Archive for 'Umum'

Tribute…

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Dengan berkatnya, setelah 5 tahun bertungkus lumus dan berkorban masa, hari ini dengan rasminya saya telah selesaikan pengajian sarjana (Master) saya daripada Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya. Sebagai makluman, tajuk disertasi saya: Kefahaman & Pengamalan Solat Berdasarkan Sunnah Rasulullah: Satu Kajian Di Kalangan Masyarakat Islam Singapura. 

Bayangkan, masa saya daftarkan diri. Isteri saya masa tu mengandung anak pertama, sekarang anak pertama saya dah berusia 5 tahun, anak kedua pula dah 3 tahun. Lama kan? Apa nak buat…itu sahaja yang saya mampu.

Banyak cabaran sebenarnya belajar sambil bekerja ni..bayangkan kita balik malam..Kadang2 bila ada meeting balik pukul 11-12 malam. Lepas tu kena baca buku. Kena type dan sebagainya. Penat, mengantuk jangan cakap lah..gangguan si kecil..aduuh..pernah dorang godeh laptop saya sampai switch off! Padahal masa tu saya belum save lagi..! Itu belum termasuk dah type panjang lebar kemudian lap top hang dan semua data hilang! ooh, macam tak pengsan pun ada…

Ada masa pulak kadang2 switch off 1-2 minggu tak sentuh buku..Pengalaman saya, untuk belajar separuh masa ni, kita perlu kekalkan momentum..kalau penat, kena lawan. 3o minit pun jadilah untuk kita baca atau research..jangan tinggalkan terus..nanti melarat berhari2.

Oleh kerana saya tak mampu hadiri kelas (coursework) dan berhenti kerja untuk belajar sepenuh masa (susah dengan keadaan saya yang dah berkeluarga), maka saya terpaksa memilih disertasi (thesis) penuh tanpa coursework dan lakukan secara separuh masa. Melalui fully dissertation saya perlu tulis sehingga 60,000 perkataan. Selain itu, saya juga perlu banyak berdikari kerana tidak berpeluang mempelajari Research Methodology. Mujur ada kenalan rapat yang sudi berkongsi ilmu selain dari buku-buku bacaan serta contoh tulisan tesis sarjana yang terdahulu dan Guideline atau panduan tesis API, UM.

Rasa macam tak percaya pun ada bila dah selesai.. maklum saya lakukan pengajian ini secara separuh masa. Malah, ketika beberapa teman dan kenalan (bukan rapat) tahu saya lakukan secara separuh masa, ramai yang memandang sinis tidak yakin saya boleh berjaya. Ironinya kebanyakan dari mereka ini sudah punya sarjana! Mungkin mereka bayangkan bahawa sepenuh masa pun susah apatah lagi separuh masa.

Ada pula yang share beberapa kenalan yang mereka kenal, gagal bila buat master cara ini. Aah! boringnya..saya tak minta mereka beri sokongan dan saya tak minta pula mereka momok2 kan atau takut2 kan saya. Tapi tak mengapalah, tak kurang juga teman yang berikan semangat. Paling penting sokongan dari teman rapat dan keluarga. Ia jadi dorongan saya sebenarnya untuk buktikan sesuatu. Kata orang, di mana ada kemahuan..di situ ada jalan. Betul tak?

Apapun, perkongsian ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, tapi lebih sebagai galakan atau dorongan bagi sesiapa yang ingin lanjutkan pelajaran tanpa perlu berhenti kerja. Ya, memang penat cara ini. Tapi ia bukan satu perkara yang mustahil untuk berjaya. Kalau saya boleh, kenala yang lain tidak?

Sebagai penghargaan atau tribute , saya kongsikan bersama dedikasi yang dinukilkan daripada disertasi (tesis) saya buat teman alam maya sekalian..

 

DEDIKASI

 

Kupersembahkan Dedikasi Ini Khusus Buat:

 

Tuhan Yang Maha Esa,

Pada-Mu Sentiasaku Panjatkan Pertolongan

Agarku Sentiasa Diberikan Kekuatan

Mengharungi Segala Onak Ranjau Dan Ujian

Mami & Papa,

Doa Restumu Berdua Menjadi Dorongan

Kata-Kata Nasihatmu Menjadi Berkat Kejayaan

Isteriku Tercinta, Afah…

Kehadiranmu Di Sisiku Menjadi Satu Kekuatan Tambahan

Kata-Kata Pembakar Semangatmu Buatku Terus Bertahan

Hingga Akhirnya Ku Perolehi Kejayaan

Putera-Puteriku,

Maafkan Abah, Jika Ada Masanya Daku Meninggalkanmu Bermain Sendirian

Namun Gelak Tawa Riangmu Menjadi Ketenangan Fikiran

Semoga Kejayaan Ini Menjadi Dorongan Buatmu Berdua Di Hari Kemudian.

Guru-Guruku

Terima Kasih Di Atas Tunjuk Ajar Kalian

Tanpa Bimbinganmu, Tidak Mungkinku Meniti Kejayaan

Teman Seperjuangan

Terima Kasihku Ucapkan

Atas Segala Dorongan Dan Bantuan

Hanya Tuhan Yang Dapat Berikan Ganjaran

Lawatan Ke US (Bahagian Ketujuh-Bahagian Penghabisan)

Sambungan…

Berbeza dengan pengalaman di bandar-bandar sebelum ini, selain daripada berpeluang berkongsi pengalaman, kami berkesempatan merasakan pengalaman menjalankan kerja sukarela di Cherry Street Food Bank, salah sebuah badan sukarela yang dikendalikan oleh Pertubuhan Northwest Harvest yang menguruskan pengagihan makanan percuma kepada golongan fakir miskin di Seattle.

