Archive for 'Keluarga'

Cinta

Kelmarin saya baru menonton film Ayat-Ayat Cinta bersama dengan isteri…pada saya film nya baik dan lakonan para pelakonnya mantap. Buktinya isteri saya meleleh air mata kerana kesedihan..Saya? No komen beb…

Cuma isteri saya tak puas hati kerana tak sama 100% dengan cerita dalam novel serta penggambarannya pula bukan di Mesir. Hmmph..Bukan senang cerita film yang diangkat ke layar perak. Bayangkan, novel 400-500 muka surat perlu dilakonkan dalam masa 2 jam? Pasti ada yang perlu disunting.

Cakap pasal film AAC ni, pelakon utama atau hero nya, dalam film ni ramai betul gadis yang terpikat dengannya. Kesemua gadis dalam film tersebut terpikat padanya kerana kemulian peribadi si ‘Fahri’. 

Jatuh cinta pandang pertama dengan ketampanan dan kejelitaan seseorang mungkin adalah satu perkara yang biasa kita dengar. Tapi tidak kurang juga ramai yang akan terpaut dengan sikap lemah lembut, sopan santun, bijak, kelakar, intellectual dan yakin diri! Ini biasanya cinta pandang kelima atau kesepuluh lah kecuali pakej ini complete dengan fizikal yang menarik.

Saya cakap begini kerana kadang kala, ada yang merasakan bahawa untuk mendapat pasangan kita perlulah punyai rupa fizikal yang menarik, tapi kalau kita lihat sekeliling, kita akan melihat teman kita atau saudara mara kita punya rupa tetapi masih belum bertemu jodoh, ada juga yang kurang menarik dari segi rupa dan fizikal tapi punya isteri atau suami yang jelita ataupun tampan. Maknanya, rupa bukan segalanya kan?

Nasihat saya yang belum bertemu jodoh dan masih lagi mencari-cari, seseorang tu perlu yakin dengan apa yang Allah ciptakan pada diri kita, yakin diri dengan kemampuan kita dan perelokkan keperibadian kita. Banyak berdoa juga baik diri sendiri atau dari ibu bapa. Paling penting juga, janganlah menyendiri..cuba aktifkan diri dengan aktiviti kemasyarakat dan sukarela.

Dan kalau perlu sound cik abang yang pemalu dan tak faham2 tu, sound lah..tapi biarlah dengan cara yang beradab dan beretika. Kita akan ada email, chat etc? Atau boleh guna orang tengah? Lambat2 nanti melepas, maklum bukan senang cari pemuda atau pemudi yang beriman dan bertaqwa sekarang ni. : )

Tapi kalau masih belum jumpa? Anggaplah itu satu ujian untuk kita dan jangan putus asa. I.Allah adalah tu…

Ibu, Kau Ratu Hatiku

Masuk hari ni dah 12 hari tekak saya tak baik-baik. Saya hidap tonsilitis. Bila kena biasanya akan disertai dengan demam panas, tapi biasanya 2-3 hari dah baik. Kali ni paling lama. Dari sabtu lepas hingga khamis ni saya tak masuk ofis disebabkan gabungan cuti, cuti umum & MC. 

Bila kita lihat dari sudut yang positif, sakit ni peluang untuk kita dapat pahala. Dalam hadith disebutkan bila kita sakit maknanya Allah nak bagi kita pahala. Maksud hadith ini jika kita tabah dan sabar jika diberikan ujian, barulah kita akan dapat ganjaran, lagi berat sakit lagi banyak kita sabar, maka lagi besarlah ganjaran kita. Baginda sendiri pernah menceritakan kepada sahabat bahawa jika beliau sakit, maka sakit baginda adalah dua kali ganda daripada kesakitan para sabahat dan manusia sekalian. Jadi bayangkan pahala yang diterima baginda.

Maka lepas solat Asar tadi, saya beritahu isteri saya dengan nada separuh serius separuh gurau. “Fah, abang rasa saya sakit ni sebab banyak dosa dgn awaklah, maafkan saya.” Tapi isteri saya jawab, “awak takde dosa dengan saya (ada sebenarnya walau tak dinyatakan) tapi mungkin dosa dengan mak awak sebab dah lama tak contact dia!” Oh ooh!

