Archive for 'Pandangan'

Earth Hour

earthhour

Esok di seluruh dunia atau lebih tepat lagi 82 negara termasuk Singapura akan turut serta dalam projek Earth Hour anjuran World Wild Life Fund (WWF). Projek ini ialah untuk menimbulkan kesedaran ke arah melakukan sesuatu bagi menyelamatkan bumi daripada ancaman climate change atau global warming yang mengakibatkan dunia semakin panas dengan peningkatan suhu dunia .

Bagi menunjukkan sokongan kita pada kesedaran terhadap ancaman global warming ini, maka penduduk dunia baik individu, organisasi atau syarikat perlu memadamkan lampu dan alat elektrik (yang tidak diperlukan) selama sejam bermula dari 8.30-9.30 malam pada 28 Mac 2009. 

Mengapa penting kesedaran ini? 


Read more

Tidak Baik Berdendam…

Pada pertemuan di pagi Subuh tempohari bersama teman-teman di Masjid Darul Ghufran. Selepas bertadarus membaca beberapa ayat-ayat suci daripada Surah Yusuf. Timbul perbincangan bagi pengajaran-pengajaran daripada peristiwa daripada ayat-ayat Surah Yusuf yang antara lain Allah menjelaskan peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Yusuf dan adik beradik baginda yang mempunyai sifat hasad dan dengki terhadap kasih sayang yang dipamerkan oleh ayah Nabi Yusuf terhadapnya.

Disebutkan oleh Allah bahawa Nabi Yusuf tidak sedikitpun berdendam terhadap adik-beradiknya yang pernah memisahkan beliau daripada bapanya yang tercinta iaitu Nabi Yaakob, malah dengan sikap dan akhlak mulia yang ditonjolkan beliau ini akhirnya mengakibatkan keinsafan adik beradik baginda. Amalan tidak berdendam tetapi membalas baik terhadap perkara yang buruk terhadap kita juga adalah salah satu daripada sifat mulia baginda Rasulullah S.A.W.

Lihat sahaja bagaimana Rasulullah tidak membalas perbuatan seorang wanita Yahudi yang sering meletakkan kotoran dan duri di jalanan yang sering dilalui baginda. Lihat juga apa yang dilakukan oleh baginda terhadap penduduk Taif yang bukan sahaja tidak mendengar seruan dakwah Rasulullah tetapi bersikap kurang ajar pula terhadap baginda dengan dilemparkan batu sehingga luka-luka kaki baginda dan diludah oleh sekalian penduduk Taif termasuk kanak-kanak dan juga hamba abdi. Kesemuanya perbuatan ini tidak dibalas malah wanita Yahudi tersebut dilawati baginda ketika beliau sakit, begitu juga dengan penduduk Taif yang didoakan baginda. 


Read more

Mendambakan Kasih Seorang Bapa

like-father-like-son1

Baru-baru ni saya menikahkan sepasang mempelai yang kedua-duanya (dalam lingkungan awal 40 an) berkahwin buat kali yang kedua. Dari segi pandangan mata kasar tiada beza pun pernikahan kali ini dengan lain-lain pasangan yang pernah saya nikahkan. 

Apa yang menarik yang perhatian saya kali ini ialah kelibat anak perempuan bongsu pasangan wanita (seorang balu) yang berusia dalam lingkungan 5 atau 6 tahun yang begitu mesra sekali dengan bapa barunya. Sejurus sahaja ibunya diakad nikahkan, si kecil langsung menerpa bapa barunya.  

Saya tak tahu kenapa, tiba-tiba hati saya sungguh terharu dan terkesan dengan suasana sedemikian. Mungkin disebabkan saya terbayang nasib dan risiko anak yang membesar tanpa kasih sayang seorang yang bernama ayah.

Sebagai seorang yang sentiasa terdedah dengan isu-isu rumahtangga dan keibubapaan saya dapat melihat faedah yang bukan kepalang kepada si kecil dan adik beradiknya yang lain hasil dari kasih sayang yang bakal dikecapi dari seorang yang bernama bapa.

Semoga beliau (sang suami) bakal memainkan peranan sebagai seorang yang suami dan bapa yang penyayang dan dapat memberikan kasih sayang yang didambakan dari seorang yang bernama anak.