Di Cherry Street Food Bank mereka menerima di antara 1,200 hingga 1,700 penerima bantuan pada setiap Isnin dan Rabu. Menurut Puan Jeri Chonle penyelaras sukarelawan di sini, mereka cuba memastikan pengunjung menerima bantuan semudah mungkin tanpa berasa tidak selesa atau segan. Setiap penerima hanya akan diminta memberikan nama dan maklumat yang asas bagi diri masing-masing bagi memudahkan urusan pemberian bantuan.

Di sini kami berpeluang melakukan kerja sukareladengan membungkus ’snek’ ke dalam plastik untuk diedarkan kepada golongan yang memerlukan. Sungguh menakjubkan apabila melihat bersama-sama dengan kami terdapat seorang sukarela yang lanjut usia dalam pertengahan umur 60 an yang sudah sedikit bongkok serta tidak mampu berjalan dengan baik dan seorang wanita yang mempunyai IQ yang rendah tetapi masih tetap juga bersemangat melakukan kerja sukarela.

Selain dari membungkus snek di dalam gudang, saya juga berpeluang bersama dua teman lelaki yang lain membahagikan barangan kering kepada penerima bantuan. Dengan cuaca sedingin 5C, kami terpaksa menahan kesejukan tangan kerana terpaksa menggunakan sarung tangan plastik sahaja bagi menggantikan sarung tangan biasa untuk tujuan mengagihkan barangan pasar seperti bawang ke dalam plastik sebelum membahagikannya bersama buah-buahan, makanan dalam tin, beras, roti dan juga minuman mineral kepada golongan yang memerlukan.


Kami dapat melihat sendiri bagaimana orang ramai dari pelbagai latar belakang, baik tua mahupun muda, sama ada bangsa Cina, Afrika-Amerika mahupun mereka yang berbangsa Eropah beratur panjang untuk menerima bantuan. Kami difahamkan mereka ini daripada golongan yang tidak mempunyai pekerjaan, pekerja bergaji rendah ataupun mangsa keganasan domestik.
Terdapat juga dari kalangan mereka yang tidak mahukan barangan kering atas alasan tidak dapat memasak. Tidak sangka dalam kepesatan dan keindahan bandar Seattle ini masih lagi terdapat penduduk daripada kalangan yang tidak mempunyai kediaman dan tinggal di jalanan.


Semasa di bandar Seattle, kami juga berpeluang ke University District atau lebih dikenali sebagai U District. Dinamakan sedemikian kerana kampus utama University of Washington terletak di sini, iaitu bandar kediaman bagi penuntut dan juga tenaga kerja University of Washington.


Terdapat pub, perpustakaan utama, pasaraya dan juga cafe yang berselerakkan lengkap dengan wifi bagi kemudahan penuntut. Terbayang pula rancangan kerajaan Singapura yang ingin membina bandar Universiti Kebangsaan Singapura atau NUS University Town yang akan siap pada tahun 2010 yang juga akan menempatkan para pelajar, penyelidik dan juga pensyarah yang saya rasa berkemungkinan besar juga diambil daripada model atau konsep bandar universiti-universiti di Amerika.

Kami juga sempat melawat Seattle Youth Garden Works, pertubuhan yang menjalankan kerja2 belia melalui pendekatan berteraskan ‘taman atau kebun’ di mana para belia akan berkebun dan bercucuk tanam sambil menambahkan pendapatan mereka. Ada antara mereka ini merupakan pesalah muda yang dihantar ke sini bagi menjalani pemulihan. Di sini mereka akan dididik dan diajar cara2 menanam dan menjaga pokok2 dan perlbagai jenis tanaman. Projek mereka ini mendapat sokongan daripada Washington University (WU).

Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan di sini ialah mereka home visit, di mana saya berkesempatan singgah dan menikmati hidangan jamuan malam di rumah warga negara Amerika. Kami semua dipecah2kan menjadi beberapa kumpulan dan ditetapkan tuan2 rumah masing2.

Tuan rumah bertuah yang menerima kunjungan kami ialah Cik Elizabeth Younger. Beliau sendiri yang mengambil kami daripada hotel penginapan. Bagi lawatan ini kami sekumpulan bersepakat untuk bergaya dengan baju kurung melayu, lagipun pada masa tu masih raya lagikan?

Selepas hampir setengah jam perjalanan tibalah kami di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan tasik besar yang memisahkan antara tanah besar Seattle dengan Mercer Island. Fuuh! cantik betul dan nyaman. Sayang, setibanya kami di sama sudah gelap. Tuan rumah kami ni sungguh mesra dan asyik ketawa sahaja, sudah punyai 3 orang cucu tapi masih nampak muda dan ceria, sesuai dengan namanya ‘Younger’.

 

Beliau sebenarnya sering menerima tetamu dari luar bagi program pelawat antarangsa seumpama ini. Sempat beliau menunjukkan barang2 perhiasan rekaannya sendiri yang dibuat daripada batu2 kecil dan diiport ke merata tempat. Hasil niaganya ini telah membawa beliau ke seluruh pelusuk dunia. Power kan? Pada jamuan malam di rumahnya, saya terpaksa makan ‘Asparagus’. Erk..seumur hidup memang saya tak pernah sentuh, tapi apa nak buat..nak sedapkan hati tuan rumah..sental jelah.

Setelah genap 3 hari di Seattle, maka tibalah masa untuk kami berangkat pulang. Banyak sekali perkara yang dapat kami pelajari sepanjang masa kami berada di sini termasuk berkenalan dengan saudara se-Islam di Amerika yang sungguh progresif dan berdiri sama tinggi dengan rakyat Amerika yang lain.