Lama tak lah lama, sebab saya biasanya akan ziarah ibu bapa saya seminggu sekali bersama keluarga. Cuma kali ni, disebabkan anak pertama saya kena HMFD maka saya tak berkesempatan untuk ziarah, maklum di sana, ada 2 orang anak saudara yang cute miut..nanti berjangkit pulak. Mungkin maksud isteri saya tu supaya ziarah beliau seorang diri atau call ibu untuk bertanya khabar.

Lantas, saya pun ambil hp dan call ibu saya masa tu juga, Alhamdulillah, ibu saya baru pulang dari JB bersama bapa dan dua kakak saya. Sempat saya share perkembangan kedua anak saya dan minta ibu doakan supaya sempat sembuh. Maklum doa ibu mustajab.

Biar saya share hubungan saya dengan ibu saya ni, saya merupakan anak keempat dan merupakan satu-satunya anak lelaki dari 5 adik. Ibu saya seorang yang tegas dalam didikan terutamanya dari segi perilaku, saya dan adik bongsu tidak terkepas daripada tindakan disiplin dalam hal ini. Tindakan tidak hormat kepada orang tua atau kakak saya seperti bercakap kasar atau terlepas sebutan yang kurang enak, pasti akan mengundang kemarahan yang meluap dari ibu saya ni.

Bapa pula menurut ikut kata ibu, dia dah tone down masa tak seperti mana zaman kakak2 saya dulu. Zaman kami beliau relax dan berikan kebebasan untuk saya dan adik belajar tanpa menetapkan masa belajar atau menonton TV. Tapi kalau tak solat, masih mengundang bahaya kemarahan juga untuk saya dan adik beradik yang lain : )

Walau begitu, ibu saya seorang yang penyayang dan ini memberikan kesan dalam diri saya dan adik beradik yang lain. Sejak saya kecil sehingga besar, andai kata saya terpaksa pergi jauh kerana urusan belajar, umrah atau pekerjaan beliau pasti akan cium kedua pipi saya. Bapa pula, sering berikan motivasi dan dorongan sejak saya kecil supaya saya berjaya dalam pelajaran.

Bila saya berkahwin, saya mula tinggal berasingan dari kedua ibu bapa saya. Ada positif dan negatif bila kita tinggal berasingan ni. Yang positifnya, kita tinggal berjauhan, bila berjauhan kita jarang bersua, bila kita jarang bersua kita akan kurang berintraksi seterusnya jarang buat dosa atau kecilkan hati ibu atau bapa yang mungkin kita lakukan tanpa disedari . Bila berjauhan juga akan timbul rasa rindu dan bila berjumpa kita akan rasa happy sangat.

Yang negatifnya, kita tidak berpeluang untuk berlaku ihsan pada kedua ibu bapa kita sekerap seperti mana kita tinggal bersama mereka dulu. Jadi untuk catch up perkara ni, kita perlu cari quality time bersama ibu bapa kita ni. Mungkin sekali sekala kita boleh ajak mereka keluar dengan kita sahaja, kita juga boleh ziarah ibu bapa kita seorang diri tanpa keluarga sekali sekala. Saya pernah melakukan sedemikian, memang lain. Ibu saya khususnya, mesra beliau saya rasa lebih sikit dari biasa. Maklum anak lelaki sorang : )

Yang kelakarnya, IC ibu saya ni tiada tarikh lahir. Kelakar kan? Tapi nilah orang dulu2..kadang2 register lambat dan macam2 perkara yang tidak dapat dielakkan. Jadi biasanya saya akan ambil kesempatan untuk menghadiahkan beliau sesuatu pada Hari Ibu sebagai ganti hari lahir beliau.

Hari Ibu? Boleh ke celebrate? Ini saya tak nak sentuh di sini kerana panjang cerita dan boleh dirujuk pada sumber yang lain (mungkin boleh rujuk blog Ustaz Haniff bahagian kemusykilan agama)

Ada juga yang menyatakan hari lahir pun tak boleh disambut dan kita tidak boleh mengajar beri hadiah hari lahir pada anak2 sebab takut akan timbul sifat mengharapkan hadiah dan meminta-minta, pada saya tarikh2 penting begini termasuk hari ulang tahun perkahwinan adalah tarikh2 sentimental bagi saya. Apa perasaan kita bila seseorang2 itu ingat hari lahir kita dan tanpa kita sedari beliau menghadiahkan kita sesuatu! Pasti hati kita akan tersentuh dan terharu.

