dah-solat-ke

Terdapat banyak sekali kelebihan-kelebihan atau keistimewaan yang hanya ada pada solat dan tidak pada ibadah-ibadah lain. Lihat sahaja bagaimana Allah mewajibkan solat pada baginda Rasulullah. Tidak seperti ibadah lain, ia difardukan oleh Allah secara langsung kepada Rasulullah S.A.W di langit iaitu pada peristiwa Isra dan Mi’raj.

Melalui tajuk ini, saya cuba sebutkan 5 sebab utama yang menjelaskan kepentingan solat kepada manusia sehingga kita perlu melakukannya 5 kali sehari semalam dalam apa jua keadaan dan ketika.

Pertama: Solat Peluang Kita Berinteraksi Dengan Allah.

Solat membentuk hubungan antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya melalui kelazatan munajat kepada Pencipta dan melahirkan pengabdian kepada Allah dengan menyerah segala urusan kepada-Nya, memohon kedamaian dan keselamatan daripada-Nya.

Lihat sahaja bentuk amalan solat yang diajarkan oleh Rasulullah, bermula dengan qiyam (berdiri), ruku’, i’tidal dan sujud. Kesemuanya dilakukan dengan tujuan untuk membesarkan Allah, Tuhan yang Maha Kuasa lagi Agung.  Kenapa tidak? Dengan limpah kurniaan dan nikmat yang dianugerahkan kepada kita baik dari segi kesihatan tubuh badan, zuriat, suami-isteri, ibu bapa serta keluarga. Tidakkan itu satu nikmat yang tidak terhingga?

Baginda Rasulullah s.a.w. bukan sahaja mengajarkan cara melakukan solat tetapi juga mengajarkan kepada kita dengan pelbagai pujian serta doa yang boleh diamalkan sepanjang kita melakukan dengan ibadah solat iaitu bermula dengan qiyam atau berdiri sehinggalah sebelum kita melafazkan ucapan salam.

Inilah yang saya maksudkan sebagai satu peluang untuk kita berinteraksi dengan Allah secara langsung, menyembah kepada-Nya, memuji dan membesarkan Allah. Ianya tidak akan berakhir sehinggalah kita mengucapkan salam pada-Nya.

Maka tidakkah rugi bagi kita jika kita tidak mengambil peluang semasa kita mengadap Allah ini dengan memperbanyakkan doa baik berupa permintaan, permohonan bagi menjauhkan dari segala bahaya godaan syaitan dan tidak lupa juga iaitu pengampunan kita kepada Allah.

Kedua: Peluang Menggandakan Pahala Dan Penghapusan Dosa

Solat bukan sahaja menjadi penyumbang kepada ganjaran yang berlipat ganda, malah  ia juga dapat menghapuskan dosa-dosa yang yang lalu.

Inilah kelebihan kita sebagai umat Nabi Muhammad s.aw yang tidak terdapat pada umat-umat yang sebelumnya, sehinggakan baginda Rasulullah pernah menyatakan agama Islam itu mudah. Mengapa tidak?  Umat terdahulu seperti pada zaman Nabi Musa begitu banyak sekali pantang larangnya. Hendak makan daging lembu sebagai contoh, tidak kesemuanya boleh dimakan begitu sahaja, ada bahagian-bahagian yang ditegah daripada menjamunya. Kita umat Nabi Muhammad? Selagi mana ianya disembelih dengan menyebut nama Allah, maka daging lembu tersebut adalah halal dimakan.

Bangsa Yahudi pada zaman Nabi Musa juga disyariatkan untuk beribadah pada hari Sabtu dan tidak dibenarkan melakukan perkara lain. Sehinggakan mereka melakukan tipu daya bagi mengelakkan larangan ini. Umat nabi Muhammad? Kita bebas melakukan apa sahaja kerja yang halal pada bila-bila masapun, asal sahaja kita tidak meninggalkan perintah Allah untuk mendirikan solat Fardu lima waktu sehari semalam.

Bagaimana pula dengan hal pengampunan kepada Allah bagi dosa-dosa kita? Cukup dengan bertaubat dengan sebenar-benarnya pada Allah, berazam untuk tidak mengulanginya lagi dan benar-benar menyesal di atas segala kesilapan pada masa lalu di samping melakukan perintah yang diwajibkan Allah seperti solat Fardu dan lain-lain ibadah bagi menampung dosa-dosa kita yang lalu, maka Insha Allah dosa-dosa kita yang lampau akan diampunkan Allah.