Tak lupa juga saya pada kedua teman atau pegawai dari Amerika iaitu George & Karen yang mengiringi kami sejak dari hari pertama lagi. Jasa dan telatah kalian tidak akan hilang dari ingatan ini, terutamanya gelagat George yang ala watak Monk dalam siri drama ‘Monk’, beliau juga punya darah Arab. Rasa bersalah pula kadang2 bila teringat saya kenakan dia dalam perbualan kami sehingga teman2 yang lain terkekek2 ketawa. Sorry George : )

Hasil dari lawatan ini juga, kami sekumpulan bersepakat untuk terus meneruskan hubungan yang telah terjalin dan menamakan diri kami sebagai Alliance 9 atau Perikatan 9. Alhamdulillah, semangat persaudaraan kami yang terbina di Amerika masih lagi kukuh dan bertahan di Singapura. Semoga dengan pengalaman baru yang diraih ini, kita terus diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus bekerja dan mempraktikkan segala amalan terbaik yang boleh diimplikasikan di sini dalam membantu menyusun program preventif dan intervensi baik untuk belia mahupun keluarga.

Lawatan Ke US (Bahagian Keenam)

Sambungan…

Ketika dalam pesawat, saya dapat rasakan perbezaan ketara bagi syarikat penerbangan milik syarikat penerbangan Amerika dengan pesawat Singapore Airline (SQ) dari segi pemilihan peramugari mereka..Saya perasan ketika turun naik pesawat mereka ni, pastinya terdapat 4 jenis peramugari. Yang muda dan jelita, muda tetapi tidak jelita dan berbadan besar yakni tidak kurus, juga mereka yang sudah sedikit berusia. Sebenarnya, semasa saya belajar dulu..saya juga pernah ke London daripada Cairo dan menaiki pesawat Balkan Air (milik negara Bulgaria) . Saya juga mendapati perkara yang sama. Seperti tukang masak kata teman saya. Ini mungkin sebab kita sudah streotype dengan peramugari milik SQ.

Saya membuat kesimpulan, ini bukan perkara yang disengajakan. Saya nyatakan pandangan saya ini dengan dengan teman saya yang merupakan ketua delegasi kami iaitu Sazali. Beliau kata memang betul telahan saya. Negara Amerika dan negara Eropah yang lain memang mengamalkan dasar sama rata dan tidak diskriminasi terhadap wanita. Ini bermakna semua wanita tidak kira cantik atau tidak, kurus atau tidak, kesemuanya berpeluang untuk menjadi peramugari. Bayangkan dasar tersebut diaplikasikan pada Singapore Girl!

Di Seattle cuaca kembali dingin, hampir sama dengan cuaca semasa di Boston. Pemandangan di sini adalah cukup indah pada masa ini, dengan berlatar belakangkan teluk serta Pergunungan Rainier yang diseliputi salji di kemuncaknya seperti Gunung Fujiyama di Jepun. Ia jelas kelihatan daripada kapal terbang semasa perjalanan dari Houston.

Hmmph, terfikir pula kalau punya rezeki, ingin pula rasanya di bawa keluarga datang ke sini. Cakap pasal keluarga, alhamdulillah, hotel-hotel penginapan kami di sini kesemuanya punyai kemudahan Wifi, dapat juga digunakan untuk berkomunikasi setiap hari dengan keluarga dan juga teman melalui MSN Messenger.


Bagi mereka yang biasa menonton siri Grey Anatomy atau pernah menyaksikan film Sleepless in
Seattle, pasti dapat membayangkan bandar ini. Ia sungguh pesat membangun dan romantik sekali!

Setibanya kami di Seattle, perkara pertama yang perlu kami lakukan ialah terpaksa menukar sekali lagi waktu kami di sini. Hmmph..kali ketiga saya lakukan semasa di US, kali in ditambah sejam pula bersenpena dengan Daylight Saving Time.

Bandar Seattle dikenali sebagai antara bandar yang mempunyai kadar celik huruf yang tertinggi sekali di Amerika dengan 50% daripada penduduknya yang berusia 25 tahun ke atas mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya sarjana muda.

Namun bak kata pepatah Melayu, air yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Begitulah halnya dengan bandar Seattle. Dengan latar belakang dan persekitaran yang dikelilingi lautan biru dan keindahan tasik yang menghiasinya, tiada siapa menjangka masalah penyalahgunaan dadah adalah antara kesalahan jenayah utama di kalangan belia di Seattle. Ini ditambah pula dengan kebanyakan pesalah tidak mempunyai tempat tinggal yang sempurna. Taman-taman serta bangunan awam dijadikan tempat teduh mereka.


Selepas berehat selama sehari, keesokan paginya kami berkesempatan bersiar-siar ke Pike Place Market yang terkenal dengan hasil tangkapan laut yang segar dan menjadi tumpuan pelancong di sini. Takjub bila melihatkan hasil tangkapan yang sungguh besar, khususnya ketam raksasanya yang dikenali sebagai Alaskan Giant Crab. Bayangkan kaki ketam Alaska ini sahaja sudah sebesar lengan dan berharga US$22! Kami berkesempatan merasa cebisan ketam yang dijual yang sudahpun direbus terlebih dahulu dan rasanya sungguh manis dan lazat. Ketam raksasa ini sungguh mahal memandangkan proses menangkapnya menghadapi risiko dipukul ombak ganas. Terdapat satu rencana dokumentari yang bertajuk Deadliest Catch oleh Discovery Channel yang mengisahkan proses penangkapan ketam raksasa yang sungguh mencabar lagi bahaya ini.


