istock_000016995701xlarge

Di tengah-tengah kemelut dan tengkarah berkaitan dengan isu LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual & Transgender) sekarang ini berekoran pengumuman duta ‘Pinkdot’ dari kalangan bangsa Melayu. Sama ada kita suka atau tidak, inilah antara isu-isu yang melanda negara kita yang tidak boleh kita lari daripadanya. Trend ini tidak terkecuali turut melanda segolongan masyarakat Islam Singapura yang juga turut terkesan dengan trend ini termasuk kecenderungan pada hubungan sejenis.

Malah dewasa ini, terdapat rasa simpati yang mendalam dari sebahagian pihak terhadap golongan ini sehinggakan ke tahap merelakan dan merestui amalan golongan ini atas alasan ianya sebagai sebahagian dari naluri semulajadi.

Naluri vs Tabii (Nature vs Nurture)

Walaupun tidak kurang teori yang menyatakan bahawa kesan LGBT ini adalah berpunca dari pengalaman peribadi mangsa akibat serangan seksual atau pencabulan kehormatan dari kaum sejenis, namun tidak kurang juga kajian-kajian yang menyatakan ianya berpunca secara tabii atau semula jadi.

Bukanlah tujuan penulis di sini untuk membuktikan mana-mana teori ini adalah tepat ataupun tidak, kerana itu merupakan perbincangan yang memerlukan perbahasan yang tersendiri dan perlu dilakukan secara ilmiah. Apa yang penting dan yang perlu difahami ialah pelaku homoseksual dilarang dengan keras dalam agama Islam sama seperti Allah melarang perbuatan zina di antara lelaki dan wanita.

Larangan Allah ini secocok dengan tujuan dan objektif di sebalik syariat Islam (maqasid syariah), bahawa institusi kekeluargaan merupakan satu elemen penting bagi manusia. Bagi memastikan tujuan tersebut dapat direalisasikan, Islam mensyariatkan perkahwinan di antara lelaki dan wanita bagi menghalalkan hubungan antara keduanya. Melalui pernikahan yang sah pula, terbentuklah keluarga dan penghasilan zuriat yang melahirkan generasi baru dan seterusnya memelihara kewujudan manusia.

Intervensi Ibu Bapa Dalam Mengekang Penularan Budaya LGBT

Selain dari menitik beratkan penekanan aqidah dan perintah amali agama seperti solat, puasa dan sebagainya pada diri anak-anak. Ibu bapa juga perlu menyemai tentang kepentingan menjaga akhlak dan mempunyai budi pekerti yang baik selain sentiasa mengingatkan diri anak tentang bahaya pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, dan kini bahaya bagi hubungan antara sejenis.

Malah, anak-anak perlu disedarkan tentang sistem reproduksi organ untuk lelaki dan perempuan sejak dari usia kecil lagi. Ini penting agar mereka segera maklum jika terdapat pihak-pihak yang mengambil kesempatan terhadap diri mereka, dan ini termasuklah dari kaum sejenis, dan tidak terkecuali dari kalangan mereka yang rapat seperti kenalan di sekolah, jiran mahupun dari kaum kerabat terdekat. Malah pernah tersiar di media tempatan sedikit masa dulu tentang insiden seorang kanak-kanak lelaki pelajar sekolah rendah dicabuli oleh guru mereka sendiri di makmal sains hanya melalui pancingan iPad.

Menurut pengalaman peribadi penulis sebagai kaunselor, beberapa kes yang pernah dikendalikan terhadap pengamal homoseksual atau mereka yang mula cenderung terhadap cinta pada kaum sejenis hampir kesemuanya bermula dari pengalaman buruk diragut kehormatan dari mereka yang rapat dan dipercayai oleh keluarga sendiri.

Sikap Kita Terhadap Golongan LGBT

Adakah kita perlu menerima dan bersetuju dengan tindakan pelaku homoseksual walaupun salah?, atau perlu kita hindari mereka kerana beranggapan bahawa golongan yang melakukan dosa seperti ini perlu diijauhi?

Kedua-duanya merupakan satu tindakan yang ekstrem.

Menerima mereka seadanya sehinggakan kita merestui dengan pelakuannya, dan bersimpati dengan mereka dan tidak melakukan sesuatu untuk membawa mereka kembali kepada agama merupakan satu tindakan yang juga tidak tepat. Mentelah lagi, kita memang digesa dalam agama untuk mencegah sesuatu kemungkaran dengan segala terdaya kita mengikut kemampuan masing-masing. Ini sesuai dengan peringatan Rasulullah dalam sepotong hadis yang bermaksud:

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya (kuasanya), sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan sekiranya dia tidak mampu (juga), maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah keimanan.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Hadis ini menunjukkan perintah untuk mengajak kepada perkara kebaikan dan mencegah perkara kemungkaran adalah mengikut tahap kemampuan masing-masing, dan selemah-lemah cara adalah melalui dengan hatinya, iaitu dengan melahirkan rasa benci terhadap kemungkaran yang dilakukan, setelah cara mencegah kemungkaran yang lain tidak dapat dilakukan.

