Pada hari Sabtu malam yang lepas, saya dijemput untuk mengimamkan solat terawih beserta ceramah ringkas bersangkutan ‘Puasa dan Solat: Permulaan Perjalanan Mukmin Ke Arah Kejayaan’.

Tajuk ini sebenarnya umum dan luas pembahasannya. Pening juga, untuk saya memulakan proses mencari idea bagi pengisian ceramah. Tapi alhamdulillah berjaya juga. Saya membuat keputusan untuk mengupas tajuk solat dengan lebih terperinci dengan sedikit perbandingan dengan ibadah puasa. Seperti biasa, sebagai manfaat bersama, saya kongsikan isi kandungan ceramah saya pada malam tersebut.

Sebagai permulaan ceramah, saya memulakan dengan dua hadith berkaitan kelebihan dan kebesaran ganjaran puasa dan solat iaitu:

-  “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan kepada Allah, maka sesungguhnya telah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”  Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

“Solat lima waktu (sehari semalam) dan jumaat hingga jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” Hadith riwayat Imam Muslim

Persamaan Antara Ibadah Solat dan Puasa

Soalan saya di sini, apa kesamaan kedua-dua ibadah ini?

Sebenarnya terdapat 3 persamaan pada ciri-ciri utama pada kedua-dua ibadah ini iaitu:

1. Ganjaran yang besar.

2. Membersihkan segala dosa-dosa kecil.

3. Wajib.

Double Standard Pada Solat

Namun, jika kita lihat sekeliling berlaku beberapa senario, iaitu terdapat masyarakat Islam yang:

- Tak solat dan tak puasa

- Puasa tetapi tidak solat

- Solat dan puasa

- Solat tetapi tidak puasa?

Betul kan? Kalau kita perhatikan betul-betul, ramai masyarakat kita kalau bulan Ramadan rata-ratanya puasa. Tetapi belum tentu solat! Kalau yang solat, biasanya juga mesti akan puasa sekali. Ada tak kita pernah nampak orang yang solat tetapi tidak puasa? Takde kan? Kalau ada pun mungkin orang yang sakit atau dia musafir, sebab terdapat keringanan pada kedua-dua keadaan tadi.

Saya beranggapan (mungkin salah hipotesis saya ni) ianya terjadi berkemungkinan kerana mungkin cara pembudayaan dalam diri kita dan keluarga…Mengapa saya beranggapan demikian? Kita lihat sahaja amalan masyarakat kita, kalau bulan Ramadan, biasa ibu bapa akan pesan anak-anak, ‘Kalau tak puasa, tak boleh raya!’ Ada tak sebaliknya, seperti…’Kalau tak solat, tak boleh raya?’

Hmmph…saya tak rasa ramai yang buat macam tu. Mengapa tidak ya? Sedangkan solat merupakan amalan pertama yang dihisab! Lihat sahaja peringatan Nabi kita: “Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya. Jika solatnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika solatnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia” Hadith riwayat Imam Tirmidzi.

Solat Perlu Dilakukan Pada Setiap Keadaan

Maka tidak hairanlah Solat tetap perlu dilakukan dalam setiap waktu dan keadaan, tidak seperti puasa yang punya keringanan. Solat macam mana keadaan kita pun, ia tetap diwajibkan solat kecuali wanita yang haid dan nifas lah. Bukan kata ketika sakit, malah ketika dalam peperangan pun kita masih diwajibkan solat.

Maka dalam kita berpuasa, usah pula dilupa ibadah solat…Dengan itu, solat perlu dijaga pada setiap masa dan ketika. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Hendaklah kamu memelihara solat-solat dan solat wusta (pertengahan), dan berdirilah kerana Allah dengan penuh khushu’. Tapi jika kamu takut, maka (kerjakanlah) dengan berjalan, atau dengan berkenderaan.” Surah al-Baqarah (2): 238-239

Contoh, waktu kerja, kursus, sekolah dan sebagainya. Tapi jangan pulak sampai mengganggu orang lain! Saya pernah terbaca di satu posting di FB, gambar seorang Muslim yang solat di depan pintu masuk MRT (Underground Station), semasa tu train nya belum sampai. Ramai betul yang ‘Like’ dan memuji2 kelakuannya yang solat walau di mana sahaja kita berada. Cuma saya kurang setuju sikit. Bagi saya betul, perlu solat walau di mana sahaja, tapi kan dah sampai mengganggu orang tu! Kalau keretapi sampai macam mana? Kan ada banyak alternatif, beliau boleh solat di tempat yang tersembunyi sikit d setesen tersebut, saya tidak rasa ia sesuatu yang sukar dilakulan. Begitu juga di hospital dan di mana-mana, cubalah cari tempat yang sesuai dan solatlah di situ.

Pada masa yang sama, usah terlalu mudah qadha’, memang setiap solat yang kita tinggalkan wajib kita qadha, tetapi perbuatan meninggalkan solat itu sendiri merupakan perbuatan yang dilarang, dan kita tetap berdosa meninggalkan solat walaupun kita qadha kemudiannya.