Ini jelas di mana Nabi Muhammad pernah menyatakan bagi sesiapa yang melakukan solat Fardu dari satu Jumaat ke satu Jumaat yang lain, maka dosanya di antara kedua Jumaat tersebut akan diampunkan oleh Allah, begitu juga dengan sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya pada masa lalu.

Bagaimana pula dengan umat pada masa yang lalu? Bangsa Yahudi akibat kesilapan mereka menduakan Allah dengan menyembah sapi, mereka diperintahkan Allah untuk berbunuh-bunuhan sesama sendiri bagi membolehkan taubat kita diterima Allah. Tidakkah kita merasa bersyukur sekarang menjadi umat nabi Muhammad?

Bercakap tentang solat pula banyak sekali kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan Allah seperti dari segi penghapusan dosa.

Firman Allah :

Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. Surah Hud ( 11 ) : 114

Ini diperkuatkan lagi dengan sabda Rasulullah :

Ertinya :

Malah Rasulullah pernah mengumpamakan orang yang mendirikan solat Fardu lima waktu kepada para sahabat seperti seorang yang mandi lima kali sehari yakni Allah membersihkan sesiapa yang mengerjakan solat dengan penghapusan dosa-dosa.

Di samping itu dengan solat juga, bukan sahaja kita dapat mendekatkan diri kepada Allah dengan mengucapkan segala pujian seperti tasbih, tahmid dan juga takbir ketika melakukan qiyam, ruku’, sujud dan lain-lain perbuatan tetapi juga dianugerahkan dengan pahala yang tidak terhingga.

Ketiga: Membentuk Mukmin Yang Kuat Dan Sihat

Pernahkah kita terfikir pabila kita mendirikan solat bagi menjalankan kewajipan perintah Allah, kita bukan sahaja menerima pahala yang berlipat ganda dan ditebus segala dosa-dosa kita yang terdahulu tetapi secara tidak langsung juga kita telah menanamkan pada diri kita kecintaan dalam melakukan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan atau jasmani.

Dengan melakukan solat juga dapat memperkukuh kesegaran tubuh badan kita. Solat menuntut agar setiap muslim, bangun pagi seawal mungkin dan bersemangat dalam menghadapi tugas-tugas harian sejak menjelang terbitnya matahari.

Menurut al-Zahabi: “ Dalam solat, faktor fizikal juga terlibat iaitu dalam bentuk senaman untuk badan selain penumpuan fikiran. Senaman-senaman itu melibatkan berdiri tegak ( qiyam ) sujud, ruku’, tumakninah dan penumpuan melalui solat pergerakan-pergerakan badan berlaku, dan kebanyakan organ dalam keadaan tenang. “

Rasulullah SAW melalui sunnahnya telah mengajarkan bahawa berdiri dalam solat harus dengan tegap dan dalam posisi yang lurus dan tidak boleh dalam keadaan yang lemah atau malas. Ia juga seharusnya dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak kelam kabut, ini dapat disaksikan dalam perintah Rasulullah kepada seorang Arab badwi supaya mengulangi solat yang dilakukannya dengan cara yang tidak teliti dan sempurna.

Dengan ini solat selain daripada merupakan ibadah ia juga merupakan satu bentuk riadah tubuh badan harian yang tersusun dengan sedemikian rupa dalam memberikan kerehatan jiwa dan juga jasmani manusia melalui pergerakan ketika melakukan ibadah solat seperti amalan ruku’, i’tidal, sujud dan sebagainya seperti yang disebutkan tadi.

Menurut satu kajian yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik Universiti Malaya ke atas sekumpulan peserta mendapati mereka yang sempurna solatnya lima kali sehari mempunyai nilai komposisi badan yang lebih sihat berbanding dengan kumpulan peserta yang meninggalkan solat, selain dapat meningkatkan tahap ketahanan badan serta menghindarkan risiko penyakit jantung, stres, kolestrol dan lain-lain penyakit.

