Archive for 'Artikel'

Lawatan Ke US (Bahagian Ketiga)

Sambungan…

Semasa di Boston, kami sempat melawat beberapa badan Islam termasuk dibawa melawat sebuah masjid yang amat besar dan sungguh gah di kawasan Roxbury yang masih dalam pembinaan. Difahamkan masjid ini mengambil masa selama 20 tahun bagi pengumpulan dana sahaja! 

Antara badan Islam yang kami lawati di Boston ialah Islamic Centre of Boston dan juga Islamic Society of Boston.

Satu perkara yang menarik yang saya dapati bagi badan-badan Islam di sini ialah mereka mempunyai hubungan yang sangat baik dengan masyarakat dan badan-badan bukan Islam.

Satu lagi perkara yang agak mengkagumkan saya, ialah ceramah silang agama atau Interfaith Lectures sudah menjadi satu perkara biasa di sana. Entah berapa kali saya mendengar perkataan Interfaith terpacul keluar dari mulut mereka. Menurut mereka, ia menjadi lebih ketara selepas kejadian peristiwa 11 September, dengan pelawat yang menziarahi badan–badan Islam meningkat dengan banyaknya untuk mengetahui ajaran agama Islam dengan lebih dekat. Perkara ini dijelaskan oleh Presiden Islamic Centre of Boston iaitu Dr Asif Razvi yang berasal daripada Pakistan dan juga pakar bedah vascular di salah sebuah hospital di Boston.

Hubungan baik antara badan-badan Islam ini terbukti, di mana ketika kehangatan peristiwa 11 September, Dr Asif menjelaskan bahawa paderi di gereja berdekatan dengan markas Islamic Centre of Boston pernah menawarkan umat Islam melakukan solat di gereja mereka jika umat Islam merasa bahaya melakukan solat di masjid!

Pemimpin-pemimpin Islam di Amerika ini juga berkongsi aspirasi yang sama iaitu mempunyai jatidiri sebagai rakyat Muslim Amerika. Malah perkataan Proud to be American Muslim disebut berulang-ulang kali oleh Imam Dr. Basyouni Nehela, Pengarah Islamic Society of Boston yang berasal daripada Mesir dan mendapat pendidikan sarjana dan juga kedoktoran dalam bidang Pengajian Islam daripada Universiti Al-Azhar. Imam Basyouni memang kacak orangnya sehinggakan salah seorang teman saya tidak dapat tidur malam dibuatnya!

Apabila saya meminta beliau memberi penjelasan lanjut bagi maksudnya itu, beliau menerangkan adalah penting bagi masyarakat Islam Amerika bekerja keras bagi kemajuan pendidikan dan juga aktif bagi membangunkan ekonomi negara, beliau memberikan contoh bagaimana Rasulullah yang berasal dari Mekah tetapi berhijrah ke Madinah dan membangunkan taraf sosial serta ekonomi Madinah, ini terjadi walaupun Madinah bukan tanah air kepada baginda Rasulullah.  

Kami juga berpeluang melawat Boston Centres For Youth and Families (BCYF) yang ditubuhkan atas inisiatif Datuk Bandar Thomas M. Menino bagi mempertingkatkan taraf hidup penduduk bandar Boston dan mengatasi masalah sosial ke atas kanak-kanak, belia dan juga keluarga.

 

Semasa di BCYF, kami diberi taklimat oleh Chris Byner, penyelia bagi program street worker atau Pekerja Jalanan yang merupakan antara program paling efektif serta mendapat pengiktirafan serata Amerika bagi keberkesanannya dalam cegahan dan intervensi. Semasa di BCYF, terperasan seorang teman saya yang nampak mesra betul dengan salah seorang pekerja sosial wanita BCYF yang begitu ramah melayan rombongan kami ini. Hehe..Jangan marah yer…

Tidak seperti para Pekerja Sosial, kebanyakan daripada ’Pekerja Jalanan’ merupakan bekas pesalah yang hanya mendapat kemahiran asas dalam bidang kaunseling tetapi mereka mempunyai aspirasi yang kuat untuk membantu masyarakat Boston memperbaiki isu sosial.