Di Sebalik Kemelut Gaza

gaza

Adalah penting untuk kita mengetahui latar belakang peristiwa di sebalik apa yang berlaku di Gaza dan mengenali pihak-pihak yang terlibat dan yang bersengketa selain mengetahui asal-usul sejarah yang berkaitan dengannya agar ia dapat memberi sedikit maklumat di sebalik tengkarah yang berlaku di Gaza baru-baru ini.

1. Kronologi Peristiwa Gaza

  •        Januari 2006, Hamas berjaya memenangi pilihanraya parlimen Palestine dengan memenangi 76 daripada 132 kerusi, sementara Fatah pula memenangi 43 kerusi.
  •        Jun 2007, para pegawai pemerintah Hamas telah disingkirkan daripada Palestinian National Authority  (PNA) di Tebing Barat dan digantikan dengan pegawai Fatah.
  •        Jun 2007, Presiden negara Palestine iaitu Mahmoud Abbas mengeluarkan dekri mengharamkan Hamas, pemerintah Israel pula mengisytiharkan sekatan ekonomi ke atas Gaza. Hamas kemudiannya memulakan pengeboman tanpa henti ke atas kawasan negara Israel yang bersempadan dengan Gaza berikutan sekatan ekonomi ini. 
  •        Disember 2008, tentera Israel mencerobohi Gaza mengakibatkan 1,100 rakyat Palestine terkorban dengan lebih separuh daripada mereka merupakan orang awam berbanding dengan hanya 13 rakyat Israel sahaja yang terkorban.
  •        Januari 2009, Israel mengisytiharkan gencatan senjata secara sepihak (unilateral ceasefire).  


Read more

Hijrah Menuntut Perubahan Mentaliti Asatizah Setempat (Bahagian Kedua)

Sambungan…

Menganjak Perubahan Sikap Dan Mentaliti Asatizah

Oleh itu penting bagi para asatizah melakukan sesuatu agar mereka terus kekal relevan dan dapat bertindak sebagai agen perubah masyarakat yang seterusnya dapat  mengurangkan jurang pemisah di antara masyarakat dengan para asatizah.

Berikut dicadangkan beberapa perkara:

1. Keluar Dari Zon Selesa (Comfort Zone)

Walaupun diakui terdapat tren yang semakin meningkat di kalangan asatizah yang melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat sarjana dan juga kedoktoran berbanding dengan asatizah daripada generasi terdahulu. Di mana bidang yang dipelajari pula tidak terhad pada bidang tradisional seperti Syariah dan Usuluddin tetapi juga melewati bidang-bidang yang tiada kaitan dengan agama secara khusus seperti Perhubungan Antarabangsa, Kajian Strategik, Pendidikan, Kaunseling dan sebagainya.


Read more

Hijrah Menuntut Perubahan Mentaliti Asatizah Setempat (Bahagian Pertama)

Pengenalan

Rencana ini ditulis bukan sebagai satu generalisasi terhadap keseluruhan asatizah di Singapura secara umum. Perlu ditekankan telah berlaku pelbagai evolusi terhadap asatizah terutamanya generasi masakini, ini termasuklah terdapat lebih ramai asatizah yang telah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi selain penglibatan lebih giat asatizah pada isu-isu kemasyarakatan berbanding dengan apa yang telah dilakukan oleh asatizah daripada generasi yang terdahulu.

Dalam membantu penulisan ini, penulis telah melakukan kaji selidik ringkas dengan mendapatkan maklumbalas masyarakat Melayu-Islam daripada pelbagai latar belakang berbeza termasuk daripada para asatizah sendiri. 

Suka juga dijelaskan, tidak kesemua perkara yang disebutkan dalam rencana ini sesuai untuk diaplikasikan pada setiap asatizah, ianya bergantung kepada tahap seseorang asatizah itu sendiri.

Pada masa yang sama, walaupun rencana ini ditujukan khusus untuk para asatizah dari kacamata dan pengamatan seorang asatizah, namun ia juga boleh dimanfaatkan oleh masyarakat Islam secara umum juga bagi mereka daripada profesi dan kerjaya yang berlainan. Ini kerana penulis yakin isu yang dikemukakan di sini juga dihadapi oleh golongan selain dari asatizah.