Bagi saya pula, menjadi amalan saya untuk hadiahkan sesuatu kepada keluarga termasuk adik dan kakak2 saya termasuk anak saudara saya serta adik ipar saya. Begitu juga dengan mereka. Perkara yang sama juga dilakukan kepada isteri tercinta. Hari lahir beliau adalah hari yang biasanya saya akan lakukan surprise untuk beliau. Unsur-unsur surprise ni sebenarnya boleh menghangatkan cinta tau!

Junjungan kita Nabi Muhammad ada menggalakkan agar kita saling memberi dan menerima hadiah. Rasulullah pernah menjelaskan pengaruh hadiah di dalam meraih kecintaan dan kasih sayang sesama insan; Dalam sebuah hadithnya beliau ada menyebutkan ” Saling memberi hadiahlah kalian, nescaya kalian akan saling mencintai.”

Sebenarnya bukan nilai hadiah tersebut yang menjadi ukuran tetapi ingatan mendalam dari hati yang suci itulah yang memberikan kesan kepada si penerima seterusnya timbul perasaan kasih dan sayang kepada si pemberi yang mana akhirnya keduanya makin saling sayang menyayangi antara satu sama lain.

Pakcik Tak Sedar Diri

Sebenarnya dari minggu lepas saya nak share cerita ni, tapi asyik terbantut je. Last2 share pengalaman lain. Cerita ni sebenarnya berlaku minggu lalu. Seorang makcik call saya nak minta kaunseling rumahtangga bersama dengan suami. Beliau dirujukkan oleh FSC PPIS-Jurong rupanya. Saya pun tetapkanlah masa untuk appt. 

Tiba masanya beliau pun datang jumpa saya di masjid bersama dengan suami, keduanya berusia dalam 50 an. Makcik ni cakap, saya berharap dapat jumpa kaunselor yang lebih berusia, dapat yang muda pulak. Ustaz, dah kahwin? Alamak! Dah lama saya tak dapat client yang tegur saya muda atau tanya dah kawin sejak dah jadi bapak ni. : ) “Saya jawab, dah cik. Anak saya dah 2 dah.”

Sebenarnya kaunseling ni, tak perlulah kena kahwin untuk kaunseling orang yang dah berkahwin. Kalau dah kahwin satu advantage. Yang penting kita perlu ada kemahiran untuk memastikan kita mampu menjadi pendengar yang baik dan berusaha memahami client. Apa guna kalau berbual dengan kaunselor yang berusia tapi tiada kemahiran, bersikap biased dan tidak berusaha memahami perasaan client? Begitu juga tak semestinya orang muda bila berhadapan dengan budak2 belia atau remaja, tapi tak dapat tunjukkan faham isi hati mereka, lebih baik jumpa dengan kaunselor yang dah berusia tapi lebih faham isi mereka. Kan lagi best!

Ok, kita sambung cerita..rupanya suami makcik ni main kayu tiga! Tak padan. Dah 8 tahun dia buat projek. Laaa..Bila ditanya apa yang menyebabkan beliau jalinkan hubungan dengan wanita lain? Dengan selamba dia jawab, “ingat nak kahwin dua!” Cantiknya muka, kata hati sayalah : ) Padahal, isteri dia gaji lagi besar dan banyak tanggung sebahagian besar dari nafkah keluarga. Haha emosi sikit, ni semua mainan perasaan je. Tak boleh cetuskan atau luahkan depan client!

Apa yang saya ingin share di sini ialah, pengajaran dari kes kali ini, sang suami sebenarnya seorang yang sangat pemalu dan susah nak luahkan perasaan. Beliau juga malu nak tonjolkan perasaan kasih dan sayang pada isteri. Mengikut kata isterinya, sejak dapat anak pertama, suaminya stop pimpin tangan beliau. Kesiannya…

Tapi saya tak terkejut jika beliau seorang yang romantik semasa bercinta. Saya tanya makcik tu. Betul tak? Betul kata makcik ni. saya dah agak dah. Saya dapat jangka sebab ni bukan kes pertama saya bila dah kahwin pemalu, masa bercinta tidak.