Keempat: Membentuk Kemantapan Rohani Dalam Diri

Solat yang dilakukan dengan penuh khusyu’ juga  dapat menumbuhkan pada diri mukmin yang melakukannya kekuatan rohani dan batin yang amat berguna dalam mengharungi segala kesulitan hidup dan juga ujian dalam kehidupan seharian kita.

al-Zahabi menyatakan dalam kitab karangan beliau al-Tib:

“Ibadah solat sentiasa menghasilkan kegembiraan dan kepuasan, ia dapat mengurangkan kebimbangan dan mengawal perasaan marah. Ia dapat meningkatkan rasa cinta kepada kebenaran dan rendah diri terhadap manusia, melembutkan hati, membentuk kasih sayang dan sifat memaafkan serta membenci dan sifat balas dendam…Seseorang boleh menemui cara-cara untuk menyelesaikan masaalah-masaalah duniawi dan rohaniah. Dan seseorang itu boleh memeriksa diri sendiri terutamanya apabila seseorang itu benar-benar menghayati solatnya. Waktu yang paling baik ialah – selepas – tengah malam semasa kebanyakan orang sedang tidur dan dalam keadaan sunyi sepi.

Ini jelas sebagaimana firman Allah :

“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, kerana sesungguhnya Allah itu beserta orang-orang yang sabar.”

Dengan ini solat menjadi institusi pendidikan akhlak yang amali dan berdisiplin yang dapat mengasuh sifat-sifat benar, amanah serta mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Firman Allah S.W.T.:

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; Surah al-‘Ankabut ( 29 ) : 45

Kelima: Memberi Keupayaan Mental  Dan Kekuatan Dalaman Yang Tinggi

Selain dari faedah kerohanian yang dapat diraih melalui amalan solat yang dapat membantu mukmin untuk sentiasa berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan serta menjauhi perkara maksiat dan juga mungkar, dengan mengerjakan solat juga akan dapat mengukuhkan moral dan mental seorang mukmin.

Ini kerana ia akan dapat menanamkan dalam hati, kesedaran adanya pengawasan ilahi, memelihara aturan-Nya, menjaga disiplin waktu, gentar akan ancaman dan seksaan Nya serta sanggup mengatasi sifat-sifat kemalasan dalam memperturutkan hawa nafsu dan sifat-sifat kelemahan manusia yang lainnya.

Antara contoh sifat kelemahan manusia yang berkaitan dengan mental ialah penyakit kegelisahan atau Anxiety. Menurut Al-Quran ianya boleh diubati dengan melakukan solat.

Firman Allah :

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang – Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya; Surah al-Ma’arij ( 70 ) : 19-23

Daripada ayat di atas, dapat disimpulkan bahawa solat adalah salah satu daripada cara merawati kecelaruan kegelisahan. Ibadah solat merangkumi pelbagai aspek zikrullah seperti doa, tasbih, takbir dan tahmid. Melalui zikrullah yang dibaca secara berulang-ulang ini berdasarkan perasaan rindu kepada-Nya dapat  mendidik jiwa manusia ke arah kebaikan serta menjauhkan jiwa dari kejahatan selaras dengan kehendak Islam. Selain itu, ibadah solat juga dapat mendidik jiwa manusia supaya sentiasa mencintai Allah dan Rasul-Nya.  Cinta yang mendalam ini akan membuat jiwa seseorang itu tenang dan sentiasa mengingati Allah serta takutkan kebesaran-Nya.

Melalui ibadah solat juga mempraktikkan amalan berdoa kepada Allah, dengan cara ini dapat memberi peluang kepada manusia untuk berinteraksi secara peribadi dengan Tuhan, selain dari dapat meluahkan segala perasaan yang terbuku dalam hati mereka melalui doa yang dipanjatkan kepada Allah. Ia juga sebenarnya menepati kaedah kaunseling atau Psycho Therapy kerana mencurahkan perasaan yang menghantui diri pada orang kedua akan membantu meringankan bebanan yang dihadapi.

Adapun dengan meninggalkan solat akan menyemarakkan kecintaan pada syahwat, buruk dari segi akhlaknya, begitu juga jika solat dilakukan denga gerakan-gerakan anggota badannya tanpa disertai kehadiran akal dan kekhusyukan hati tidak akan memberi kesan atau impak yang mendalam dalam pembangunan mental seseorang.

Berbeza jika solat dikerjakan dengan bersungguh-sungguh dan khusyu’ dapat  memperkuatkan jiwa daripada pengaruh cinta pada dunia, serta mengangkat diri daripada keinginan nafsu terhadap kebesaran, harta dan kekuasaan.

Malah menurut kajian, seseorang yang memahami bacaan semasa solat dengan baik mempunyai komposisi badan yang lebih sihat dan pemikiran yang lebih tenang selepas solat berbanding dengan seorang yang tidak faham sepenuhnya bacaan semasa solat. Selain menjauhkan jiwa seseorang daripada bersifat lalai yang boleh memesongkan kita ajaran agama Islam.

