Haiz, dah lama tak berkongsi pengalaman kaunseling yer? Bukan apa hampir sama isu-isu yang dikemukakan. Kalau dikongsi pastinya jadi siaran ulangan. Maklum dah hampir 86 posting sudah saya kongsi bersama sejak blog ini tercipta.

Lagipun, sejak sebulan lepas saya punya beberapa assignment penulisan artikel yang perlu ditunaikan untuk diterbitkan. Jadi waktu (tengah) malam saya sedikit penuh. Ini tidak termasuk beberapa emel dan juga mesej peribadi yang diterima berkaitan isu-isu peribadi pengirim yang perlu saya balas dari semasa ke semasa.

Baru-baru ini punya temujanji kaunseling dengan klien rakyat asing yang berasal dari Timur Jauh (bukan daripada negara Arab) yang merupakan penduduk tetap Singapura, beliau telah berkahwin lebih dari 10 tahun dengan seorang wanita tempatan.

Selain mengadu tentang keretakan hubungan rumahtangga akibat sikap isteri yang terlalu suka berahsia yang pada saya boleh diperbaiki, beliau juga mengadu tidak dapat melakukan hubungan seks kerana isteri mempunyai penyakit yang serius seterusnya menjejas keintiman antara mereka.

Lebih memburukkan keadaan, beliau (si suami) mempunyai kenalan baru (perempuan lah!) dan berhajat untuk berkahwin sekali lagi. Tetapi timbul dua masalah:

1. Isteri pertama tidak mahu dimadukan dan ingin bercerai jika suami berkahwin lagi.

2. Temanita beliau juga tidak ingin dijadikan isteri muda. Beliau lebih rela tidak berkahwin dari dimadukan.

Si suami ni pula serba salah, beliau tidak sanggup menceraikan isteri pertama kerana mengaku masih terlalu sayang dan pada masa yang sama tidak sanggup pula berpisah dengan temanitanya! Alamak macam mana ni?

Saya menjelaskan beliau perlu membuat keputusan dan saya membayangkan padanya alternatif atau pilihan yang beliau ada. Teruk eh? Tapi apa nak buat, ini hakikat yang beliau perlu hadapi dalam situasi yang dihadapi sekarang. Pilihan tersebut ialah:

1. Kekal dengan isteri pertama dan tinggalkan temanita. Mampu ke? : )

2. Kekal dengan isteri pertama dan bernikah dengan temanita dengan syarat diluluskan oleh Pejabat Nikah.

3. Menceraikan isteri atas dasar isteri tidak mampu menunaikan kewajipan dan berkahwin dengan temanita.

Suka saya tegaskan, dalam kes-kes kaunseling yang saya hadapi amat jarang sekali saya mencadangkan poligami atau perceraian. Tentang poligami, perspektif saya kali ini berbeza (sila lihat posting saya yang terdahulu yang bertajuk ‘Saya nak kahwin sebab nak elak maksiat’ & ‘Ayat-Ayat Cinta’) kerana keadaan isteri yang tidak mampu menunaikan keinginan suami dalam melakukan intimasi.

Pastinya pilihan yang pertama adalah yang paling ideal dan terbaik dengan diikuti dengan pilihan kedua. Pilihan pertama nampak mudah. Tetapi mampukan beliau meninggalkan temanitanya? Dan jika beliau dapat tinggalkan temanitanya sekarang. Mampukah beliau menapis godaan wanita lain atau gejolak nafsu dalam diri akibat tidak mampu melakukan hubungan dengan isteri?

Pilihan kedua pula lebih rasional, memandangkan beliau dapat mengekalkan tali perkahwinan dengan isteri pertama kerana masih sayang dan tidak sanggup melepaskan isteri dalam keadaan yang sangat kritikal dan pada masa yang sama dapat melepaskan nafsu syahwatnya melalui pernikahan baru.

Pilihan terakhir ialah perceraian yang pastinya tidak digalakkan. Namun walaupun perceraian dibenci oleh Allah, tetapi kadang kala ia merupakan jalan keluar bagi kedua suami dan isteri dalam memulakan hidup baru. Sebab itulah ia disyariatkan oleh Allah.

Mungkin dalam keadaan di atas nampak ia macam tidak adil dan menyebelahi pihak suami sahajakan? Tetapi sebenarnya isteri juga mempunyai hak yang sama. Isteri boleh menuntut fasakh (pembatalan) dalam perkahwinan jika suami tidak mampu menunaikan kewajipan nafkah batin kerana sakit atau mati pucuk sebagai contoh.

Islam adalah agama fitrah, Tuhan tahu naluri kemanusiaan yang perlukan hubungan intim antara lelaki dan perempuan. Adanya poligami, talak atau fasakh adalah menjaga keimanan suami dan juga isteri agar tidak terjerumus ke dalam kancah maksiat jika antara mereka gagal menunaikan kewajipan nafkah batin ini. Ini merupakan satu perkara yang serius memandangkan melakukan intimasi merupakan antara matlamat utama pernikahan.

Situasi di sini tidak sama dengan sang suami yang membuat alasan untuk berkahwin lagi disebabkan untuk megawal nafsu, ia tidak ‘valid’ dan pastinya di ‘reject’ oleh Kadi kerana isteri masih mampu menunaikan kemahuan suami dalam melakukan intimasi atau seks.

Saya sudah memberikan beberapa pilihan kepada sang suami bersesuaian dengan isu yang dikemukakan. Segala pilihan yang diberikan adalah bertolak kepada kebimbangan saya terhadap keimanan si suami. Jika saya bertemu dengan isteri yang menghadapi isu yang sama, saya juga akan beri pilihan seperti di atas – minus poligami pastinya : )

Secara peribadi, saya jelaskan pada beliau, segala keputusan yang diambil hendaklah dengan tujuan utama menjaga keimanan. Jadi maknanya? Tepuk dada tanya imanlah : )

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

One response »

  1. Nas Aura Mustika says:

    Tahniah Ustaz Yusri!Satu nasihat dan cadangan yang baik buat si hamba Allah yang mempunyai masalah tersebut.Sebagai orang yang masih bujang lagi, saya sendiri dapat merasakan betapa beliau berada dalam dilema dan sukar untuk menempuh cabaran yang dilaluinya.Ustaz telah memberikannya beberapa pilihan, dan lantas, memang sewajarnya dia “tepuk dada tanyalah iman”.Moga-moga pasangan yang dimaksudkan ini dapat jalan penyelesaian dalam masalah perhubungan yang mereka hadapi ini.Dan lagi satu, memanglah hubungan seks adalah satu kewajipan dalam kehidupan berumahtangga… tapi, cinta tidak harus berpandukan seks semata-mata. Apa yang penting, kasih dan sayang yang terpaut dalam jiwa masing-masing yang akan mengukur sejauhmana keikhlasan serta ketulusan hati kita dalam sesebuah hubungan. =)

Leave a comment