Read more

5 Adab Bagi Bakal Mempelai


Hari melangsungkan majlis pernikahan pastinya merupakan saat-saat yang paling indah dan bermakna bagi pasangan suami isteri. Tempias kegembiraan ini turut sama dirasai oleh saya selaku naib Kadi, tidak kiralah majlis pernikahan tersebut melibatkan pasangan mempelai seorang teruna atau dara, duda atau janda mahupun pasangan yang lewat usia. Maklumlah selain pasangan yang ingin bernikah, kehadiran jurunikah juga amat dinanti-nantikan, sebab kalau tiada Kadi macam mana nak bernikahkan?

Bagi pasangan yang bakal berumahtangga pula, semestinya hari yang bersejarah ini dinantikan dengan penuh debaran. Segala perancangan pada hari nikah pastinya disusun dengan rapi seumpana yang kita tonton dalam siri drama Dol & Minah betul tak?


Read more

Bijak Merancang

Di kesempatan ini ingin saya mengucapkan Selamat Eid Adha kepada seluruh umat Islam di mana jua berada khususnya kepada pengunjung laman blog ini. 

Ingin saya berkongsi pandangan tentang satu laporan akhbar setempat semasa Eid Adha yang lalu tentang kisah pasangan suami isteri Melayu yang mempunyai 8 orang anak, hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat. 

Terdapat beberapa iktibar yang dapat kita ambil daripada kisah keluarga ini yang dapat kita jadikan pengajaran bersama:

1. Tidak bijak buat keputusan 

- Si suami memberi alasan berhenti kerja sebab tak happy dengan tempat kerja, walaupun pada ketika itu naru sahaja pinjam bank loan sebab upgrade ke rumah 4 bilik.

- Sikap tidak berfikir panjang dan tidak membuat keputusan dengan teliti tanpa memikirkan tanggungjawab pada keluarga yakni berhenti kerja atas sebab remeh sebegini bukan hanya berlaku pada mereka yang berpendidikan rendah tetapi juga berlaku pada mereka yang berpelajaran. 

- Kadang2 kita gagal berfikir dan merenung kesilapan diri akibat asyik melihat kesalahan orang lain. Mungkin juga benar memang ada yang busuk hati pada kita, tapi pernah ke kita terfikir kesan pada keluarga? Sedangkan kita mempunyai pilihan untuk bersabar dan mencari kerja di tempat lain pada masa yang sama. Bagaimana pula kalau tempat kerja baru pun ada juga orang yang mempunyai peribadi yang sama? Berhenti kerja lagi? 

2. Anak ramai. 

- Keluarga ini memberi jawapan ‘God wills’ & ‘Joy to have so many children’. Kedua jawapan ini tiada salahnya. Namun, ia menunjukkan kurang kebijaksanaan dalam membuat perancangan.

- Menjadi mentalilti masyarakat Melayu memberi jawapan anak ramai banyak rezeki. Tapi rezeki perlu dicari dan setiap anak menandakan semakin banyak tanggungjawab yang perlu dipikul.

- Adalah satu perbezaan, merancang untuk anak yang ramai dengan anak ramai yang tidak dirancangkan! Yang pertama merupakan satu hal yang dirancangkan dan pastinya keluarga tersebut sudah mempunyai idea bagaimana corak kehidupan mereka, sementara yang kedua pula menunjukkan ‘poor planning’ dan bakal terjadinya kegenjotan dalam rumahtangga menyusuli kealpaan dalam merancang.  

- Pernahkah kita terfikir dengan anak sebegitu ramai, mampukah kita memberikan pendidikan agama yang sempurna? Mentelah lagi jika ibu bapa hanya mempunyai pengetahuan agama yang ala kadar sahaja? Salah siapa, jika mereka membesar menjadi seorang Muslim yang tidak mempunyai asas agama yang kukuh?  

- Namun keluarga ini sekurang-kurangnya mempunyai nasib yang lebih baik, saya pernah terjumpa beberapa keluarga semasa sesi pembahagian fidyah di masjid saya bertugas, beberapa ibu muda yang belum mencecah 35 tahun tetapi sudah mempunyai anak 6 daripada bapa-bapa yang berlainan!