Sebabnya, orang sebegini..dia terpaksa hilangkan rasa malu semata-mata nak dapatkan gadis yang diidamkan, kalau malu kan melepas? Lagipun syaitan memang suka goda manusia, yang dosa sedap dilakukan. Dia kan suka orang bercerai berai. Sebagai contoh sang suami ni, bila dengan mata air dia, hmmph..bukan main romantik. Luv u, miss u & hug u! Luah isteri beliau, dari sms suaminya pada temanitanya. Aduuh, nak terbegik saya dengar. Nak termuntah pun ada : )

Pendek cerita, saya kata pada suaminya, Encik..kalau sungguh2 nak menang hati isteri semula, kenalah usaha sesuatu. Apa yang encik nak lakukan? Terkebil2, tersengih2, biasa kes sebelum2 ni, suami akan menyesal, mata berair kadang2 menangis..pakcik ni? Hai tak faham saya! Saya cakap dengan beliau..Encik, “saya tak nampak pakcik serius untuk berubah, saya tak tahu dalaman hati pakcik bagaimana, tapi dari segi luaran..saya tak nampak. mungkin telahan saya boleh jadi salah..”

Sebelum pulang, beliau bersetuju untuk tukar hp no supaya mata air nya tak ganggu lagi dan untuk buktikan pada isterinya yang beliau serius untuk berubah. Saya juga pesan, supaya serius kerana mengikut isterinya, tinggal lagi 10% sahaja rasa kasih dan sayang beliau pada suami. Cubalah menang hati isteri semula sebagaimana nak dapatkan ketika belum bernikah dulu. Akhir sekali, lawanlah perasaan malu untuk pimpin tangan isteri..sentuh isteri dan lafazkanlah sayang padanya. Semoga beliau insaf dan rumahtangga beliau dapat diselamatkan.

Semoga kita dapat mengambil pelajaran daripada kisah pakcik ni.

YMCA

Pagi tadi saya dan teman-teman dari gang-gang asatizah junior (gabungan dari pelbagai masjid) telah menyertai Community Engagement Games Day bagi acara Futsal anjuran National Council of Churches of Singapore (NCCS). 

Kami menang sekali dan tewas sekali dan tersingkir dari pertandingan. Macam-macam team dari pelbagai organisasi dan agama, Sikh, Kristian, Islam dan lain-lain. Pasukan kami bernama Young Muslim : )

Apa yang menarik perhatian saya pada pertandingan pagi tadi ialah oppornent kami yang pertama yang terdiri kebanyakannya daripada budak-budak melayu. Saya tak perasan nama pasukan tersebut sehingga diberitahu selepas perlawanan, pasukan tersebut ialah YMCA. Terkejut saya..

Saya bagitahu teman-teman yang lain, kenapa tak jumpa dorang? Mereka dah balik, jawab teman-teman saya tu. Alamak, kenapa tak jumpa awal2? Sayang…nilah peluang kita untuk kenal2 dengan mereka. Ketika sedang asyik menonton perlawanan-perlawanan lain. Teman-teman saya tu bagitahu yang mereka dah jumpa dah budak2 YMCA tu, mereka sempat bertanya khabar dan berkenalan. Saya tanya, bagi name card tak? Bagi jawab mereka. Bangga saya dengan tindakan pro aktif ustaz-ustaz muda ni. Mereka dapat maklumat budak-budak ni berpeluang pergi jamming di sana.

Saya tak boleh salahkan YMCA atau mana-mana badan agama lain, mereka memang ada pelbagai facility dan tempat mereka terbuka kepada semua bangsa. Kita tak boleh salahkan orang lain, jika anak bangsa kita jadi begitu. Kita perlu salahkan diri kita sendiri. Keluraga-keluarga Melayu-Islam khususnya perlu bertanggungjawab ke atas ideologi anak-anak mereka. Ini semua tidak dapat diselamatkan jika ibu bapa sendiri mempunyai pengetahuan agama yang rendah dan tidak pula memastikan diri dan anak-anak mereka mendapat bimbingan agama yang secukupnya.

Isu ini lebih ketara di kalangan keluarga pincang. Namun, saya yakin kita telah bergerak pada landasan yang betul, dengan Mendaki dan Muis telah menyasarkan kepada golongan ini, ini termasuklah penglibatan masjid dalam menangani isu keluarga pincang dengan program yang menggabungkan pengagihan sumbangan kewangan dan makanan dengan pembelajaran Islam. Malah di Al-Falah, I.Allah kita akan memulakan program Home Based Islamic Learning melibatkan keluarga-keluarga miskin dan kurang keupayaan. Semoga usaha kami ini berjaya.