Selain dari menikmati pemandangan hasil tangkapan laut di sini, kami juga terhibur dengan cara proses jual beli yang dilakukan dengan begitu santai sekali. Si jurujual akan melambungkan ikan yang telah dijual kepada temannya yang kemudiannya akan menyambut serta membungkusnya sambil bernyanyi-nyanyi. Aksi ini menjadi tumpuan ramai pelancong yang terhibur melihat telatah mereka. Malah aksi mereka yang bekerja secara sepasukan dengan cara yang santai, ceria dan produktif ini telah dijadikan inspirasi sebagai satu konsep pengurusan yang dinamakan sebagai FISH Philosophy.

Bayangkan jika apek-apel jual ikan lakukan aksi demikian di pasar-pasar kita di Singapura! Pasti gamat dibuatnya.

Bersambung…

Nantikan bahagian terakhir pada Jumaat depan, kisah aktiviti sukarela kami di pusat pengagihan makanan untuk orang2 miskin, kisah lucu bersama George (pegawai yang ditugaskan bersama kami) dan pengalaman homestay di Seattle!

Lawatan Ke US (Bahagian Kelima)

Sambungan…

Antara persatuan yang menjadi tumpuan kami di sini juga ialah pertubuhan Big Brother Big Sister (BBBS), antara organisasi pembimbing atau mentoring terbesar di Amerika. Hampir setiap negeri di Amerika mempunyai cawangan BBBS.

Kunjungan ke sini begitu membuka mata kami, melihat bagaimana profesionalnya sistem yang dijalankan bagi mentoring, bayangkan mereka mempunyai hampir 40 petugas bagi memastikan semua kegiatan membimbing atau mentoring mereka berjalan dengan lancar. Di sini Pembimbing atau Mentor digelar sebagai Big Brother atau Big Sister manakala klien atau mentee pula dikenali sebagai The Little.

Setiap mentor dipadankan dengan satu klien sahaja, dengan sekurang-kurangnya sejam pertemuan pada setiap minggu di antara mereka dalam tempoh minimum setahun. Terdapat juga sistem mentor sesama rakan sekolah dengan pelajar yang lebih dewasa menjadi mentor kepada pelajar junior. Tujuannya supaya pelajar yang lebih dewasa dapat memberi bimbingan kepada yang lebih muda dengan aktiviti yang dilakukan secara bersama seperti bermain dan melakukan kerja sekolah bersama. Program ini juga diluaskan kepada golongan minoriti Afrika-Amerika dan juga Hispanik dengan Mentor nya juga terdiri daripada bangsa yang sama.

Kami juga dimaklumkan bahawa BBBS mempunyai hubungan yang rapat dengan franchise National Football League (NFL), National Basketball League (NBA) dan juga Major Baseball League (MBL) yang merupakan sukan-sukan utama dan diminati oleh rakyat Amerika termasuk para belia. Kerjasama ini dilakukan dari segi membekalkan tiket-tiket percuma kepada BBBS.

Kami juga sempat berkunjung ke satu kelab belia bernama Youth Advocates, di mana aktiviti break dancing merupakan satu wadah utama mereka dalam menarik para belia. Di sini para belia berpeluang menunjukkan kemahiran masing-masing di samping berpeluang untuk dihantar bertanding dan menunjukkan bakat ke luar negara.

Kami berkesempatan melihat sambil mengambil gambar dan merakamkan video para belia daripada pelbagai latar belakang dan bangsa seperti Hispanik, Afrika-Amerika, Cina dan Eropah (hanya satu sahaja berbangsa Eropah) berkumpul sambil menunjukkan bakat masing-masing sehingga tanpa kami sedari jam di tangan sudah melewati 10 malam!

Di Youth Advocates (YA) mereka mempunyai 12 kakitangan profesional yang bertugas sepenuh masa, menurut Pengarah Eksekutif YA iaitu Charles Rotramel yang berumur dalam lingkungan 40 an, mereka percaya bahawa jalinan hubungan yang baik antara belia dapat mengelakkan daripada terjebak dengan anasir yang kurang sihat. Kami dapat melihat betapa akrab dan rapat Charles dengan para belia, di mana dalam masa beliau sibuk berbicara dengan kami sempat beliau mengangkat tangan kepada setiap belia yang baru tiba di YA.

Ada satu pengamatan yang betul-betul mencuit hati saya. Di Amerika Syarikat, para belia seperti ini, tidak dianggap sebagai beririsiko atau youth at-risk seperti lazimnya di Singapura. Tetapi, mereka dianggap sebagai youth at the brink of success atau belia di ambang kejayaan.

Antara bidang kerja YA ialah mereka menjadi pengantara (advocates) dalam memadankan belia berisiko ini dengan lain-lain badan bantu diri. Selain dari itu mereka akan memastikan setiap remaja ini mempunyai pekerja sosial yang akan membantu mereka kembali ke pangkuan jalan. Selain dari itu, YA juga menguruskan bantuan kewangan daripada badan-badan kebajikan lain bagi para remaja yang menghadapi isu undang-undang dengan mahkamah juvena.

Destinasi berikutnya ialah Seattle yang merupakan bandar terakhir kami di Amerika Syarikat.

Bersambung…

Nantikan pengalaman saya mengunjungi Pike Place Market, aktiviti balingan ikan antara penjual ikan dan pengalaman berjumpa kaki ketam Alaska sebesar lengan!

Nota: Bagi maklumat lebih mendalam berkenaan pertubuhan Big Brothers Bis Sisters & Youth Advocates sila lawati lelaman:

www.bbbs.org
www.youthadvocates.org

Terima Kasih…

Alhamdulillah, dengan izin Allah..Jumlah pengunjung blog ini dah mencapai lebih dari 1400 hit sejak 25 Mac. Bulan ini sahaja sudah mencapai lebih dari 1000 hit. Jumlah pengunjung ada sejauh India, Mesir, Saudi, Australia, UK dan juga USA.

