamas juga yang telah memulakan intifadah terhadap kependudukan Israel dan pengebom nekad (suicide bomber) pada tahun 1993.
5. Fatah
Fatah merupakan parti politik terbesar di Palestine dan merupakan serpihan daripada Pertubuhan Pembebasan Palestine atau Palestine Liberation Organization (PLO). Fatah yang bermaksud pembukaan atau kemenangan adalah singkatan nama daripada Harakah al-Tahrir al-Filastini atau Hataf yang bermaksud kematian secara mengejut. Ia kemudian diterbalikkan menjadi Fatah.
Fatah ditubuhkan pada tahun 1954 oleh ahli daripada golongan karyawan Palestin yang pernah menjadi pelarian di Gaza dan kemudiannya menuntut di Kaherah ataupun Beirut. Pengasasnya adalah Yasser Arafat yang pernah menuntut di Universiti Kaherah, Khalaf al-Wazir dan Khaled Yashruti.
Berbeza dengan Hamas, Fatah tidak dikenali sebagai pertumbuhan pengganasan oleh mana-mana kerajaan dunia sejak tahun 1988 apabila Amerika dan Israel mengeluarkannya daripada senarai pertubuhan pengganas.
6. Palestinian National Authority (PNA)
Penguasa Kebangsaan Palestine atau Palestinian National Authority (PNA) merupakan pertubuhan yang mentadbirkan daerah Palestine iaitu Tebing Barat dan Jaluran Gaza. Ia ditubuhkan pada tahun 1994 akibat daripada Perjanjian Oslo di antara PLO dan kerajaan Israel.
Menurut perjanjian tersebut, PNA mentadbir Jaluran Gaza pada tahun 1994 kecuali pada bahagian-bahagian tertentu yang masih dikawal oleh tentera Israel. Selepas pengunduran Israel pada 12 September 2005, PNA mengawal sepenuhnya Jaluran Gaza.
Walau bagaimanapun, Israel masih lagi menguasai bahagian udara dan kelautan sehingga ke Pelabuhan Gaza. Setiap urusan import dan eksport perlu mendapat kelulusan imigresen Israel.
7. Dasar Luar Pentadbiran Kerajaan Amerika Di Bawah Bekas Presiden Bush
Di bawah pemerintahan bekas Presiden Bush, kerajaan Amerika mengutuk keganasan di Gaza sepenuhnya ke atas kumpulan Hamas dan tidak mengambil apa-apa langkah mengecam serangan Israel.
Hamas dipersalahkan atas tindakan pengeboman yang disasarkan ke atas Israel, di samping penegasan bahawa tindakan balas Israel lebih kepada mempertahankan rakyatnya daripada dihujani serangan peluru berpandu Hamas.
Kerajaan Amerika juga mendakwa bahawa Hamas menjadikan rakyat Palestine sebagai perisai manusia dengan meletakkan pelancar peluru-peluru berpandu di tempat yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti sekolah, bangunan-bangunan awam dan sebagainya.
8. Dasar Luar Pentadbiran Kerajaan Amerika Di Bawah Presiden Obama
Langkah pertama Presiden Barrack Obama sejurus dilantik menjadi Presiden Amerika ialah dengan melantik George Mitchell sebagai ketua perwakilan Amerika bagi misi diplomatik keamanan rantau timur tengah.
Mitchell akan memberikan perhatian pada isu Israel-Palestine terutama dalam isu yang berlaku di Gaza. Obama sebelum ini mengambil langkah berdiam diri dan tidak memberikan sebarang komen atas alasan tidak ingin mengganggu dasar luar pemerintahan Bush.
Namun jelas selepas berkuasa, Obama meneruskan dasar luar negara bekas Presiden Bush. Ini jelas dengan seruan beliau supaya negara Arab menyokong pemerintah Palestine di bawah presiden Mahmoud Abbas di samping mengambil langkah untuk memperbaharui hubungan dengan negara Israel serta berdiri teguh untuk menentang ancaman keganasan.