Adakah cegah kemungkaran di sini termasuk melahirkan rasa benci pada individu yang melakukan dosa atau maksiat? Adakah ini termasuk bermakna kita perlu menyingkirkan atau menghindari dari bergaul dengan mereka? Bagaimana pula jika mereka merupakan saudara atau anak kita sendiri? Adalah kita perlu memutuskan jalinan silaturrahim hanya kerana mereka seorang pengamal homoseksual? Adakah itu merupakan ajaran Islam? Ajaran Nabi s.a.w.?

Pelajaran dari Sirah Nabawiyah

Untuk membantu kita memahami perkara ini, baik untuk kita merenung perjalanan sirah Nabi s.a.w.

Nabi s.a.w. tidak sesekali menyingkirkan atau menyisihkan sesiapa yang mengingkari seruan yang dibawa oleh Baginda. Malah berkat tidak putus asa Baginda s.a.w., mereka yang dahulunya memusuhi Rasulullah seperti bekas pemimpin Musyrikin Quraisy iaitu Abu Sufyan dan isterinya Hindun yang dahulunya sangat membenci Nabi s.a.w. akhirnya menganut agama Islam.

Begitu juga layanan Nabi terhadap penduduk Taif yang tegar menentang Rasulullah sehinggakan bukan sahaja seruan Nabi tidak didengari mereka, tetapi Baginda juga diludahi, dicerca dan dilontari dengan batu pula sehingga pecah-pecah kaki Nabi s.a.w.

Namun Rasulullah s.a.w. tidak sama sekali murka. Nabi tetap kasih dan cinta pada mereka, sehingga Rasulullah menolak menolak pelawaan malaikat penjaga gunung untuk dihempapkan banjaran gunung-ganang ke atas mereka. Bukan sahaja pelawaan Malaikat tersebut ditolak, tetapi didoakan pula agar Allah memberikan mereka hidayah!

Inilah dia contoh ajaran Islam yang sebenar. Ajaran yang padat dengan nilai kasih sayang dan belas keihsanan. Andai dengan mereka yang bukan Islam iaitu golongan Musyrikin dilayan sebegitu rupa, maka apakah hak kita yang mengaku umat Baginda untuk menyisihkan saudara kita sesama islam, hanya kerana mereka itu pelaku dosa?

Ya, langkah yang sewajarya ialah untuk kita menegur mereka dengan kuasa yang ada pada kita jika kita mampu. Jika tidak, maka dengan cara menasihati mereka. Dan andai kata itu juga tidak dimampui. Maka cara yang terakhir ialah dengan hati kita. Hati yang membenci perbuatan dosa yang dilakukan, tetapi tidak si pelakunya. Andai kata kita membenci si pelakunya, maka pudarlah harapan untuk kita mengembalikan mereka ke pangkal jalan.

Kasih Sayang Allah Tidak Pernah Terbatas

Rahmah Allah itu adalah amat luas. Kasih sayang Allah adalah tidak terbatas termasuklah kepada mereka yang masih bergelumang dengan dosa. Atas dasar itu, sesuai dengan sifat Allah sebagai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, pintu taubat Allah sentiasa terbuka bagi mereka yang ingin kembali pada Allah, walau sebanyak manapun dosa mereka terdahulu.

Namun jangan dilupa, bahawa Allah itu juga Maha Adil dan Maha Pembalas terhadap golongan yang melewati batas. Sesiapa yang masih berterusan melakukan dosa dan noda akan tetap dihukum oleh Allah s.w.t. dan diberikan balasan yang setimpal pada hari akhirat sesuai dengan keburukan yang dilakukan semasa hayatnya.

Rahmat Allah juga turut bersama terhadap golongan di luar sana yang mempunyai naluri rasa ghairah terhadap kaum sejenis, tetapi masih mampu bertahan kerana wujud hubungan yang erat bersama Allah melalui solat dan zikrullah yang berterusan. Marilah kita menganggap ianya sebagai satu ujian yang hebat dari Allah terhadap diri mereka.