Peranan Street Worker ini adalah untuk membantu para belia ini supaya terus bebas jenayah. Jika mereka ada melakukan kesalahan, para pesalah akan diwakili untuk bertemu dengan hakim juvena dan merancang aktiviti yang dapat membantu mereka bagi menamatkan hukuman.

Selain dari itu, mereka melakukan kerja pencegahan bagi belia berisiko termasuk salah guna dadah, menyelesaikan perbalahan antara gang, menguruskan usaha pencarian kerja dan program latihan bagi belia yang tidak bersekolah serta menggalakan para pelajar kekal bersekolah dan berusaha membawa para pelajar kembali ke sekolah.

Kebanyakan dari mereka ini ditempatkan di kawasan pinggir bandar Boston yang menjadi sasaran kebanyakan penduduk yang berketurunan Afrika-Amerika.

Sebelum kami meninggalkan bandar Boston untuk menuju ke destinasi bandar kedua kami di sini, sempat juga kami menjamu selera makan malam di sebuah restoran seafood tertua di Boston yang pernah disinggahi oleh bekas Presiden John F. Kennedy!

Bersambung….

Sila nantikan bahagian keempat yang membawa kami ke bandar Houston, Texas!

Lawatan Ke US (Bahagian Kedua)

Sambungan…

Selepas hampir 22 jam penerbangan yang bermula dari Singapura dan transit di Hong Kong dan juga Chicago, akhirnya sampai jua ke destinasi pertama kami di sini iaitu bandar Boston, yang juga merupakan ibu negeri Massachusetts.

Bandar Boston merupakan antara bandar yang tersibuk dan mempunyai kos sara hidup yang antara tertinggi di Amerika. Ia juga dikenali sebagai hab pendidikan tinggi Amerika. Di bandar inilah terletaknya dua pusat pengajian tinggi yang terkenal di dunia iaitu Universiti Harvard dan juga Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Ketika kami berada di sini, dapat dilihat bagaimana penduduk bandar Boston sedang meraikan kemenangan pasukan Baseball mereka iaitu Boston Red Sox dalam acara World Series 2007.

Pada masa yang sama juga, bandar tersebut sedang meraikan Halloween. Kami dapat melihat sendiri gelagat pelik golongan muda-mudi berpakaian aneh seperti bertanduk ala iblis dan sebagainya. Amalan berpakaian aneh ini tidak terhenti pada golongan belia sahaja. Malah juga bagi golongan dewasa seperti pekerja-pekerja di hotel, bank dan juga di lapangan terbang.

Bagi teman-teman saya lain pula seperti rusa masuk kampung gelagat mereka. Setiap pemandangan menarik tidak akan terlepas daripada petikan kamera. Ini termasuklah objek popular bagi rombongan kami iaitu bas sekolah berwarna kuning jingga yang muncung di hadapannya, satu pemandangan yang sebelum ini hanya dilihat di kaca TV pada siri televisen atau film keluaran Hollywood.

Ini tidak termasuk senario pemandangan latar belakang yang dipenuhi dengan guguran daun-daun yang berwarna kuning, merah dan oren. Sungguh cantik dan indah. Maklumlah ketika ini sedang dalam musim gugur atau luruh. Selain dari itu, kami juga terpaksa membiasakan diri dengan budaya tip 10-20% bagi perkhidmatan yang diterima termasuklah ketika menaiki teksi!

Kebanyakan masyarakat Amerika ini tidak mengenali sangat negara kita Singapura, kalau adapun yang kenal, mereka akan merujuk kepada peristiwa di mana seorang remaja Amerika bernama Michael Fay yang dihukum sebat dan beberapa bulan penjara pada tahun 1993 dahulu atas kesalahan menconteng kereta atau vandalisme. Ramai rakyat Amerika Syarikat pada masa itu menentang hukuman merotan oleh pemerintahn Singapura ini atas alasan peri kemanusiaan.

Geli hati saya mendengar komen seorang rakyat Amerika yang kami temui dalam salah satu lawatan, beliau berkata “You can kill him but don’t cane him!”

Bersambung…

Ikuti sambungan dalam bahagian ketiga siri lawatan saya ke US. Di mana saya berkongsi pengalaman kami mengunjungi badan-badan Islam serta bukan Islam di Boston termasuk inisiatif ‘Street Worker’. Ingin tahu lebih lanjut? Sila lawati lagi lelaman ini pada hari Jumaat depan.