Obama juga bertegas dan berpegang kepada dasar penyeludupan senjata ke Gaza perlu dihentikan. Beliau juga bersetuju dengan perjanjian yang ditandangani antara bekas Setiausaha Negara Aemerika iaitu Condoleeza Rice dan Tzipi Livni Menteri Luar negara Israel bahawa sempadan Mesir-Gaza perlu ditutup.
Beliau juga tidak mengendahkan kerajaan yang dipilih oleh Rakyat Palestine iaitu Hamas, malah telah menetapkan syarat bahawa Hamas terlebih dahulu perlu mengiktiraf kewujudan negara Israel dan menolak keganasan sebelum Amerika menimbangkan sebarang tuntutan Hamas.
Obama juga memberikan keyakinan bahawa Amerika akan sentiasa komited dengan keselamatan negara Israel dan akan sentiasa menyokong Israel dalam mempertahankannya dari sebarang ancaman pihak luar.
Masa Depan Gaza
Bagi memastikan kemakmuran dan penakatan Gaza, kedua belah pihak iaitu Fatah dan Hamas sama ada setuju atau tidak perlu menamatkan persengketaan antara mereka dan bekerjasama mengorak langkah bagi mencapai persetujuan bersama demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestine.
Hamas terutamanya perlu menumpukan perhatian dan keutamaan kepada rakyat Gaza, ini kerana sebarang tindakan ofensif terhadap Israel akan memudaratkan dan mengundang mala petaka kepada keselamatan orang awam yang tidak bersalah, memandangkan kerajaan Zionis Israel tidak akan teragak-teragak untuk melakukan tindak balas ke atas Hamas walaupun ianya melibatkan nyawa rakyat Pelestine yang tidak bersalah asal sahaja ia mampu mencapai objektif mereka.
Dunia juga tidak boleh mengharapkan sebarang langkah drastik daripada pentadbiran Obama, memandangkan dalam masa yang singkat jelas menunjukkan dasar luar negara Amerika terhadap Israel tetap sama dan kekal tiada perubahan.
Pada masa yang sama sewajarnya pihak Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga perlu memberikan lebih banyak tekanan ke atas Israel agar dapat melonggarkan pintu masuk ke Gaza supaya dapat dipercepatkan bantuan makanan dan keperluan asas sampai kepada penduduk Gaza dengan lebih mudah.
Semoga Fatah dan Hamas dapat berkerjasama dalam membangunkan kemajuan rakyat Palestine sebagai satu objektif utama mereka. Ini penting agar rakyat Palestine dapat mengecapi kedamaian dan ketenangan dalam menjalani kehidupan sehari-harian selain menikmati juga pendidikan yang sempurna dan setaraf dengan penduduk-penduduk lain di dunia.
Ini kerana hanya dengan peningkatan ilmu sahajalah yang akan dapat membantu membangunkan kemajuan rakyat Palestine agar menjadi lebih makmur dan sejahtera di samping tidak melupakan perjuangan sebenar iaitu membebaskan Palestine seluruhnya.
*Artikel ini disediakan sebagai sebahagian daripada giliran tugasan bagi topik perbincangan bulanan pada setiap mesyuarat bulanan Pegawai Agama Masjid Singapura dengan kerjasama pihak Unit Rangkaian Asatizah, Muis.
first things first, i love the new look yusri! i liiiiiiiiike!!!
i agree with you, the in-fighting amongst palestinian political leaders must stop for the sake of its people. its ironic that these are the very leaders who want a free and independent palestine, but cannot see past their ego and differences and make a united stand against the israeli regime occupation on their palestinian lands!
and yes, israel must open up all entries in and out of gaza to make it accessible for the palestinians to receive medical aid and other humanitarian needs. israel need to abide by the geneva convention, in which an occupying power has an obligation to ensure food and medical supplies to the occupied population. israel’s blockade has created a humanitarian crisis in gaza. that is equivalent to war crimes.
Thanks Irwan!