Situasi ini sebenarnya hampir serupa dengan sebahagian golongan yang belum berumahtangga atau golongan duda dan janda yang belum berkesempatan bertemu jodoh buat kali kedua. Naluri keghairahan tetap perlu dikawal dan dijaga. Hatta, yang sudah berumahtangga juga turut berkewajipan menjaga hawa nafsunya terhadap mereka yang bukan isteri atau suaminya.

Dalam agama Islam, berniat untuk melakukan perkara keburukan atau maksiat belum dikira sebagai satu dosa sehinggalah seseorang itu melakukan perkara tersebut.

Oleh itu bagi mereka yang menyimpan perasaan terhadap kaum sejenis tetapi tidak melakukan apa-apa kecuali menyimpan hasratnya sahaja belum dikira melakukan sebarang dosa.

Dalam sepotong hadith Qudsi ada disebutkan perkara ini:

“Barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan kemudian tidak jadi melakukannya maka dicatat oleh Allah sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya dan barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan itu kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah Taala sebagai satu keburukan sahaja di sisi-Nya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

LGBT2

Langkah Mengawal Naluri Terhadap Teman Sejenis

Namun bagaimamanakah cara untuk kita terus mengawal perasaan dan nafsu yang terbuku dan bergejolak dalam hati ini?

Sebenarnya apa yang ingin dikongsi di sini sebenarnya juga boleh turut diaplikasikan sebahagiannya dalam mengawal hubungan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Langkah-langkah dan saranan di bawah ini ada antaranya pernah penulis kongsi bersama dengan pengamal homoseksual dalam sesi kaunseling yang pernah dikendalikan sebelum ini, dan ada antaranya sedikit sebanyak telah dapat memberi kesan pada diri mereka.

Perkara yang bakal disebutkan di bawah ini juga boleh dikongsikan dalam usaha kita membantu teman terdekat atau saudara kita yang ingin benar-benar berubah, atau apabila kita diminta oleh mereka untuk membantu golongan sebegini.

Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi mengatasi perkara ini sebagai satu ikhtiar:

1. Ubah Minda atau ‘mindset’

Langkah utama untuk keluar daripada lingkaran ini ialah dengan menukar mindset kita dari ‘tiada pilihan lain’ kepada ‘aku ada pilihan’ atau ‘aku boleh berubah’.

Jika tidak ditukar mindset ini, maka sukar untuk sesiapa pun membantu kita dalam hal ini.

Kita juga perlu menukar salah tanggapan bahawa ia adalah naluri semulajadi dan tidak dapat dielakkan sama sekali. Jika kita anggap ia sebagai naluri semulajadi sekalipun, kita tetap perlu melawan hawa nafsu kita.

Keadaan yang sama juga berlaku terhadap hubungan sesama lelaki dan perempuan, mujahadah atau peperangan melawan hawa nafsu tetap diperlukan.

Malah, andai kata diberi alasan bahawa senarionya tetap tidak sama kerana lelaki dan perempuan boleh berkahwin. Ia juga bukan satu alasan yang konkrit, kerana selepas perkahwinan kita tetap perlu melawan nafsu syahwat apabila berdepan dengan lelaki atau wanita yang bukan mahram.

2. Mengamalkan Ibadah Puasa

Antara ibadah yang baik dilakukan bagi mengawal nafsu syahwat ialah dengan berpuasa. Inilah anjuran Baginda kepada pemuda yang ingin bernikah tetapi belum mampu.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Wahai sekalian pemuda, sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana perkahwinan akan memelihara pandangan dan kemaluan kamu. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah ia kerana dengan berpuasa dapat memelihara daripada kejahatan. (Hadis riwayat Imam Nasaa’i dan Abu Daud).

Puasa merupakan satu langkah pencegahan yang efektif bagi mengekang hawa nafsu. Sebab berlapar dan mengosongkan perut itu meninggalkan kesan yang baik untuk menerangi hati nurani serta menimbulkan semangat pada anggota badan untuk beribadah selain dari mendidik jiwa dan mengurangkan nafsu syahwat.

3. Mengambil Pengajaran dari Kisah Kejayaan (Success story)

Terdapat banyak kisah-kisah kejayaan atau success story yang benar-benar berlaku pada mereka yang dahulunya seorang yang homoseksual tetapi berjaya berubah, berkahwin dan seterusnya memperolehi zuriat sendiri.

Pastinya ia tidak mudah, ia memerlukan kepada pengorbanan dan semangat untuk terus berubah dan percaya diri.

Namun yang paling penting, kita perlu bertanya pada diri kita, jika mereka mampu lakukan dan berubah, mengapa tidak kita?