 

Terima kasih kepada pengunjung yang telah memberi sokongan kepada laman blog saya. Sokongan anda membuatkan saya semakin bersemangat untuk berkongsi pengalaman bekerja baik ketika kaunseling, sesi di Mahkamah Shariah mahupun pengalaman seharian ataupun perkara yang berkaitan dengan isu-isu semasa. Sebenarnya, banyak lagi yang ingin saya kongsi cuma tak berkesempatan. 

Semoga usaha dakwah yang tak seberapa ini dapat memberi kemanfaatan kepada semua dan doakan agar Allah memberi saya kekuatan dan kesihatan untuk terus menulis dan berkongsi..

Lawatan Ke US (Bahagian Keempat)

Sambungan…

Selepas beberapa hari di Boston, kami berpindah pula ke destinasi kedua kami iaitu bandar Houston, Texas. Berbeza dengan bandar Boston yang dingin dengan suhu antara 5-9 C, cuaca di Houston adalah lebih hangat serta lebih kurang sama dengan Singapura iaitu sekitar 27C dengan sedikit dingin pada waktu malam. Dah lah tu, masa di Houston pun beza dari Boston! Kurang 1 jam dari Boston. Beginilah besarnya Amerika dari satu bandar ke bandar macam dari satu negara ke negara. Patutlah ada kajian menyatakan bahawa warganegara Amerika antara penduduk yang paling sedikit ke luar negara berbanding penduduk dunia yang lain. Baru saya faham kenapa.

Bandar Houston menggambarkan perubahan terhadap komposisi kaum di Amerika pada masa kini, masyarakat Hispanik kini menggantikan bangsa Afrika-Amerika sebagai kaum minoriti terbesar di Amerika. Malah, bangsa Asia yang kebanyakannya berasal daripada Vietnam dan Hispanik dijangkakan akan mengambil alih tempat sebagai minoriti terbesar dalam jangka masa 10 tahun akan datang. Ini memandangkan saban tahun terdapat ramai pendatang baru baik daripada Asia mahupun Amerika Latin berhijrah dan menetap di Amerika Syarikat.

Setibanya di hotel penginapan kami pula yang pada saya antara yang paling mewah (Holiday Inn Select) sepanjang kami berada di sini, cuma disavantage hotel kami ni, dia jauh sikit dari downtown tidak seperti semasa di Boston. Di hotel kami ni, berjumpalah dengan ramai wanita dalam pertengahan usia yang cukup bergaya dengan baju kaitan yang berwarna-warni. Rupa-rupanya kami diberitahu bahawa bandar Houston sedang menjadi tuan rumah bagi konvensyen Kaitan (Quilt) sedunia yang mengumpulkan pengait-pengait fabrik dari seluruh dunia.

Hmmph, patutlah masing-masing sibuk bergaya dengan beg dan baju yang dikait sendiri. Haha..sungguh unik dan kreatif sekali makcik-makcik di ini.

Memandangkan kami tiba di sini pada waktu petang, maka kami hanya akan mulakan lawatan rasmi kami pada keesokan harinya. Peluang ini tidak dilepaskan oleh teman-teman saya dari kalangan wanita yang diketuai oleh Madam Y, rupa-rupanya mereka punyai misi genting di Houston yang telah dirancang sejak di Singapura lagi. Ingin tahu apa misi mereka? Haha…Beg tangan wanita berjenama ’Coach’. Berdozen mereka beli termasuk kiriman saudara-mara di Singapura. Hmmph, kalau dan perempuan, perempuan juga..Tidak kiralah walau di mana mereka berada…Cakap orang, saya pun sempat potong rambut di salah sebuah saloon di sini, adalah dalam $ 25 terkopak..nak cari barber tak jumpa2. Takpelah, sekali sekala..yang gunting dan shampoo rambut saya ni pun orang Vietnam !

Di Houston, kami sempat berkunjung ke Muslim American Society (MAS) Youth Centre. Dengan saiz sebesar rumah eksekutif HDB, tersedia bilik darjah bagi pembelajaran agama, meja billiard, meja ping pong, mini gymnasium dan lantai getah bagi latihan seni mempertahankan diri Taekwondo khusus untuk para belia. Wah, canggih betul. Bisik hati saya.


Bagi yang tidak mengenali MAS, ia merupakan salah satu organisasi Islam terbesar di Amerika Syarikat. Malah hampir setiap bandar di Amerika mempunyai cawangan MAS.

Semasa di sini, kami sempat berkongsi pengalaman dengan Fady Qaddoura, salah seorang pemimpin muda bagi MAS cawangan Houston, Texas. Beliau keturunan Arab Palestin tetapi dilahirkan dan dibesarkan di Amerika.

Beliau menerangkan bahawa pusat belia ini terbuka kepada seluruh bangsa dan agama, tidak hanya ekslusif bagi mereka yang beragama Islam sahaja. Beliau juga menjelaskan bahawa pusat tersebut merupakan antara cawangan Persatuan Pengakap Amerika atau Scout di Houston. Aktiviti pengakap dipilih kerana terdapatnya ciri-ciri positif seperti sifat kepimpinan, lasak dan jati diri pada diri belia. Malah pusat belia di sini mempunyai bendera Pengakap mereka sendiri.