- Mungkin kita fikir semula, kualiti ataupun kuantiti? Jika kita punyai jumlah anak yang ramai dan pada masa yang sama mempunyai kualiti. Maka pastinya ia suatu yang sangat membanggakan. Namun jika tahu kelemahan dan kekurangan diri dari segi kewangan dan juga yang paling penting keupayaan memberikan pentarbiyahan agama kepada anak. Tidakkah bijak untuk kita mengawal kuantiti demi meningkatkan kualiti anak-anak kita? 

3. Simpanan wang & amalan menabung 

- Disebutkan dalam akhbar tersebut keluarga ini tidak mempunyai wang simpanan dan ianya memang dijangkakan. 

- Saya pernah terbaca, penting bagi kita menyimpan 20-30% daripada pendapatan bulanan kita dan kita perlu mempunyai simpanan kecemasan selama 6 bulan. Namun, berapa ramai di kalangan kita yang mampu melakukan demikian. 

- Amalan menabung sebenarnya tidak melihat kepada gaji besar atau kecil. Jika seorang bergaji $ 3,000 tapi berbelanja $ 3,000 juga atau lebih, sementara seorang yang bergaji $ 1,500 tetapi mampu menyimpan $ 50 sebulan. Mana satu yang lebih baik? Jika seorang dapat menabung 

$ 50 X 12 bulan. Setahun dah $ 600. Jika 5 tahun dah $3,000. Satu jumlah yang membanggakan bagi saya bagi mereka yang bergaji $ 1,500. 

- Saya pernah terbaca dalam satu laporan, seorang pakar kewangan pernah memberitahu amalan menabung perlu dilatih dari kecil oleh ibu bapa. Beliau menambah, tidak semestinya seorang yang bekerja sebagai peguam, doktor, jurutera atau Ustaz sekalipun (ni saya yang tambah hehe) mampu semulajadi menjadi seorang yang berjimat. 

Kita perlu melatih anak dari kecil, jika seorang kanak2 ingin membeli sesuatu mainan dan kita mampu membelinya, berikan mereka masa 3 hari. Jika lepas 3 hari dia nak beli juga, maka jika kita ada duit. Belilah. Tapi jika lepas 3 hari, dia pun lupa! Maknanya dia tak serius sebenarnya, hanya ikutkan nafsu gejolak kanak2. Maka kita buat bodohlah! 

Tetapi perkara di atas ini ini perlulah dipraktiskan oleh ibu bapa atau orang dewasa lebih dahulu. Contohnya, jika kita nampak hp cantik tu..janganlah terus beli. Fikirlah dulu..kadang2 besoknya kita pun dah tak ingat dah kan? Kalau kita jenis yang tak fikir panjang. Macam mana kita nak ajar anak kita berjimat dan menabung?     

- Selain simpanan, amat baik juga jika kita mempunyai simpanan untuk hari tua dan untuk simpanan anak2 jika mereka mampu menyambung pengajian ke peringkat tertinggi. Ini mampu dilakukan melalui insuran. Sebaiknya baik dimulakan jika anak masih lagi kecil, jadi wang yang perlu ditolak juga tidak banyak.  

4. Amalan merokok 

- Kedua suami isteri ini merupakan seorang perokok. Rokok selain berdosa hukumnya kerana memudharatkan kesihatan ia juga boleh mengikis wang kita. 

- Bayangkan jika seorang menghabiskan sekotak rokok bagi satu hari. Sekotak rokok sekarang ini ada yang $ 15 sekotak. Jika sebulan maka maknanya $ 15 x 30 hari = $450. Setahun ($450 x 12 bulan) dah $ 5, 400! Kalau 5 tahun ($5, 400 x 5 tahun)? Dah $ 27,000 cik abang Oi! 

Lebih daripada cukup untuk pergi haji suami isteri! Tapi pernahkah kita terfikir perkara ni? Hasil kira2 di atas timbul pula di benak fikiran saya untuk asingkan $100 sebulan bagi tabung haji saya sendiri agar saya dan isteri mampu ke tanah suci sebelum usia 40 tahun. Amin! 

- Saya pernah terdengar perbualan pakcik2 depan saya di satu majlis walimah..seorang berkata ‘tak hisap rokokpun mati jugak!’ yang lagi satu pulak nyampok ‘ alah, orang tak hisap rokok pun cancer jugak!’ Hmmph..saya senyum jelah. Nak je saya tambah, ‘kalau hisab rokok lagi cepat mati!’ hehe. 

