Archive for 'Artikel'

5 Sebab Mengapa Kita Perlu Solat!

dah-solat-ke

Terdapat banyak sekali kelebihan-kelebihan atau keistimewaan yang hanya ada pada solat dan tidak pada ibadah-ibadah lain. Lihat sahaja bagaimana Allah mewajibkan solat pada baginda Rasulullah. Tidak seperti ibadah lain, ia difardukan oleh Allah secara langsung kepada Rasulullah S.A.W di langit iaitu pada peristiwa Isra dan Mi’raj.

Melalui tajuk ini, saya cuba sebutkan 5 sebab utama yang menjelaskan kepentingan solat kepada manusia sehingga kita perlu melakukannya 5 kali sehari semalam dalam apa jua keadaan dan ketika.

Pertama: Solat Peluang Kita Berinteraksi Dengan Allah.

Solat membentuk hubungan antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya melalui kelazatan munajat kepada Pencipta dan melahirkan pengabdian kepada Allah dengan menyerah segala urusan kepada-Nya, memohon kedamaian dan keselamatan daripada-Nya.


Read more

Media Baru: Wadah Untuk Menyebarkan Dakwah Dan Menentang Radikalisme

Berikut saya kongsi bersama kertas kerja saya bertajuk “ Media Baru: Wadah Untuk Menyebarkan Dakwah dan Menentang Radikalisme” yang disampaikan semasa Retreat bagi Religious Rehabilitation Group atau Kumpulan Rehabilitasi Keagamaan (RRG) yang aktif dalam membaik pulih para pengganas Jemaah Islamiah.

Retreat ini berlangsung pada 1-4 Jun 2009 yang lalu bertempat di Orchid Country Club. Kertas kerja ini juga adalah pelengkap bagi ‘presentation’ saya dengan tajuk yang serupa.  

Semoga bermanfaat. 


Read more

10 Tips Rapatkan Hubungan Antara Ibu Bapa Dan Anak Remaja (Bahagian Kedua)

Sambungan.

6. Contoh

Penting bagi kedua ibu bapa memberikan contoh yang terbaik agar ia menjadi ikutan dan panduan buat anak. Perbaikilah diri kita dahulu sebelum anak-anak ditegur dan dinasihati.

Janganlah jadi seperti bak kata pepatah ’Bapak borek anak rintik’ atau seperti ’Ketam yang ingin mengajar anak berjalan lurus’.

Bagaimana dapat kita tegur anak supaya jangan menghisap rokok kerana membazir dan merosakkan kesihatan, atau kita tegur mereka agar jangan bersikap kasar dan menggunakan kata-kata kesat jika kita sendiri melakukan perkara yang sama?  

7. Tren Semasa.

Memandangkan tahap umur yang berbeza antara anak dan ibu bapa, sering ibu bapa kehilangan arah untuk mencari topik perbualan yang boleh diperbualkan dengan anak.


Read more

10 Tips Rapatkan Hubungan Antara Ibu Bapa Dan Anak Remaja (Bahagian Pertama)

Pernahkah kita terfikir mengapa sebahagian anak remaja lebih senang bersama teman dan rakan sebaya mereka daripada bersama keluarga di rumah?

Terdapat banyak kemungkinan yang mengakibatkan situasi ini berlaku. Antaranya anak remaja mendapat sesuatu di luar daripada teman yang tidak mereka dapati di rumah, atau mungkin juga mereka lebih rasa difahami dan dihormati kerana dilayan oleh rakan sebaya sebagai seorang dewasa, tidak dibentak jika mereka melakukan kesilapan, malah mereka bebas menyuarakan ketidakpuasan pada sebarang perkara.

Timbul persoalan di sini, bagaimana dapat para ibu bapa cuba memahami anak-anak remaja mereka? Juga bagaimana para ibu bapa dapat menyesuaikan diri mereka apabila anak-anak semakin meningkat usia remaja?  


Read more

Di Sebalik Kemelut Gaza

gaza

Adalah penting untuk kita mengetahui latar belakang peristiwa di sebalik apa yang berlaku di Gaza dan mengenali pihak-pihak yang terlibat dan yang bersengketa selain mengetahui asal-usul sejarah yang berkaitan dengannya agar ia dapat memberi sedikit maklumat di sebalik tengkarah yang berlaku di Gaza baru-baru ini.