Sufiah Yusof

Kesian Sufiah. Itulah rasa hati saya bila pertama kali dengar cerita yang beliau sekarang ini memperdagangkan tubuh badannya bagi menyara hidup. Sebenarnya sebelum keluar berita tersebut, 2 minggu sebelumnya tiba-tiba saya teringatkan gadis ini. Ingin tahu apa beliau buat sekarang sejak melarikan diri dari Universiti dan berkahwin dengan lelaki pilihannya. Saya cuba google dan wikipedia nama beliau untuk dapatkan berita terbaru tentangnya. Tup2..keluar cerita yang menyedihkan.

Tidak perlulah diceritakan apa yang terjadi pada Sufiah, semuanya sudah terpapar di akhbar, apa yang boleh kita pelajari di sini ialah kita tidak boleh lari dari fitrah. Kanak-kanak bagaimana bijakpun, mereka perlu dibiarkan untuk bermain dan berinteraksi dengan rakan sebaya. Tidakkah manusia itu dijadikan untuk berkenal-kenalan? 

Teringat saya kisah seorang kanak-kanak lelaki melayu campuran Inggeris, bernama Ainan tidak silap..beliau juga diharapkan oleh ibu bapanya untuk dapat masuk ke Universiti pada usia yang muda..7 tahun untuk lebih tepat lagi! Ahh! Mudahan ibu bapa beliau terbaca cerita tentang Sufiah ni.

Seperkara lagi cerita tentang Sufiah ialah perihal didikan cara regim yang diketengahkan oleh bapa beliau Farooq. Kesian Sufiah..saya tidak mahu bincangkan kali ini tentang impak yang boleh dimainkan oleh ayah pada anak. Cukup dengan kita lihat kesan-kesan pada anak-anak yang kurang mendapat belaian kasih sayang daripada seorang yang bernama ayah. Kalau ikut kajian mereka inilah yang paling tinggi risiko terdedah kepada isu-isu sosial.

Sebagai bapa kepada dua orang anak, inilah yang paling saya takuti..mudah-an saya dapat menjadi bapa yang penyayang kepada kedua orang anak saya, Madihah & Yasir.

Kepada bapa Sufiah, semoga beliau sedar dengan kesilapan yang telah dilakukan, ibu beliau Halimahton..semoga anda terus tabah, tidak mudah putus asa dan selalu berdoa. Doa saya buat beliau, semoga beliau kembali ke pangkal jalan. Amin!

Murtad

Sebagaimana janji saya pada Dew (Lieja), saya ceritakan kembali pengalaman saya pada 3 tahun yang lalu semasa mengendalikan kes kaunseling bersama dengan seorang wanita (saya sebut selepas ini sebagai W) yang pada masa itu berusia 20 tahun yang hampir murtad selepas bertemu dengan teman lelakinya yang beragama Kristian. Beliau dirujukkan kepada saya 3 tahun yang lalu oleh ibunya yang bimbang kerana anaknya sering ke gereja bersama teman lelakinya dan membaca kitab ‘Bible’. 

Sebelum beliau berjumpa dengan saya, W telah pun berjumpa dengan beberapa guru agama lain untuk membawa beliau ke pangkal jalan. Tetap gagal, kerana pendekatan yang dilakukan ialah sebelah pihak sahaja, lebih banyak bercakap dan lebih kepada desakan supaya W kekal dengan Islam dan lupakan hasrat untuk memasuki agama Kristian kerana boleh mengakibatkan masuk neraka.

Memang betullah, apa yang ustaz tu cakapkan, namun isunya di sini kita berdepan dengan seorang wanita yang tidak mempunyai asas yang kuat dalam agama Islam dan hatinya hampir pasti untuk memeluk agama Kristian. Tindakan ustaz tersebut membuat beliau ‘turns off’. Apa taknya, dah lah dipaksa jumpa oleh ibunya kena ceramah dan bebelan pula.

Bagi sesi ini, saya mengambil pendekatan untuk lebih banyak mendengar dan cuba buka pemikiran beliau semula untuk membuat penimbangan dengan lebih lanjut sebelum memasuki agama lain.

Apabila saya tanyakan apakah sebab beliau tertarik dengan Kristian, beliau jelaskan bahawa terdapat rasa ketenangan adalam agama ini di samping rasa ’self of belonging’ setiap kali beliau ke gereja dengan teman lelakinya dan menjelaskan yang beliau sedang mengkaji dengan lebih lanjut agama ini dengan membaca ‘Bible’.