4. Menerima Bantuan Pakar atau Kumpulan Sokongan (support group)

Memandang isu yang dihadapi adalah serius, maka mendapatkan bantuan pakar psikologi merupakan satu pilihan bagi mengatasi isu yang dihadapi. Sebaiknya dapatkanlah bantuan dari pakar psikologi atau kaunselor yang mampu memberikan panduan dan perspektif dari sudut pandangan agama Islam.

Selain dari itu, bantuan dan sokongan moral daripada keluarga dan teman rapat yang dipercayai serta mengamalkan gaya hidup sihat juga amat diperlukan.

Teman rapat yang boleh membantu mengingatkan kita untuk melawan tuntutan jiwa dan bisikan syaitan juga mampu membantu kita mengekang naluri yang tidak sihat, selain sebagai teman yang dapat membantu mengingatkan kita kepada Allah.

Penting untuk mereka yang dihampiri golongan ini atau sesiapa sahaja yang berdepan dengan golongan homoseksual ini agar tidak menghindari atau menyingkirkan mereka, tetapi tetap memberikan sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi.

Ini amat penting agar agar mereka mudah keluar daripada lingkaran buruk yang dihadapi sekarang.

5. Langkah Pencegahan (Intervention)

Bagi mengelakkan terjerumus daripada perbuatan yang dikeji ini, sebaiknya perlu dilakukan langkah-langkah pencegahan dan tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang membawa risiko bagi kita mengulangi perbuatan yang terlarang.

Antara perkara yang boleh dilakukan ialah:

– Pastikan tidak berdua-duaan dengan teman yang anda cenderung untuk melakukan perbuatan yang dilarang. Seperti tempat-tempat gelap, rumah yang tiada penghuninya atau di hotel.

– Pastikan sentiasa berteman (teman yang dipercayai dan ‘straight’) bila bersama dengan teman-teman yang berisiko.

– Tidak berkongsi identiti kita sebagai pengamal atau bekas pengamal homoseksual dengan orang yang tidak dikenali, takut dikhuatiri ia akan mendedahkan kita pula kepada perkara yang tidak diingini, andai kata teman tersebut merupakan pelaku homoseksual yang aktif.

– Tidak melayan perasaan untuk berkenal-kenalan dengan teman sejenis yang diminati, ini kerana dari kenal mengenal akan membawa kepada hubungan melalui mesej peribadi, perbualan di telefon, pertemuan, sentuhan dan akhirnya tidak mustahil ia akan berakhir dengan hubungan seksual.

6. Doa & Solat

Sentiasa mengamalkan zikrullah sama ada dengan bertasbih, bertahmid atau dengan memperbanyakkan bacaan Al-Quran dan menyelami maksudnya.

Selepas apa yang kita lakukan dan usahakan, janganlah lupa untuk terus berdoa kepada Allah. Pintalah pada Allah agar diri kita dipermudahkan dari segala urusan dan beroleh kesejahteraan dan keselamatan.

Dekatkan perhubungan kita kepada Allah dengan melakukan solat Fardu lima waktu selain ibadah-ibadah lain agar diri menjadi tenang serta mendapat pertolongan Allah.

Pohonlah pada Allah dengan doa pada setiap penghujung solat kita seperti yang dianjurkan Nabi s.a.w.:

“Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah pertolongan bagi diriku untuk berzikir mengingati-Mu, memanjat syukur pada nikmat-Mu dan memperbaiki ibadahku kepada-Mu”. [Hadis riwayat Imam abu Daud]

7. Sentiasa Bersikap Positif dan Tidak Berputus Asa

Tidak berputus asa, dan terus berusaha merubah dan melawan bisikan hati dan syaitan. Jika ia masih berulang, cubalah untuk bertahan dan mengamalkan apa yang telah disebutkan sebelum ini.

Gagal sekali, bukan bermakna seterusnya juga gagal. Percaya bahawa usaha yang dilakukan memerlukan masa untuk pulih dan berjaya. Kejayaan tidak datang sekelip mata.

Berdoa dan terus berdoa, mudahan Allah memberikan kita jalan keluar dan petunjuk dalam berusaha menjadi seorang yang lebih baik dari sebelumnya.

Dan akhir sekali, ingatlah bahawa Allah itu Maha Pengampun, Pengasih lagi Maha Penyayang.

Nota: Artikel ini pada asalnya ditulis sebagai pandangan saya dalam isu ini dan telah dikirimkan kepada pihak Berita Harian pada 20 Februari 2014 yang lalu untuk disiarkan di BH. Sebagai rekod, sehingga kini pihak BH belum lagi terbitkan. Kita doakan ia akan diterbitkan kelak agar masyarakat Islam khususnya dapat mengambil faedah darinya.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

Leave a comment