Mudah-mudah an saya dapat mengamalkan apa yang saya tulis di atas dan apa yang disebutkan kali ini bermanfaat dan menjadi pengajaran untuk semua termasuk diri saya sendiri.

Mentaliti Asatizah

Lama rasanya kali ni tidak menulis, bukan apa saya sedikit sibuk siapkan satu artikel yang diminta oleh pihak editorial RISALAH keluaran Pergas. Tema pada kali ini ialah yang bersangkutan dengan Hijrah dan tajuk yang diminta saya siapkan pula ialah berkaitan keperluan perubahan mentaliti para asatizah Singapura dalam mendekati masyarakat. 

Fuuh, tajuk berat tu! Saya bagitahu dorang saya gaya penulisan saya biasa2 je, tak biasa buat tajuk berat dan kritikal macam tu. Cerita komedi bolehlah.. : ) 

Walaupun tajuknya nampak berat dan sensitif, namun saya gagahkan diri juga, mungkin pengalaman saya di masjid selama 9 tahun selain penglibatan dalam pebagai platform lain membuat saya berani menyahut cabaran ini. Tiadalah yang lebih layak sebenarnya menulis topik ini selain dari asatizah sendiri.  

Saya tak tahulah apakah reaksi yang bakal saya terima. Pastinya ada yang tidak bersetuju dengan pandangan yang diberikan. Walaupun pengamatan saya secara peribadi bagi sumbangan asatizah pada masa kini masih banyak lagi yang perlu dipertingkatkan, namun tidak layak dibandingkan sumbangan asatizah generasi terdahulu dengan sekarang kerana cabarannya jelas jauh berbeza, ia seumpana membandingkan kehebatan Pele dengan Maradona, Zidane mahupun Cristiano Ronaldo. Hehe, meleret sampai kepada contoh bolasepak pulak! Takpelah, biar mudah faham. 

Sebagaimana tajuknya, artikel ini mencadangkan beberapa perubahan sikap dan mentaliti yang perlu dilakukan oleh asatizah secara umum.  Bagi rencana ini saya diberi masa hanya 2 minggu sahaja! Hai, tergendalalah posting saya di blog ini juga emel2 soalan kemusykilan orang ramai yang perlu dijawab. Maaf lah yer…

Bagi memastikan artikel yang ditulis tidak syok sendiri dan tidak bersifat sangkaan atau anggapan semata-mata (hipotesis), saya menggunakan metod temubual secara bersemuka mahupun secara emel, sms atau telefon melibatkan pelbagai golongan baik asatizah, ahli akademik, pekerja sosial, ibu bapa (kepada pelajar madrasah), pemberita, pelajar dan banyak lagi. 

Bermacam-macam jawapan yang diberi, negatif dan positif. Kesemuanya bercampur baur. Saya cuba sebutkan di sini rumusan daripada pandangan orang ramai terhadap asatizah:   

1. Dakwah asatizah generasi sekarang lebih menyeluruh dan telah dapat menjangkau lebih ramai sasaran daripada pelbagai sudut masyarakat.

2. Asatizah generasi masakini telah membuat sumbangan yang lebih dalam usaha mengeratkan keharmonian antara kaum dan agama. 

3. Sumbangan yang dilakukan mendapat perhatian pemerintah terutamanya dalam membanteras ancaman terrorism atau keganasan. Ini dapat dilihat daripada sumbangan RRG dalam kegiatan memberikan khidmat kaunseling secara sukarela kepada para tahanan JI. 

4. Semakin ramai yang meningkatkan pengajian hingga ke peringkat sarjana mahupun kedoktoran. 

5. Terdapat kepelbagaian pada bidang pos sarjana yang dipelajari ini dan tidak terhad hanya kepada bidang tradisional sahaja spt Usuluddin & Shariah semata. 

6. Sudah terlalu banyak asatizah yang mendalami sarjana bidang pengganasan, perlu usaha yang sama juga dalam bidang yang lain. 

7. Masih lagi kurang asatizah yang mendalami bidang perbankan Islam. 

8. Perlu lebih ramai asatizah yang bertaraf nasional dan champion dalam bidang2 tertentu seperti dlm bidang sosial sebagaimana dalam bidang pengganasan. 