Firman Allah:

Orang-orang yang beriman dan hati mereka tenang karena dzikir kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya dzikir kepada Allah akan membuat hati menjadi tenang

Surah al-Ra’ad ( 13 ) : 28

Begitu juga sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah : Menurut riwayat Ahmad, apabila Rasulullah s.a.w. mengalami sesuatu perkara yang mendukacitakan, Baginda mengatakan,

“Berdirilah Wahai Bilal, damaikan kami dengan sembahyang.”

Apa yang dapat disimpulkan ialah ibadah solat yang khusyu’ ini mempunyai pelbagai kelebihan serta kekuatan mental serta ketenangan jiwa seterusnya dapat merawati segala kekusutan yang menghantui jiwa seperti penyakit gelisah dan sebagainya.

===

Bagi yang ingin mendapatkan kaunseling secara bersemuka atau secara dalam talian (online) atau bagi sebarang pertanyaan, sila emel, abah.yasir@gmail.com atau whatsapp di talian: 65 8362 0211.

Boleh juga lungsuri link ini bagi latar belakang saya dan testimoni. 

Untuk follow FB page saya dan mengikuti posting terbaru saya di abahyasir.com, sila klik link ini.

Nota: Tulisan ini asalnya salah satu daripada topik bagi tesis sarjana saya, tetapi terpaksa dikeluarkan bagi meringkaskan tesis. Ia juga sudah diubah dan ditambah bagi penyesuaian tatapan umum agar tidak terlalu akademik.


Bibliografi:

Dr. Yusuf al-Qaradawi (1995), al-‘Ibadah Fi al-Islam, c. 24, Kaherah: Maktabah Wahbah, h. 224

Dr Wahbah al-Zuhayli ( 1989 ), al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, j.1, c.3, Beyrut : Dar al-Fikr, h.499

Dr Suhayb Hasan ( 1996 ) Why Do We Pray ?, Riyadh : Dar al-Salam, h. 25.

Ahmad b. ‘Ali  b. Hajar al-‘Asqal?ni ( 1989 ), Fath al-B?ri Syarh Sahih al-Bukhari, Kitab Mawaqit al-Salat, Bab al-Salawat al-Khams Kaffarah, no. hadith 528 , j.2 , Beyrut-Lubn?n : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, h.13

‘Izz Al-Din Abd Al-Aziz bn Abd Al-Salam Al-Sulami ( 1995), Maqasid al-Solat, c.2, Dimasyq-Syria : Dar al-Fikr, h.11. Lihat dengan lebih lanjut bagi hubungan antara orang yang mengerjakan solat, hubungan dengan para Rasul juga dengan seluruh hamba Allah yang soleh pada pada halaman 11-12 dalam kitab yang sama.

Dr Yusuf Al-Qaradawi ( 1995 ), al-Ibadah Fi al-Islam, c. 24, Kaherah : Maktabah Wahabah, h.230

Fazlur Rahman ( 1992 ), Kesihatan dan Perubatan Dalam Tradisi Islam, Wan Mohd. Nor Wan Daud et al ( terj. ), Malaysia : Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia., h. 70. Dinukil daripada al-Zahabi dalam kitab al-Tib.

Muhammad Mahmud Abdullah (T.T), Fawaid al-Solat al-Shihhiyyah Wa al-Nafsiyyah Wa Al-Ijtima’iyyah, Mansoura : Maktabah Al-Iman, h. 26

Fatimah Ibrahim et al (2009), Solat kebaikan dari Perspektif Sains, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, h. 27

Afzalur Rahman ( 1980 ), Islam Ideology And The Way Of Life, Singapura : Pustaka Nasional Pte Ltd., h. 80.

Fazlur Rahman ( 1992 ) Kesihatan dan Perubatan dalam Tradisi Islam : Perubahan dan Identiti, c.1, Malaysia : Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.Dinukil daripada al-Zahabi dalam kitab al-Tib.

Afzalur Rahman ( 1980 ), Islam Ideological and The Way Of Life, Singapura : Pustaka Nasional Pte Ltd., h. 78.

S. Abul Hasan Ali Nadwi (1976), The Four Pillars Of Islam. Mohammad Asif Kidwai ( terj.), c.2, Lucknow: Academy of Islamic Research and Publication., h. 42

Dr ‘Abd Allah bin Muhammad bin al-Tayyar (2005) al-Solat, c.11, al-Riyad : Madar al-Watan Li al-Nasyr, h. 22. Sila lihat dalam kitab yang tentang perbahasan rahsia kebanyakan orang yang mengerjakan solat tetapi tidak mendapat kesan dalam akhlak mereka.Ibid., h.23.

