tumblr_loi8dle1Jr1qd60lu

Sidang Pendengar yang budiman,

Setelah beberapa minggu kita berpuasa, kini kita sudahpun berada pada 20 Ramadan, dan menghampiri 10 malam terakhir pada bulan Ramadan.  Dan sewajarnyalah, pada malam-malam terakhir ini kita perlu lebih giat lagi beribadah, bagi mengejar ganjaran-ganjaran yang dijanjikan Allah buat hamba-hamba-Nya yang gigih mengabdikan diri pada-Nya.

Jika pada 2-3 hari yang lepas, pada rancangan hikmah Ramadan ini…banyak diperkatakan tentang peristiwa Nuzul AL-Quran serta hikmah di sebalik penurunan Al-Quran, maka pada hari ini pula, saya ingin menyentuh tentang keperluan bagi kita untuk sentiasa mendekatkan diri pada kitab agung, yang diturunkan Allah..yang tidak lain tujuannya adalah sebagai pembawa hidayah kepada sekalian manusia.

Sidang pendengar sekalian,

Apabila kita merenung dan menghayati penjelasan tentang Al-Quran melalui firman-firman Allah pada-Nya…kita akan mendapati Al-Quran yang penuh dengan nasihat dan pengajaran ini digambarkan dan disifatkan bukan sahaja sebagai pembawa petunjuk serta rahmat dari Allah, bahkan ia juga dianggap sebagai penawar, pemberi cahaya di kala kita dalam kegelapan, membantu memberi gambaran kepada manusia yang mana satukah yang hak serta yang batil, serta sebagai pembawa peringatan kepada kita semua, hamba-Nya yang sentiasa mudah leka dan lalai dalam kehidupan. Perhatikanlah firman Allah dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud:

”Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran Yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan Yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin Yang ada di Dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang Yang beriman.”

Maka setelah kita jelas dengan kebesaran Al-Quran sebagai panduan buat kita, mengapa tidak kita kembali kepada Al-Quran?  Tidakkah seharusnya Al-Quran perlu dijadikan sebagai teman harian kita walau di mana sahaja kita berada, dalam apa jua keadaan dan masanya?

Jika Al-Quran diandaikan sebagai teman seharian kita, pastinya kita akan kembali mengadu kepada-Nya apabila hati kita dirundung malang dan dalam kesedihan. Kita akan kembali padanya apabila kita memerlukan teman bagi kita berkongsi segala luahan dan perasaan, bagi kita mengubat duka dan kekecewaan hati dan sanubari kita, agar kita beroleh ketenangan serta ketenteraman di jiwa kita. Bahkan, jika Al-Quran diibaratkan sebagai teman kita, pastinya kita juga akan mendapatkan Al-Quran bagi mengingatkan kita dari semasa ke semasa contoh-contoh terbaik bagi kita senantiasa memperbaiki akhlak dan keperibadian kita.

Maka tidak hairanlah, contoh terbaik dan inspirasi kita dalam mencapai kesempurnaan akhlak ialah Baginda Rasulullah s.a.w., iaitu manusia yang paling tinggi akhlak dan budi pekertinya, sehingga digambarkan oleh isterinya Sayyidatina ‘Aisyah r.a. bahawa Akhlak Rasulullah itu adalah Al-Quran.

Maksudnya, Rasulullah s.a.w. memiliki akhlak yang mulia, ini tidak lain adalah kerana Baginda mengamalkan segala sifat-sifat kemuliaan yang diperintahkan di dalam Al-Qur’an dan Baginda s.a.w. telah meninggalkan segala sifat-sifat kecelaan yang juga telah dilarang di dalam Al-Qur’an. Maka jelas bahawa Baginda merupakan contoh teladan terbaik bagi kita, kerana  mengamalkan segala akhlak mulia yang dikehendaki di dalam Al-Qur’an.

Maka sebagai umat yang mengaku sebagai cintakan Allah, kasihkan Baginda s.a.w., mengapa tidak kita kembali kepada Al-Quran?

Sidang pendengar yang dikasihi,

Sebagai membuktikan rasa kasih dan cinta kita pada junjungan Nabi, marilah kita teruskan membaca, memahami serta menghayati segala isi kandungan Al-Quran dengan sebenar-benarnya. Agar semoga dengan ini, segala pengajaran Al-Quran akan menjadi sebati pada diri dan terpacak kukuh dalam jiwa kita…dan ini pastinya hanya mampu menjadi realiti jika kita menjadikan Al-Quran sebagai teman setia dalam segenap kehidupan kita.

Sekian. Selamat Berbuka…

P/s Transkrip dari rakaman program ceramah ‘Hikmah Ramadan’ Stesen Warna 94.2 yang disiarkan pada setiap hari sebelum waktu iftar.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor and finally a true Kopite!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s