Archive for 'Kaunseling'

Kaunseling Melalui Telefon

Baru-baru ni ada orang telefon saya di ofis bagi khidmat bantuan kaunseling. Beliau seorang Indian-Muslim, masuk kali ini rasanya dah 2 kali dia call. 

Banyak isu yang dikemukakan, antaranya dia depression sebab ayahnya tidak mahu solat walaupun selepas ditegur, baru putus cinta dengan kekasih dan kenapa orang bukan Islam berjaya walaupun tidak solat?

Letih juga nak jawab soalan-soalan tersebut, maklum beliau hanya boleh berbual dalam bahasa Inggeris sahaja. Saya cuba berbincang dengan beliau satu persatu isu yang dikemukakan.

Soalan pertama tentang dia stress sebab ayahnya tidak mahu solat walau selepas ditegur. Dalam hal ini, saya cuba beri semangat pada beliau yang dia telah telah jalankan tanggungjawab sebagai anak sebaik mungkin, seterusnya terpulang kepada ayahnya untuk berubah atau tidak.

Saya jelaskan padanya, rasa bersalah adalah normal, namun yang menjadi masaalahnya jika beliau berasa bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan ayahnya. Baginda Rasulullah sendiri pernah ditegur oleh Allah kerana berasa dukacita disebabkan masih ramai orang-orang Quraisy yang musyrikin. Allah menjelaskan tugas Nabi hanya menyampaikan seruan, namun pemberi hidayah adalah Allah jua.

Soalan kedua, mengapa orang Islam yang bersolat, namun tetap juga ditimpa musibah, sedangkan orang bukan Islam atau orang Islam yang tidak solat ramai yang berjaya.

Memandangkan ia adalah perbualan di telefon dan saya pada masa tu masih lagi banyak kerja yang belum dibereskan. Saya cuma sempat bagi contoh baginda Rasulullah. Beliau adalah seorang Rasul dan merupakan manusia yang paling dicintai. Namun baginda tetap juga diuji oleh Allah. Ingat tak peristiwa kematian isteri yang dicintai Khadijah dan juga bapa saudaranya Abu Talib? Kedua-duanya meninggal ketika baginda amat memerlukan sokongan mereka.

Begitu juga dengan kematian putera baginda yang bernama Ibrahim, yang meninggal ketika masih kecil. Bayangkan jika kita mempunyai 4 puteri dan anak kelima kita pula dijangkakan seorang putera, apabila lahir meninggal pula ketika masih kecil. Pasti kita akan merasa amat sedih sekali.

Tetapi kenapa ini semua berlaku pada insan yang disayangi oleh Allah? Ini tidak lain dan tidak bukan ialah Allah ingin memberikan peluang untuk mendapatkan pahala dan kebaikan.

Jadi ia bergantung bagaimana kita melihat sesuatu ujian atau musibah, positif atau negatif. Jika positif maka kita akan ganjaran dan pahala yang cukup besar, lagi besar ujian lagi besar pahalanya, begitu jugalah sebaliknya.

Tukang Jahit & Suami

Pagi tadi saya punya temujanji sesi hakam di Mahkamah Shariah. Kali ini saya dipilih untuk menjadi hakam kepada plaintiff (isteri). 

Bagi yang tidak mengetahui apa itu ‘Hakam’. Hakam ialah pihak yang dilantik oleh pasangan suami dan isteri. Setiap hakam akan mewakili seorang suami (defendant) seorang hakam lagi bagi mewakili isteri. Hakam akan cuba mendamaikan mereka dan jika tidak berjaya juga, hakam boleh menasihati Hakim Mahkamah untuk kedua pasangan dipisahkan, termasuklah jika pihak suami tidak bersetuju, maka hakam boleh menjatuhkan talak bagi pihak suami.

Dengan ini jelas, walau talak tiada di tangan isteri, keadilan dapat dilaksanakan juga dalam agama Islam. Proses hakam ini biasanya dilakukan selepas usaha-usaha kaunseling sebelumnya tidak berjaya, oleh kerana ia merupakan proses terakhir. Maka peratusannya adalah kecil untuk diselamatkan rumahtangga mereka. Setakat ini saya pernah selamatkan dua pasangan sahaja. Alhamdulillah. Kira banyak tau tu!

Kali ini saya berpasangan dengan seorang Ustaz veteran. Pihak isteri rupanya mengenali keluarga saya. Dia biasa mengambil upah jahitan baju untuk ibu, kakak dan juga adik saya. Hmmph..patut nama familiar.

Ini bukan kali pertama plaintiff atau defendant saya kenal atau mengenali saya. Pernah seorang defendant ialah kawan lama kepada bapa saya dan kadang-kadang pula daripada jemaah yang pernah meminta nasihat atau bantuan kaunseling untuk mereka.

Pasangan kali ini telah berumahtangga hampir 25 tahun lamanya. Lamakan? Tapi sayang, akhirnya ia berakhir dengan perceraian. Sepanjang sesi tersebut kedua belah pihak asyik menyalahkan antara satu sama lain.

Memang mudah sebenarnya nak cari kesalahan atau keburukan pasangan, tetapi tidak mudah untuk cari kebaikan pasangan. Contohnya, ada suami punya sifat malas kemas rumah atau bantu isteri buat kerja rumah tapi pada masa yang sama rajin bekerja mencari rezeki atau bijak merancang kewangan keluarga. Juga mungkin isteri kita seorang yang tidak pandai masak tetapi pandai melayan suami dan menguruskan keperluan anak serta keluarga.

Kesimpulannya, cubalah cari kebaikan pasangan kita. Kalau tak jumpa, cari sampai jumpa. Kalau nak tahu, antara kes yang pernah diselamatkan semasa mengendalikan kes hakam ialah apabila seorang isteri dipujuk oleh kami untuk cuba pertimbangkan untuk berikan peluang terakhir kepada suami. (Suami beliau kaki perempuan dan kuat berbohong, Masya Allah!) beliau tiba-tiba terkenang kebaikan dan jasa suami beliau. Nak tahu apa? Suaminya rajin memasak, kemas rumah, jaga anak, basuh dan sidai serta gosok baju! Akhirnya beliau berikan peluang sekali lagi kepada suaminya untuk berbaik-baik semula. Subhanallah…

Seperkara lagi yang perlu diingat bagi setiap pasangan ialah cuba selesaikan isu rumahtangga mereka awal-awal lagi, dapatkan bantuan sebelum parah. Jangan simpan lama-lama. Isteri kadang-kadang sabar, setahun, dua tahun……masuk 7 tahun meletup dan tiba-tiba dan tuntut cerai. Kes begini biasanya susah nak diselamatkan, kerana isteri menyimpan perasaan dan banyak beri peluang, si suami pula tetap tidak berubah ..

Akhirnya kesabaran akan hilang dan paling buruk apabila kasih sayang sudah lenyap. Maka pada masa itu sebarang janji perubahan dari pihak suami tidak akan beri kesan pada isteri. Beginilah yang berlaku kepada kes tukang jahit yang saya alami pagi tadi.

free hit counter