1. Kronologi Peristiwa Gaza

  •        Januari 2006, Hamas berjaya memenangi pilihanraya parlimen Palestine dengan memenangi 76 daripada 132 kerusi, sementara Fatah pula memenangi 43 kerusi.
  •        Jun 2007, para pegawai pemerintah Hamas telah disingkirkan daripada Palestinian National Authority  (PNA) di Tebing Barat dan digantikan dengan pegawai Fatah.
  •        Jun 2007, Presiden negara Palestine iaitu Mahmoud Abbas mengeluarkan dekri mengharamkan Hamas, pemerintah Israel pula mengisytiharkan sekatan ekonomi ke atas Gaza. Hamas kemudiannya memulakan pengeboman tanpa henti ke atas kawasan negara Israel yang bersempadan dengan Gaza berikutan sekatan ekonomi ini. 
  •        Disember 2008, tentera Israel mencerobohi Gaza mengakibatkan 1,100 rakyat Palestine terkorban dengan lebih separuh daripada mereka merupakan orang awam berbanding dengan hanya 13 rakyat Israel sahaja yang terkorban.
  •        Januari 2009, Israel mengisytiharkan gencatan senjata secara sepihak (unilateral ceasefire).  


Read more

Hijrah Menuntut Perubahan Mentaliti Asatizah Setempat (Bahagian Kedua)

Sambungan…

Menganjak Perubahan Sikap Dan Mentaliti Asatizah

Oleh itu penting bagi para asatizah melakukan sesuatu agar mereka terus kekal relevan dan dapat bertindak sebagai agen perubah masyarakat yang seterusnya dapat  mengurangkan jurang pemisah di antara masyarakat dengan para asatizah.

Berikut dicadangkan beberapa perkara:

1. Keluar Dari Zon Selesa (Comfort Zone)

Walaupun diakui terdapat tren yang semakin meningkat di kalangan asatizah yang melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat sarjana dan juga kedoktoran berbanding dengan asatizah daripada generasi terdahulu. Di mana bidang yang dipelajari pula tidak terhad pada bidang tradisional seperti Syariah dan Usuluddin tetapi juga melewati bidang-bidang yang tiada kaitan dengan agama secara khusus seperti Perhubungan Antarabangsa, Kajian Strategik, Pendidikan, Kaunseling dan sebagainya.


Read more

Hijrah Menuntut Perubahan Mentaliti Asatizah Setempat (Bahagian Pertama)

Pengenalan

Rencana ini ditulis bukan sebagai satu generalisasi terhadap keseluruhan asatizah di Singapura secara umum. Perlu ditekankan telah berlaku pelbagai evolusi terhadap asatizah terutamanya generasi masakini, ini termasuklah terdapat lebih ramai asatizah yang telah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi selain penglibatan lebih giat asatizah pada isu-isu kemasyarakatan berbanding dengan apa yang telah dilakukan oleh asatizah daripada generasi yang terdahulu.

Dalam membantu penulisan ini, penulis telah melakukan kaji selidik ringkas dengan mendapatkan maklumbalas masyarakat Melayu-Islam daripada pelbagai latar belakang berbeza termasuk daripada para asatizah sendiri. 

Suka juga dijelaskan, tidak kesemua perkara yang disebutkan dalam rencana ini sesuai untuk diaplikasikan pada setiap asatizah, ianya bergantung kepada tahap seseorang asatizah itu sendiri.

Pada masa yang sama, walaupun rencana ini ditujukan khusus untuk para asatizah dari kacamata dan pengamatan seorang asatizah, namun ia juga boleh dimanfaatkan oleh masyarakat Islam secara umum juga bagi mereka daripada profesi dan kerjaya yang berlainan. Ini kerana penulis yakin isu yang dikemukakan di sini juga dihadapi oleh golongan selain dari asatizah.


Read more

5 Adab Bagi Bakal Mempelai


Hari melangsungkan majlis pernikahan pastinya merupakan saat-saat yang paling indah dan bermakna bagi pasangan suami isteri. Tempias kegembiraan ini turut sama dirasai oleh saya selaku naib Kadi, tidak kiralah majlis pernikahan tersebut melibatkan pasangan mempelai seorang teruna atau dara, duda atau janda mahupun pasangan yang lewat usia. Maklumlah selain pasangan yang ingin bernikah, kehadiran jurunikah juga amat dinanti-nantikan, sebab kalau tiada Kadi macam mana nak bernikahkan?