Lawatan Ke US (Bahagian Pertama)

Mulai minggu ini ingin saya kongsi pengalaman saya ke US pada Oktober 2007 yang lalu. Saya catitkan pengalaman kami untuk tatapan pembaca Berita Harian, tetapi malangnya ia tidak disiarkan. Hmmph…Melalui blog peribadi saya coretkan di sini. Semoga kita mendapat manfaat darinya.Selamat Membaca!

Pada 28 Oktober hingga 7 November 2007 yang lalu, saya bersama lapan orang teman yang lain dari pelbagai pertubuhan Melayu-Islam seperti MENDAKI, Clubilya, 4PM, Ain Society, Pusat Khidmat Keluarga PPIS-Jurong dan juga AMP telah ke Amerika Syarikat untuk mengikuti satu program lawatan sambil belajar ke beberapa bandar utama di sana iaitu Boston, Houston dan juga Seattle.

Kami telah dipilih untuk mewakili pertubuhan masing-masing ekoran dari penglibatan kami dalam program bersepadu bagi menangani isu bersangkutan belia melalui program NUR yang dibentuk di bawah Rangkaian Pembangunan Belia Forum Pemimpin Masyarakat (CLF).

Program lawatan kami ini dikenali sebagai Program Pelawat Sukarela atau Volunteer Visit (Volvis). Ia adalah sebuah inisiatif kelolaan Jabatan Negara, Pemerintah Amerika Syarikat di bawah program Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa atau International Visitor Leadership Programme (IVLP). Kami difahamkan bahawa rombongan ini adalah antara yang kumpulan terbesar daripada sesebuah negara yang pernah melawat negara tersebut, di bawah inisiatif ini.

Tujuan utama lawatan ini ialah untuk mempelajari contoh khidmat terbaik atau best practices daripada teman-teman sejawat di Amerika Syarikat dalam mengendalikan isu-isu dan program berkaitan dengan belia dan juga keluarga yang menghadapi pelbagai cabaran hidup.

Dalam kegembiraan dengan peluang keemasan begini, timbul pula kesedihan kerana terpaksa meninggalkan keluarga tercinta. Maklum sahaja, pada masa itu saya baru sahaja sempat beraya pada dua minggu pertama. Masih banyak lagi rumah saudara mara yang masih belum dikunjungi. Tapi apakan daya, peluang sebegini hanya datang sekali sekala. Pengalaman yang bakal diperolehi juga pastinya tidak ternilai, apatah lagi kesemua perbelanjaan kami semua ditanggung termasuk penginapan dan pengangkutan dan diberi wang poket pula.

Pada masa yang yang sama, teringat pula tanggungjawab yang perlu kami pikul pabila pulang nanti. Laporan yang perlu disiapkan, perkongsian pengalaman dengan badan-badan Melayu-Islam dan juga agensi kebangsaan bakal menanti kami. Malah, kesemua dari kami mempunyai tugasan masing-masing yang perlu dilakukan semasa program berlangsung dan juga selepas program berakhir. Dan antara tanggungjawab saya selepas tamat program nanti ialah perlu menyiapkan artikel ini.

Aturcara bagi lawatan kami nanti sungguh padat. Bayangkan rutin seharian kami dihabiskan dengan lawatan ke beberapa organisasi yang telah diaturkan bermula dari 9 pagi hingga 4 atau 5 petang. Ini tidak termasuk perbincangan yang perlu dilakukan secara bersama pada setiap malam di bilik hotel bagi merumuskan pelajaran dan iktibar yang telah kami raih sepanjang hari.

Pada keseluruhannya, kami telah sempat melawat sebanyak 18 pertubuhan sepanjang 9 hari kami di sini, termasuklah organisasi Islam, Kristian, pertubuhan belia serta keluarga, baik kepunyaan agensi kebangsaan mahupun persendirian. Ini tidak termasuk masa perjalananan dari satu bandar ke satu bandar yang lain, yang memakan masa 4 hingga 5 jam melalui udara.

Bersambung….

free hit counter