Che Zarrina Sa’ari ( 2001 ), “Penyakit Gelisah (Anxiety / al-Halu’ ) Dalam Masyarakat Islam dan Penyelesaiannya Menurut Psiko-Spiritual Islam” Jurnal Usuluddin, Bil.14, Disember 2001, h.19-20.

Che Zarrina Sa’ari ( 2001 ), “Penyakit Gelisah (Anxiety / al-Halu’ ) Dalam Masyarakat Islam dan Penyelesaiannya Menurut Psiko-Spiritual Islam” Jurnal Usuluddin, Bil.14, Disember 2001, h.21. Lihat pada muka surat yang sama bagi perbahasan lebih mendalam akan hal ini.

Afzalur Rahman ( 1980 ), Islam Ideological and The Way Of Life, Singapura : Pustaka Nasional Pte Ltd., h. 98.

Mahmud Syaltut (1987), al-Islam Aqidah Wa Syariah, c.14, Beyrut-Lubnan : Dar al-Syuruq, h.83

Fatimah Ibrahim et al (2009), Solat kebaikan dari Perspektif Sains, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, h. 27

Abi Tayyib Muhammad Syams al-Haq al-Azim Abadi ( 1995 ), Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, Kitab al-Adab , Bab Fi Salat al-‘Atmah, no. hadith 4978, j.13 , Beyrut-Lubn?n : Dar al-Fikr, h. 269. Hadith ini dinilai sahih oleh oleh muhaqqiq kitab Zad al-Ma’ad iaitu ‘Abd al-Qadir dan juga Syu’ayb al-Arnauth.

About abahyasir

A religious worker, blogger, Ex-Kadi, counsellor, columnist, book writer and finally a true Kopite! http:/facebook.com/abahyasir

20 responses »

  1. shahfah says:

    Assalamualiakum ustaz,salam Ramadan.

    Saya selalu menantikan kedatangan Ramadan,kerana masa inilah saya dapat bersolat dengan tenang dan dapat merasai kemanisan bersolat hingga kekadang menitiskan air mata.Tapi selasai Ramadan,salat saya cuma sebagai rutin biasa saja dan tidak meraskan apa-apa (lebih dasyat melambat-lambatkan solat sehingga hujung waktu-sibuk dengan hal dunia).Saya sedih dengan keadaan ini dan diatas kekurangan dan kesilapan saya dalam solat selama ini.Sampai pernah saya tanya pada diri sendiri “kenapa hidayah hanya datang padaku ketika Ramadan dan apabila Ramadan berlalu,aku seperti seorang munafik yang melakukan solat tapi dalam kemungkaran”.

    Tiap tahun setelah selesai ujian Ramadan, saya tidak lepas berjanji dan bertekad pada diri sendiri (dan juga Allah)untuk menjadi muslim yang baik dan menjaga solat sebagaimana yang saya lakukukan dibulan Ramadan atau mungkin lebih baik tapi tiap tahun ternyata saya gagal dengan desakan nafsu dunia hanya dengan berapa minggu setelah Ramadan.

    Ustaz mungkin dapat memberikan pandangan supaya saya (dan mungkin pembaca lain )dapat terus beristiqamah setelah Ramadan kerana kita sedia maklum belum tentu kita dapat berjumpa lagi dengan Ramadan yang akan datang.

    Wassalam.

    • Abah Yasir says:

      Waalaikumsalam, Shahfah.

      Alhamdulillah, sekurang-kurangnya anda seorang yang mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang mukmin yang lebih baik. Semoga Allah mempermudahkan harapan anda.

      Bulan Ramadan memang bulan yang penuh rahmat, Allah mempermudahkan urusan hambanya pada bulan ini dengan bermacam-macam ganjaran dan kelebihan yang seterusnya memberikan kita motivasi untuk memperbanyakkan amalan berbanding dengan bulan-bulan lain.

      Untuk meneruskannya di lain bulan, tiada jalan pintas selain dari perlu mujahadah melawan hawa nafsu dan perlu ingat bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara dan bila-bila masa sahaja ajal mampu menjelma.