Saya cuba bersikap tenang dan memberi komen serta memuji tindakannya, ‘Saya gembira kerana awak membuat ‘research’ bagi memahami dengan lebih lanjut tentang agama ini. Ini yang sepatutnya kita lakukan bila ingin mengetahui sesuatu agama’.

W nampak tersentak kerana saya tidak memarahinya bahkan saya memuji tindakannya itu. Saya bertanya lagi kepada beliau sama ada beliau ada melakukan perkara yang sama pada agamanya sekarang dan sama beliau ada mengkaji Quran sebagai perbandingan dengan Bible? Beliau menjawab tidak.

Saya bertanya lagi sama ada, beliau setuju tak dengan statement saya yang beliau tidak akan dapat buat keputusan yang tepat jika beliau mengkaji hanya satu agama sahaja tanpa mengkaji agama asal beliau. Beliau terpaksa setuju..

Saya jelaskan kepada W bahawa beliau tidak bersikap adil kepada agamanya sekarang. Beliau lahir sebagai Islam tetapi tidak pernah belajar tentang Islam atau mengamalkan ajaran Islam. Bagaimana beliau dapat membuat pilihan yang tepat mana satukah agama yang lebih baik jika kajiannya hanya tertumpu pada satu agama? Sebagaimana Islam, agama Kristian juga mempunyai balasan syurga-neraka, setiap keputusan yang silap boleh memberi kesan yang padah pada diri di kemudian hari.

Di akhir sesi, saya berikan beliau terjemahan Quran dan meminta beliau mengkaji juga Quran di samping mengkaji kita Bible. Beliau terima, Alhamdulillah.

Terus terang saya nyatakan pada ibunya, saya rasa beliau 90% sudah tekad untuk keluar dari agama Islam. Saya sendiri tidak terkejut jika ia belaku. Selepas sebulan saya hubungi ibunya untuk follow up, Alhamdulillah, ibunya beritahu yang W sudah tidak ke gereja lagi. Syukur!

Sebagaimana yang pernah saya katakan pada entry saya yang terdahulu, kita hanya mencuba..keputusan akhir daripada individu itu sendiri. Apa yang saya share di sini, mungkin boleh praktik kan apabila kita bertemu atau berinteraksi dengan teman atau saudara kita yang tertarik dengan agama lain, elakkan perbincangan yang sehala sahaja, yakni kita sahaja yang bercakap, libatkan mereka..cuba fahami sebab di sebalik keputusan yang diambil untuk keluar agama. Ajak mereka berfikir..itu adalah usaha yang lebih baik daripada kita bincang isu syurga neraka, dosa besar dan sebagainya.

Dan jika mereka tetap dengan keputusannya, tak mengapa..teruskan hubungan dengan mereka. Jangan singkirkan mereka. Anggap seperti kawan dau saudara seperti dulu. Pada masa yang sama teruskan sedaya yang boleh seperti usaha di atas. Jangan putus asa. Berdoa pada Allah. I.Allah, jika satu hari mereka punyai kesulitan (bercerai dengan suami yang beragama lain sebagai contoh), mereka tahu dengan siapa yang perlu mereka rujuk. Mereka masih tetap punya teman, saudara, ibu ataupun bapa. Tak mustahil orang sebegini akan kembali kepada agama asalnya iaitu Islam.

Saya juga berharap kita perlu terima dengan terbuka tentang isu murtad ini. Tidak salah untuk prihatin, namun tindakan kita perlu berlandaskan rasional dan tidak emosi sehingga boleh menggugat keharmonian kaum dan juga agama. Perlu kita sedari bukan mereka dari agama kita sahaja yang murtad, tetapi ramai juga mereka dari agama lain seperti Kristian, Hindu, Buddha dan juga Taois yang murtad dan memeluk agama Islam, bahkan jauh lebih ramai dari bangsa kita sendiri.

Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada pengalaman saya ini.

Rose Villa

Petang tadi ada case conference di Wisma Mendaki dengan teman-teman lain yang sama-sama mengendalikan kes-kes kaunseling remaja Pusat Persinggahan NUR. Biasanya pada sesi begini kami kami akan bergilir pada tiap bulan untuk bentangkan kes kaunseling pilihan kami dengan tujuan untuk dapatkan feedback daripada teman-teman kaunselor yang lain dan juga dari supervisor kami. 