Beliau juga sempat menayangkan video yang menerangkan informasi aktiviti MAS sambil menjelaskan bahawa walaupun masyarakat Islam di sana tidak bersetuju dengan dasar luar pemerintah Amerika serta marah dengan penglibatan tentera Amerika di Timur Tengah seperti di Iraq, di mana MAS pernah mengetuai perarakan masyarakat Islam Amerika serta melakukan bantahan secara aman terhadap pemerintah Amerika, namun mereka tetap akur kepentingan menjadi rakyat dan Muslim yang baik serta keperluan menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara seperti mengundi agar mereka mempunyai suara dalam menentukan pucuk kepimpinan negara Amerika.

Beliau juga berkongsi tentang hubungan baik di antara masyarakat Islam di sana dengan masyarakat bukan Islam sehinggakan pihak bank dan juga ahli kongres di Houston turut sama membantu dalam projek dana bagi MAS di Houston.

Bersambung…

Nota: Nantikan sambungan pada bahagian akan datang di mana kami lepak sampai malam dengan Mat2 Hip Hop Houston!

Lawatan Ke US (Bahagian Ketiga)

Sambungan…

Semasa di Boston, kami sempat melawat beberapa badan Islam termasuk dibawa melawat sebuah masjid yang amat besar dan sungguh gah di kawasan Roxbury yang masih dalam pembinaan. Difahamkan masjid ini mengambil masa selama 20 tahun bagi pengumpulan dana sahaja! 

Antara badan Islam yang kami lawati di Boston ialah Islamic Centre of Boston dan juga Islamic Society of Boston.

Satu perkara yang menarik yang saya dapati bagi badan-badan Islam di sini ialah mereka mempunyai hubungan yang sangat baik dengan masyarakat dan badan-badan bukan Islam.

Satu lagi perkara yang agak mengkagumkan saya, ialah ceramah silang agama atau Interfaith Lectures sudah menjadi satu perkara biasa di sana. Entah berapa kali saya mendengar perkataan Interfaith terpacul keluar dari mulut mereka. Menurut mereka, ia menjadi lebih ketara selepas kejadian peristiwa 11 September, dengan pelawat yang menziarahi badan–badan Islam meningkat dengan banyaknya untuk mengetahui ajaran agama Islam dengan lebih dekat. Perkara ini dijelaskan oleh Presiden Islamic Centre of Boston iaitu Dr Asif Razvi yang berasal daripada Pakistan dan juga pakar bedah vascular di salah sebuah hospital di Boston.

Hubungan baik antara badan-badan Islam ini terbukti, di mana ketika kehangatan peristiwa 11 September, Dr Asif menjelaskan bahawa paderi di gereja berdekatan dengan markas Islamic Centre of Boston pernah menawarkan umat Islam melakukan solat di gereja mereka jika umat Islam merasa bahaya melakukan solat di masjid!

Pemimpin-pemimpin Islam di Amerika ini juga berkongsi aspirasi yang sama iaitu mempunyai jatidiri sebagai rakyat Muslim Amerika. Malah perkataan Proud to be American Muslim disebut berulang-ulang kali oleh Imam Dr. Basyouni Nehela, Pengarah Islamic Society of Boston yang berasal daripada Mesir dan mendapat pendidikan sarjana dan juga kedoktoran dalam bidang Pengajian Islam daripada Universiti Al-Azhar. Imam Basyouni memang kacak orangnya sehinggakan salah seorang teman saya tidak dapat tidur malam dibuatnya!

Apabila saya meminta beliau memberi penjelasan lanjut bagi maksudnya itu, beliau menerangkan adalah penting bagi masyarakat Islam Amerika bekerja keras bagi kemajuan pendidikan dan juga aktif bagi membangunkan ekonomi negara, beliau memberikan contoh bagaimana Rasulullah yang berasal dari Mekah tetapi berhijrah ke Madinah dan membangunkan taraf sosial serta ekonomi Madinah, ini terjadi walaupun Madinah bukan tanah air kepada baginda Rasulullah.  

Kami juga berpeluang melawat Boston Centres For Youth and Families (BCYF) yang ditubuhkan atas inisiatif Datuk Bandar Thomas M. Menino bagi mempertingkatkan taraf hidup penduduk bandar Boston dan mengatasi masalah sosial ke atas kanak-kanak, belia dan juga keluarga.

 

Semasa di BCYF, kami diberi taklimat oleh Chris Byner, penyelia bagi program street worker atau Pekerja Jalanan yang merupakan antara program paling efektif serta mendapat pengiktirafan serata Amerika bagi keberkesanannya dalam cegahan dan intervensi. Semasa di BCYF, terperasan seorang teman saya yang nampak mesra betul dengan salah seorang pekerja sosial wanita BCYF yang begitu ramah melayan rombongan kami ini. Hehe..Jangan marah yer…

Tidak seperti para Pekerja Sosial, kebanyakan daripada ’Pekerja Jalanan’ merupakan bekas pesalah yang hanya mendapat kemahiran asas dalam bidang kaunseling tetapi mereka mempunyai aspirasi yang kuat untuk membantu masyarakat Boston memperbaiki isu sosial.

Peranan Street Worker ini adalah untuk membantu para belia ini supaya terus bebas jenayah. Jika mereka ada melakukan kesalahan, para pesalah akan diwakili untuk bertemu dengan hakim juvena dan merancang aktiviti yang dapat membantu mereka bagi menamatkan hukuman.

Selain dari itu, mereka melakukan kerja pencegahan bagi belia berisiko termasuk salah guna dadah, menyelesaikan perbalahan antara gang, menguruskan usaha pencarian kerja dan program latihan bagi belia yang tidak bersekolah serta menggalakan para pelajar kekal bersekolah dan berusaha membawa para pelajar kembali ke sekolah.

Kebanyakan dari mereka ini ditempatkan di kawasan pinggir bandar Boston yang menjadi sasaran kebanyakan penduduk yang berketurunan Afrika-Amerika.