9. Walaupun tak dinafikan semakin ramai yang menyambung pengajian ke peringkat tertinggi dan tidak kurang juga terdapat asatizah yang menceburi bidang penulisan, namun masih belum terdapat lagi penulisan yang mengjangkau masyarakat daripada segenap lapisan sebagaimana penulisan asatizah generasi terdahulu seperti tafsir Ustaz Ahmad Sonhadji atau buku Mari Belajar Sembahyang, juga tafsir karangan arwah Ustaz Syed Abdillah. 

10. Terdapat pelajar2 dari institut pengajian tinggi tempatan yang berpendapat bahawa asatizah masih lagi kurang memainkan peranan dalan bidang dakwah. Buktinya, masyarakat bila menghadapi sebarang kemusykilan akan merujuk kepada individu bukan dari kalangan asatizah di internet. 

11. Ada yang berpendapat bahawa walaupun asatizah muda giat menjalankan aktiviti terhadap para belia namun ia hanya terhad kepada belia masjid sahaja dan tidak kepada belia2 di luar sana. 

12. Masyarakat masih kurang acknowledge sumbangan asatizah masakini dan masih lagi membandingkan sumbangan asatizah terdahulu. ini jelas kelihatan terutamanya pada tulisan para wartawan Berita Harian. 

13. Asatizah muda lebih terbuka berbanding dengan golongan lama. 

14. Asatizah  perlu lebih accessible.

15. Asatizah lama (di salah sebuah pusat pengajian agama mingguan) ‘boring’ dan kurang inisiatif berbanding dengan asatizah muda. 

16. Golongan ustazah banyak yang mendak, tiada muka2 baru. Banyak cerita dan contoh berkaitan masak dan isu dapur shj. Tiada isu2 semasa yang dilibatkan. 

17. Tiada pelapis bagi golongan asatizah wanita.

18. Guru dan pengetuan madrasah perlu lebih bersikap terbuka dan lapang dada dalam menerima teguran dan kritikan. Alasan gaji kecil janganlah dijadikan sebagai penyebab mutu mengajar tidak dpt ditingkatkan. Sifat complacent akan menyebabkan anak2 madrasah ketinggalan dan ini akan menjejaskan generasi kita pada masa akan datang.  

19. Asatizah perlu pertingkat diri dan jangan bersikap sambil lewa. 

20. Asatizah perlu lebih banyak senyum. : ) 

Inilah antara pandangan-pandangan orang ramai terhadap asatizah kita. Betul ke? Bagi yang positif tu, kita kena ingat ianya mungkin membabitkan asatizah lain bukan kita yer! Jangan perasan eh! Manakala yang negatif tu pulak, janganlah kita marah dan bersikap defensif pula, tetapi marilah kita ubah sikap dan membuktikan tanggapan itu adalah salah dan dapat diubah menjadi lebih baik dan positif pada masa akan datang. 

Pandangan ramai ini hanyalah sebagai satu gambaran buat saya dalam menulis, saya maklum pandangan tersebut perlu dianalisis dan tidak wajar dijadikan satu generalisasi dan mewakili seluruh asatizah. 

I.Allah, artikel saya ini akan diterbitkan pada majalah RISALAH keluaran Pergas pada edisi Januari nanti. Pastinya akan saya upload kan secara eksklusif di blog ini dan akan saya kirimkan ke Berita Harian & The Straits Times jika mereka sudi terbitkan.   

Yoga Haram?

PHOTO: THE NEWPAPER

‘Yoga may have its roots in Hinduism. But if you take away the meditation and other spiritual aspects, it becomes just another form of exercise.’

Beginilah komen saya pada The Straits Times pada 9 November yang lalu. Masa tu tgh tengkarah di Malaysia tentang komen seorang prof di sana yang menggesa agar kerajaan Malaysia mengharamkan Yoga atas alasan ianya boleh membahayakan aqidah. Baru-baru ni keluar pula fatwa rasmi di Malaysia mengharamkan Yoga. Tiada sebarang kesilapan pada fatwa tersebut sebenarnya, sebab Yoga jika diamalkan beserta mantera-manteranya yang berasal dari unsur2 Hindu memanglah jelas haram hukumnya, ini kerana dikatakan matlamat akhir Yoga ialah bersatu dengan Tuhan. 