Bagi pasangan yang bakal berumahtangga pula, semestinya hari yang bersejarah ini dinantikan dengan penuh debaran. Segala perancangan pada hari nikah pastinya disusun dengan rapi seumpana yang kita tonton dalam siri drama Dol & Minah betul tak?


Read more

CPR – Cakap Pasal Remaja


Malam semalam saya hadiri CPR di Masjid Sultan. Bukan CPR pernafasan mulut ke mulut tu tau! Para remaja perlu tahu CPR ni kalau tak termasuk di kalangan orang yang rugilah dia. CPR yang saya maksudkan di sini ialah Cakap Pasal Remaja. Satu program interaktif yang disusun khas untu remaja hasil inisiatif para pegawai pembangunan belia (YDO) masjid-masjid di Singapura. Program ini biasanya disertai dengan sketsa, persembahan muzik (live!) dan juga sesi talk show mengikut tema2 yang telah disusun lebih awal.

Tapi bagi sesi semalam terdapat kejutan besar pada format CPR yang diadakan sempena dengan RYC (Ramadan Youth Challenge) dan dianjurkan serentak dengan Night of Power (aktiviti Qiyam). Maknanya lepas CPR belia2 ni akan qiyam semalaman di Masjid Sultan. Hebat kan? Memang hebat, acara semalam penuh auditorium. Saya rasa ada dlm 500 belia hadir.


Kejutan yang saya maksudkan ialah sesi semalam melibatkan pementasan lakonan pentas atau teater bertemakan Quran Petunjuk Buat Manusia (juga tema bagi RYC tahun ini) hampir sejam setengah ini melibatkan pelakon rata-rata daripada para asatizah muda! Ia disertai dengan alunan muzik live dan nyanyian latar oleh Ustaz Sofyan (Imam Eksekutif Masjid Mydin). Power kan? Memang power gilerr!!! Teringat pulak saya macam film There’s Something About Mary.

Story board dia memang menarik, penuh dengan pendekatan baru dan kreatif. Saya tak tahulah sape punya idea. CPR ni dimulakan dengan MC pada malam tu yang juga merangkap storyteller atau Tok Selampit iaitu Ustaz Effendi from Masjid An-Nahdhah. Wow, he’s so talented man..cant believe it..really. Effendi memainkan peranan beliau dengan cukup baik sebagai host dan pada masa yang sama sebagai pencerita. Dengan membahasakan dirinya sebagai AKU, beliau menjadi pencerita antara babak2. Secara tak langsung beliau sebenarnya berlakon juga..cara beliau berintraksi dengan penonton. Superb! Intonasi suara beliau kadangkala lembut, kadangkala pula keras sehingga penonton tersentak!Terkujat pun boleh..

Adegan dimulakan dengan babak 4 sekawan, Dini (Ustaz Aminuddin-ex pegawai Masjid Al-Iman) Mimi (Ustaz Fairuz, YDO Masjid Al-Ansar), Jeff (Ustaz Ahmad Khushairi, YDO Darul Ghufran) dan Ilhan (Ustaz Syakir, Imam Eksekutif Masjid Al-Iman) berkain pelekat merancang untuk ponteng belajar mengaji, mereka kemudian lepak sambil berkongsi cita-cita mereka apabila sudah besar nanti. (cita2 mereka menjadi kisah utama sketsa ni). Mereka kemudian sepakat untuk bersama-sama seperti adik-beradik walau apa jua keadaan.

Move fwd, kesemua mereka membesar dengan nasib yang berbeza (diceritakan dlm bentuk flashback), Jeff (cita2 masa kecil dulu nak jadi model, konon dlm cerita ni dia paling hensem lah) akhirnya menjadi playboy rosakkan anak gadis orang, Mimi (cita2 dulu nak jadi ketua dalam apa sahaja perkara) akhir jadi ketua samseng bergelar Mimi parang- yang akhirnya dipermainkan oleh teman2 sendiri. Dini (cita2 dulu nak jadi Ustaz) bila besar pulak jadi anak derhaka, akibat terpengaruh dengan teman2 hingga jadi penagih. Tinggallah Ilhan (cita2 nak bantu orang yg susah) yang sentiasa muncul dlm flashback teman2 nya untuk membantu rakan2 yg tersesat jalan.