Pembudayaan Solat Sangat Penting

Pembudayaan puasa dan solat pada keluarga, dan juga diri sendiri merupakan satu perkara yang sangat penting. Sudah sampai masanya kita melakukan perubahan mentaliti kita terhadap solat. Mengutamakan solat dalam setiap perkara yang kita lakukan. Begitu juga dalam mendidik anak-anak untuk bersolat. Ia seharusnya bermula dari usia yang kecil lagi. Saya tidak ingin menyentuh perkara ini, kerana ia pernah saya bincangkan dengan panjang lebar pada posting saya yang lalu tentang perkara ini. Sila lihat posting saya bertajuk: ‘Anak Ibarat Kain Putih’ 

Solat Peluang Kita Berinteraksi Dengan Allah 

Solat merupakan peluang untuk kita membentuk hubungan antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya, iaitu melalui kelazatan munajat kepada Pencipta memohon kedamaian dan keselamatan daripada-Nya. Lihat sahaja bentuk amalan solat yang diajarkan oleh Rasulullah, bermula dengan qiyam (berdiri), ruku’, i’tidal dan sujud. Kesemuanya dilakukan dengan tujuan untuk membesarkan Allah, Tuhan yang Maha Kuasa lagi Agung.

Kenapa tidak? Tidakkah kita sebagai seorang hamba perlu sentiasa menunjukkan kesyukuran kita atas segala nikmat Allah? Tidakkah, jawapan yang sama juga diberi oleh Nabi Muhammad s.a.w. di ketika ditanya oleh Aishah r.a. mengapa Baginda solat sehingga pecah-pecah kakinya!

Ya, memang benar. Memang wajar sangat kita bersyukur pada-Nya. Lihat sahaja nikmat yabng Allah kurniakan dari segi kesihatan tubuh badan, kurniaan suami atau isteri yang soleh/solehah, zuriat yang Allah perkenankan, begitu juga dengan keluarga yang harmoni mahupun kurniaan akal dan kebijaksanaan yang ada kita.

Baginda Rasulullah s.a.w. bukan sahaja mengajarkan cara melakukan solat tetapi juga mengajarkan kepada kita dengan pelbagai pujian serta doa, yang boleh diamalkan sepanjang kita melakukan dengan ibadah solat iaitu bermula dengan qiyam atau berdiri sehinggalah sebelum kita melafazkan ucapan salam.

Kita lihat sahaja betapa besar akan ganjaran yang diperolehi dari hasil doa iftitah yang kita baca pada setiap solat kita ini. Diriwayatkan bahawa dari Ibnu ‘Umar R.A dia berkata: “Ketika kami menunaikan ibadah solat bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W, tiba-tiba ada seorang lelaki di antara kaum membaca: [Ertinya] ‘Allah Maha Besar dengan ungkapan takbir yang agung. Segala puji bagi Allah dengan pujian yang melimpah. Maka Suci Allah pada pagi dan petang’. Maka Rasulullah S.A.W bersabda: ‘Siapa yang mengucapkan kalimat ini dan itu?”  Seorang laki-laki di antara kaum menjawab, “Saya wahai Rasulullah.’  Rasulullah bersabda, ‘Aku terkejut dengan [keutamaan] kalimat tersebut. Pintu-pintu langit telah dibuka kerananya.’  Ibnu ‘Umar berkata, ‘Maka aku tidak pernah meninggalkan bacaan kalimat itu semenjak aku mendengar Rasulullah bersabda seperti itu.’ ”

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan dari Anas R.A, “Sesungguhnya ada seorang lelaki datang.  Lantas dia masuk di barisan saf solat. Nafasnya [terdengar] termengah-mengah. Lantas dia mengucapkan [zikir]: ‘Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, baik serta diberkahi’.  Ketika Rasulullah selesai menunaikan solatnya, beliau bersabda, ‘Siapa di antara kalian yang membaca lafaz tadi’?  Sesungguhnya tidak mengapa dia mengucapkan doa seperti itu.  Orang-orang pun terdiam. Maka ada seorang lelaki berkata, ‘Aku tadi telah datang dengan nafas termengah-mengah dan setelah itu mengucapkan lafaz tersebut.’  Rasulullah bersabda: ‘Sesungguhnya aku melihat ada dua belas malaikat yang berlumba-lumba [untuk mendapatkan] lafaz tersebut.  Mereka berlumba untuk mencatatnya [sebagai amal soleh].’ ”

Malah sehingga ke akhir solat kita pun masih diajar untuk kita memohon perlindungan dari Allah, iaitu doa yang dibaca selepas tahiyyat sebekum kita lafazkan salam. Diriwayatkan dari ‘Aishah R.A isteri Nabi S.A.W mengkhabarkan: “Sesungguhnya Nabi S.A.W memanjatkan doa ketika solat [sebagai berikut]: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu dari azab kubur. Aku memohon perlindungan kepada-Mu dari fitnah al-Masih Dajjal. Aku memohon perlindungan kepada-Mu dari fitnah kehidupan dan kematian.  Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu dari dosa dan hutang.’

Inilah yang saya maksudkan sebagai satu peluang untuk kita berinteraksi dengan Allah secara langsung, menyembah kepada-Nya, memuji dan membesarkan Allah. Ianya tidak akan berakhir sehinggalah kita mengucapkan salam pada-Nya. Maka tidakkah rugi bagi kita jika kita tidak mengambil peluang semasa kita mengadap Allah ini dengan memperbanyakkan doa baik berupa permintaan, permohonan bagi menjauhkan dari segala bahaya godaan syaitan dan tidak lupa juga iaitu pengampunan kita kepada Allah.

Semoga Allah menerima segala amalan kita di sepanjang Ramadan ini. Amin.

Nota: Versi ini terdapat penambahan dari ceramah asal.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor and finally a true Kopite!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s