Sebelum kami meninggalkan bandar Boston untuk menuju ke destinasi bandar kedua kami di sini, sempat juga kami menjamu selera makan malam di sebuah restoran seafood tertua di Boston yang pernah disinggahi oleh bekas Presiden John F. Kennedy!

Bersambung….

Sila nantikan bahagian keempat yang membawa kami ke bandar Houston, Texas!

Lawatan Ke US (Bahagian Kedua)

Sambungan…

Selepas hampir 22 jam penerbangan yang bermula dari Singapura dan transit di Hong Kong dan juga Chicago, akhirnya sampai jua ke destinasi pertama kami di sini iaitu bandar Boston, yang juga merupakan ibu negeri Massachusetts.

Bandar Boston merupakan antara bandar yang tersibuk dan mempunyai kos sara hidup yang antara tertinggi di Amerika. Ia juga dikenali sebagai hab pendidikan tinggi Amerika. Di bandar inilah terletaknya dua pusat pengajian tinggi yang terkenal di dunia iaitu Universiti Harvard dan juga Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Ketika kami berada di sini, dapat dilihat bagaimana penduduk bandar Boston sedang meraikan kemenangan pasukan Baseball mereka iaitu Boston Red Sox dalam acara World Series 2007.

Pada masa yang sama juga, bandar tersebut sedang meraikan Halloween. Kami dapat melihat sendiri gelagat pelik golongan muda-mudi berpakaian aneh seperti bertanduk ala iblis dan sebagainya. Amalan berpakaian aneh ini tidak terhenti pada golongan belia sahaja. Malah juga bagi golongan dewasa seperti pekerja-pekerja di hotel, bank dan juga di lapangan terbang.

Bagi teman-teman saya lain pula seperti rusa masuk kampung gelagat mereka. Setiap pemandangan menarik tidak akan terlepas daripada petikan kamera. Ini termasuklah objek popular bagi rombongan kami iaitu bas sekolah berwarna kuning jingga yang muncung di hadapannya, satu pemandangan yang sebelum ini hanya dilihat di kaca TV pada siri televisen atau film keluaran Hollywood.

Ini tidak termasuk senario pemandangan latar belakang yang dipenuhi dengan guguran daun-daun yang berwarna kuning, merah dan oren. Sungguh cantik dan indah. Maklumlah ketika ini sedang dalam musim gugur atau luruh. Selain dari itu, kami juga terpaksa membiasakan diri dengan budaya tip 10-20% bagi perkhidmatan yang diterima termasuklah ketika menaiki teksi!

Kebanyakan masyarakat Amerika ini tidak mengenali sangat negara kita Singapura, kalau adapun yang kenal, mereka akan merujuk kepada peristiwa di mana seorang remaja Amerika bernama Michael Fay yang dihukum sebat dan beberapa bulan penjara pada tahun 1993 dahulu atas kesalahan menconteng kereta atau vandalisme. Ramai rakyat Amerika Syarikat pada masa itu menentang hukuman merotan oleh pemerintahn Singapura ini atas alasan peri kemanusiaan.

Geli hati saya mendengar komen seorang rakyat Amerika yang kami temui dalam salah satu lawatan, beliau berkata “You can kill him but don’t cane him!”

Bersambung…

Ikuti sambungan dalam bahagian ketiga siri lawatan saya ke US. Di mana saya berkongsi pengalaman kami mengunjungi badan-badan Islam serta bukan Islam di Boston termasuk inisiatif ‘Street Worker’. Ingin tahu lebih lanjut? Sila lawati lagi lelaman ini pada hari Jumaat depan.

Lawatan Ke US (Bahagian Pertama)

Mulai minggu ini ingin saya kongsi pengalaman saya ke US pada Oktober 2007 yang lalu. Saya catitkan pengalaman kami untuk tatapan pembaca Berita Harian, tetapi malangnya ia tidak disiarkan. Hmmph…Melalui blog peribadi saya coretkan di sini. Semoga kita mendapat manfaat darinya.Selamat Membaca!

Pada 28 Oktober hingga 7 November 2007 yang lalu, saya bersama lapan orang teman yang lain dari pelbagai pertubuhan Melayu-Islam seperti MENDAKI, Clubilya, 4PM, Ain Society, Pusat Khidmat Keluarga PPIS-Jurong dan juga AMP telah ke Amerika Syarikat untuk mengikuti satu program lawatan sambil belajar ke beberapa bandar utama di sana iaitu Boston, Houston dan juga Seattle.

Kami telah dipilih untuk mewakili pertubuhan masing-masing ekoran dari penglibatan kami dalam program bersepadu bagi menangani isu bersangkutan belia melalui program NUR yang dibentuk di bawah Rangkaian Pembangunan Belia Forum Pemimpin Masyarakat (CLF).

Program lawatan kami ini dikenali sebagai Program Pelawat Sukarela atau Volunteer Visit (Volvis). Ia adalah sebuah inisiatif kelolaan Jabatan Negara, Pemerintah Amerika Syarikat di bawah program Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa atau International Visitor Leadership Programme (IVLP). Kami difahamkan bahawa rombongan ini adalah antara yang kumpulan terbesar daripada sesebuah negara yang pernah melawat negara tersebut, di bawah inisiatif ini.

Tujuan utama lawatan ini ialah untuk mempelajari contoh khidmat terbaik atau best practices daripada teman-teman sejawat di Amerika Syarikat dalam mengendalikan isu-isu dan program berkaitan dengan belia dan juga keluarga yang menghadapi pelbagai cabaran hidup.