      Sebagai permulaan, kekalkanlah ibadah solat 5 waktu anda walau di mana anda berada. Bertaubat segera bila setiap kali anda melakukan sebarang kesilapan. Jangan jadikan setiap dosa yang dilakukan membuatkan anda lemah semangat untuk bertaubat atau meningkatkan amalan. Malah jadikan setiap kesilapan yang dilakukan sebagai pendorong kita untuk memperbanyakkan amal soleh pada Allah. Ingatlah setiap amal yang dilakukan mampu menghapuskan dosa.

      Banyakkanlah berdoa pada Allah, pintalah pada-Nya. Mohon juga pada ibu bapa untuk mendoakan anda. Carilah juga teman rapat yang bertakwa agar mampu menegur anda dari semasa ke semasa.

  2. Abah Yasir says:

    Waalaikumsalam.

    Saudara/Saudari Shahfah,

    Boleh berikan saya emel anda? Agar saya dapat mengirimkan jawapannya secara langsung pada anda.

  3. shahfah says:

    Waalaikum salam ustaz,saya seorang saudara dan boleh di hubungi melalui shahfah@hotmail.com.

    Ustaz pun boleh beri pandangan disini bagi menfaat pembaca yang lain.

    Sekian wasallam.

  4. shahfah says:

    Alhamdulillah,teimakasih ustaz atas nasihat dan pandangannya.Apa gunanya segala yang kita miliki didunia ini,kalau solat tidak dijaga dan lebih malang lagi meninggalkannya.Sedih rasanya kerana banyak dikalangan umat Islam sendiri yang meninggalkan solat juga termasuk mereka yang berada dikelliling saya.Solat dipandang sepi dan manusia tidak rasa bersalah kalau solat ditinggalkan. (apakan daya, diri ini sendiri tidak mampu berbuat apa-apa kerana diri ini juga kekurangan)
    Seperti kata ustaz tadi supaya banyakkan berdoa,mungkin kesilapan buat diri saya yang selalu berdoa pada Allah meminta itu dan ini tetapi tidak pernah berdoa agar diberi kekuatan untuk terus manjaga solat kerana tidak bermakna kita dah melakukan solat 5 waktu,kita sudah sempurna dan tidak perlu kita berdoa pada Allah memohon untuk memperbaiki solat kita.

    Memang perkara yang ustaz kemukakan diatas agak sukar dilaksanakn lebih-lebih lagi dengan Ramadan yang akan meninggalkan kita,InsyAllah saya yakin,Allah s.w.t. suka dan tidak akan menghampakan permintaan setiap hambanya yang ingin mendekaktkan diri padanya dengan penuh keikhlasan .Kita sahaja yang perlu berusaha tanpa jemu dan burputus-asa.

    Terimakasih sekali lagi ustaz atas nasihat yang amat berguna.
    Jazakaullah kukhairan.

  5. atmamfikr says:

    Salam Saudara,

    Hanya sekadar persinggahan awal saya dalam blog ini. Izinkan saya bertanya pada saudara beberapa soalan seperti dibawah;

    1. Apakah hakikat solat?
    2. Mengapa isu-isu fekah dalam solat boleh menyebabkan perpecahan ummah?
    3. Apa dalil yang kukuh menyatakan solat wajib ada 5 waktu, bukan kurang atau lebih dari 5?
    4. Apakah ‘significant’ rukun dalam solat?
    5. Kenapa dalam solat ada rukuk, sujud, tahiyat dan pergerakan-pergerakan terbatas?
    6. Solat yang bagaimanakah yang paling diterima Allah?

    Maafkan saya jika keterlaluan dalam bertanyakan hal-hal solat. Dalam solat sewajarnya kita bangkitkan penyatuan tetapi kerana solat juga punca perpecahan ummah. Saya mohon pada saudara untuk sama-sama membincangkannya.

    Bagaimana Rasulullah melayani karenah umatnya dalam membangkitkan rasa cinta dan taat pada Allah tanpa mengira apa sahaja latar belakang umatnya? Saya pasti tabiat lama umatnya yang terdahulu pelbagai kisah latar belakang yang rosak. Namun Rasulullah mampu membentuk mereka sehingga Islam bangkit selepas kewafatan baginda.

    Bantulah saya saudara dalam memahami keadaan ini. Saya pasti solat yang saya lakukan selama ini masih belum tahap penyatuan lagi. Solat dalam surau atau masjid masih sendiri-sendiri. Ibadah solat dalam masjid, maksiat di tepi pagar masjid. Solat terasa hebat sehingga melabel-labelkan orang lain. Solat terasa cukup sehingga mengabaikan banyak perkara penting.