Saya sempat dapatkan feedback tentang kes kaunseling saya dengan Z yang mana temanita beliau H sedang berada di rumah tumpangan missionary Kristian untuk remaja mengandung. Tepat seperti mana yang ‘Hoopoe’ beritahu, memang mereka tiada paksaan terhadap agama bagi sesiapa yang tinggal di sana, malah amat digalakkan penghuni rumah tumpangan mereka mendapat bimbingan kaunseling dari kaunselor yang seagama. Bahkan saya difahamkan layanan yang mereka berikan amat baik kepada penghuni dan juga pengunjung dan ia patut dicontohi oleh badan-badan Melayu Islam kita, ini kata teman saya tulah.

Memang begitulah sebenarnya yang diajarkan oleh Islam yang dibawa baginda Rasulullah. Melalui akhlak mulia, baginda dapat menarik minat orang-orang yang dahulunya bencikan baginda dan juga Islam. Tetapi kini, akhlak dan tingkah laku kita memburukkan Islam dan mencemarkan nama baik baginda, sehingga diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam seperti yang dilakukan oleh Si Wilders tu.

Kembali kepada cerita si Z tu, plan saya selepas ini ialah hubungi beliau dan buat temu janji untuk berjumpa dengan H di rumah tumpangan tersebut, jika beliau ok dan setuju berpindah ke rumah tumpangan kelolaan badan Islam, maka saya akan cuba uruskan. Jika tidak, sekurang-kurangnya saya dapat pujuk beliau untuk mulakan sesi kaunseling dengan saya.

Mudah-mudahan beliau bersetuju dengan salah satu daripada pilihan di atas. Semoga usaha saya, Amin…

Kaunseling Melalui Telefon

Baru-baru ni ada orang telefon saya di ofis bagi khidmat bantuan kaunseling. Beliau seorang Indian-Muslim, masuk kali ini rasanya dah 2 kali dia call. 

Banyak isu yang dikemukakan, antaranya dia depression sebab ayahnya tidak mahu solat walaupun selepas ditegur, baru putus cinta dengan kekasih dan kenapa orang bukan Islam berjaya walaupun tidak solat?

Letih juga nak jawab soalan-soalan tersebut, maklum beliau hanya boleh berbual dalam bahasa Inggeris sahaja. Saya cuba berbincang dengan beliau satu persatu isu yang dikemukakan.

Soalan pertama tentang dia stress sebab ayahnya tidak mahu solat walau selepas ditegur. Dalam hal ini, saya cuba beri semangat pada beliau yang dia telah telah jalankan tanggungjawab sebagai anak sebaik mungkin, seterusnya terpulang kepada ayahnya untuk berubah atau tidak.

Saya jelaskan padanya, rasa bersalah adalah normal, namun yang menjadi masaalahnya jika beliau berasa bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan ayahnya. Baginda Rasulullah sendiri pernah ditegur oleh Allah kerana berasa dukacita disebabkan masih ramai orang-orang Quraisy yang musyrikin. Allah menjelaskan tugas Nabi hanya menyampaikan seruan, namun pemberi hidayah adalah Allah jua.

Soalan kedua, mengapa orang Islam yang bersolat, namun tetap juga ditimpa musibah, sedangkan orang bukan Islam atau orang Islam yang tidak solat ramai yang berjaya.

Memandangkan ia adalah perbualan di telefon dan saya pada masa tu masih lagi banyak kerja yang belum dibereskan. Saya cuma sempat bagi contoh baginda Rasulullah. Beliau adalah seorang Rasul dan merupakan manusia yang paling dicintai. Namun baginda tetap juga diuji oleh Allah. Ingat tak peristiwa kematian isteri yang dicintai Khadijah dan juga bapa saudaranya Abu Talib? Kedua-duanya meninggal ketika baginda amat memerlukan sokongan mereka.

Begitu juga dengan kematian putera baginda yang bernama Ibrahim, yang meninggal ketika masih kecil. Bayangkan jika kita mempunyai 4 puteri dan anak kelima kita pula dijangkakan seorang putera, apabila lahir meninggal pula ketika masih kecil. Pasti kita akan merasa amat sedih sekali.

Tetapi kenapa ini semua berlaku pada insan yang disayangi oleh Allah? Ini tidak lain dan tidak bukan ialah Allah ingin memberikan peluang untuk mendapatkan pahala dan kebaikan.