Dalam fatwa tersebut juga ada disebutkan jika tiada disertakan unsur2 Hindu tidak menjadi haram. Tetapi mereka tidak menggalakkan Yoga memandangkan banyak lagi2 senaman alternatif lain boleh dilakulan, malah ketua J/kuasa Fatwa tersebut memberi contoh kenapa tak amalkan sahaja solat sebagai satu senaman? 

Pada saya tiada salahnya fatwa negara Malaysia ni, cuma sepatutnya ia dapat disusun dengan lebih baik agar tidak memberi tanggapan bahawa Islam itu kolot dan tidak mengiktiraf rawatan berunsurkan senaman semata-mata kerana adanya kaitan dengan budaya agama walaupun pengamal senaman (seorang Muslim) tersebut tidak mencampurkan sebarang unsur-unsur spiritual agama lain. 

Memang tujuan fatwa tersebut adalah baik sebagai satu jalan untuk ‘menutup pintu keburukan’ iaitu untuk mengelakkan umat Islam daripada terjebak tanpa sedari dengan amalan-amalan yang boleh merosakkan aqidah lebih-lebih lagi jika si pengamal Yoga ini seorang Muslim yang jahil. Tetapi bagi saya Islam adalah agama rahmat dan fatwa juga perlu dinamik dengan keadaan semasa. Ia sepatutnya boleh disusun tanpa mengabaikan faktor ‘menutup pintu keburukan’ di samping disertakan panduan atau pengecualian bagi para pesakit sebagai contoh untuk mengamalkannya dengan syarat si pengamal perlu memastikan amalan Yoga tersebut tidak disertakan dengan sebarang bacaan sama sekali untuk mengelakkan terbaca mantera yang punyai unsur-unsur Hindu atau mungkin disyaratkan guru Yoga tersebut beragama Islam atau mungkin juga boleh dilakukan accreditation sama seperti kita lakukan terhadap penganugerahan sijil Halal bagi pusat senaman Yoga. Tak salah juga untuk mereka berikan alternatif kepada para pengamal untuk melakukan improvisasi bagi menggantikan bacaan yang ada kaitan Hindu dengan pujian kepada Allah sebagai contoh. 

Bukan apa, mengikut teman saya, taekwondo, Muay Thai, Sumo dan sebagainya juga punyai ritual yang ada kaitan dengan agama lain. Takkan nak mengharamkan kesemuanya? Bagaimana pula dengan silat kalau guna Jin? Sekali lagi saya berpendapat ada jalan keluar bagi perkara-perkara sebegini dan ianya boleh ditangani dengan lebih baik. 

Seperti dijangkakan fatwa ini mendapat bangkangan keras di Malaysia termasuk persatuan Kanser di Malaysia. Bayangkan dinyatakan terdapat banyak pesakit barah, darah tinggi, kencing manis dan lain-lain lagi yang mendapat manfaat daripada pengamalan Yoga ini. Kesian kan, serba sala pastinya mereka dan bakal berdepan dengan tohmahan masyarakat. Malah, guru-guru Yoga di Malaysia sudahpun ditohmah dengan tuduhan syirik oleh bloggers di sana. 

Entahlah, bagi saya cara fatwa ini disusun seolah-olah Islam itu rigid sangat. Lihat sahaja cara pengerusi Fatwa tersebut yang menggesa kenapa tak diamalkan sahaja solat sebagai menggantikan Yoga? Kalau macamtu bila patah kaki atau tangan dan sebagainya, tak perlulah jumpa pysio untuk rehabilitasi. Bukan tujuan saya untuk menafikan kelebihan solat tetapi ada senaman lain yang perlu dilakukan secara intensif malampaui solat untuk tujuan rehabilitasi.

Mungkin kita di sini dapat mengambil iktibar daripada episod ini dan saya yakin Majlis Ugama Islam Singapura memerhatikan perkara ini dengan serius dan penuh minat, namun saya yakin rakan-rakan saya di Muis dapat menanganinya dan dapat melakukan dengan lebih baik dari teman sejawat mereka di Malaysia.

Nota:

Kenyataan rasmi Muis yang dikeluarkan pada Berita Harian, 29 November 2009.

Sila lihat: Yoga. MUIS BOLEH DIAMAL UNTUK KESIHATAN – Usah Libatkan Ritual Ritual Agama dan Muslim Perlu Jaga Iman. 

http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,131411,00.html

 

free hit counter