Cerita disudahi dengan penuh tragis, di mana akhirnya Ilhan meninggal dunia krn mengidap penyakit serius, tetapi sebelum beliau meninggal sempat utuskan satu warkah buat teman2 nya (yang dianggap adik beradik) supaya bertaubat dan insaf.

Komen saya, sketsa yang dilakokan sungguh cemerlang, penghayatan watak baik dari pelakon utama hingga ke watak kecil (cameo role) sungguh hidup dan berikan kesan yang mendalam kepada para penonton yang kebanyakannya terdiri daripada para belia dan remaja. Penonton di sebelah saya sendiri mengesat air mata..

Saya rasa tema yang ingin ditonjolkan berjaya disampaikan dengan baik, dimana di setiap adegan atau babak keinsafan disudahi dengan skrin yang mengandungi terjemahan ayat Quran dan diselangi dengan nyanyian lagu2 dakwah seperti ‘anak derhaka, pintu taubat masih terbuka…’ oh sungguh menyentuh kalbu rasanya.

Konsep tempat duduk juga tiada percampuran antara lelaki dan perempuan, terdapat watak lakonan pelakon muslimah, seorang sebagai ibu (ibu kepada Dini) seorang lagi pula berlakon sebagai Farah (Norizan) temanita Jeff (Norizan ialah isteri Ustaz Ahmad Khushairi sendiri) wah2 sungguh romantik dan manja sebagai kekasih.. : ) Sporting betul lah..

Story yang disampaikan juga tidak stereotype, budak madrasah tak semestinya baik dan boleh tersesat jika tidak berhati2, begitu juga dengan kerja dakwah bukan hanya satu tugas eksklusif untuk asatizah shj. Ia tanggungjawab semua individu Muslim.

Siapa kata drama remaja tidak boleh diselitkan dengan unsur dakwah serta tidak bercampur unsur2 syubhah ataupun haram? Melihat dari segi impak nya kepada penonton, malah di babak akhir sungguh klimaks dengan ketiga2 watak utama menangis teresak2 dengan pada masa yang sama kami semua mendengarkan isi kandungan warkah yang dibaca oleh Ilhan (Ustaz Syakir) dengan bait yang tersusun rapi, intonasi suara yang terkawal. Sungguh menyayat hati..5 ***** dari saya.

Pengalaman Kaunseling Para Tahanan JI

Alhamdulillah, baru-baru ini saya dikhabarkan oleh salah seorang pegawai MHA, bahawa salah seorang tahanan JI yang saya berikan kaunseling telah dibebaskan. Ini merupakan satu praktis daripada mereka untuk memberitahu kami, kaunselor bagi para tahanan yang dibebaskan sebelum diumumkan di media. 

Gembira saya kerana ini merupakan tahanan yang ketiga dibebaskan, tinggal lagi satu lagi tahanan di bawah kendalian saya…baru beberapa sesi saya dengannya…I.Allah, jika dia menunjukkan respon yang baik, tidak mustahil beliau juga punya harapan yang cerah, segalanya sebenarnya bergantung kepada individu tersebut. 

Apa yang dimaklumkan sistem kaunseling agama untuk para tahanan JI ini merupakan yang pertama dilakukan di dunia, banyak negara luar yang menghadapi ancaman pengganasan seperti Amerika, Malaysia, Thailand, Indonesia dan lain2 negara mempelajari dari pengalaman Singapura dalam hal ini. 

Bagi posting kali ini, saya kongsi bersama artikel saya yang diterbitkan dalam buku ulangtahun ke 5, Kumpulan Rehabilitasi Keagamaan yang baru-baru ini dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng pada majlis Iftar di Masjid Khadijah baru-baru ini. 

PENGALAMAN KAUNSELING PARA TAHANAN JI

Apabila diminta untuk menyumbangkan sebuah artikel bagi coffee book table RRG, perkara pertama yang saya terlintas di fikiran ialah untuk berkongsi pengalaman saya dalam memberikan kaunseling kepada para tahanan JI.

