Image

Dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama, pastinya kita tidak lari dari berinteraksi dengan teman-teman, rakan sekolah, teman sekerja mahupun mungkin jiran-jiran kita yang bukan Melayu dan beragama Islam. Tiada salahnya perkenalan kita ini, malah memang fitrah manusia dijadikan pelbagai bangsa dan sedemikian rupa, agar kita dapat kenal mengenal antara satu sama lain. Bukankah itu yang dinyatakan Allah dalam surah Al-Hujuraat ayat 13:

“Wahai Manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu yang terdiri dari kalangan lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu berbilang-bilang bangsa dan kaum supaya kamu saling kenal mengenal antara satu sama lain.”

Malah dewasa ini, trend perkahwinan campur di kalangan masyarakat Islam juga bukanlah sesuatu yang asing. Ini belum lagi termasuk bagi kalangan mereka yang baru berkenal-kenalan atau bercinta.

Inilah kes yang pernah dirujukkan kepada saya yang ingin saya kongsi bersama kali ini. Di mana saya sendiri pernah didatangi oleh satu pasangan suami isteri yang datang bersama anak lelaki mereka yang berusia 19 tahun bagi mendapatkan khidmat kaunseling. Isu yang dikemukakan ialah hubungan intim anak lelakinya dengan seorang wanita berbangsa Cina dan beragama Buddha.

Dipendekkan cerita, ibu bapa remaja ini tidak berkenan dengan perhubungan mereka. Keduanya beranggapan bahawa pergaulan anak mereka dengan wanita berbangsa cina ini boleh membuatkan anaknya lebih terdedah kepada pergaulan bebas. Pada masa yang sama, mereka juga tidak berkenan dengan gaya pakaian temanita anaknya ini yang dikatakan sebagai terlalu seksi.

Selain dari itu, keduanya juga mengaitkan tingkah laku negatif anak mereka seperti pulang lewat malam, merosot dalam pelajaran dan juga merokok, adalah kesan daripada pergaulan dengan wanita berbangsa cina ini.

Hasil daripada perbualan saya dengan kedua ibu bapa remaja ini juga, terbongkar satu rahsia yang tidak pernah diketahui oleh si ibu. Iaitu si ayah (sudah lama berhenti rokok) pernah ‘slow talk’ bersama anak lelakinya, di mana kedua-duanya dalam keadaan merokok dengan tujuan untuk menunjukkan si ayah tersebut memahami emosi dan perasaan si anak. Namun perbuatan ini menyebabkan si ibu berasa sangat kecewa dengan tindakan si suami. Mentelah lagi, beliau memang seorang yang tidak gemar dan anti kepada orang yang merokok.

Sebenarnya pada sesi tersebut, saya bahagikan matlamat pertemuan kepada dua perkara; pertama, untuk berkongsi teknik yang boleh dipraktiskan dalam menegur sikap negatif anak, dan yang kedua pula ialah sesi saya secara berasingan bersama anak lelaki mereka, dengan fokus bagaimana untuk berubah dan mendapatkan semula kepercayaan kedua ibu bapanya.

Cuma bagi tulisan kali ini, saya hanya akan memberi fokus pada perkara-perkara yang boleh dilakukan oleh kedua ibu bapa ini dalam menangani isu anak lelaki mereka. Perkara-perkara tersebut adalah:

Pertama, keperluan mempunyai prinsip yang sama dalam penyemaian nilai-nilai murni.

Maknanya, kedua ibu perlu bersatu padu dalam apa jua hal bagi usaha pentarbiyahan anak. Ini bagi memastikan anak tidak keliru dengan apa yang bakal disampaikan oleh kedua ibu bapa. Dalam hal ini, usaha si ayah merokok bersama-sama anak lelakinya adalah satu kesilapan yang perlu dielakkan dalam apa jua keadaan.

Si ibu melarang anak merokok, si ayah pula kembali merokok (setelah sekian lama berhenti tabiat merokok) bersama-sama dengan si anak. Walaupun si ayah mempunyai niat yang baik, namun sikap ini akan membuatkan kegenjotan pada usaha si ibu dalam memastikan si anak tidak merokok.

Sewajarnya kedua-dua ibu bapa perlu mempunyai aspirasi yang sama dalam menyemai nilai-nilai positif, ini akan membuatkan si anak jelas dengan apa yang diinginkan dan dibenci oleh kedua ibu bapanya.

Bersambung…

 

Nota – Artikel ini telah diterbitkan di Majalah al-Ustaz edisi 14, terbitan Telaga Biru, Malaysia.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s