Jadi ia bergantung bagaimana kita melihat sesuatu ujian atau musibah, positif atau negatif. Jika positif maka kita akan ganjaran dan pahala yang cukup besar, lagi besar ujian lagi besar pahalanya, begitu jugalah sebaliknya.

Tukang Jahit & Suami

Pagi tadi saya punya temujanji sesi hakam di Mahkamah Shariah. Kali ini saya dipilih untuk menjadi hakam kepada plaintiff (isteri). 

Bagi yang tidak mengetahui apa itu ‘Hakam’. Hakam ialah pihak yang dilantik oleh pasangan suami dan isteri. Setiap hakam akan mewakili seorang suami (defendant) seorang hakam lagi bagi mewakili isteri. Hakam akan cuba mendamaikan mereka dan jika tidak berjaya juga, hakam boleh menasihati Hakim Mahkamah untuk kedua pasangan dipisahkan, termasuklah jika pihak suami tidak bersetuju, maka hakam boleh menjatuhkan talak bagi pihak suami.

Dengan ini jelas, walau talak tiada di tangan isteri, keadilan dapat dilaksanakan juga dalam agama Islam. Proses hakam ini biasanya dilakukan selepas usaha-usaha kaunseling sebelumnya tidak berjaya, oleh kerana ia merupakan proses terakhir. Maka peratusannya adalah kecil untuk diselamatkan rumahtangga mereka. Setakat ini saya pernah selamatkan dua pasangan sahaja. Alhamdulillah. Kira banyak tau tu!

Kali ini saya berpasangan dengan seorang Ustaz veteran. Pihak isteri rupanya mengenali keluarga saya. Dia biasa mengambil upah jahitan baju untuk ibu, kakak dan juga adik saya. Hmmph..patut nama familiar.

Ini bukan kali pertama plaintiff atau defendant saya kenal atau mengenali saya. Pernah seorang defendant ialah kawan lama kepada bapa saya dan kadang-kadang pula daripada jemaah yang pernah meminta nasihat atau bantuan kaunseling untuk mereka.

Pasangan kali ini telah berumahtangga hampir 25 tahun lamanya. Lamakan? Tapi sayang, akhirnya ia berakhir dengan perceraian. Sepanjang sesi tersebut kedua belah pihak asyik menyalahkan antara satu sama lain.

Memang mudah sebenarnya nak cari kesalahan atau keburukan pasangan, tetapi tidak mudah untuk cari kebaikan pasangan. Contohnya, ada suami punya sifat malas kemas rumah atau bantu isteri buat kerja rumah tapi pada masa yang sama rajin bekerja mencari rezeki atau bijak merancang kewangan keluarga. Juga mungkin isteri kita seorang yang tidak pandai masak tetapi pandai melayan suami dan menguruskan keperluan anak serta keluarga.

Kesimpulannya, cubalah cari kebaikan pasangan kita. Kalau tak jumpa, cari sampai jumpa. Kalau nak tahu, antara kes yang pernah diselamatkan semasa mengendalikan kes hakam ialah apabila seorang isteri dipujuk oleh kami untuk cuba pertimbangkan untuk berikan peluang terakhir kepada suami. (Suami beliau kaki perempuan dan kuat berbohong, Masya Allah!) beliau tiba-tiba terkenang kebaikan dan jasa suami beliau. Nak tahu apa? Suaminya rajin memasak, kemas rumah, jaga anak, basuh dan sidai serta gosok baju! Akhirnya beliau berikan peluang sekali lagi kepada suaminya untuk berbaik-baik semula. Subhanallah…

Seperkara lagi yang perlu diingat bagi setiap pasangan ialah cuba selesaikan isu rumahtangga mereka awal-awal lagi, dapatkan bantuan sebelum parah. Jangan simpan lama-lama. Isteri kadang-kadang sabar, setahun, dua tahun……masuk 7 tahun meletup dan tiba-tiba dan tuntut cerai. Kes begini biasanya susah nak diselamatkan, kerana isteri menyimpan perasaan dan banyak beri peluang, si suami pula tetap tidak berubah ..

Akhirnya kesabaran akan hilang dan paling buruk apabila kasih sayang sudah lenyap. Maka pada masa itu sebarang janji perubahan dari pihak suami tidak akan beri kesan pada isteri. Beginilah yang berlaku kepada kes tukang jahit yang saya alami pagi tadi.

free hit counter