Masih terbayang di benak fikiran saya apabila kali pertama berita penangkapan beberapa anggota JI disebarkan melalui media massa pada tahun 2001. Ia ibarat tsunami yang melanda umat Islam di Singapura. Secara tiba-tiba segala amalan masyarakat Islam Singapura menjadi perhatian.

Pada masa yang sama terdengar juga suara-suara tidak percaya di kalangan masyarakat Islam di sini, benarkah peristiwa ini berlaku di negara tercinta kita Singapura? Apakah peristiwa perancangan pengeboman MRT Yishun benar-benar terjadi? Begitu juga dengan rakaman video lokasi strategik bagi tujuan yang sama di beberapa kedutaan asing dan saluran paip air Johor ke Singapura.

Terdetik pula rasa hati ini ingin tahu, bagaimanakah reaksi para pemimpin Islam dan juga guru agama serta ulama akan hal ini? Alhamdulillah, penantian saya tidak lama kerana beberapa bulan kemudian beberapa asatizah telah ke hadapan secara sukarela dan Kumpulan Rehabilitasi Agama atau RRG terbentuk. Bahkan saya juga dijemput untuk sama-sama melibatkan diri secara sukarela, pelawaan ini tidak memerlukan saya berfikir panjang untuk menerimanya.

Apa yang membuatkan saya tidak berfikir dua kali bagi menerima undangan ini ialah kerana perasaan ingin tahu yang menebal, selain merasakan pengalaman sebegini adalah satu perkara yang sukar untuk dilepaskan. Ianya pasti tidak sama dengan pengalaman kaunseling saya sebelum ini dengan para belia, orang dewasa atau dengan pasangan yang telah berumahtangga. Namun pada masa yang sama juga saya berdebar-debar, apakah saya mampu menangani klien yang pastinya berbeza daripada pengalaman saya yang terdahulu.

Sebagai permulaan, kami perlu mengikuti beberapa kursus oleh para psikologi Kementerian Dalam Negeri dan diberikan manual yang telah disiapkan oleh pihak Sekretariat RRG bagi membantu menangani ideologi para tahanan.

Ketika rencana ini ditulis, saya sudahpun terlibat dalam memberikan kaunseling kepada 3 tahanan (Detention Order) dengan setiap seorang di antara 6 hingga 12 sesi. Ini tidak termasuk kaunseling kepada beberapa individu yang mendapat perintah larangan (Restriction Order).

Pengalaman Pertama

Setelah menjalani beberapa siri latihan, maka tibalah giliran saya bagi sesi pertama, untuk sesi ini saya berpasangan dengan Ustaz Hasan Mustakim (Allahyarham). Gementar juga hati ini, masih segar di ingatan saya, pada hari tersebut klien kami pada masa itu membawa tafsiran kitab suci al-Quran. Wah, bukan calang-calang nampaknya.

Melalui pemerhatian saya, saya mendapati beliau mendapat layanan baik, ini jelas daripada wajah ceria klien, pakaian baju kurung lengkap dengan kopiah di kepala, bahkan dalam sesi kaunseling kami ini, terdapat kueh mueh dengan air minuman kopi dan teh untuk kami bertiga.

Bagi sesi pertama ini, lebih kepada sesi kenal-mengenal atau building rapport, kami berpeluang mengenal dengan lebih mendalam klien kami selain mengetahui dengan lebih jelas bagaimana beliau mula terjebak.

Alhamdulillah dengan kemahiran dan pengalaman kaunseling yang pernah dipelajari, kami  berjaya jalinkan hubungan kepercayaan dengan klien kami. Ini sangat penting agar segala tunjuk ajar kami dapat dipastikan dan diterima dengan baik.

Selepas mendengar sendiri dari mereka, semakin tidak syak lagi ianya memang benar-benar berlaku. Beberapa individu yang disebutkan oleh klien kami ini memang saya pernah terbaca di dada-dada akhbar dan ada antaranya memang antara individu yang paling dikehendaki oleh pihak antarabangsa pada masa itu. 

Ketika kali kedua berjumpa pula, saya keseorangan. Ini kerana pasangan saya Ustaz Hasan tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Kali ini beliau membawa cebisan kertas penuh dengan soalan-soalan. Alhamdulillah,  dapat saya menjawab segala salah faham beliau seperti  pengertian dan konsep jihad yang sebenarnya dan lain-lain isu yang bersangkutan bersesuaian dengan konteks kehidupan masyarakat Islam di sini. 