Dalam kegembiraan dengan peluang keemasan begini, timbul pula kesedihan kerana terpaksa meninggalkan keluarga tercinta. Maklum sahaja, pada masa itu saya baru sahaja sempat beraya pada dua minggu pertama. Masih banyak lagi rumah saudara mara yang masih belum dikunjungi. Tapi apakan daya, peluang sebegini hanya datang sekali sekala. Pengalaman yang bakal diperolehi juga pastinya tidak ternilai, apatah lagi kesemua perbelanjaan kami semua ditanggung termasuk penginapan dan pengangkutan dan diberi wang poket pula.

Pada masa yang yang sama, teringat pula tanggungjawab yang perlu kami pikul pabila pulang nanti. Laporan yang perlu disiapkan, perkongsian pengalaman dengan badan-badan Melayu-Islam dan juga agensi kebangsaan bakal menanti kami. Malah, kesemua dari kami mempunyai tugasan masing-masing yang perlu dilakukan semasa program berlangsung dan juga selepas program berakhir. Dan antara tanggungjawab saya selepas tamat program nanti ialah perlu menyiapkan artikel ini.

Aturcara bagi lawatan kami nanti sungguh padat. Bayangkan rutin seharian kami dihabiskan dengan lawatan ke beberapa organisasi yang telah diaturkan bermula dari 9 pagi hingga 4 atau 5 petang. Ini tidak termasuk perbincangan yang perlu dilakukan secara bersama pada setiap malam di bilik hotel bagi merumuskan pelajaran dan iktibar yang telah kami raih sepanjang hari.

Pada keseluruhannya, kami telah sempat melawat sebanyak 18 pertubuhan sepanjang 9 hari kami di sini, termasuklah organisasi Islam, Kristian, pertubuhan belia serta keluarga, baik kepunyaan agensi kebangsaan mahupun persendirian. Ini tidak termasuk masa perjalananan dari satu bandar ke satu bandar yang lain, yang memakan masa 4 hingga 5 jam melalui udara.

Bersambung….

Kesatuan Dalam Jamaah

Ketika kuliah selepas solat Zohor di Masjid Al-Falah hari ini, saya ada membicarakan tajuk Masjid Dhirar (membawa kemudharatan) bagi pelajaran Feqh Sirah.

Topik hari ini menerangkan tentang perancangan kaum Munafiqin yang membina masjid ini (berdekatan dengan Masjid Quba’) atas dasar kekufuran dan memecah belahkan umat Islam. Ia digunakan juga untuk tujuan mengintip kegiatan umat Islam dan juga baginda Rasulullah. Atas sebab itu ia dinamakan Masjid Dhirar. Sedangkan, Allah menyatakan di dalam Quran, masjid sepatutnya dibina atas dasar ketaqwaan dan kesatuan umat Islam.

Ketika membicarakan topik ini tadi, tiba-tiba saya teringatkan perbualan saya dengan seorang aktivis di Masjid Al-Falah yang juga seorang pelajar di salah sebuah pusat institusi tinggi tempatan. Beliau bertanyakan kepada saya tentang hukum solat dengan mereka yang bermazhab Syiah, ini kerana menjadi amalan para pelajar Muslim tempatan di sana untuk tidak bersolat jemaah dengan mereka. Saya tanya mengapa pulak? Dia jawab sebab dorang solat lain macam sikitlah Ustaz. Lain macam mana? Dorang solat kadang-kadang ada baca doa qunut. Kadang-kadang pulak baca surah dengan bacaan yang kuat (jahar). Saya jawab, tahu tak ada riwayat yang sahih, terkadang nabi pernah baca surah secara jahar ketika solat Zohor dan Asar?

Kemudian saya menyambung lagi, Tak mengapalah… tak rosakkan solat pun kalau ikut mereka. Saya beritahu beliau, Daripada solat jemaah sendiri, mereka sendiri2 kita sendiri. Kan lebih baik solat bersama. Lihat sahaja di Masjidil Haram, golongan sunni, salafi ke wahabi ke, sufi ke atau Syiah ke. Semuanya solat bersama-sama. Kan membawa kepada kesatuan? Itulah fungsi masjid yang sebenar-benarnya. Sebab tulah perkara yang pertama sekali dibina oleh Rasulullah ketika tiba di Madinah ialah Masjid. Kenapa? Tiada lain sebabnya selain untuk menyatu padukan umat Islam.

Beliau kemudian menerangkan lagi, pada setiap hari selasa antara waktu Asar atau Maghrib (tak silap saya) para pelajar dari Pakistan akan ‘control’ musolla untuk berusrah dan akan melambat-lambatkan kan solat jemaah sehingga penuh musollah baru mulakan solat. Saya jawab, takpelah..bagi chance kat dorang seminggu sekali. Bukan selalu, kalau dah lambat..solat jelah dulu.

Saya kemudian share dengan beliau untuk dia bayangkan bagaimana hidup di perantauan, agar beliau dapat rasakan perasaan pelajar2 Pakistan ni, iaitu kisah saya semasa di Mesir dahulu. Di mana para pelajar Melayu di Nasr City, Cairo. Budak2 Melayu sanggup tunggu orang2 Arab selesai solat Eid Fitri di Masjid Musa Bin Nasir (Masjid di Hayyu Sabi’ atau 7th District) sebelum kita sendiri bolot masjid tu. Tahu tak kenapa? Sebab kita dapat takbir raya ramai2 macam di Singapura atau Malaysia. Maklumlah, orang Arab takbir raya tak syahdu langsung! Tiada lagu. Mendatar sahaja iramanya : ) Beliau mengangguk2 tanda faham dan setuju.

Jadi saya kata, takpelah..kita raikan mereka. Bukan selalu, hanya satu waktu dalam seminggu sahaja. Demi ukhuwwah dan kesatuan, mengapa tidak?

free hit counter