    Bantulah saudara dalam memberikan buah fikiran yang matang.

    Sekian terima kasih.

  6. ana... says:

    Assalamualaikum WBT..ana tertarik dgn bahas yang dikemukakan oleh ustaz, tambahan lagi dengan rujukan yang banyak, berdasarkan nota yang ustaz kemukakan, klu x salah, bleh x ana nak tahu tajuk tesis sarjana ustaz?? syukran:)

    • Abah Yasir says:

      Waalaikumsalam.

      Tajuk tesis sarjana saya: “Kefahaman dan Pengamalan Solat Berdasarkan Sunnah Rasulullah s.a.w.: Satu Kajian Di Kalangan Masyarakat Islam Singapura”.

  7. Abah Yasir says:

    Salam saudara Atmamfikir,

    Berikut adalah jawapan bagi soalan-soalan yang dikemukakan. Maaf di atas kelewatan jawapan ini:

    1. Apakah hakikat solat?

    Menurut Teungku Muhammad Hasbi Ash-Siddieqy dalam kitabnya, Pedoman Shalat Definasi solat menurut hakikat solat ialah berhadap hati yakni jiwa kepada Allah, dalam keadaan yang mendatangkan takut kepada-Nya, serta menumbuhkan di dalam jiwa rasa keagungan kebesaran dan kesempurnaan kekuasaan-Nya.

    2. Mengapa isu-isu fekah dalam solat boleh menyebabkan perpecahan ummah?

    Apabila masing-masing ingin menyatakan pandangan atau tafsiran mereka sahaja yang betul dalam memahami sunnah. Sedangkan tiada siapa yang salah dalam hal ini, selagi mana pengamalan kita bertepatan dengan sunnah Rasulullah dan ada sumbernya.

    3. Apa dalil yang kukuh menyatakan solat wajib ada 5 waktu, bukan kurang atau lebih dari 5?

    Dari Talhah bin ‘Ubayd Illah R.A: “Seorang penduduk Najd telah datang menghadap Rasulullah S.A.W dengan keadaan rambutnya yang kusut. Kami mendengar suaranya tetapi tidak memahami kata-katanya. Setelah hampir kepada Rasulullah S.A.W dia terus bertanyakan tentang Islam, maka bersabda Rasulullah S.A.W: ‘Sembahyang lima waktu sehari semalam, maka dia berkata: Adalah lagi selain darinya. Maka Rasulullah bersabda: ‘Tidak, kecuali dalam perkara yang tatawwu’.” Sahih Bukhari

    Dari Ibn ‘Abbas R.A: “Bahawasanya Nabi S.A.W telah mengutuskan Mu’adh ke Yaman, maka dia bersabda: ‘Serulah mereka kepada syahadah bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Aku adalah Rasulullah, maka jika mereka mentaati akan perkara ini maka ajarilah mereka bahawa sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas mereka sembahyang lima waktu pada setiap hari dan malam, dan jika mentaati akan perkara ini maka ajarilah mereka bahawa sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas mereka sedekah pada harta mereka diambil dari kalangan yang kaya antara mereka untuk diserahkan kepada golongan fakir di antara mereka.’ ” Sahih Bukhari.

    4. Apakah ’significant’ rukun dalam solat?

    Ia merupakan sifat solat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah. Pada masa yang sama, Baginda pernah menegur seorang sahabat yang tidak melakukan rukun solat dengan sempurna, supaya mengulang solatnya hingga 3 kali sehingga sempurna solatnya. Atas dasar itu, para ulama menyatakan rukun-rukun solat perlu dilaksanakan, kegagalan melakukannya boleh mengakibatkan solat tidak sah.

    5. Kenapa dalam solat ada rukuk, sujud, tahiyat dan pergerakan-pergerakan terbatas?
    Kesemuanya bersumber daripada pengamalan solat Rasulullah. Tiada jawapan khusus bagi perkara tersebut. Mentelah lagi, Baginda s.a.w. pernah memerintahkan umat Islam untuk bersolat sebagaimana beliau bersolat.

    6. Solat yang bagaimanakah yang paling diterima Allah?

    Solat yang mematuhi syarat dan rukun solat selain solat yang khusyuk dilakukan akan mendapat tempat yang tertinggi di sisi Allah s.w.t.

    Untuk menjawab soalan-soalan yang lain, anda perlu membaca kitab-kitab Sirah Nabawiyyah bagi mendapat iktibar daripada dakwah Rasulullah dalam menyatukan umat Baginda.