Ini termasuklah keperluan untuk kita berinteraksi dengan sesama rakyat Singapura yang lain termasuk bukan Muslim, selain dari keperluan memberikan prioriti dan keutamaan jihad terhadap pendidikan, memandangkan masyarakat Islam Singapura masih lagi  ketinggalan dan terkebelakang berbanding dengan bangsa dan agama lain dalam bidang pelajaran.

Tekanan Perasaan

Selain daripada menangkis ideologi salah para tahanan, sesi kaunseling kami juga bertujuan untuk memberikan sokongan emosi bagi para tahanan selain mempersiapkan diri mereka dengan cabaran di luar selepas bebas nanti.

Tekanan emosi ini antaranya disebabkan kerana para tahanan tidak dapat membantu dalam mencari nafkah untuk perbelanjaan keluarga dan urusan penjagaan anak yang dipikul sepenuhnya oleh isteri.

Biasanya saya akan membantu mereka dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan seperti cabaran anak-anak yang semakin meningkat dewasa. Ini dilakukan dengan perbincangan secara bersama tentang strategi yang boleh dilakukan termasuk bagaimana cara terbaik dalam melakukan teguran agar nasihat yang diberikan dapat diterima dengan baik oleh anak-anak.

Dari semasa ke semasa kami juga perlu memberikan mereka semangat dan dorongan agar terus cekal dan mempunyai daya tahan dalam mengharungi kehidupan di dalam tahanan selain terus melakukan perubahan positif dalam diri sehingga mereka dapat dibebaskan.

Kesemuanya ini biasanya diadakan pada fasa kedua selama enam sesi.

Peluang Meningkatkan Kerohanian

Semasa sesi kaunseling dengan sesetengah para tahanan, kadang kala membuatkan saya teruja apabila melihatkan kesungguhan sebahagian dari mereka yang mengambil peluang mendekatkan diri kepada Tuhan dengan melakukan ibadah seperti membaca dan menghafal ayat-ayat suci al-Quran.  

Salah satu klien yang saya temui, hanya berehat beberapa jam sahaja dan selebihnya digunakan bagi membaca atau menghafal Quran dan melakukan solat-solat sunnah pada sebelah siang mahupun malam. Malah ada di antara mereka yang sudah menghafal beberapa juz Al-Quran.

Peranan saya di sini ialah terus memberikan mereka kata-kata perangsang dan semangat serta dorongan agar mereka terus dapat melakukan amalan yang terpuji ini.

Langkah Seterusnya

Boleh dirumuskan daripada pemerhatian saya, kebanyakan daripada para tahanan tidak mempunyai asas agama yang kuat dan kefahaman yang betul tentang isu-isu yang bersangkuran seperti jihad dan sebagainya sehingga mudah dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu yang menggunakan ayat-ayat suci al-Quran mengikut penafsiran yang bersesuaian dengan kehendak mereka. Ini lebih diburukkan apabila individu-individu yang didakwa sebagai guru agama ini mempunyai karisma yang tinggi.

Kaedah penyampaian mereka juga jelas mencurigakan kerana ia diajar secara tertutup di rumah para ahli yang tertentu, nota-nota ajaran ini pula disebarkan secara rahsia dan tidak boleh diedarkan kepada orang lain.

Oleh itu langkah Muis mengadakan skim pengiktirafan Asatizah atau ARS adalah tepat pada masanya dan merupakan satu tindakan yang patut dipuji serta merupakan satu langkah ke hadapan. Selain dari itu, pihak RRG juga perlu meneruskan usaha-usaha memberikan kaunseling selain bergerak dengan lebih pro aktif dalam melakukan outreach ke sekolah-sekolah nasional mahupun Madrasah atau juga ke pusat-pusat pengajian tinggi.

Bagi diri saya pula, pengalaman melibatkan diri dalam memberi kaunseling kepada para tahanan merupakan pengalaman sekali seumur hidup, saya menganggap ia sebagai peluang untuk berbakti kepada negara dan juga agama di samping berusaha mengembalikan para tahanan kepada masyarakat.

Tiada yang lebih dapat memberi kepuasan dan bererti pada diri selain daripada melihat para tahanan dibebaskan dan kembali menjalani hidup dengan masyarakat lain seperti biasa. 

free hit counter