Sedang saya menunggu anak saya ke tandas semasa iktikaf pagi tadi di Masjid Al Islah Punggol, saya disapa oleh seorang jemaah. Rupa-rupanya beliau pernah sering ke masjid tempat saya bekerja dahulu. Sedang asyik berbual dan bertanya khabar, tiba-tiba beliau mengajukan dua soalan kemusykilan tentang solat buat saya.
1. Beliau bertanya, bolehkah seseorang itu solat dan membayangkan azab Allah dan membayangkan dalam hatinya rasa takut dan gentar tanpa melafazkannya. Beliau juga turut berkongsi ketika membayangkan perasaan takutnya ini, beliau akan tutup mata dan akan rasa lebih khusyu’ dalam solatnya. Tujuan beliau bertanya kepada saya ialah kerana ada di kalangan teman-temannya yang mendakwa solatnya telah batal kerana membayangkan azab tersebut dalam bahasa Melayu!
Saya menjelaskan tidak menjadi kesalahan apa yang dilakukannya, bahkan itulah yang sewajarnya, iaitu membayangkan keagungan Allah sehingga hati menjadi takut dan gentar, lantas timbul darinya rasa khusyu’ dari solat kita itu. Saya juga menjelaskan bahawa solat beliau tidak batal atau rosak, selagi mana apa yang beliau bayangkan dalam hati tidak beliau lafazkannya secara lisan.
2. Soalan kedua, beliau bertanyakan tentang doa qunut. Beliau menjelaskan bahawa iparnya mempertikaikan doa qunut yang dibacanya dalam solat Subuh dan menyatakannya sebagai bid’ah. Beliau bertanya bagaimana Ustaz, apa yang perlu saya jawab, perlukah saya berhujjah dengannya? Saya jelaskan biarkan sahaja, usah layankan. Kerana jika dilayankan dan katakan iparnya tetap berkeras dengan dakwaannya, maka pastinya akan timbul perbalahan dan mengakibatkan kerenggangan hubungan silaturrahmi. Sedangkan membaca qunut ialah perkara yang khilaf, hubungan silaturrahmi pula adalah jalinan yang perlu kita kukuhkan dan adalah satu keperluan, kerana tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahmi kata Nabi s.a.w.
Hmmph, bagus pulak 2 soalan kemusykilan ni. Modal baik ni, boleh tambah 2 cerita di atas dalam buku saya ni hehe.