  8. rudy says:

    Kemungkinan juga setiap kali kita solat, kita memperbaharui keimanan kita kepada Allah. ‘renew our faith to Allah’. Kerana dalam solat kita akan mengucap kalimah syahadah dengan keyakinan akan keEsaanNya.

  9. sha says:

    Assalamualaikum ustaz
    saya ada beberapa soalan ingin bertanya kepada ustaz.
    1.bagaimanakah caranya untuk kusyuk ketika solat?
    2.bagaimana cara untuk mendapatkan pengampunan daripada Allah dan bagaimana untuk mencapai taubat diatas dosa zina yg lalu?
    3.Adakah Allah menerima solat orang yang telah berzina?
    4.bagaimana cara untuk menyucikan hati dari dosa-dosa dulu?

    terima kasih ustaz.saya harap ustaz dapat membantu saya menjawab soalan ini.kalau boleh ustaz emailkan ke email saya pureheartz25@yahoo.com.

    • Abah Yasir says:

      Waalaikumsalam

      Berikut jawapan ringkas dari saya:
      1. Sulit untuk diterangkan di sini, anda perlu mempelajarinya dari guru agama ataupun dengan membaca buku yag berkaitan bagi panduan dan tips. Ringkasnya,yang paling penting anda perlu fokus dan memahami setiap apa yang dibaca dan bayangkan anda berdepan dengan Tuhan yang Maha Agung.
      2. Minta pengampunan pada Allah dengan jujur dan ikhlas. Menyesal dan tidak ulangi perbuatan tersebut. Giatkan ibadah solat dan banyakkan zikir bagi mendekatkan diri pada-Nya.
      3. Sudah tentu mengapa tidak? Tidakkah Allah Maha Pengampun, Pengasih lagi Penyayang?
      4. Sama seperti jawapan (2).

      Terima kasih.

  10. rdztech says:

    tip khusyuk solat… ingat Allah diluar solat, nescaya lebih mudah mengingat Allah dalam solat….

  11. zul says:

    assalamualaikum uztaz..

    1) saya mengalami masalah was2 yg boleh dikatakan agak teruk ketika bacaan dalam solat.. adakala ketika membaca surah al-fatihah, saya cube berusaha untuk membaca dgn sempurna, tetapi selepas itu saya rase kan ada yang tak kena dgn bacaan saya.. contoh tertinggal ‘sabdu’, sebutan ‘ain’ dibaca ‘alif’.. adakah dgn tersalah baca fatihah maka solat saya terbatal (sedangkan saya telah cube sedaya upaya membaca dgn sempurna)

    2) saya susah nak khusyuk secara 100%.. saya ade terdengar kalo kita tidak khusyuk walau sikitpon makan solat akan menjadi sia2… adakah solat akan terbatal?

    sekian

  12. azham says:

    Assalamualaikum ustaz.
    Bagai mana saya nak tahu sembahyang saya dapat pahala dan menghapuskan dosa.terima kasih.

  13. Masri Mohd Ali says:

    Baru – baru ini saya bertemu dengan sepupu lelaki dan kami berbicara tentang kepentingan solat, kematian dan syurga/ neraka. Saya terkedu dan tidak dapat memberikan apa2 nasihat / komen atas kedangkalan ilmu.
    Sepupu saya mengatakan bukan solat yang menentukan syurga / neraka seseorang. Malah beliau menyatakan bahawa terdapat kisah seorang pelacur yang memberi minum anjing, atas kebaikannya Allah memasukkannya ke dalam syurga. Atas cerita tersebut sepupu saya berpendapat keperluan solat bukanlah merupakan satu kewajipan @kepentingan. Mohon penjelasan ustaz supaya saya dapat membantu menjelaskan kepada sepupu saya dan membantunya agar tidak berpegang kepada cerita tersebut sehingga meremehkan kewajiban solat.

  14. Danial [ DJ ] says:

    Sangat bagus dan berguna. Saya berharap dapat membanyakkan ilmu sebegini di dalam diri.

  15. Hamba_Allah says:

    Assalamualaikum,ustaz.Saya seorang remaja yang baru akil baligh.Soalan saya,perlukah saya qada’ semula solat yang sudah saya tinggalkan sebelum saya akil baligh meskipun saya tahu yang perbuatan itu adalah salah.Mohon penjelasan

Leave a reply to atmamfikr Cancel reply